DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 14 April 2021

Girl Marry Me - Bab 9

 

Apakah insan sepertiku tak layak bahagia? Senang dicarik hati, kemudian datang menawarkan penawar. 

 

SYIFAA memicit kepala. Berdengung dia rasa. Ini mesti kesan dia menangis semalam. Selepas Adam berlalu semalam, dia longlai di hadapan rumahnya. Mujur ada Khaty dan Ain yang memapahnya masuk ke dalam. Di dalam bilik, dia menyambung tangisnya. Menangisi nasib diri.

Kenapa sejak dulu kebahagiaan seakan jauh daripadanya? Dia tidak kisah ditinggalkan Adam. Dia juga tidak kisah dikhianati Dila. Namun yang menjadi duka dalam hatinya ialah ibu bapanya.

Sangkanya apabila Adam memutuskan pertunangan mereka, Puan Zuyyin dan Encik Arash akan berbelas kasihan kepadanya. Namun sebaliknya pula terjadi. Dia yang dipersalahkan atas apa yang terjadi.

Segala kesilapan masa lalu diungkit kembali. Mendengar cacian daripada orang luar tidak sesakit cacian daripada mulut kedua ibu bapa kandung sendiri. Pedihnya hanya Allah yang tahu. Sehingga kini lukanya masih ada.

Namun Syifaa pasrah dan reda. Apa yang terjadi dulu tidak akan mampu dia kembalikan walau seupaya mana dia mencuba. Walau sudah berpuluh kali kata maaf diungkap, kesilapan itu masih menjadi duri dalam kehidupannya. Ya, dan dia tidak seratus peratus menyalahkan ahli keluarganya. Menjadi kesalahan dia kerana mengikut hasutan nafsu diri.

Cuma kini, hatinya kecewa apabila segala perkara yang terjadi dia dipersalahkan walaupun dia bukanlah punca segalanya. Apakah salah dia jika Adam tidak mampu menerima masa silamnya? Salah diakah jika Dila dengan bangganya membuka aibnya kepada Adam? Silap diakah pertunangannya terputus walau bukan kehendaknya memalukan keluarga begini?

Mengingatkan itu, semalaman dia menghamburkan tangisan. Kini, Adam datang merayunya kembali. Apa lagi mahunya lelaki itu? Tidak cukupkah membuatkan dirinya dipandang hina oleh keluarga sendiri? Dan jika hal semalam sampai ke pengetahuan mak long dan ahli keluarganya, apakah lagi label cacian yang akan dilemparkan kepada dia?

Kepala yang berdenyut meminta dia kembali berbaring. Jam di dinding dijeling sekilas. 8 pagi. Nafas berat dihela perlahan. Mujurlah dia ABC. Kalau tidak, rugi saja dia terbabas subuh hanya kerana masalah dunia.

Matanya memandang siling. Kenangan zaman jahiliahnya datang. Kelab malam mana yang dia tidak pernah jejak, pusat karaoke mana yang dia tidak pergi; boleh dikatakan semua pusat hiburan di seluruh kota telah dia masuk. Malahan bukan itu saja, dia berjinak dengan rokok, pil-pil khayal dan...

Terpejam mata Syifaa. Tidak sanggup dia melihat bayangan masa lalunya itu. Dia sudah berubah. Dia sudah mengikat taubat nasuha dengan Sang Pencipta. Apa yang dia lakukan dulu kerana kedangkalan fikiran dalam menilai cara untuk meraih perhatian ibu dan bapanya. Tetapi taubatnya tidak terzahir pada mata kedua orang tuanya, sepertimana butanya ibu bapa dia menilai betapa dia ketandusan kasih sayang mereka. Betapa dia mahukan perhatian mereka.

“Syifaa.” Kedengaran suara Ain dari luar bilik bersama ketukan di pintu.

“Ya.” Lemah Syifaa menjawab.

“Aku masuk ni,” ujar Ain.

“Ya.” Syifaa meletakkan lengan di dahi. Menutup air mata yang masih basah di pelupuk mata.

