DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 3


CAHAYA yang menerobos masuk ke bilik melalui daun tingkap itu mengganggu tidur Adra. Beberapa kali matanya digosok dengan jari-jemari halusnya, begitu payah untuk dia membuka mata. Kenapa terasa penat dan begitu lemah? Dia masih mamai dalam rasa mengantuk yang menyelubungi diri. Jari yang menyentuh di hujung bibir, membuatkan dia terus sahaja membuka mata. Perit!

Adra bangun mengejut dari perbaringan. Namun kepala yang terasa berat bagai ada batu besar yang menghempap membuatkan dia mengetap gigi menahan sakit. Laju sahaja tangannya memegang kepala. Adra gagahkan dirinya untuk bangun dan turun daripada katil. Cermin meja solek dihampiri, wajahnya dibelek.

Adra terpempan apabila melihat bibirnya bengkak, lehernya penuh kesan lebam. Koyakkan di hujung kolar t-shirt yang dipakainya itu menerawangkan ingatannya pada kejadian malam tadi yang benar-benar dia terlupa. Laju sahaja dia memeriksa wajah dan tubuhnya.

Terduduk Adra di kerusi meja solek itu. Fikirannya terus menerawang pada kejadian malam tadi. Apa yang berlaku? Adakah dia sudah.... Adra menggeleng laju, tidak mahu berfikiran buruk. Dia tidak pasti, dia tidak tahu apa yang berlaku. Air matanya bertakung di tubir mata. Beberapa kali kepalanya digelengkan, mengusir bisikan dan fikiran buruk yang hadir. Kolar bajunya digenggam erat.

“Jangan risau. Aku acah aje malam tadi.” Suara yang muncul dari balik pintu yang baru dibuka itu mengejutkan Adra. Laju sahaja tuala yang tersidai di kerusi dicapai dan menutup rambutnya yang terdedah. Adra berundur merapat diri ke dinding.

“Apa awak cuba buat dekat saya? Kenapa saya dekat sini? Apa awak nak hah?” Laju sahaja Adra menyoal lelaki yang berada di hadapannya.

Daffa ketawa sinis. Punggung dilabuhkan di birai katil, bertentangan dengan gadis ini.

“Kenapa kau tanya aku? Bukan ke kau dengan bapak kau yang mulakan semua ni?” Daffa menyoal dengan wajah bengis.

Adra tersentak. Bapak?

“Apa maksud awak?” tanya Adra. Dia tidak faham apa yang dituturkan oleh lelaki ini.

Daffa merengus kasar, rasa terbakar hatinya dengan sikap tidak bersalah gadis ini. Dia kemudian berdiri dan melangkah menghampiri Adra yang sudah menyandar belakang badannya di dinding.

“Kau yang ada jawapannya, kenapa kau nak soal aku lagi, hah perempuan?” Rambut Adra di balik tuala yang dipakai dicekak kuat oleh Daffa.

Adra menjerit. Dia cuba meleraikan cengkaman itu namun gagal.

“Demi Allah, saya tak tahu apa-apa. Lepaskan saya!” Adra meronta minta dilepaskan.

“Jangan berlagak baik depan aku. Kau kebas duit papa aku, kau tipu keluarga aku dan sekarang kau nak jadi baik, nak jadi alim!” Daffa bersuara lantang. Gadis ini masih terkial-kial dalam cengkamannya.

Daffa menolak kuat Adra sehingga si gadis terjelepok jatuh ke lantai. Kepala yang mengenai bucu kerusi membuatkan dahi Adra terluka. Dia menekup dahinya dengan tangan. Bibirnya diketap kuat cuba menahan sakit yang tidak tertahan.

“Demi Allah, saya tak tahu apa yang awak cakapkan. Saya tak tahu.” Suara Adra dalam lemah menahan sakit yang kian perit terasa. Kepalanya yang sedia berat kini makin berdenyut-denyut.

“Hesy, kau jangan buat-buat tak bersalah! Kau dengan bapak kau, tipu papa aku sampai dia mati. Kau lari dengan duit yang papa aku bagi dekat kau sampai mama aku jatuh sakit sebab tertipu dengan lenggok alim kau tu!” Daffa terus-menerus melepaskan marahnya kepada Adra. Tiada langsung rasa kasihan kepada gadis yang sedang lemah menahan sakit.

“Demi Allah, saya dah lama tak jumpa ayah saya. Percayalah saya tak tahu apa-apa.” Suara Adra kian perlahan. Matanya berpinar-pinar. Daffa di hadapannya kelihatan bergerak atas bawah sebelum pandangan menjadi kelam dan gelap-gelita.

