DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 29 September 2022

Secret Wife Tuan Furqan - Bab 8


Syarikat Alpha Beta, Pahang...

WILDA mengeluh berat. Kenapa pula keretanya ini tidak hidup? Bonet bahagian depan keretanya dibuka.

Tiba-tiba, terdengar suara seorang lelaki berdeham di belakangnya. Cepat-cepat Wilda berpaling. Lega. Dia kenal wajah itu. Walaupun, baru tiga bulan dia ditempatkan di cawangan Pahang, adalah muka-muka eksekutif lain yang dikenalinya. Seperti sekarang ini, Encik Baihaqi yang sedang tersenyum manis kepadanya.

Wilda membalas senyuman itu dari balik purdahnya. Senyuman kan satu sedekah.

“Kenapa ni, Wilda?” Encik Baihaqi bertanya tenang. Dia yang berlalu di basement itu terpandangkan Wilda. Bonet kereta Wilda diperhatikan telah terangkat ke atas.

“Saya pun tak pasti, Encik Baihaqi. Saya nak hidupkan enjin, tapi tak boleh hidup pula.” Suara Wilda gelisah.

Encik Baihaqi tergelak kecil menyaksikan aksi Wilda yang gelabah itu.

“Relaks... biar saya tolong tengok-tengokkan. Kalau tak boleh hidup juga, kena panggil tukang repair ni,” jelas Encik Baihaqi.

Wilda bab-bab kereta ini memang dungu banyak. Dia tahu pakai sahaja. Jaga sakit pening keretanya, dia tak tahu langsung.

“Tak menyusahkan Encik Baihaqi ke? Encik nak balik juga, kan?” Waktu pejabat mereka sudah setengah jam tamat.

“Awak ni Wilda, janganlah panggil saya encik. Panggil Baihaqi atau Aqi pun dah cukup. Saya tua berapa tahun sahaja daripada awak.”

Erk! Wilda tidak biasa masalahnya. Ramah sangatlah Encik Baihaqi ini. Mereka baru kenal tiga bulan.

Setelah tiada balasan daripada Wilda, Encik Baihaqi cepat-cepat memeriksa kereta Wilda itu. Sudah dicuba-cuba untuk menghidupkannya, namun enjin tetap merajuk untuk hidup.

“Awak balik jalan kakilah macam ni, Wilda...” Encik Baihaqi melawak.

Wilda hanya tersenyum ringkas.

“Saya dah telefonkan tukang repair kereta yang saya kenal. Tapi saya bagi nombor telefon saya pada dia, sebab nombor telefon Wilda saya tak tahu. Jadi, macam mana sekarang? Kalau kereta dah siap, dia tetap kena telefon nombor awak untuk maklumkan. Boleh awak share nombor awak pada saya? Nanti saya send pada tukang repair tu. Sekarang saya hantarkan awak balik ya?”

Eh! Terlebih baik pula Encik Baihaqi ini. Seriau Wilda dibuatnya.

“Grab ada, Encik Baihaqi. Saya selesa naik Grab atau teksi aje. Terima kasih ya.” Wilda menolak dengan cara yang baik.

“Awak tinggal di mana? Saya di Jalan Kasturi. Kalau laluan kita sama arah, tak payahlah awak naik Grab, saya boleh tumpangkan. Bukan jauh mana pun, kan?” Encik Baihaqi mencuba nasib lagi. Harapnya wanita itu sudi menumpangnya petang itu.

Wilda berfikir seketika. Jalan Kasturi itu memangsudah dekat sangat dengan Vila Perwira. Tapi suaminya tidak tahu dia bakal menaiki kereta dengan lelaki lain. Hanya berdua sahaja.

“Sekejap ya, Encik Baihaqi,” pinta Wilda. Niatnya ingin masuk ke dalam kereta dan menelefon Furqan meminta izin. Namun, deringannya tidak bersambut. Mana pula pergi suaminya ini? Sehingga kali ketiga tidak diangkat langsung. Takkan merajuk tentang malam kelmarin? Tapi pagi tadi elok sahaja mereka berpelukan dan berkucupan sebelum bertolak ke tempat kerja.

