DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 15 April 2021

Cinta Hati Mr. Aydan - Bab 5


PELBAGAI pesanan yang Anis terima daripada kedua orang tuanya, terutama sekali daripada Puan Hasnah. Dia hanya tergelak mendengar nasihat dan saranan mereka. Nasib baiklah mentuanya tinggal di Seremban. Kalau tidak, jenuh juga kena mendengar pesanan daripada mereka pula. Anis tahu ibu mentuanya sangat berharap dia dan Syaqeer hidup bahagia.

“Mama jangan risau. Anis ni dah besar. Dah tahu apa yang patut dibuat.” Anis bersuara.

Puan Hasnah mengeluh perlahan. Hanya Encik Idris kelihatan tenang. Namun, dia tetap memberi nasihat dan pesanan kepada Syaqeer. Bukan senang untuk mereka melepaskan anak perempuan mereka kepada orang lain walaupun menantu mereka sendiri.

“Ada masa nanti, baliklah sini jenguk kami.” Hanya itu pesanan yang Encik Idris titipkan buat menantunya.

Syaqeer mengangguk perlahan.

“Insya-Allah. Mama dan papa jangan risau. Ada cuti nanti, Syaqeer bawa Anis balik sini,” balas Syaqeer. Sempat pula Syaqeer mengukir senyum ke arah isterinya.

Memang sedih nak tinggalkan orang tuanya dan juga rumah ini. Tapi bila dah jadi isteri ni, kenalah mengikut ke mana suami berada. Dalam masa yang sama, Anis berharap Syaqeer akan mengotakan kata-katanya yang mereka akan pulang ke sini bila ada cuti nanti. Kalau suaminya tak nak balik pun, Anis harap sangat suaminya izinkan dia balik sendiri. Pastinya Anis akan merindui orang tuanya nanti.

 

MEREKA SAMPAI di Terengganu pada lewat petang. Wajah Syaqeer jelas kepenatan kerana dia seorang saja yang memandu. Anis mahu memandu namun suaminya tidak membenarkan.

Dari dalam kereta, Anis memerhatikan rumah teres dua tingkat. Luaran nampak elok dan harapnya bahagian dalam pun elok juga. Pasti kelihatan ceria kawasan rumah ini jika dihiasi bunga-bungaan.

Tidak hairanlah Syaqeer mampu menyewa rumah ini kerana kerjaya suaminya sebagai seorang jurutera. Taman perumahan ini dilengkapi dengan segala kemudahan termasuk pengawal keselamatan.

“Tak nak masuk? Ke nak tidur dalam kereta?” soal Syaqeer dengan nada mendatar sebelum dia membuka tali pinggang keledar untuk keluar.

Anis buat-buat tidak dengar. Namun Anis tetap keluar dan berdiri di tepi kereta. Sementara Syaqeer menuju ke belakang kereta Honda Civic miliknya untuk mengeluarkan barang-barang yang dibawa.

Minggu depan, papanya akan menghantar kereta dia ke sini. Tidak perlulah dia menyusahkan Syaqeer untuk menghantarnya pergi kerja. Dia malas nak dengar suaminya membebel. Sakit telinga dan sakit hati!

Syaqeer menonong masuk selepas membuka pintu pagar dan pintu rumah. Anis pula hanya akur.

Syaqeer mula menjeling tajam. Terus Anis mengikut langkah suaminya masuk ke dalam rumah dengan membawa sekali barang-barang miliknya. Dalam diam, dia mengeluh perlahan.

Dia mula membuat rumusan. Perangai Syaqeer semakin berubah. Suaminya tidak mengendahkan kewujudan Anis di sisinya. Kalau orang lain, mesti manjakan isteri yang baru dikahwini tapi tidak pula dengan Syaqeer. Adakah selama ini Syaqeer hanya berpura-pura di hadapan semua orang?

Melilau matanya melihat sekitar ruang tamu yang lengkap dengan perabot. Dekorasi ruangan agak ringkas dan tidak banyak hiasan.