“Baru bangun ke?” soal Ain lalu duduk di birai katil Syifaa.

Hmm...”

“Ada orang nak jumpa kau kat bawah.”

“Siapa?” soal Syifaa. Dia bangun daripada perbaringan dengan kepala yang semakin memberat.

“Kau mandilah dulu. Nanti kau turun ek.”

Terkebil-kebil Syifaa memandang lenggok Ain yang sudah menghilang di sebalik pintu. Siapa pula yang datang mahu berjumpanya? Pagi-pagi lagi pula tu. Dengan langkah terpaksa, Syifaa membawa diri ke dalam bilik air. Dia mandi ala kadar saja. Tidak mahu tetamu yang tidak diundang itu menunggu lama.

Langkah kaki Syifaa terpaku di anak tangga terakhir. Figura milik Dila yang sedang terlihat di matanya membuatkan rongga jantungnya sempit. Tidak perlu dia menduga, pastinya kedatangan gadis itu ada kaitan dengan Adam. Apa yang pastinya akan melukakan hatinya lagi.

Sampai bila agaknya drama ini akan berlangsung? Kalau di media sosial, kisah pelakon curang di pusat karaoke menjadi tular. Di dunia realiti, kisah dia. Masalahnya sekarang, bukan dia yang merampas si Adam itu. Haih! Sudah kenapa di sini semua berlagak jadi mangsa dan dia pemangsa? Sebal pula hatinya.

“Ada apa Dila datang sini awal pagi begini?” soal Syifaa tanpa mukadimah mesra. Dia duduk berhadapan dengan Dila. Riak cuba dikawal tenang. Seketika dipandang sekeliling mencari kelibat dua sahabatnya. Mata terpandang susuk tubuh Ain di dapur. Pasti Khaty juga ada di sana.

“Kak Syifaa, Dila...”

Syifaa perhatikan kelakuan Dila. Gadis itu kelihatan sangat resah. Apakah yang mengganggu Dila sebenarnya?

“Dila nak apa? Cakap ajelah. Tak payah takut-takut. Masa nak ‘curi’ Adam daripada akak, Dila tak takut pun,” sinis tutur kata Syifaa. Namun bibirnya melukir senyum hambar.

Dila menelan liur. Panas pipinya disindir begitu.

“Dila nak minta tolong akak pujuk Adam supaya teruskan majlis kami. Tolonglah kak. Dila merayu kak...” lirih suara Dila.

Tubuh Syifaa tegak. Lah, tak habis lagi nak libatkan dia. Semalam, lelaki yang datang merayu, pagi ini perempuan pula.

‘Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk hadapi semua ini. Berikan aku kesabaran agar tak ada manusia yang mati di tangan aku.’ Bersungguh dia melaungkan doa itu. Jujurnya, kini kesabarannya di hujung tanduk.

“Kenapa akak pula yang kena pujuk dia? Masa Dila suruh dia putuskan pertunangan kami, takde pula Dila libatkan akak. Dila usaha sendiri. Ni, kenapa lain pula?” Sarkastik sungguh ayat Syifaa. Dia bukanlah manusia berhati mulia yang boleh terima saja. Jika semua masalah ini berpunca daripadanya, dia akan mengalah. Masalahnya sekarang, sejak awal lagi semua masalah berpunca daripada Adam dan Dila. Tempiasnya, dia yang kena!

“Tolonglah Dila, akak. Hanya akak yang boleh tolong Dila. Adam... dia cakap dia nak pujuk akak balik dengan dia. Malulah keluarga Dila, kak. Mak ayah dah siap tempah kad jemputan. Katering apa semua sudah pilih. Mana kami nak letak muka lepas ni, kak? Tolonglah Dila. Dila tahu apa yang jadi pada akak semua salah Dila. Kalau akak nak tampar Dila, maki Dila pun Dila sanggup, asalkan akak setuju pujuk Adam,” rayu Dila. Dia benar-benar terdesak sekarang ini. “Atau akak nak Dila melutut minta maaf? Dila akan lakukan.” Pantas gadis itu duduk melutut di hujung kaki Syifaa.