Encik Baihaqi mengetuk cermin tingkap kereta.

“Jom, saya hantarkan. Ambil barang-barang awak sekali. Jangan tinggal dalam kereta.” Ajakan Encik Baihaqi yang setia menunggunya itu tidak mampu lagi ditolak oleh Wilda. Fikirnya kalau Furqan angkat telefon tadi memang dia mahu menyuruh suaminya mengambilnya sahaja.

Masuk sahaja ke dalam kereta Proton X70 milik Encik Baihaqi, suasana mula menjadi janggal dan senyap sunyi. Wilda tidak tahu mahu memulakan perbualan apa antara mereka. Bagi mengurangkan kesunyian antara mereka, Encik Baihaqi membuka radio. Lagu-lagu cinta mula berkumandang membuatkan suasana semakin janggal.

“You ada boyfriend, Wilda?”

Senyap.

Opsss... I salah. Maaf. You tak sokong bercouple, kan?” Encik Baihaqi serba salah. Silapnya menyuarakan soalan cepu cemas yang berlegar-legar dalam kepalanya tika itu.

“Bukan tak sokong. Dalam Islam pun melarang couple-couple ni, Encik Baihaqi. Kalau betul suka, kalau betul gentleman, hah... masuklah meminang terus perempuan yang dah disukai tu. Kan senang. Dapat elak dosa bercouple tanpa ikatan sah.” Ambil sedas! Wilda tegas dengan pendiriannya.

“Okey, saya nak tanya awak sesuatu ni, boleh?” Terbata-bata suara Encik Baihaqi.

Wilda mengangguk perlahan. Mata masih memandang ke hadapan. Tidak toleh-toleh kiri kanan. Tak selesa sebenarnya. Tuan punya kereta itu yang membuatkan dia kurang selesa.

“Kalau saya nak berkenalan dengan awak, boleh?”

Hah? Pulak dah! Wilda menelan liur. Inilah yang dia mahu elakkan. Purdahnya tidak cukupkah membuatkan lelaki itu berpaling daripadanya? Apa yang menyebabkan Encik Baihaqi ini terminat tanpa sengaja kepadanya? Biji matanya yang dua itukah?

Silap dia juga. Cincin kahwinnya tidak mahu dipakai semasa kerja. Jadi, rakan sekerja di syarikatnya ingat dia masih bujang. Padahal dia sudah tiga bulan mendirikan rumah tangga. Opsss lupa! Rakan-rakan di Johor tahu yang dia sudah mendirikan rumah tangga. Orang-orang atasan di Pahang ini sahaja yang tahu dia berpindah atas faktor berkahwin mengikut suami. Pekerja yang lain tidak tahu. Dia pun tidak mahu membesarkan cerita tentang dirinya.

Tidak sempat Wilda mahu menjawab soalan menakutkan itu, mereka telah pun tiba ke destinasi. Tup-tup itu jugalah Furqan sudah berdiri di laman vila. Lelaki itu baru lepas memberi ikan-ikan koi papanya makan mungkin. Di tangannya ada botol makanan ikan.

‘Allah! Nak jawab apa ni dengan abang? Dan nak jawab apa pula dekat Encik Baihaqi ni?’ Gelisah hati Wilda.

Furqan telah membuka luas pintu pagar vila untuknya. Wajah itu nampak tegang tapi selamba.

“Assalamualaikum, abang. Dah lama ke sampai rumah?” Wilda merapati Furqan. Tangan kanan suaminya diraih untuk bersalaman.

Sepi.

Encik Baihaqi pula turun daripada keretanya. Wajah lelaki itu juga nampak tegang sedikit.

“Siapa ya?” Ringkas pertanyaan Furqan kepada tetamu yang tidak diundangnya itu. Tangan mereka bertaut. Kemas.

Wilda menanti reaksi kedua-dua pemuda di hadapannya itu. Mata mereka berlaga padu. Sudahnya, Encik Baihaqi tersenyum sambil melepaskan genggaman tangan suaminya itu.

“Baihaqi, rakan sekerja Wilda. Kereta Wilda rosak tadi. Saya tumpangkan dia.”

