DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 29 September 2022

Secret Wife Tuan Furqan - Prolog


Tahun 2018,

Hospital Gleneagles Medini, Johor...

ALIF Furqan merenung dalam ke anak mata Dhia Farhain. Benar! Kekasihnya ini sedang menanggung sakit yang tidak terhingga. Air mata duka wanita penguat jiwa Furqan itu bertakung dalam kelopak matanya. Dua anak mata itu semakin mengecil dan memberat. Bunyi mesin pernafasan yang berdenting hebat langsung tidak dihiraukan oleh Furqan. Genap sebulan Dhia Farhain bernafas melalui bantuan mesin oksigen itu. Wayar-wayar yang berselirat di tubuh sang kekasih meruntun jiwanya.

Telahan hatinya juga benar. Doktor mengesahkan kesihatan kekasihnya ini semakin merudum. Tiada tanda-tanda kesembuhan. Dhia semakin tenat. Life-prolonging treatment itu semakin sia-sia fungsinya. Cukuplah-cukuplah penyeksaan buat Dhia.

“You kena... lepaskan I, Alif.” Topeng muka oksigen di muka, Dhia buka sedikit. Semata-mata mahu bercakap dengan Furqan. Furqan menggenggam jari-jemari runcing kekasih hatinya erat. Seakan tidak mahu dilepaskan jemari runcing itu.

“I... harus pergi. I dah... tak lama lagi.” Dhia mematikan katanya. Topeng muka oksigen dipakai semula menutupi muka. Menghirup semula oksigen bantuan. Deruan nafasnya kedengaran sangat lemah.

Furqan mengongoi. Menangis dan terus menangis. Sedih melihat Dhia yang sedang bertarung nyawa untuk hidup. Doktor mengatakan bahawa jantung Dhia semakin lemah. Dhia juga kerap kali tidak sedarkan diri. Kadangkala sawan menyerang tidurnya. Sebulan mesin pernafasan digunakan. Namun, tiada tanda-tanda Dhia mampu bernafas sendiri. Sifat kendirinya semakin merosot. Dhia bergantung sepenuhnya pada mesin itu untuk bernafas.

“I tak rela you pergi, Dhia! I tak rela mereka cabut mesin oksigen you, sayang. I love you, Dhia. Don’t leave me, honey! Please! Don’t leave me. You janji nak kahwin dengan I. Minggu depan sahaja majlis pertunangan kita, sayang...” rintih Furqan buat kali ke seribunya. Dia tidak mahu doktor yang merawat Dhia menghentikan alat bantuan pernafasan itu. Doktor telah melakukan sedaya upaya untuk membantu Dhia. Namun, segalanya terserah pada takdir Tuhan. Keadaan Dhia semakin lemah dan langsung tiada harapan untuk pulih seperti sediakala.

Pintu bilik VIP Dhia terbuka perlahan. Muncul papa dan mama Dhia. Mereka merapati Furqan. Anak muda itu terduduk longlai di sebelah katil perbaringan anak gadis mereka.

“Kami rela Dhia pergi, Alif. Alif pun kena reda dengan keputusan kami ini.” Mama Dhia menepuk-nepuk perlahan bahu Furqan yang beralas kemeja pejabat itu. Kotnya juga telah dicampak entah ke mana.

“Alif, papa dan mama dah tak sanggup melihat Dhia terseksa. Doktor sendiri kata Dhia dah tak boleh bernafas sendiri. Tanpa mesin oksigen, Dhia seperti tak bernyawa. Kami sanggup hentikan life-prolonging treatment ni. Dhia terseksa, nak.” Papa Dhia terus memeluk tubuh Furqan dari arah belakang. Kekasih anaknya itu sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Mengikut perancangan asal, minggu hadapan Alif dan Dhia akan ditunangkan.

Ibu bapa mana yang tidak sedih melihat anak kesayangannya bakal pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Ibu bapa mana yang sanggup meragut nyawa anak kesayangan sendiri. Ibu bapa mana yang sanggup menyaksikan anaknya terseksa berbulan lamanya. Terbaring di katil hospital. Ibu bapa yang mana?