Khaty dan Ain yang memerhati dari dapur terkejut dengan tindakan nekad Dila. Ke mana hilang sikap bangga diri Dila sebab dapat memikat Adam? Mana ayat-ayat sombong gadis itu?

Syifaa tersengih sinis. Dia hanya menjeling Dila yang sedang melutut. Ingat hati dia akan cair kalau buat begitu? Tak akan! Dia sudah kebal dengan kata maaf. Buat masa sekarang, bukan ungkapan maaf yang dia mahukan, tetapi...

“Kembalikan masa lalu akak.”

“Hah?” Dila beriak bingung.

“Kembalikan maruah diri akak yang Dila dan Adam dah koyakkan. Kembalikan masa di mana semua tu tak pernah terjadi. Kembalikan... kepercayaan mereka yang mencaci akak sebelum ini.”

Liur Dila telan kesat. Mana mungkin dia lakukan itu. Ibarat membuka pekung di dadanya. Dia tak mungkin melakukannya.

“Maaf, akak tak boleh tolong. Hal Dila dengan Adam, tak ada kaitan dengan akak. Akak belum baik hati nak jadi orang perantaraan kau orang. Hei, kalau dah orang tak nak, yang terhegeh-hegeh lagi buat apa? Move on. Jantan bukan seorang. Berlambak. Tinggal pilih aje. Lagipun bukan akak tak tahu, kau tu lelaki keliling pinggang!” tukas Syifaa.

Tak payah tunggu jawapan Dila, riak wajah gadis itu sudah menunjukkan segalanya. Mana ada orang sanggup memalukan diri sendiri kerana mahu menolong orang lain hatta saudara sendiri.

“Sampai hati akak...” sayu suara Dila. Kata sinis Syifaa diabaikan walaupun hatinya sakit. Dia perlukan pertolongan kakak sepupunya kala ini. Maka segala kata sindiran akan dia telan.

What? Sampai hati kau kata? Weh, otak kau miring gamaknya! Siapa yang sampai hati sekarang ni? Siapa mangsa dalam kisah kau orang ni? Aku atau kau atau si Adam tu? Hah?” Berasap telinga Syifaa. Bila hati diamuk amarah, mulalah kesopanan yang tersarung tercabut.

“Kau dengar sini. Sebab kau dan Adam, mak bapak aku tak mengaku aku anak! Mak bapak aku cakap aku ni menyusahkan mereka, memalukan mereka. Aku ni anak tak kenang budi! Kerana kau dan Adam jugalah, aku ni jadi anak terbuang lagi. Ya, memang aku dah dibuang dari dulu, tapi sakit dibuang sekarang terlalu dalam. Kau apa tahu? Yang kau tahu apa yang kau nak, dapat. Pakai otaklah Dila oi! Fikir kenapa si Adam tak nak kau. Kalau aku jadi kau, tak ingin aku merayu sana sini kerana seorang lelaki. Sekurang-kurangnya peliharalah sikit air muka mak bapak kau!” tempelak Syifaa.

Dila tunduk. Air mata jatuh membasahi pipi. Pedih pipinya bagaikan ditampar dengan kata-kata Syifaa. Silap dia datang ke sini. Sangkanya kakak sepupunya sudi menolong. Tapi dia silap. Dia telah mengejutkan harimau yang sedang tidur.

Tanpa pamitan, Dila terus keluar dari rumah itu. Apakah yang harus dia lakukan sekarang?

“Syifaa, kau okey?” Muncul Khaty dengan Ain. Dari tadi dia mencuri dengar perbualan kedua-duanya. Ikutkan hati, mahu saja diganyang si Dila. Sesuka hati datang dengan muka tak bersalah, lepas itu meminta pertolongan tanpa fikir luka di hati Syifaa.

“Okey aje. Jomlah sarapan. Kau masak apa hari ni?” ujar Syifaa seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Sandwic aje. Kau okey ke? Atau nak nasi goreng? Aku boleh masak. Nasi semalam ada lebih,” tawar Ain pula.

“Bolehlah tu. Kita makan apa yang ada. Jangan nak membazir. Tapi kalau kau nak goreng untuk bekal tengah hari, elok juga. Boleh jimat duit makan aku.” Syifaa sengih.

“Kedekut!” cemuh Khaty.

“Bukanlah. Berjimat cermat. Bukankah itu amalan mulia?” Syifaa kenyit mata dan berlalu ke dapur.

“Yalah Cik Syifaa oi. Kaulah menang.” Khaty angkat tangan mengaku kalah.

Ain senyum melihat gelagat kedua-duanya. Inilah sahabat susah senangnya. Syifaa atau Khaty, masing-masing memiliki hati yang mulia. Sesekali bergaduh, adatlah. Mana ada hubungan yang tenang dan mendatar. Tanpa pergaduhan terasa kosong, cumanya jangan biarkan perselisihan itu ditegakkan dengan ego. Rasional dengan akal. Kewajaran dengan hati.

Ketiga-tiga mereka tersandar kekenyangan. Daripada nasi goreng hendak dijadikan bekal, habis licin mereka makan. Lepas itu mereka melambakkan tawa.

“Kau orang tak buka kedai ke hari ni?” celah Ain. Dia masih bercuti. Kali ini dia memohon cuti 2 minggu. Sejak awal tahun dia sibuk dengan segala projek syarikat pelancongan tempat dia bekerja. Tidak kira dalam negara atau luar negara.

“Malaslah. Kita buka lewat sikitlah,” ujar Khaty. Dah kenyang begini, terasa mahu tidur saja.

Tiba-tiba telefon Khaty berdering nyaring. Dengan malas dia mencapai. Tertera nama setiausaha Syarikat Ismail Trading. Keningnya berkerut. Rasanya mereka tiada projek usaha sama. Projek terbaharu mereka untuk bantuan amal bersama remaja pun sudah tamat bulan lalu.

Syarikat itu menganjurkan program intensif kraf tangan untuk remaja yang berlindung di rumah asuhan secara percuma. Disebabkan mereka pernah membekal bunga untuk majlis di syarikat itu, Pengarah Urusan, Puan Zila mengupah mereka untuk datang ke program tersebut.

Waalaikumussalam.” Khaty mendengar dengan teliti setiap butir bicara yang disampaikan oleh pihak sana. Sesekali keningnya dikerutkan, berfikir.

“Okey, saya faham Cik Tia. Kalau boleh, saya nak penyelia projek tu datang ke kedai kami. Lebih senang berbincang. Mudah untuk kami tunjukkan sampel barangan kami. Berkenaan dengan tarikh tu pula, kami perlu semak jadual kami. Takut ada yang bertindan nanti,” ujar Khaty.

“Baiklah, Cik Khaty. Nanti saya maklumkan kepada Encik Qayyum,” putus Tia.

Deal. Apa-apa just call saya atau Syifaa ya,” pesan Khaty sebelum talian dimatikan.

“Kenapa?” soal Syifaa. Matanya tunak memandang Khaty.

“Cik Tia, setiausaha Syarikat Ismail nak confirmkan sama ada kita boleh tak attend program amal diaorang next month. Kali ini kita bukan berurusan dengan Puan Zila, tapi anak lelaki Encik Ismail. Kata Cik Tia, bos kecil tu dah tengok katalog dan proposal kerjasama kita dengan diaorang sebelum ni. Dia berpuas hati, cuma...”

“Cuma apa?” soal Syifaa tidak puas hati apabila Khaty sengaja melambatkan bicara.

“Relaks, Syifaa. Dia minta kita guna hiasan bunga lain.”

“Bunga lain? Bunga apa?” Berkerut dahi Syifaa. Selalunya Encik Ismail akan menempah bunga lili, ros dan teluki. Dan bunga itu sememangnya di kedai mereka. Harapnya bukanlah bunga yang susah untuk mereka perolehi. Tanpa sedar, dia mengeluh.

