DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 2


ADRA menangis lagi. Sejak tersedar dari lena yang dipaksa semalam, dia hanya tahu untuk merayu dan menangis. Bilik yang didiami ketika ini terlalu asing baginya. Di mana dia berada, dia sendiri tidak pasti. Beberapa kali dia cuba membuka pintu dan tingkap bilik itu bagi mencari jalan keluar, namun semuanya terkunci rapat.

‘Kenapa aku di sini? Kenapa aku dipaksa ke sini? Kenapa aku dikurung? Siapa lelaki itu?’ soal hatinya. Persoalan-persoalan inilah yang sentiasa berada di fikirannya. Tidak sangka, hal ini akan terjadi kepada dirinya. Atas sebab apa? Musuh? Siapa? Keluarganya bukan kaya-raya, bukan orang berada malah bukan sesiapa! Adra bingung.

Bunyi kunci di hadapan pintu bilik itu membuatkan Adra tersentak dan terdiam. Tombol pintu yang mula dipulas dari luar, mendebarkan hatinya. Dari atas katil, dia lari ke arah sisi katil, menyembunyikan tubuhnya. Kelihatan lelaki sasa muncul dan berdiri tegak di depan bilik. Semalam lelaki inilah yang memaksa dia masuk ke dalam kereta sebelum dia pengsan tidak sedarkan diri.

Seorang wanita yang agak berusia memasuki bilik dengan menatang dulang yang penuh dengan makanan. Melihat sahaja makanan yang terhidang, perut Adra terus sahaja mengeluarkan bunyi. Lapar! Sejak semalam tiada satu makanan yang masuk ke perut walaupun setitik air.

“Cik...” Wanita itu bersuara. Matanya melihat ke arah Adra yang bersembunyi di sisi katil.

“Cik, tuan suruh cik makan. Dari malam tadi cik sampai, cik tak makan apa-apa lagi kan?” Wanita itu bersuara lembut dan penuh prihatin. Gadis itu dilihat membatukan dirinya di balik katil itu. Selesai meletakkan dulang berisi makanan ke atas meja, dia mula melangkah keluar.

“Mak cik.” Adra menahan wanita itu daripada melangkah keluar. Dia keluar daripada tempat persembunyiannya. Matanya memandang sekilas ke arah lelaki sasa yang memandangnya penuh bengis sebelum menjatuhkan pandangan kepada wanita yang menghantar makanan itu.

“Saya dekat mana sekarang?” Adra menyoal dengan getar suara penuh keresahan. Wanita itu hanya tersenyum.

“Cik dah selamat, jangan risau.” Ringkas sahaja jawapan wanita itu.

“Selamat? Saya dekat mana sekarang ni? Kenapa saya dikurung dekat sini?” Persoalan daripada Adra membuatkan wajah wanita itu yang tadinya ceria berubah muram.

“Cik selamat. Itu saja yang boleh saya katakan.” Wanita itu terus melangkah keluar.

Adra cuba menahan namun dihalang oleh lelaki sasa itu. Pintu bilik yang didiami sejak semalam itu kembali ditutup dan dikunci dari luar. Adra terjelepok jatuh ke lantai. Dia kembali lemah. Selamat? Jawapan wanita itu begitu mengelirukan. Bagaimana dia mahu berasa selamat, jika sejak semalam dia dikurung di dalam bilik ini? Selamatkah bila dia dibawa ke sini dalam keadaan paksa?

Adra memandang makanan yang dihidangkan wanita tadi. Sekadar memandang. Walaupun perutnya berkeroncong, namun nafsu untuk makan seolah-olah sudah mati. Dalam keadaan lemah, dia cuba bangun dan melangkah. Waktu ini, hanya Allah yang menjadi pelindung bagi dirinya.

‘Ya, selamat! Allah itu ada, sememangnya aku selamat!’ bisik hatinya.

“Allah, andai ini ujian-Mu. Kuatkanlah aku.” Adra berdoa dalam hati. Dia mula menyelongkar almari yang berada di dalam bilik itu. Kosong, yang ada sehelai sejadah dan senaskhah al-Quran. Adra mengeluh perlahan. Baju kurung dan tudung yang dipakainya sejak semalam sudah agak berbau, tidak senang untuk solat dalam keadaan itu.

Pintu bilik dihampirinya, lalu diketuk sekuat hati.

“Nak apa?” Lelaki sasa itu menyoal Adra dengan riak bengis sebaik sahaja pintu dibuka.

“Boleh bagi saya sehelai tuala, sepasang baju dan telekung. Saya seorang Muslim dan saya perlu tunaikan tanggungjawab saya kepada Dia.” Adra bersuara sambil telunjuknya dituding ke atas. Lelaki sasa itu sekadar mengangguk tanda faham sebelum menutup kembali pintu.

“Semua yang kau nak ada di sini.” Lelaki sasa itu menyerahkan segala yang diminta si gadis. Adra mengambilnya dan tanpa sempat dia berterima kasih, lelaki sasa itu kembali menutup dan mengunci pintu bilik tersebut.

“Siapa yang kurung aku di sini?” Adra menggumam sendiri. Lelaki semalam, siapa dia? Masih teringat riak mukanya yang sinis dan angkuh. Dia diselubungi resah dan ketakutan.

“Aku ada Allah.” Adra bersuara perlahan bagi mengusir rasa takut yang hadir apabila dia kembali memikirkan yang dia sekarang diculik dan dikurung entah di mana.

Semua pakaian dan kelengkapan solat yang diserahkan lelaki tadi, diletakkan di atas katil. Tudungnya dibuka. Adra mahu membersihkan diri dan cepat-cepat bersujud kepada Yang Maha Esa. Ketika ini hanya Allah yang ada untuk dia, hanya Allah. Adra mengukir senyum di bibirnya supaya hati akan mula mengusir gundah dan gelisah yang bertamu sejak semalam. Rasa itu memenatkan!

Dalam senyap yang melenakan tidurnya, telinga Adra mengesan desah nafas yang kuat di cuping telinganya. Desah itu kian kuat dan dekat. Terasa hangat hembus nafas di pangkal lehernya.

Adra yang masih terpejam matanya, hanya menolak sesuatu yang melata di tubuh. Namun tidak lama kemudian, dia tersentak bagai direnjat elektrik apabila terasa ada beban yang menghempap tubuhnya.

Matanya terbuka luas, dalam kelam terlihat oleh pandangan matanya satu lembaga yang besar di atas badannya. Tangannya cuba untuk meronta, namun kuat dipegang oleh lembaga tersebut. Bibirnya yang cuba menjerit meminta pertolongan ditekup rapat dengan bibir rakus lembaga itu. Hanya air mata yang mengalir laju bagai empangan yang pecah.

“Allahuakbar! Lepaskan saya... tolong lepaskan saya!” Adra meraung selepas beberapa minit bergelut dengan lembaga yang langsung tidak mampu dilihat dengan jelas. Lembaga itu hanya ketawa penuh sinis dengan rayuan Adra. Sekali lagi Adra ditindih. Terasa perit pangkal lehernya digigit rakus lembaga yang dirasuk nafsu serakah.

“Demi Allah... saya merayu... tolong lepaskan saya.” Adra merayu lagi. Tangisannya kian menjadi-jadi. Fikirannya tidak mampu berfikir apa-apa lagi, yang ada cuma ketakutan.

“Allah! Allah! Allah!” Adra melaung sekuatnya setelah rayuannya tidak diendahkan oleh lembaga itu. Adra tidak mampu untuk meronta dan melawan lagi. Hanya bibir dan hatinya yang kuat dan yakin kepada perlindungan Allah. Allah ada untuk dia, hatinya sangat yakin.

Arghhhh!” Lembaga itu merengus kasar lalu menampar kuat pipi Adra sehingga gadis itu pengsan tidak sedarkan diri. Lembaga itu kemudian turun dari katil dan terus melangkah keluar dengan penuh sebal.

 

“ALMOST DID the most stupid thing in my life! Daffa meraup wajahnya dengan telefon yang dilekap di telinga.

“Kau memang... kan aku dah pesan, jangan ikut amarah kau. Mujur tak jadi apa-apa kan?” Suara di hujung talian itu mentertawakannya.

“Aku geram. Aku marah, sangat marah! Kalau ikut hati, habis dah dia aku kerjakan!” marah Daffa.

Chill man! Chill! Aku rasa kau bukan ikut marah kau, tapi kau ikut nafsu serakah kau tu!” Nabil menempelak lelaki itu.

Daffa merengus kasar. Bengang.

“Kau Nabil, jangan tambah sebal aku!” Daffa memberi amaran.

Nabil ketawa kuat.

“Relakslah, bro. Ingat Allah, istighfar.” Nabil membidas sinis.

Daffa merengus marah. Rambutnya dicengkam kuat,  cuba membuang rasa marah yang membelenggu dirinya.

“Sebab dia, papa mati tahu tak. Sebab dia juga mama dah macam orang hilang akal sekarang. Semua sebab perempuan bernama Adra tu!” Amarahnya terhadap Adra tinggi melangit, bagai gunung berapi yang sudah berasap tebal. Hanya tunggu masa memuntahkan semua lavanya.

“Kau yakin dia memang bersalah?” Nabil kembali menyoal.

Daffa menarik nafas dalam-dalam.

“Dia ada masa tu, kau pun nampak kan?”

Bro, as I have said before, Adra yang ada dengan kau sekarang ni, bukan perempuan yang ada pada majlis akad nikah tu.” Nabil bersuara memberikan penjelasannya.

“Kau pun tak sure kan?” Daffa menyoal lagi.

“Ya dan kau pun tak kenal Adra yang mana satu. Betul?” Nabil kembali membidas.

“Ya memang aku tak kenal. Tapi aku ada gambar dia, gambar yang bapak dia bagi dekat papa. Adra tu ada kat rumah aku sekarang!” jawab Daffa dengan gigi yang diketap. Sahabat baiknya itu tidak menyebelahinya.

“Okey. Nasihat aku, kau jangan buat benda bodoh. Dapatkan penjelasan Adra dan kemudian baru buat keputusan akhir kau. Aku akan cuba bantu kau.” Nabil bersuara lebih lembut, tidak mahu mengeruhkan keadaan. Tahu benar dia dengan sikap baran Daffa. Dalam keadaan marah, Daffa boleh lakukan apa-apa sahaja perkara bodoh.

“Aku tengok muka dia pun aku dah menyampah, aku rasa marah.” Daffa mengeluh kuat.

“Sabar bro, semua masalah takkan selesai kalau kau ikut emosi. Ikut aje apa yang aku suruh, dapatkan penjelasan daripada dia dulu.” Nabil menasihati Daffa sekali lagi.

“Okey aku dengar cakap kau. Esok kau datang sinilah, jadi polis pencen kejap.”

Nabil tersenyum sendiri dengan jawapan Daffa.

Anything for you, bro,” jawab Nabil sebelum mereka mematikan talian.

Daffa mengeluh perlahan. Dari bawah rumah, dia memandang bilik yang gelap itu. Mujur sahaja imannya yang sedikit itu menahannya daripada melakukan perkara bodoh. Mujur sahaja laungan takbir itu mengusir pergi nafsunya yang tenggelam dengan bisikan syaitan. Mujur, Allah masih melindungi gadis itu daripada nafsu buasnya.

Daffa meraup wajahnya buat kesekian kali, lalu beristighfar perlahan.

 

No comments:

Post a Comment