Kudis yang mula tumbuh di belakang badan Dhia juga semakin membesar dan bernanah. Kesan Dhia terlampau lama berbaring di atas katil hospital. Dhia tidak mampu bergerak sendiri seperti manusia-manusia normal lain. Nahas tragedi yang menimpa gadis itu menyebabkan tubuhnya lumpur separuh badan. Waist-down. Kemalangan itu telah meragut senyum seorang Dhia Farhain.

Ia bermula ketika Dhia mahu menuju ke tempat kerjanya. Dia dikejarkan ke hospital, doktor telah mengesahkan motor pergerakan tubuh Dhia sangat kritikal. Yang paling sadis adalah wujud ketumbuhan di otaknya selepas kemalangan yang dialami itu. Jantung Dhia lemah. Jantung itu tidak dapat mengepam aliran darah dengan sendiri. Doktor mengatakan bahawa Dhia sangat memerlukan bantuan mesin pernafasan oksigen secara total. Cabut sahaja mesin itu, pergilah Dhia buat selama-lamanya.

“Alif, ajar Dhia mengucap, nak.” Papa Dhia memujuk Furqan. Furqan menggeleng laju. Emosinya terganggu. Kepalanya sakit. Perit mahu memikirkan dirinya tanpa Dhia. Tidak!

“Alif tak sanggup, papa. Alif tak sanggup Dhia tutup mata depan mata Alif.” Furqan bingkas bangun daripada kerusi yang didudukinya.

“Alif nak ke mana?” Mama Dhia pula bertanya cemas. Bimbang anak muda itu melakukan perkara yang bukan-bukan. Wajah sugul anak itu sangat jelas.

“Alif balik dahulu papa, mama.” Tangan kedua-dua orang tua itu disalaminya.

“Alif, jangan menyesal nanti. Papa dan mama akan bawa Dhia pulang semula ke Indonesia. Kami mahu mengebumikan Dhia di sana,” kata papa Dhia.

Sebetulnya Indonesia merupakan tempat kelahiran papa Dhia. Keluarga Dhia juga menetap di sana. Di Malaysia ini hanya Dhia menetap bersendirian. Negara kelahiran ibunya.

Dhia dan Furqan bertemu kali pertama semasa Dhia menguruskan perusahaan milik papanya di Malaysia. Mereka berkenalan atas dasar hubungan perniagaan. Bibit-bibit cinta bermula apabila mereka saling dipertemukan dalam menjalin usaha sama itu. Sehinggalah mereka membuat keputusan untuk melangsungkan pertunangan. Namun, ikatan yang diimpikan ternyata terputus di persimpangan usia Dhia Farhain.

“Alif pergi, papa, mama. Alif tak sanggup. Halalkan segala perkenalan yang terbina antara kami berdua. Assalamualaikum.” Furqan tidak berpaling lagi. Dia nekad. Meninggalkan Dhia bukan mahunya. Namun, apa jua keputusan yang dia ada. Ternyata membina mahligai cinta bersama Dhia Farhain Surjana itu sangat mahal harganya.

 

Vila Perwira, Pahang...

MAK MAH menarik perlahan langsir hitam tebal yang menggelapkan seisi ruang kamar itu. Ruang bilik yang gelap-gelita serta-merta menjadi terang benderang. Sinaran matahari menembusi segenap pelosok bilik. Silau. Terdengar bunyi dengusan kuat dari arah belakang tubuhnya. Terang-terangan tidak menyukai perbuatan wanita itu.

“Mak Mah, tutuplah balik langsir tu.” Lemah suara itu menegur.

“Alif, dah tengah hari ni, nak. Gelap sangat bilik kamu ni. Bagilah cahaya masuk sikit. Ini Mak Mah ada bawakan makan tengah hari. Kamu tak sarapan dari tadi lagi. Perut masuk angin karang. Papa kamu juga yang susah hati nanti.” Dulang kecil di tangan, Mak Mah letakkan di atas meja kopi di sudut bilik itu.

Furqan yang duduk menekur di sebelah katil luasnya langsung tidak berganjak. Kepala masih tertunduk lemah. Kata-kata Mak Mah bagai angin lalu buat dirinya.

“Alif, sampai bila nak macam ni, nak? Tak kasihan ke dekat papa?” Suara Mak Mah berubah sayu. Dia tahu apa yang sedang dilalui oleh anak muda itu. Peritnya menghadapi satu kematian. Sakitnya menanggung satu perpisahan yang abadi.

Senyap.