“Rosak? Dekat mana, sayang?”

Eh! Terkebil-kebil mata Wilda memandang suaminya yang masih selamba itu. Sayang? Bukan you???’

Encik Baihaqi yang mendengar panggilan manja itu terus tergamam. Namun, cepat-cepat dikawal reaksinya.

“Saya balik dahulu ya, Wilda. Encik...?”

“Furqan... Alif Furqan, suami Wilda. Thanks anyway.

Erk! Encik Baihaqi segera mahu meninggalkan pasangan itu. Dia telah tertipu. Urusannya di situ telah tamat. Terkejut dengan perkhabaran itu juga satu hal. Bimbang dia tidak balik ke rumahnya sahaja. Bawa diri ke mana-mana ceruk. Merawat hati kecewa. Peluangnya telah terlepas. Berkenalan dengan isteri orang memang bukan niatnya. Dia tidak sangka yang wanita manis berpurdah itu telah dinikahi orang lain. Sungguh! Dia tidak tahu. Tiada siapa memberitahunya. Merana tiga bulannya memasang angan. Diam-diam dia menaruh harapan kepada Wilda. Wanita muda itu telah disunting orang rupa-rupanya.

Setelah hilang bayang kereta Encik Baihaqi daripada pandangan, Furqan terus menarik laju tangan Wilda untuk masuk ke dalam vila.

“Kenapa tak beritahu abang Wilda dah balik? Rosak dekat mana keretanya?” Tangan disilangkan ke dada. Dia cemburu isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain sekereta walaupun niatnya hanya ingin menumpang.

“Cuba abang tengok telefon abang. Berapa banyak missed call yang saya dah tinggalkan.”

Dengar sahaja bicara isterinya, Furqan terus menyeluk poket seluarnya. Wilda turut berdiri di sebelah suaminya itu.

“Lima missed call? Bila ni? Kenapa abang tak dengar?” Cepat-cepat Furqan menyedari silapnya. “Oh, mungkin masa abang mandi tadi. Tak dengar deringan. Sorry, Wilda.” Pinggang Wilda diraih perlahan. Dia tahu isterinya telah penat sepanjang hari itu. Penat kerja di pejabat, penat kereta rosak tiba-tiba dan penat melayan soalan-soalannya.

“Kereta saya tak boleh hidup enjin tadi. Masa nak balik dari pejabat. Kebetulan Encik Baihaqi ada sama. Dia yang tolong telefonkan tukang repair. Saya mana tahu mana-mana nombor tukang repair di sini.”

“Habis tu, sayang dah tinggalkan nombor telefon tak? By the way, siapa Baihaqi tu? Sama department ke? Baik pula nak tumpangkan Wilda.” Ada nada-nada cemburu di situ.

“Allah! Tak sempat nak bagi. Encik Baihaqi bertugas di Jabatan Jualan. Saya pula di Jabatan Akaun. Awal pula abang balik? Selalu tu selagi belum azan isyak, selagi tu bayang-bayang abang tak muncul.”

Lega Furqan mendengar balasan isterinya.

“Hari ni tak sedap badanlah, sayang. Malam ni tolong urut abang ya. Jualan dan akaun tak lari jauh tu. Boleh selalu jumpa.”

Aduhai! Tidak habis lagi ke curiganya itu? Eh, curiga ke cemburu? Nampaknya sudah kekallah panggilan ‘abang-sayang’ daripada mulut suaminya itu. Syukurlah.

“Abang nak demam ke? Abang, tahu tak dalam kereta tadi kita orang tak ada benda nak berbual pun. Kalau selalu jumpa ada sahaja benda kita orang boleh cakap pasal kerja. Tapi senyap sepanjang perjalanan balik tadi. Boleh bayangkan tak janggalnya macam mana.” Wilda menarik badan Furqan untuk duduk di sofa. Penatnya tidak hilang lagi sudah disoal siasat oleh suaminya itu.

“Baihaqi tu dah kahwin belum?”

Senyap.

“Wilda, dia dah berkahwin ke belum?” Furqan seakan-akan merengek kerana soalannya dibiarkan bagai angin lalu sahaja oleh Wilda.

