DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 5


DAFFA berkira-kira untuk masuk ke bilik yang menempatkan Adra selama 3 minggu ini. Entah kenapa dia teragak-agak untuk masuk dan berdepan dengan Adra. Dua tiga hari ini hilang rasa marah dan bencinya kepada si gadis. Hatinya menjadi sejuk setelah mendengar suara halus gadis itu mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran setiap malam. Mungkin atas sebab itu, dia teragak-agak untuk terus masuk.

‘Kau tak boleh kalah, Daffa! Ingat mama kau yang macam orang gila tu. Ingat arwah papa kau yang mati sebab perempuan tu!’ Bisikan itu masih terngiang-ngiang di telinga.

Daffa terus sahaja membuka pintu bilik dan melangkah masuk ke bilik Adra.

Adra yang baru sahaja selesai solat isyak, terkejut dengan kehadiran Daffa yang tiba-tiba itu. ‘Tak reti bagi salam ke? Ketuk pintu ke?’ Soalan itu hanya diajukan dalam hati. Mahu mati dicekik kalau dia betul-betul menyoal begitu.

Daffa menghampiri Adra yang berdiri dengan telekung membaluti tubuh. Dagu gadis ini dicengkam kuat lalu ditolak ke kiri dan ke kanan. Matanya membelek seluruh wajah Adra. Mencari parut yang masih ada.

“Apa awak ni?” Adra menolak tangan lelaki yang mencengkam kuat dagunya. Mujur sahaja dia memakai telekung, jadi dagunya berlapik kain.

“Aku nak tengok sama ada masih ada parut yang tak hilang.” Daffa melepas kasar dagu si gadis.

Adra memegang dagunya yang terasa sengal dek cengkaman Daffa yang kuat.

“Kalau ada pun, kenapa awak nak takut? Saya janji saya tak akan cakap apa-apa dekat keluarga saya tentang apa sahaja yang awak dah buat dekat saya.” Adra bersuara tegas.

Daffa tersenyum sinis.

“Apa yang aku buat dekat kau?” Sengaja dia menyakitkan hati gadis ini.

“Baguslah kalau awak dah lupa sebab saya sendiri pun tak nak ingat walau sesaat apa yang berlaku,” bidas Adra.

Serta-merta senyuman sinis di bibir Daffa termati. Hatinya tersiat.

“Aku takkan lupa walau sesaat pun apa yang kau dan bapak kau dah buat dekat keluarga aku. Selagi aku tak dapat apa yang aku mahukan, selagi itu kau takkan lepas daripada genggaman aku. Ingat tu!” Perlahan sahaja suara Daffa namun tajam menikam ke dalam hati.

Adra menarik nafas sedalamnya. Tangan digenggam erat menahan marah.

“Saya dah cakap banyak kali, saya tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan awak. Bukan saya yangkahwin dengan awak. Pengantin tu bukan saya. Saya tak tahu apa-apa. Takkanlah saya boleh tiba-tiba hilang ingatan pula.”  Adra membela diri.

Daffa memeluk tubuh. Bibirnya terukir dengan senyuman penuh makna yang menakutkan Adra.

“Dengan RM200 000, sesiapa sahaja boleh hilang ingatan. Kau pun sama!”

Adra memejam matanya rapat-rapat mencari kekuatan. Lelaki ini terus sahaja mencabar kesabarannya. Terasa maruahnya seakan diinjak-injak.

“Esok semua akan terbukti yang saya tak bersalah. Saya bukan pengantin yang ayah saya kahwinkan. Saya bukan pengantin yang larikan RM200 000 duit awak tu, bukan saya!” Adra membalas, membela dirinya.

“Kalau pun bukan kau, tetap keluarga kau dan diri kau kena tanggung semua balasan yang bapak kau buat. Selagi aku tak rasa puas, selagi itu kau takkan aku lepas!” Daffa menutup pintu dengan kuat.

Dentuman pintu itu membuatkan Adra tersentak sehingga terangkat kedua-dua bahunya. Air matanya mengalir laju sebaik sahaja matanya dipejam. Perlahan-lahan dirinya jatuh terduduk ke lantai.

‘Ya Allah, besar sungguh ujian-Mu kali ini,’ rintihnya dalam hati.

 

ADRA MENURUNI tangga dengan berhati-hati. Sesudah selesai solat subuh, Adra telah bersiap untuk pulang ke pangkuan keluarganya. Dia memakai baju yang sama dipakai waktu dia diculik tempoh hari.

Are you ready Mr. Daffa?” Nabil bertanya sebaik Daffa menghampirinya.

Always ready. Jom!” Mereka masuk ke dalam perut kereta yang dipandu oleh Nabil.

Adra diam seribu bahasa. Hatinya resah. Bagaimana penerimaan keluarganya dengan berita ini? Apa reaksi emak? Semua persoalan itu bermain di benaknya sehingga membuatkan dia kadangkala berada dalam dunianya sendiri.

“Cik Adra tak gembira ke nak jumpa keluarga Cik Adra?” Soalan Nabil memecahkan lamunan Adra. Wajah gadis itu dipandangnya melalui cermin pandang belakang.

Adra tersenyum tawar.

“Bukan tak gembira. Cuma terfikirkan reaksi emak, reaksi adik-beradik saya bila dapat tahu yang saya dah kahwin.” Adra menjawab penuh berhati-hati.

“Reaksi terkejut famili kau yang aku dah jumpa korang semua?” Daffa bersuara sinis. Nabil menggeleng perlahan, tidak suka apabila Daffa terus bersuara tanpa berfikir panjang.

“Entah macam mana saya nak cakap dekat awak yang saya tak bersalah.” Adra membentak perlahan. Sakit hatinya mendengar kata-kata lelaki ini yang masih tidak mempercayainya.

“Tak payah cakap apa-apa. Selagi tiada bukti yang boleh kau bagi kepada aku menyatakan kau tak bersalah, selagi itulah di mata aku, kau dan famili kau bersalah. Faham?” Daffa bersuara tegas dan sinis.

Nabil merengus perlahan. Kepalanya digelengkan. Tidak faham dengan perangai sahabat baiknya ini.

“Apa-apa pun saya minta maaf, kalau benar semua ni perbuatan ayah saya. Saya betul-betul minta maaf.” Adra bersuara perlahan namun jelas menampar gegendang telinga Daffa. Setelah itu, ketiga-tiga mereka diam melayani perasaan sendiri, sambil ditemani muzik dari radio kereta yang dipasang sedari tadi.

Adra melangkah keluar dari perut kereta lalu langkah diatur dengan lafaz bismillah. Hati yang patutnya tenang dan lapang, kini berdebar. Jantungnya berdegup kencang. Jari-jemarinya sejuk membeku.

‘Kenapa aku berdebar semacam aje?’ desis hati Adra.

 

No comments:

Post a Comment