“Alif, tak lapar ke? Kelmarin tak makan. Semalam tak makan, pagi tadi pun tak nak makan. Berkurung 24 jam dalam bilik. Bergelap sorang-sorang.” Lembut Mak Mah berdiplomasi. Masih cuba memujuk anak muda itu.

Masih senyap.

Tiba-tiba, terdengar tangisan memecah kesunyian antara mereka. Mak Mah terus tergamam.

“Alif rindu Dhia, Mak Mah. Kenapa perjalanan hidup Alif Tuhan tentukan macam ni? Satu-satunya orang yang Alif sayang tinggalkan Alif. Dhia dah tak ada, Mak Mah. Dhia dah tak ada! Apa guna lagi Alif teruskan hidup macam ni. Biar Alif ikut Dhia, Mak Mah. Biar Alif pergi.” Mengongoi-ngongoi Furqan menangis. Tersedu-sedu nafasnya. Sungguh dia melampiaskan tangisannya di hadapan Mak Mah. Pembantu rumah yang sudah dianggap seperti mak kandungnya sendiri. Wanita yang telah membesarkannya sedari kecil.

Astaghfirullahalazim, Alif. Mengucap, nak. Alif masih ada papa. Alif juga ada Mak Mah, nak. Alif sedar tak apa yang Alif cakap tu berdosa? Alif kena reda dengan takdir Tuhan. Dhia dijemput Tuhan sebab dia sakit. Alif yang masih hidup ni kena teruskan hidup Alif.” Mak Mah lantas mendakap tubuh anak muda itu yang semakin cengkung.

Setelah seminggu pemergian Dhia, Furqan dilanda kesedihan yang panjang. Bergelap seorang diri, berkurung tidak mahu keluar bilik, tidak mahu makan, tidak mahu berbual dengan papanya dan tidak mahu menghadapi dunia luar. Dengan kata lain dia kemurungan. Sedangkan seorang Alif Furqan itu punya tanggungjawab yang besar di luar sana. Dia anak tunggal kepada Tan Sri Rafique. Jutawan yang sangat-sangat terkenal. Tulang belakang perusahaan papanya.

Furqan menangis teresak-esak di pangkuan Mak Mah. Dia tidak malu dengan Mak Mah. Wanita tua itu tahu perasaan hibanya.

“Alif, Mak Mah ada benda nak tunjuk Alif. Atas dulang tu ada satu kertas dan satu envelope. Papa minta Alif baca betul-betul. Hadamkan. Perlahan-lahan baca ya, nak. Tanya kata hati Alif sama ada Alif dah bersedia ataupun belum. Tanggungjawab yang diamanahkan sangat berat. Sampai bila Alif nak menyeksa diri Alif macam ni? Ini ikhtiar papa, Alif. Mak Mah hanya tolong menyampaikannya sahaja. Fikir masak-masak ya, nak. Andai kata Alif bersetuju, keluarlah dari kepompong Alif ni dan suarakan kepada papa perihal yang sebenarnya. Mak Mah hanya orang tengah sahaja. Selayaknya Alif berbincang dengan papa Alif, ahli keluarga terdekat Alif, darah daging Alif.” Panjang nasihat Mak Mah. Pelukan mereka dileraikannya.

Mak Mah memanjangkan tangannya mahu menyuakan sampul surat itu.

“Apa ni, Mak Mah?” Sampul surat bertukar tangan. Isi di dalamnya dikeluarkan dan dibaca sedikit. Terkejut Furqan akan apa yang dilihatnya.

“Alif belum gila lagi, Mak Mah. Alif belum gila!” Furqan bertempik tidak percaya apa yang dilihatnya.

Shhuushh, siapa kata Alif gila. Ini ikhtiar papa Alif. Dia nak Alif lawan rasa depresi ni.” Jari-jemari anak muda itu digenggam erat. Mata tua Mak Mah jatuh kasihan kepada anak muda di hadapannya ini. Bergenang kelopak matanya.

“Dengan hantar pergi psikiatri? Huh!”

Sampul surat itu dicampaknya jauh ke hujung kaki katil. Bersepah isi-isi di dalamnya. Mak Mah lantas mengutip satu demi satu borang-borang itu dan memasukkan semula ke dalam sampulnya. Dalam hati turut menyumpah keputusan drastik Tan Sri Rafique yang mahu menghantar anaknya bertemu dengan pakar sakit jiwa.

Aduhai! Mak Mah serba salah. Tan Sri Rafique itu majikannya. Dia hanya menurut perintah. Sedangkan Furqan itu sudah dianggap seperti anak kandungnya. Dia yang membesarkan Furqan sedari kecil. Ibu mana yang mahu mengaku anaknya sakit jiwa. Anak muda itu normal lagi.

“Tapi papa kata Alif kena berubat. Jadi normal semula. Keluar daripada kegelapan ciptaan Alif. Lupakan apa yang telah terjadi. Dhia tu masa lalu Alif dan sekarang ni masa depan Alif. Ini ada sekeping sampul surat. Papa Alif suruh Mak Mah serahkan kepada Alif. Alif baca isi dalamnya betul-betul ya, nak.” Selembut habis Mak Mah memujuk. Sampul surat itu diletakkan di tangan cengkung Furqan semula.

“Baca nak buat apa??? Alif tak nak ambil tahu semua ni sekarang. Bagilah Alif masa. Tolong cakap pada papa, Mak Mah.” Terang-terang Furqan menolak kewujudan sampul surat itu.

“Alif, dalam hidup kita ni nak, sentiasa perlukan perubahan. Percayalah, papa nak yang terbaik buat Alif,” pujuk Mak Mah lembut. Pandai dia bermain perasaan. Cuba melawan perasaan Furqan yang sedang lara itu.

“Alif cintakan Dhia, Mak Mah. Kasih Alif hanya kepada Dhia seorang. Alif...” Furqan menggumam rendah.

“Dhia dah tak ada, Alif!”

Tiba-tiba suara kuat Tan Sri Rafique menjerkah anaknya dari arah belakang. Terhinggut bahu tua Mak Mah mendengar tempikan si bapa. Mak Mah lantas berdiri menjauh sedikit daripada Furqan. Dia memberi ruang kepada Tan Sri Rafique merapati anaknya. Seminggu anak dan bapa itu tidak bertegur sapa. Semuanya gara-gara Furqan yang memilih untuk memencilkan dirinya sendirian di kamar gelap itu; setelah kematian Dhia kekasih hatinya.

“Buka hati Alif untuk pergi berubat. Jumpa psikiatri. Papa dan Mak Mah sanggup tunggu Alif sihat semula,” pujuk Tan Sri Rafique.

No, papa! I don’t want to meet the psychiatrist!” Dengan kudrat yang tersisa, Furqan membangkang kehendak papanya. Dia membangkang sepenuh hati dengan keputusan drastik Tan Sri Rafique. Ini sungguh idea gila!

Stop tormenting yourself, Alif. Buka mata luas-luas. Dunia Alif bukan dalam bilik ni sahaja. Papa tak ada anak lain tau. Alif berkurung macam ni tak dapat apa. Syarikat papa siapa nak uruskan? Bertahun-tahun papa bina, takkan Alif nak jatuhkan dalam sekelip mata? Find your happiness again, my son. We are here for you. Papa, Mak Mah, mummy...” pujuk Tan Sri Rafique lagi. Dia sedar, dia marah-marah pun tidak akan menjernihkan keadaan anaknya itu. Nak beri kesedaran bukan dengan kekerasan. Kadang-kadang yang lembut itu akan lebih menusuk ke dalam kalbu.

“Tak ada siapa dapat gantikan Dhia dalam hati Alif after she died, papa. No one! None at all.”

“Alif, tolonglah. Demi papa. Pergi berubat ya, nak. Papa tahu keputusan papa ini baik untuk masa depan Alif,” ujar Tan Sri Rafique kepada anaknya.

Furqan masih menidakkan keputusan papanya. Tergeleng-geleng kepalanya tanda tidak mahu.

“Alif mesti pergi berubat,” suara Tan Sri Rafique lagi. Agak tegas sedikit. Furqan masih lagi tergeleng-geleng, namun dia tiba-tiba rebah. Terkejut Tan Sri Rafique dan Mak Mah.

“Kak Mah, tolong call Doktor Ebit. Cepat!” gesa Tan Sri Rafique. Risau dengan keadaan anak tunggalnya itu. Tanpa pamit, Mak Mah berlari mendapatkan telefon rumah di tingkat bawah vila.


No comments:

Post a Comment