DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 29 September 2022

Secret Wife Tuan Furqan - Bab 10


DING dong! Ding dong!

Wilda dan Furqan meleraikan pelukan. Masing-masing saling berpandangan. Siapa pula mengunjungi mereka awal-awal pagi begini? Mak Mah ke? Mak Mah direhatkan buat sementara waktu. Sakit lutut wanita itu menyerang semula.

Furqan bergerak menekan butang automatik pada dinding. Pintu pagar vila terbuka.

“Assalamualaikum, Wilda.”

Suara ceria Datuk Salaman di muka pintu memecahkan tanda tanya tuan rumah. Alangkah gembiranya Wilda melihat kedatangan ibu dan ayahnya pada pagi itu. Tiga bulan tidak bersua muka, anak-beranak itu saling bertukar salam dan pelukan. Furqan melihatkan sahaja telatah tiga beranak itu.

“Kamu tak kerja ke hari ini, Alif? Eh, anak ayah ni kenapa?” Cemas suara Datuk Salaman. Diperhatikan anak perempuannya itu yang berjalan agak perlahan sebelum terus terjelepok di sofa. Seperti ada yang tidak kena. Nalurinya berkata-kata. Pasti ada sesuatu yang berlaku terhadap Wilda, anak kesayangannya.

“Saya cuti seminggu, ayah. Wilda tercedera semasa dia di taman bunganya tadi,” Furqan menerangkan lanjut. Dia pun tidak pasti punca kecederaan isterinya itu. Tidak sempat mahu bertanya tadi, tersibuk bermain cinta pula! 

“Macam mana boleh cedera ni, nak? Kamu tak tolong sama, Alif?” Datin Hayati pula sibuk bertanya. Wanita itu memang ramah dengan menantunya. Wilda perasan, setiap kali dua beranak itu berbual, suaminya itu seperti rindukan Puan Charlotte di Tokyo. Kerinduan kasih seorang anak kepada ibunya tampak jelas ditunjukkan pada riak wajah Furqan.

“Saya masuk stor ambil benih cili tadi. Keluar aje tengok dia dah macam ni. Tu yang saya dukung bawa masuk rumah. Ibu ayah dah sarapan?” Baik sahaja tutur kata Furqan dengan orang lain. Dengan Wilda sahaja lelaki itu berangin monsun.

Furqan mahu ke dapur menggantikan tugas isterinya menghidangkan minuman buat kedatangan ibu dan ayah mentuanya itu.

“Alah, tak payah susah-susah, Alif. Masa nak datang tadi kami dah singgah bersarapan di warung hujung taman ni. Ayah kamu ni hah ajak ibu tidur sini semalam dua. Katanya rindu anak manjanya. Boleh ke kami menyibuk di rumah kamu sekejap, Alif?” Datin Hayati berseloroh. Dia meleretkan mata pula kepada suaminya. Datuk Salaman berdeham-deham sahaja.

“Boleh, ibu. Apa tak boleh pula. Banyak bilik dekat sini. Tidurlah bilik mana-mana ibu ayah suka.” Furqan menerima kehadiran tetamunya dengan tangan terbuka.  Tetamu kan pembawa rezeki.

 “Wilda, pergilah berehat dalam bilik. Kami tahulah nak buat apa nanti. Tengah hari sikit nanti ibu masakkan makan tengah hari. Boleh kita makan ramai-ramai. Kak Mah tak ada pula hari ni, Alif? Kalau tak, kita boleh ajak dia dengan anaknya makan sekali dengan kita.” Datin Hayati sudah menyingsing lengan baju kurung modennya. Perihal tugas Mak Mah sudah diketahuinya. Wilda seminggu sekali ada menelefonnya di Banglo Warisan.

“Buat susahkan ibu sahaja. Datangnya nak berehat di rumah anak.” Furqan mesra dengan Datin Hayati. Persis dia melayani mummynya sahaja gayanya.