“Kau!” Baru sahaja mahu memekik marahnya kepada gadis ini, Daffa tiba-tiba terdiam saat melihat Adra sudah terkulai layu. Daffa melutut di sisi Adra, tubuh gadis ini digerakkan beberapa kali.

“Hoi!” jerit Daffa kuat. Namun masih tiada reaksi. Gadis itu diam, kaku tidak bergerak sedikit pun. Daffa meneguk air liurnya.

‘Mati?’ soal hatinya sendiri. Jari dibawa ke bawah hidung gadis ini. Masih terasa haba yang terhembus keluar dari saluran pernafasan Adra. Daffa menarik nafas lega. Tubuh si gadis diangkat dan diletakkan di atas katil.

Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar dan kemudian mula mendail.

“Doktor sila datang cepat. I lost my control again and I almost killed her.” Daffa bersuara tanpa rasa bersalah.

You what???” Nabil di hujung talian terjerit kuat.

“Tak sengaja.”

“Kau dah gila! Pergi daftar hospital Tanjung Rambutan sekarang.” Nabil bergurau dalam tegas.

Nonsense! Cepatlah, karang mati pulak budak tu.”

Nabil mengeluh kuat. Penat dengan baran kawannya yang kian menjadi-jadi. Belum sempat untuk dia membalas kata, Daffa lantas mematikan talian. Mahu atau tidak, nyawa gadis itu lebih penting sekarang. Nabil mula mengubah haluan keretanya.

‘Dia tidak bersalah!’ desis hatinya.

 

“APA KAU buat ni Daff?” Nabil menyoal tegas.

“Aku tak sengaja, berapa kali aku nak cakap?” Daffa  membela diri.

“Aku dah kata sabar. So, sabar ajelah! Kalau mati budak ni macam mana?” Nabil kian hilang sabar dengan sikap lelaki ini yang terlalu mengikut emosi.

“Kalau dia mati, aku jadi duda. Simple.” Daffa masih sempat bergurau.

Stetoskop yang dipegang oleh Nabil diketukkan ke kepala Daffa. Tidak sempat mengelak, Daffa mengaduh sakit.

“Kalau dia mati, kau masuk dalam. Sampai matilah kau membujang!” bidas Nabil.

“Aku ke kau yang bujang? Ingat bro, aku dah kahwin okey.” Daffa menjongket keningnya dan bibirnya tersenyum bongkak.

Nabil mencebik geram.

She is now my patient. Kau jangan memandai nak buat benda-benda bodoh macam ni lagi. Kalau tak, aku buat repot polis. Tak teragak-agak walaupun kau ni kawan baik aku, Daff.” Nabil bersuara tegas.

Daffa mencebik, tangannya memeluk tubuh sendiri.

“Saya tak salah...”

Suara Adra yang mencelah tiba-tiba mengejutkan kedua-dua sahabat itu. Mereka berdua berpaling memandang ke arah Adra yang cuba untuk bangun daripada perbaringan.

Nabil lebih bertindak pantas menghampiri si gadis namun tingkahnya yang mahu membantu Adra duduk dengan lebih selesa, dihalang oleh dehaman Daffa yang memerhati dari hujung katil.

“Saya tak bersalah. Demi Allah.” Suara Adra begitu lemah.

“Tak apa, awak rehat dulu. Nanti awak jelaskan.” Nabil selaku doktor yang merawat Adra, cuba menasihati.

No! Biar dia jelaskan dari A sampai Z. Aku takut aku terbunuh pula dia nanti!” Daffa bersuara kasar.

Nabil mendengus perlahan menahan sabar. Adra menelan air liur, amat payah dan terasa perit.

“Biarkan dia dulu Daff.” Nabil cuba mengawal situasi dan baran Daffa.

Adra membetulkan duduknya di atas katil. Dahi yang terasa perit, disentuhnya perlahan.

“Dia isteri aku, jadi aku ada hak untuk tentukan!” Daffa yang dikuasai marah mula menggunakan kuasa veto.

Nabil mengepal tangannya dengan rasa geram. Adra pula terpempan dalam sakit yang ditahan-tahannya.

“Apa maksud awak? Isteri? Saya isteri....” Adra tidak dapat meneruskan kata.

“Ya. Kau isteri aku. Lupa? Dah dapat duit terus lupa? 30 September 2017, kau dah sah jadi isteri aku!” Daffa berkata dengan jelas dan kuat.

Adra ternganga, dia cuba mengingati tarikh itu. Setahunya waktu itu dia masih belajar dan yang paling diatahu dan sedar, dia tidak pernah berkahwin atau dikahwinkan.

“Saya tak tahu apa-apa, sumpah!” Adra menjawab dengan tangan kanan diangkatnya tanda bersumpah.

“Aku ada semua dokumen nikah, ni!” Daffa mengambil dokumen dari fail yang sedari tadi dikeleknya lalu dicampak tepat mengenai muka gadis ini sebelum jatuh ke atas selimut yang menutupi bahagian kaki.

Adra mengambil semua dokumen yang diberikan lelaki ini.

“Pada 30 September 2017, hari Sabtu, Cik Adra dan Daffa dinikahkan di masjid dekat kampung Cik Adra. Wali Cik Adra sendiri yang nikahkan. Selepas selesai majlis nikah di masjid, cik sekeluarga bersiap untuk pulang ke rumah sebab majlis pembatalan air sembahyang akan diadakan di rumah. Malangnya, sebaik saja kami rombongan pengantin lelaki tiba di rumah keluarga Cik Adra, seorang pun tak ada.” Nabil memulai peranannya sebagai ‘polis pencen’. Dia menjelaskan satu per satu kepada Adra, sambil gadis ini membelek semua dokumen yang ada.

Kejutan demi kejutan. Sudah dikurung tanpa tahu apa salahnya. Ditampar dan dicampak tanpa belas. Kini dia dikejutkan dengan dokumen nikahnya sendiri! Kalau mengikut kiraan, dia sudah hampir 6 bulan menjadi isteri kepada lelaki yang tiada belas itu tanpa pengetahuannya sendiri.

“Saya tak tahu apa-apa, sungguh!” Adra bersuara setelah habis dokumen dibelek. Kepala digeleng laju.

Daffa tersenyum sinis, tidak mempercayai kata-kata Adra. Nabil hanya mendiamkan diri. Daffa yang patut membetulkan keadaan dan situasi yang berlaku antara dia dan Adra. Nabil sekadar membantu apa yang patut sahaja.

“Tapi kau ada masa tu, macam mana kau tak tahu?” Daffa menyoal kasar. Matanya menyala penuh kemarahan.

“Itu bukan saya. Saya tak tahu apa-apa! Kalau awak nak saya sumpah depan al-Quran pun saya sanggup. Saya betul-betul tak tahu apa-apa, demi Allah!” Adra berkata penuh yakin untuk menegakkan kebenaran.

Daffa meraup wajahnya beberapa kali manakala Nabil sendiri terdiam, tidak mampu mahu berkata apa-apa.

“Tapi Cik Adra, masa hari nikah tu, Cik Adra ada di situ.” Nabil bersuara lagi. Mereka sendiri buntu.

Adra beristighfar sambil kepala masih digelengkan bagi menidakkan semua itu.

“Memang saya ada di situ? Muka saya?” Giliran Adra menyoal dua orang sahabat baik ini.

Kedua-dua lelaki ini saling berpandangan. Minda mereka menerawang mengingati hari kejadian.

She’s wearing...” Nabil tidak meneruskan kata, dia sekadar membuat gaya menutup muka. Daffa hanya mengangguk perlahan.

“Saya pakai niqab?” tebak Adra.

“Papa aku bersungguh mahu bermenantukan kau. Kononnya kau ni perempuan baik-baik. Tapi dia salah, kau ni manusia bertopengkan syaitan!” pekik Daffa. Jari telunjuknya menuding tajam ke arah Adra. Gadis ini dilihat terkaku, takut dan gerun berdepan dengan baran Daffa.

“Saya tak tahu nak jelaskan macam mana lagi dengan awak berdua. Percayalah, saya tak tahu apa-apa dan bukan saya yang berada masa nikah tu.” Adra merayu untuk mereka mempercayainya.

“Tapi kad pengenalan, gambar ni memang kau, kan? Semua butir-butir dalam dokumen ni betul kan?” Daffa menyoal lagi.

“Ya, semua betul dan memang kad pengenalan saya. Tapi saya tak tahu apa-apa pasal pernikahan tu.” Adra menafikan lagi.

Nabil menggigit bibirnya. Dia turut sama memikirkan penyelesaian dan kebenaran di balik kata-kata gadis ini.

“Bapak kau yang nikahkan kau, apa kau nak nafikan lagi?” Daffa merengus kasar.

Mata Adra terbeliak, terkejut dengan kenyataan itu.

“Bapak? Ayah saya?”

Nabil mengangguk perlahan. “Ya, ayah Cik Adra yang nikahkan Daffa dan Cik Adra  hari tu.”

Adra beristighfar panjang.

“Saya dah 10 tahun tak jumpa ayah saya.”

Kenyataan yang keluar daripada mulut Adra itu membuatkan Daffa dan Nabil saling berpandangan sesama mereka. Kenyataan yang di luar jangkaan mereka berdua dan mungkin juga jawapan kepada penjelasan yang mereka tunggu selama hampir 6 bulan ini.

 

No comments:

Post a Comment