DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 29 September 2022

Secret Wife Tuan Furqan - Bab 2


Sebulan yang lalu,

Boat Noodle, AEON Johor...

SAAT perkenalan kali pertama dan sesi taaruf Alif Furqan dengan Wilda Safiyyah...

Furqan mengetuk-ngetuk perlahan permukaan meja makan yang didudukinya.

‘Mana dia ni? Kata dah sampai.’

Buat kesekian kalinya jam tangan jenama Police menjadi tatapannya. Sengaja Furqan datang awal. Dia mengeluarkan resume yang diserahkan kepadanya. Dilihat satu per satu biodata wanita yang akan ditemuinya sekejap lagi. Gaya seperti nak minta kerja sahaja. Resume bagai.

“Assalamualaikum.” Perlahan suara gemeresik seorang wanita sopan menegur Furqan. Itulah, ralit lagi menunduk membaca resume anak orang.

Waalaikumussalam. Cik nak jumpa siapa?” Lantas persoalan utama dilontarkan. Kepalanya ditoleh kiri dan kanan, melihat manusia-manusia di sekitarnya. Masing-masing membuat hal sendiri. Furqan kurang berkenan dengan pemakaian wanita yang menegurnya itu.

“Itu resume saya, kan?”

Eh? Furqan melihat semula foto yang tertampal di resume itu. Tepat dan benar! Foto wanita berpurdah.

Sekejap! Wanita di hadapannya ini juga berpurdah. ‘Orang yang sama ke ni? Biar betul! Apa papa ni! Nak kahwinkan dia dengan wanita yang hanya menampakkan dua biji matanya sahaja ke?’

“Boleh saya duduk?” Wilda meminta izin. Dia perasan riak wajah Furqan yang kurang senang dengan gaya pemakaiannya.

Furqan hanya mengangguk seperti burung belatuk.

“You nak minum apa? Eh, kejap! You pakai macam ni tak susah ke nak minum air?” Mentang-mentang Wilda berpurdah, gaya Furqan itu persis orang pelik sahaja. Hilang terus budi bahasa ‘cik’ yang tadi.

“Tak ada masalah pun, Alif. Orderkan saya jus jambu batu, boleh? Panas dekat luar tadi. Maaf, tunggu lama sebab saya parkir di luar.” Wilda masih melayan Furqan sesopan yang boleh walau dalam hatinya geram juga dengan sikap skeptikal lelaki itu.

Pelayan datang mengambil pesanan mereka. Masing-masing tiada rasa mahu makan bersemuka bersama.

So, shall we start? Hmm nama you Wilda Safiyyah Binti Datuk Salaman. Okey, anak Datuk. Anak sulung daripada tiga beradik. You seorang sahaja yang perempuan. Lain lelaki. Umur you 28 tahun. Ada master daripada Universiti Al-Azhar, Mesir. Not bad! Nak jadi isteri I mesti sama taraf dengan I. Master apa ni? Pengajian Islam?”

‘Fuh! Ayat pedas lagi kaw eh! Itu perli ke kagum? Sabar, Wilda. Kau kena terima baik buruk diri bakal suami kau ni.’

Masters in Accounting. Saya ada sijil accreditation of accounting juga daripada Cambridge. Kan ada tulis situ. Alif baharu baca ke resume saya?”

“Ya sebab I terlampau sibuk. Jadi, hobi you menanam dan mewujudkan rumah dalam taman? What kind of hobi ni? Kalau reading I boleh faham lagi. Yalah, orang-orang yang kurang aktif macam you...” Selamba sahaja ayat Furqan itu. Tiada kalis kata.

“Macam saya tu macam mana? Saya berpurdah tak semestinya saya ni kena berjubah 24 jam, Alif. Kan saya ada tulis achievement dalam bidang kayaking and canoeing. Peringkat antarabangsa.”

Ambil sedas! Ingat Wilda Safiyyah ini lembik ke? Tolong sedikit ya!

Really? Sekejap, I baca. Tadi tak sampai lagi bahagian tu.” Terpegun sekejap Furqan. Matanya melilau-lilau mencari bahagian pencapaian yang dimaksudkan. Betullah, gadis itu menyertai sukan tersebut sehingga peringkat antarabangsa.

“Dan kalau rasa saya tipu, nanti lepas kahwin saya tunjukkan sijil-sijil yang saya dapat tu ya. Nak bawa sekarang macam betul pula gaya orang nak temu duga kerja. Sedangkan kita ni sedang bertaaruf untuk pernikahan.”

Ambil lagi sedas! Berbisa juga ayat Wilda Safiyyah ni.

Pelayan menghantar pesanan mereka. Furqan sengaja menunggu Wilda menyedut minumannya. Serius dia tidak pernah nampak lagi orang berpurdah minum atau makan di depannya dengan kekal purdah pada wajah. Selamba sahaja Wilda menyedut straw jus jambu batunya. Nyaman menuruni rengkungnya. Alhamdulillah...

“Jangan tengok saya lama-lama, Alif. Kita belum ada apa-apa ikatan lagi. Awak masih ajnabi saya.” Terus Wilda mengingatkan Furqan untuk menjaga tingkahnya.

“Tengok pun salah. Nanti bila you dah jadi milik I, tak payah nak berpurdah-purdah dengan I. Tudung pun tak payah pakai.” Wilda terdiam. Furqan pandai mengunci percakapannya. Kelu terus lidah Wilda. Berdebar hebat jantungnya.