“Tak mengapalah, ibu take over dapur Wilda sehari dua ni. Wilda boleh berehat-rehat.” Datin Hayati berseloroh lagi.

Furqan menganggukkan sahaja kata-kata wanita berusia 60-an itu. Tanpa segan, dia kemudiannya terus mencempung tubuh isterinya untuk dibawa ke kamarperaduan mereka.

Mata Wilda tidak berkelip memandang wajah suaminya yang dekat itu. Diperhati kulit wajah Furqan yang bersih. Satu jerawat pun tiada menempel. Sawo matang warna kulitnya. Tidak terlalu putih seperti lelaki Jepun lain walaupun ada darah keturunan kaum Meiji mengalir dalam tubuhnya. Jambangnya ditrim rapi ala-ala Zayn Malik. Handsome!

Setelah sampai di bilik tidur mereka, tubuh isterinya diletakkan perlahan-lahan di atas katil.

“Kenapa, Wilda? Sakit lagi?” Lembut pertanyaan yang keluar daripada bibir Furqan.

Wilda menggeleng perlahan. Kemudian, dia mengajak suaminya turut berbaring di sebelahnya. Mereka berkongsi bantal. Tidak sangka suaminya itu turutkan segala permintaannya.

Wilda menarik tangan kekar Furqan untuk dijadikan alas kepalanya. Furqan merelakan sahaja perbuatan isterinya. Dia juga menyelesakan dirinya. Tup-tup, Wilda memeluk batang tubuh suaminya yang sangat dekat itu. Dia rindu Furqan yang menyantuninya dengan baik.

Pada bahu kekar itu dilampiaskan rasa sakit, sedih, sayu, kesal dan penantian akan penerimaan Furqan. Akhirnya, suaminya itu mengakui jua dia sebagai isteri dan penguat tulang belakangnya. Basah baju-T Furqan dek tumpahan air matanya.

Furqan berusaha menenangkan perasaan isterinya. 10 minit jugalah Wilda mahu berhenti menangis. Bahu itu terhinggut-hinggut menahan tangis. Furqan segera meminta maaf kepada isterinya itu sepanjang layanan kasarnya selama ini.

Hati Wilda yang selembut sutera itu mudah sahaja memaafkan kekhilafan suaminya. Alhamdulillah. Allah telah bukakan hati suaminya untuk menyantuni dirinya selayaknya sebagai seorang isteri.

Tok! Tok! Tok!

Pintu bilik tidur mereka diketuk kuat dari luar. Bingkas masing-masing bangkit. Selepas Wilda menyelesakan duduknya, Furqan bergerak membuka pintu bilik mereka. Nasib dia mengunci pintu tadi. Kalau tidak, pasti ibu dan ayah mentuanya itu menangkap tangisan anaknya itu.

Muncul wajah bengis si ayah dan wajah tidak senang si ibu di muka pintu. Datuk Salaman berjalan masuk ke dalam bilik diikuti isterinya. Kemudian dia mencampakkan tablet pil-pil perancang yang disimpan Wilda di dalam kabinet dapur.

‘Alamak! Macam mana mereka boleh jumpa?’ Wilda menghantar pandangan kepada Furqan minta diselamatkan.

Datuk Salaman sudah menyilangkan tangan rapat ke dada. Panahan matanya ganas umpama laser. Amarahnya membuak-buak. Datin Hayati setia berdiri di sisi suaminya. Tangan mengusap-usap belakang tubuh suaminya yang kemarahan. Cuba ditenangkan amarah itu.

“Kami tunggu berita gembira untuk bermain dengan cucu, Wilda. Ini yang kamu berdua rahsiakan daripada kami selama ini? Agaknya kalau ibu tak jumpa semua pil ni, sampai kiamat pun kami tak tahu kamu berdua sibuk merancang. Anak adalah pengikat kasih sayang. Esok-esok dalam kubur anak-anak yang akan mendoakan kamu berdua, tahu tak!” Datuk Salaman lantang bersuara.