“Cik Tia tak beritahu pula bunga apa. Sebab itulah aku suruh Cik Tia beritahu bos kecil supaya turun padang. Datang kedai kita terus. Senang kita nak tunjuk bunga apa yang ada dan bunga jenis apa yang dia nak,” jelas Khaty.

Syifaa mengangguk. Setuju dengan apa yang dikatakan oleh Khaty. Bab berurusan dengan pelanggan memang kepakaran Khaty. Untuk hal itu, dia tidak akan pernah meragui kebolehan sahabatnya ini.

“Khaty, Syifaa, kau orang tak rasa ke kita patut kembangkan lagi perniagaan bunga kita?” ujar Ain.

“Maksud kau?” Serentak Khaty dan Syifaa menyoal.

“Apa kata kita jadi supplier bunga segar?”

“Aku tak faham,” celah Syifaa.

“Kau tahu kan sekarang ni rata-rata orang suka guna bunga segar untuk sebarang majlis. Contoh paling senang, majlis kahwin. Kita boleh tawarkan bunga di kedai kita untuk digunakan oleh mana-mana butik perkahwinan atau wedding planner,” jelas Ain.

Khaty mengangguk tanda faham.

“Bagus idea kau tu, tapi akan datanglah. Sekarang modal tak berapa nak ada. Kau pun tahu kan keadaan ekonomi negara kita sekarang. Harga bunga dan kos penghantaran pun dah naik. Untung kita tak seberapa pun,” luah Khaty.

“Kau rasa, bila ekonomi Malaysia akan pulih?”

Khaty dan Syifaa saling berpandangan.

“Untuk hidup dalam dunia perniagaan, kita tak boleh takut, Syifaa, Khaty. Kita perlu sentiasa fikir beberapa langkah ke depan untuk maju. Ya, memang betul harga bunga sekarang makin mahal. Kadang-kadang pulangan tak berbaloi dengan modal yang dikeluarkan. At least kita cuba dulu. Contoh yang aku berikan tadi hanya salah satu prospek yang aku nampak untuk memajukan perniagaan kedai bunga kita tu,” jelas Ain.

“Ada betul juga apa yang kau cakap tu Ain,” sokong Khaty.

“Aku pun sokong. Tapi aku tak nak berhutang dengan bank. Sakit kepala nanti.”

“Buat apa nak berhutang, kita kongsi modallah,” cadang Ain.

Khaty memandang Syifaa. Lama kedua-duanya diam sebelum angguk bersetuju.

“Alhamdulillah. Bab proposal kau orang jangan risau. Serahkan kepada aku. Lagi satu, aku ingat nak ubah hiasan luar kedai.”

“Kenapa pula?” Khaty beriak tidak puas hati. Dia yang menghias ruangan luar kedai itu.

“Dah lapuklah. Mana ada lagi orang letak pasu bunga kiri kanan macam tu. Sini, aku tunjuk kau satu gambar.” Laju Ain menolak skrin telefonnya. Setelah berjumpa apa yang dicari, dia menghulurkan gambar itu kepada Syifaa dan Khaty.

“Kau nak buat macam ni? Hei, kau sedar tak kedai kita tu rumah kedai. Mana boleh nak buat macam ni!” sangkal Khaty.

“Isy! Siapa kata tak boleh? Ya, kalau kita nak buat bunga menjalar naik tu, memanglah tak sesuai dengan keadaan kedai kita, tapi basikal dan para ni... aku rasa sesuai sangat. Apa kata kau, Syifaa?”

“Aku rasa pun bagus. Dah lama kita tak tukar dekorasi luar dan dalam kedai,” sokong Syifaa.

Ain tersenyum bangga cadangannya diterima oleh Syifaa. Tidak dia pedulikan muncung Khaty. Tahu sangat si teman terasa hati. Dah bertahun kut dekorasi itu. Untuk menarik pelanggan, mereka memerlukan sesuatu yang segar dan idea baharu.

No comments:

Post a Comment