“Kalau belum kenapa dan kalau dah kenapa, abang? Saya nak ambil air di dapur. Haus pula layan abang ni.”

Wilda bersedia untuk bangun. Namun Furqan cepat-cepat mengendong tubuh isterinya. Terkejut Wilda badannya melambung ke atas.

“Abang!”

“Kata penat. Mehlah abang dukung sayang.”

Tergelak Wilda akan layanan kelas pertama si suami. Dia didudukkan di meja bar dapur.

“Tinggi sangat ni, abang...” rengek Wilda manja.

Syyhhhh. Duduk diam-diam. Jatuh sayang  nanti.” Jari telunjuknya dibawa ke bibir mungil Wilda yang beralaskan purdah putih. Wilda akur.

Furqan mengambil gelas tinggi dan menuang jus oren Peel Fresh setengah gelas. Pintu peti sejuk ditutup semula.

“Nah!” Tangan kanan menghulur gelas. Baru Wilda ingin mencapai pemberian itu, Furqan menarik semula tangannya. Gelas diletakkan di sisi tubuh Wilda.

Perlahan-lahan tangannya mencari pin yang mengunci purdah isterinya itu. Lalu kain putih satin yang menutupi wajah itu pun terbuka.

Wilda terpukau. Setiap pergerakan jari-jemari Furqan itu lembut sahaja. Kain purdah melorot jatuh di atas pahanya. Dibiarkan sahaja. Tatapan mereka berlaga. Degupan jantung menggasak laju. 

Furqan tahu. Di sebalik purdah itu, menanti solekan rapi khas buat dirinya. Pesan ibu kepada Wilda, berhias untuk suami sendiri pahala menanti. Berhias untuk lelaki ajnabi pula berdosa. Mujur purdahnya itu menjadi penghalang mata-mata liar daripada melihat wajahnya yang elok bersolek.

Sengaja Furqan meneguk sedikit jus oren dalam gelas tinggi itu. Cecair itu tidak ditelannya. Sebaliknya disimpan untuk dialirkan ke mulut isterinya yang kepenatan. Saat bibir itu ditujahnya perlahan, Wilda tergamam. Lama mereka begitu.

Wilda menundukkan wajahnya. Malu! Perbuatan itu masih terbayang-bayang dalam mindanya. Tiba-tiba, ibu jari kanan Furqan mengelap perlahan hujung bibir milik Wilda.

“Ada sisa tertinggal.” Bisikan asmara Furqan meremangkan tengkuk Wilda.

“Abang, ada gincu kat bibir abang,” ujar Wilda sambil dikucup hujung bibir suaminya itu.

 Auch! Sejak bila Wilda belajar teknik menggoda ni? Sudah pandai menggoda nampaknya. Eh, suami sendiri tidak mengapa!

“Serius ke?” Furqan sengaja menyakat isterinya.

“Ingat saya main-main ke? Tu... tengok dekat permukaan meja bar yang kilat tu, ada kesan gincu...” terang Wilda perlahan.

“Biarlah. Abang nak simpan. Abang dah mandi. Malas nak gosok gigi lagi.” Selamba Furqan. Dia suka melihat wajah gelabah Wilda saat dibuli olehnya. Comel!

“Janganlah, abang! Malu saya.” Wilda menutup mukanya. Tidak mahu memandang wajah sang suami yang terang-terang menyakatnya.

“Nak malu kenapa? Kita dapat pahala, sayang.” Tubuh ramping milik isterinya itu didakap erat. “Malam ni jangan lupa picit badan abang. Dah dapat upah tadi, kan?” bisik Furqan manja di telinga isterinya. Takut diluku dek Wilda, cepat-cepat dia berlari meninggalkan isterinya itu di dapur.

“Eee... abang!” Ah, bertambah-tambah malu Wilda apabila diimbas kembali aksi antara mereka tadi.

Rasulullah SAW ada bersabda...

Orang yang terbaik antara kalian ialah

yang terbaik bagi isteri-isterinya dan aku

paling baik dibandingkan kalian dalam

memperlakukan keluargaku.”

~Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah.~

No comments:

Post a Comment