Menurut Hajah Sabariah merangkap ibu mentuanya, dia tidak perlu bersusah payah kerana rumah yang disewa Syaqeer sudah lengkap dengan perabot. Dia hanya cuci kaki saja. Ibu mentuanya turut memaklumkan yang Syaqeer telah membeli sebuah rumah dan masih dalam pembinaan.

“Buatlah macam rumah sendiri. Tak perlu abang terangkan satu per satu. Abang penat,” ujar Syaqeer yang muncul di ruang rehat. Tadi dia memunggah beg-beg Anis masuk ke dalam bilik tidur.

“Tak apa. Abang jangan risau,” balas Anis acuh tak acuh. Macamlah dia kisah sangat. Anis tahu menguruskan diri sendiri.

Hmm...” Syaqeer melabuhkan punggung di sofa.

“Abang nak minum? Anis boleh buatkan.” Anis mendekati suaminya.

“Bagi abang air kosong aje,” beritahu Syaqeer dengan mata yang terpejam. Nampak yang dia kepenatan.

Anis menuju ke dapur dan melihat ruangan di situ. Ringkas tapi dilengkapi dengan perkakas dapur. Dia menuang air kosong ke dalam muk dan membawa langkah ke ruang tamu.

“Abang, bahan basah tak ada. Anis tak boleh nak masak untuk kita malam ni.” Anis beritahu Syaqeer sambil menghulurkan muk kepada suaminya.

Syaqeer membuka mata. Wajah isterinya dipandang sekilas.

“Tak apa. Malam ni kita makan kat luar. Esok kita keluar pergi pasar raya beli bahan basah,” tutur Syaqeer sebelum menyua air ke mulutnya.

“Abang dah kerja esok kan?”

“Ya. Kenapa?” kening Syaqeer terangkat.

“Tak ada apa.”

“Anis nak masuk bilik. Nak mandi dan tukar pakaian. Malam ni abang nak kita keluar makan malam pukul berapa? Senang Anis nak bersiap.”

Mmm... lepas isyaklah,” beritahu Syaqeer.

Anis mengangguk kepala.

‘Kononnya lepas isyak tapi aku tak pernah tengok pun dia solat.’ Anis merungut dalam hati sambil memanjat anak tangga ke bilik atas.

 

PUAN SRI HAYATI menatang dulang berisi kek coklat yang baru dibuatnya. Entah kenapa hari ni teringin nak makan hasil tangan sendiri. Kek coklat diletakkan dalam tiga piring kecil. Suaminya Tan Sri Razlan sedang berbual bersama Aydan di ruang rehat.

“Dah banyak hari Aydan tak balik. Sibuk sangat ke sekarang ni?” soal Puan Sri Hayati selepas menghidangkan kek untuk suami dan anaknya.

Aydan melirik ke arah papanya. Tan Sri Razlan hanya tersenyum. Buat-buat tak endah sahaja dengan soalan yang keluar dari mulut isterinya.

“Sibuklah kut,” balas Aydan selamba.

“Sibuklah kut? Apa punya jawapan yang Aydan bagi ni? Jawapan yang tak logik langsung,” rengus Puan Sri Hayati.

“Awak ni Yati, ada-ada aje komen awak pada Aydan. Kesian dia,” bela Tan Sri Razlan.

Puan Sri Hayati melempar jelingan buat suaminya.

“Dah memang betul. Dia bukannya duduk jauh mana pun. Lainlah dengan Danish, kat Johor. Bukan senang nak balik jenguk kita kat sini. Lagipun dia sibuk dengan isteri dan anak-anak. Si Aydan ni nak sibuk dengan apa? Dia seorang diri aje pun,” komen Puan Sri Hayati.

“Hah, itulah silap awak. Setiap kali Aydan ni balik, awak asyik nak membebel aje. Dia balik salah, dia tak balik pun salah. Akhirnya dia tak nak balik langsung. Baru padan muka awak!” ujar Tan Sri Razlan pula.

“Isy, abang ni asyik nak membela Aydan aje. Saya cakap benda betul. Susah-susah sangat, dia balik tinggal dengan kita. Senang. Makan minum dia terjaga. Kalau tinggal sorang, macam mana dia nak uruskan semua tu?” Puan Sri Hayati tetap mempertahankan pendiriannya.

Aydan hanya diam.

“Anak lelaki awak ni dah besar panjang. Tahulah dia uruskan diri dia. Awak tak payah nak fikir apa-apa. Baik awak jaga abang ni elok-elok. Tua-tua abang ni pun, masih ada yang berminat tau!” tutur Tan Sri Razlan. Kemudian dia ketawa melihat wajah isteri yang mula cemberut.

Aydan kawal senyum. Dia tahu papanya pasti akan menyokong dia kalau mamanya mengata dia yang bukan-bukan.

“Abang jangan nak menggatal belakang saya ya. Siap abang, saya kerjakan!” Puan Sri Hayati dah mengutil pinggang suaminya. Mengaduh sakit Tan Sri Razlan.

Aydan tergelak melihat telatah kedua orang tuanya.

“Mama dan papa ni, bergaduh macam budak kecil. Lawak betul.” Aydan menggeleng kepala.

Kedua orang tuanya saling berpandangan. Muka masing-masing dah mula berubah. Malu pula ditegur oleh si anak. Akhirnya mereka sama-sama gelak.

“Alah, Aydan ni. Macam tak biasa pula tengok mama dan papa ni bergaduh, bergurau senda. Ini dah jadi asam garam hidup berumah tangga. Ada gurau senda, ada marah-marah sayang, ada gaduh-gaduh manja. Tak gitu, sayang?” ujar Tan Sri Razlan membetulkan tanggapan Aydan.

“Betul tu. Itulah pengikat kasih sayang, kan bang. Aydan akan rasai semua itu bila Aydan dah kahwin nanti. Tapi pastikan pilihan tu adalah pilihan yang terbaik. Barulah rumah tangga tu akan kekal lama, hingga akhir hayat,” sambung Puan Sri Hayati. Sempat melirik manja ke arah suaminya.

Tan Sri Razlan tersenyum lebar. Menyokong kata-kata Puan Sri Hayati. Tangan isterinya digapai dan dicium tanpa rasa segan biarpun di depan anak mereka.

Hmm... betul tu mama. Sebab itulah mama tak payah nak susah-susah tentukan jodoh untuk Aydan. Biar Aydan yang cari sendiri jodoh yang sesuai untuk Aydan,” balas Aydan sambil tersengih.

Tercengang sejenak Puan Sri Hayati.

Tan Sri Razlan mula melepas tawa.

“Dia sindir awak tu Yati oi. Memang betullah, lepas ni awak memang tak payah nak pening kepala carikan jodoh untuk Aydan ni. Biar dia pilih sendiri. Awak juga yang cakap, awak tak kisah siapa pun perempuan yang dia berkenan. Awak akan terima. Yang penting, awak nak tengok Aydan kahwin, kan?”

Puan Sri Hayati terdiam tak terkata.

Mmm... yalah. Mama tak akan masuk campur lagi tapi ingat, mama bagi tempoh sampai hujung tahun ni aje. Kalau dalam tempoh tu Aydan belum dapat jodoh, mama akan sambung kembali operasi mama untuk cari jodoh untuk Aydan! Kali ini mama tak main-main! Nak tak nak, Aydan kena terima jodoh yang mama cari. Faham!!” ujar Puan Sri Hayati memberi peringatan keras.

Aydan ketap bibir. Parah juga syarat mamanya. Mana dia nak cari calon isteri dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

‘Adoi, matilah aku lepas ni!’ desis hati Aydan.

Aydan rasa tubuhnya dah mula berpeluh. Dahi yang tidak gatal digaru. Otak tetap ligat berfikir, mana dia nak cari jodohnya?

No comments:

Post a Comment