“Sejak bila you mengenakan purdah? Tadi tu sebab I nak tengok you yang berpurdah ni macam mana kalau makan atau minum di restoran. Rupa-rupanya selak sedikit sahaja kain purdah tu. Jangan risau. Aurat you masih terjaga. I tak tengok lebih-lebih pun. Lepas kita kahwin, every part of you I nak perhatikan pun tiada masalah, kan?”

Erk! Seloroh Furqan itu menyeramkan. Dia menyedut lagi air sejuknya. Lega.

“Back to my question, please?

“Oh, pasal purdah ni ya? Saya mula menggayakan purdah masuk sahaja tingkatan empat. Sekolah asrama penuh aliran agama semua wajib belajar pakai purdah. Saya selesa sampailah sekarang.”

“Dan kalau I minta you buka purdah semasa teman I pergi mana-mana majlis keraian macam mana? You berdosa tak?”

Jeda.

“Kalau seorang suami suruh tanggalkan, saya akan tanggalkan. Wajib saya mendengar arahan seorang suami. Tapi kalau sengaja nak tanggal tak bolehlah. Ini pakaian isteri para sahabat zaman nabi kita. Saya mengejar pahala.” Jujur Wilda menerangkan kemahuannya. Dia tidak mahu ada perselisihan faham dengan Furqan nanti setelah mereka mendirikan rumah tangga.

“Alif tak selesa ke kalau berjalan dengan saya yang berpurdah?”

“Bukan tak selesa, tapi I tak biasa. Kawan-kawan I tak ada yang berpurdah. I bukan skeptis dengan orang yang berpurdah tau. You jangan salah tafsir pula. I cuma curious. Ada sesuatu pada you yang I perlu tahu sebab tu I tanya you terus terang,” jujur Furqan menjelaskan.

“Tak apa, saya faham.”

Senyap. Selang tiga minit...

“You dah tahu pasal I, kan? Ada nak tanya apa-apa selain daripada itu?” Furqan pula bertanya kepada Wilda mengenai dirinya.

“Tak ada. Nanti lepas kahwin kita boleh kenal-kenal lagi.” Senyuman di sebalik purdah putih itu dilemparkan Wilda.

“Eh, I baru perasanlah! Orang yang berpurdah ni dia ada dua senyuman rupanya. Kalau mulut you tersenyum, mata you pun ikut senyum sama.” Tergelak seketika Furqan dengan kata-katanya sendiri.

“Hah, magis, kan?” Wilda juga tergelak sama. Perlahan sahaja suaranya.

“You tahu tak yang I lagi tua daripada you? Kenapa tak panggil I ‘abang’?”

Merah terus pipi Wilda di balik purdahnya itu.

“Lepas kahwin nanti saya panggil. Janji. Sekarang tak boleh. Kena jaga ikhtilat. Adab-adab taaruf.” Sopan sahaja ayat Wilda.

First time tau, I nak kenal seseorang melalui resume. Selalu dengan pekerja sahaja I buat macam ni. Tak sangka nak cari isteri pun melalui resume. I ingatkan papa I kolot. Tapi menarik juga sebenarnya.” Furqan merapatkan sandarannya pada kerusi yang didudukinya. Tangan disilangkan ke dada sadonya. Mata Wilda cuba menjadi sambarannya. Namun, wanita muda itu cepat mengalihkan pandangan ke tempat lain.

“Ya sesi taaruf itu indah. Islam itu sendiri menyenangkan. Sebenarnya, ada satu rahsia yang saya simpan dari tadi... memandangkan Alif sangat curious dengan pemakaian purdah saya ni.”

“Apa dia tu?” Terkedepan semula tubuh Furqan. Ingin tahu rahsia itu lebih lanjut.

“Dalam sesi taaruf ni Alif boleh minta untuk saya tanggalkan purdah. Untuk melihat wajah saya seketika. Sebab kita pun akan dinikahkan bersama insya-Allah. Tiada masalah untuk saya buka,” terang Wilda.

“Eh, jangan macam tu! You cukup serius menjaga adab you. Tak apa. Kan I cakap, lepas kahwin I nak tengok segenap inci tubuh you pun dah halal. Allah tak marah. Yang penting you jaga aurat you untuk tatapan I sahaja nanti.” Furqan cepat-cepat menolak pelawaan yang cukup besar maknanya itu.

Wilda menarik nafas lega.

“Selain I, ada yang pernah nampak ke muka you? I mean yang masuk meminang you?” Wilda cepat-cepat menggeleng.

“I yang pertama ke ni?” tanya Furqan sedikit teruja.

“Ya. Tahniah.” Ringkas jawapan Wilda sambil tersenyum manis. Furqan terus tergelak mendengarkan balasan Wilda itu. Pandai beli jiwalah bakal isterinya ini. Tidak sia-sia papanya carikan seseorang untuknya. Buat masa ini, 3/5 dahulu skala serasi yang mampu diberikan kepada gadis bernama Wilda Safiyyah itu. Itu pun sebab mereka belum memandang wajah masing-masing dan mengenali hati budi dengan lebih rapat.

Kesimpulannya, Furqan dapat merasakan dirinya dengan Wilda boleh serasi untuk hidup berdua. Hmm... buku bertemu dengan ruas bak kata pepatah Melayu. Dia ada egonya sendiri dan seorang Wilda Safiyyah sudah mampu meruntuhkan 1/10 tahap egonya. Baguslah.

No comments:

Post a Comment