Furqan kematu di pintu. Dia merasakan dirinya punca utama permasalahan ini. Isu berkaitan anak timbul lagi. Kali ini dia berhadapan dengan bapa mentuanya pula. Dia mesti menjelaskan duduk perkara sebenar kepada mentuanya itu.

Saat dia mahu membuka mulut, Wilda terlebih dahulu mencantas kata-katanya.

“Ayah, sabar. Dengar apa yang Wilda nak cakap. Ayah dan ibu nampak penuh lagi pil-pil dalam sarung tablet tu, kan? Wilda tak makan satu apa pun lagi. Abang baru beli pil-pil tu semalam. Wilda tak mahu campur ubat senggugut yang Wilda ambil dengan pil perancang ni. Abang ada minta Wilda makan sewaktu kami mahu bersama, tapi hati Wilda kuat melarang. Ayah, selama tempoh perkahwinan kami ni Allah nak uji hubungan kami suami isteri. Sebab tu kami belum dikurniakan anak lagi. Allah dah tetapkan zuriat kami datang lambat. Ayah dan ibu janganlah risau. Wilda tak makan pun lagi pil-pil tu.” Wilda tenang memujuk ibu bapanya.

‘Maaf ayah, ibu... sebenarnya dah banyak juga pil-pil perancang tu Wilda telan. Wilda ikut kemahuan suami Wilda aje. Namun, beberapa hari ni entah kenapa Wilda tak ikut arahan dia. Wilda tak langsung menjamah pil-pil perancang tu. Naluri Wilda mahu menjadi seorang ibu datang membuak-buak. Tidak sabar mahu ada benih hidup dalam kantung rahim ini,’ rintih Wilda dalam hati.

“Ayah, ibu... Alif minta maaf sebab tak mampu memberi kebahagiaan kepada Wilda selayaknya.” Furqan menyesali perbuatannya melayan isterinya selama ini. Dia tahu, dia telah menyeksa jiwa batin isterinya itu. Isterinya beria-ia mahukan zuriat mereka lahir dari rahimnya.

“Kami sedih. Kami percayakan kamu berdua,” Datin Hayati pula menyuarakan rasa hatinya.

“Maafkan Alif, ibu. Maafkan Alif, ayah. Maafkan Alif! Tolong jangan pisahkan Wilda dengan Alif. Alif sayangkan Wilda, ayah! Alif cintakan isteri Alif.” Mengaku jua Furqan perasaannya kepada Wilda. Beria-ia dia memohon ampun.

Furqan terus menekur di kaki Datuk Salaman. Menangis tersedu-sedu di situ. Menyesali kesalahannya. Semuanya berpunca daripada ego yang bermaharajalela lantas memakan dirinya sendiri. Bodohnya dia melayani Wilda sewenang hatinya.

Datuk Salaman yang tidak tahan akan raungan menantunya itu segera merangkul tubuh Furqan. Dia menepuk-nepuk belakang badan menantunya itu. Menenangkannya.

“Benda dah jadi pun, Alif. Kita pandang ke depan. Sebelum kami menutup mata, berusahalah memberi kami cucu. Terubat juga kami apabila kesunyian nanti. Ada cucu boleh ceriakan hari-hari kami. Yat, kita balik rumah kita. Privasi mereka jangan kita kacau.” Sempat lagi Datuk Salaman berseloroh. Datin Hayati mengangguk akan saranan suaminya itu.

Furqan dan Wilda saling beradu pandang. Tersipu-sipu panahan mata masing-masing. Datuk Salaman dan Datin Hayati segera meninggalkan mereka berdua dalam kamar peraduan itu.

Abang, thank you. I appreciate it.”

Furqan faham maksud isterinya. Mereka kembali merebahkan tubuh di atas tilam empuk itu. Wilda menggenggam jari-jemari suaminya. Sesi hati ke hati berkesinambungan.

“Abang benar-benar maksudkan kata-kata abang depan ayah dengan ibu ke?” Wilda terus menerkam Furqan dengan soalan yang ditahan-tahannya.

“Betul ke semalam Wilda tak makan pil yang abang beli tu?”

“Abang, jawab dahulu soalan Wilda ni.” Wilda merengek apabila soalannya dibiarkan bagai angin lalu.

“Ya, sayang. I really, really meant it. Abang menyesal kerana banyak kali abang seksa perasaan Wilda. Abang sayang dan cintakan Wilda. Hanya cinta Wilda Safiyyah Datuk Salaman yang selayaknya disempurnakan oleh Alif Furqan Tan Sri Rafique.” Furqan mencuit hidung mancung isterinya. Kembang-kempis lubang hidung itu. Lalu dilagakan batang hidung mereka pula membuatkan pipi Wilda terus kemerah-merahan. Tidak jemu dia menggoda isterinya itu, pendamping hidupnya.

“Wilda sunyi, abang. Abang tak habis-habis dengan kerja. Outstation sana sini dan Wilda dibiarkan seorang diri dalam vila ni. Sunyi tau. Wilda nekad nak ada anak yang boleh teman Wilda semasa ketiadaan abang nanti. Wilda memang dah niat nak stop makan pil-pil tu. Sebab Wilda risau dengan kesan-kesan sampingannya.” Wilda bermain-main cuping telinga kiri suaminya. Kegemarannya. Menggeliat Furqan akibat kegelian.

Hmm... tak sabar abang tunggu Wilda sembuh,” Furqan berbisik halus di telinga isterinya.

Erk! Jantung Wilda mengepam darah laju. Bicara halus suaminya berlegar-legar di minda.

“Abang, tolong layan ibu dan ayah Wilda ya. Mereka datang dari jauh. Dah nak balik pula. Abang jangan bagi mereka balik dahulu ya,” Wilda menukar topik hangat itu.

“Boleh, sayang. Abang turun bawah sekarang. Wilda rehat dulu. Tadi jatuh ke? Penat sangat isteri abang ni...” Dahi Wilda dikucup. Diperhatikan isterinya menggeleng-geleng kepala perlahan.

“Tadi tersadung pasu bonsai papa. Pasunya besar sangat,” Wilda menceritakan semula kejadian itu.

Alololo isteri abang ni. Tersadung pasu rupa-rupanya.” Diusik pula Wilda. Terus memuncung bibir mungil itu. “Boleh buat sangkut baju kemeja abang bibir tu hah,” sambung Furqan lagi. Tergelak kecil dia melihat isterinya yang mula mahu merajuk itu.

“Sampai hati, abang. Sakit tahu tak! Pergi turun cepat. Karang ibu dengan ayah fikir kita ehem-ehem betul-betul. Datang dari jauh tak ada orang layan.”

Ehem-ehem tu apa, sayang?” Sengaja niat tidak mahu berhenti mengusik isterinya.

“Eee abang!” Nampak sahaja tangan Wilda mula mencengkam bantal kecil atas katil itu, cepat-cepat Furqan berlari menyelamatkan dirinya.

“Sedap sikit dengar abang panggil Wilda yang elok-elok. Barulah romantik!” Sempat Wilda memuji suaminya.

“Nak tengok abang betul-betul romantik ke? Boleh! Get ready tonight, darling...” Berdekah-dekah kuat Furqan dengan kata-katanya sendiri sambil berlalu.

Bantal kecil di atas katil Wilda capai lalu dilayangkan ke belakang tubuh suaminya yang semakin menjauh. Nakal sangat suaminya itu!

Jika salah seorang antara kalian marah,

maka berdiamlah yang lainnya.”

~Hadis Riwayat Ahmad~

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment