DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 27 September 2022

Cinta Atas Paksa - Bab 7


KEHADIRAN Daffa di kediaman Adra disambut baik oleh keluarga gadis itu. Tambahan pula hadirnya dia sebagai ‘menantu’ tiba-tiba keluarga mereka. Daffa terasa  malu sendiri, namun didiamkan sahaja.

Pada awal pagi sebelum bertemu dengan keluarga Adra, Daffa membuat tafsiran sendiri yang dia akan dicemuh, dimaki atau dimarahi oleh keluarga Adra tetapi sangkaannya meleset sama sekali. Kedatangannya bagai disambut dengan bunga-bungaan, bagai ditepung tawar, sangat dialu-alukan oleh mereka semua.

“Daffa menungkan apa tu?” Puan Halimah menegur

Daffa yang berada di luar rumah.

“Eh, mak cik. Saja duduk sini ambil angin luar.” Daffa berbasa-basi, kekok mahu berbual dengan keluarga Adra. Tidak pula bagi Nabil, sudah macam saudara yang lama tidak berjumpa. Mungkin juga kerana berkerjaya sebagai doktor memudahkan dia untuk berbual dengan sesiapa sahaja.

“Mak. Apa mak cik-mak cik. Panggil mak. Dah makan?” Puan Halimah bertanya lagi lalu mengambil duduk berhadapan dengan Daffa yang masih berdiri.

“Alhamdulillah mak cik, banyak sangat dah saya makan tadi,” jawab Daffa.

Puan Halimah tersenyum.

“Hesy... dia ni, panggil mak aje. Daffa nak balik Ipoh malam ni juga?” Puan Halimah menyoal lagi.

Daffa yang masih malu-malu kucing mula melabuhkan duduk di kerusi batu bersebelahan wanita ini.

“Rancangnya macam tulah. Datang sini pun sebab nak bincangkan soal saya dan Adra saja.”

Puan Halimah mengangguk perlahan dengan jawapan lelaki ini.

“Kalau bermalam dekat sini dulu, tak boleh? Esok mak rancang nak buat kenduri kesyukuran, insya-Allah mak ada telefon Ustaz Ilyas untuk jelaskan kedudukan Daffa dan Adra. Kalau Daffa ada mudahlah, boleh dengar sama-sama. Isu nikah kahwin ni bukan mudah.”

“Tapi bukan ke keluarga mak menafikan pernikahan tu? Jadi memang tak adalah kan ikatan antara saya dan Adra?” Daffa kehairanan. Kenapa perlu susah payah menjelaskan hubungan itu?

“Ya memang kami tak tahu langsung. Daffa pun tak pernah tengok mak, kan? Tak pernah nampak muka-muka kami kecuali Adra, kan? Mak cuma risau Adra sembunyikan sesuatu.”

Daffa tercengang.

“Maksud mak, Adra berbohong? Memang dia rancang dengan Ahmad Malik?”

“Bukan macam tu. Adra ni anak kesayangan ayah. Bekas suami mak tu sayang sangat dengan Adra. Mak Cuma ikut kata hati, hati mak suruh mak jelaskan hubungan kamu dengan Adra. Walaupun Adra tiada kat situ, tapi ijab dan kabul berlaku, kan? Cuma yang tak jelas sama ada itu Adra atau bukan.”

Daffa mengangguk faham tapi untuk bermalam, dia naik segan.

“Okeylah kalau mak cakap macam tu, saya ikut aje. Saya memang nak tahu juga sejauh mana pernikahan ni. Tapi nak bermalam di sini, segan pula saya.” Daffa bersuara dengan riak serba salah.

“Apa yang nak disegankan? Jangan risau, along dengan angah pun tidur sini malam ni. Boleh ya?” Puan Halimah memujuk lagi. Sebenarnya hati tuanya mahu sangat  mengenali ‘menantu’ baharunya itu.

“Saya bincang dulu dengan Nabil ya mak cik, eh... mak.” Daffa yang selama ini seperti singa, hari ini seperti tikus belaan di hadapan ibu Adra. Duduknya serba tidak kena!

“Nabil dah setuju pun, tunggu kata putus daripada Daffa aje. Kira jadi ya? Adra!” Tanpa banyak soal, Puan Halimah melaung memanggil anak gadisnya.

Adra yang berada di dapur bersama Qayla dan Qaliff terkocoh-kocoh mendapatkan emaknya di luar rumah.

“Ya mak, kenapa?” Adra memandang wajah Daffa sekilas, sebelum menghadap wajah tua emak.

“Siapkan bilik tetamu, sediakan tuala dan kelengkapan solat untuk Daffa dengan Nabil. Diaorang tidur sini malam ni.” Laju Puan Halimah memberikan arahan.

Adra yang terkejut dengan penyataan emak itu hanya mampu mengangguk kepala. Dia memandang emak dan Daffa bersilih ganti.

‘Bilalah boleh bebas daripada dia?’ Hati Adra membentak.

“Jangan lupa malam ni telefon Cik Melah, jemput saudara-mara kita kenduri esok.” Puan Halimah berpesan sebelum Adra melangkah memasuki ke dalam rumah semula.

Daffa melepaskan nafas berat. Dia serba salah. Kalaulah mereka tahu layanannya yang buruk terhadap Adra selama gadis itu diculik, apakah layanan mereka terhadapnya masih sebaik ini? Daffa bersoal sendiri. Wajahnya diraup dengan kedua-dua tapak tangannya. Nafas ditarik sedalamnya.

‘Buruk baik aku, tetap menantu mereka kan?’ detik hati Daffa. Senyuman terukir di bibirnya.

“Seronok nampak?”

Suara Nabil mematikan senyumannya.

“Mungkin lebih kepada bersyukur.”

Nabil menjongket kening, tidak faham dengan kata-kata sahabat baiknya ini.

“Maksud kau?”

“Syukurlah aku buat keputusan yang tepat untuk jumpa famili Adra lepas semua kesan lebam dia dah hilang. Kau ingat diaorang akan layan aku macam ni kalau diaorang tau aku dera anak diaorang?” Kedengaran angkuh Daffa bersuara.

“Syukur? Sepatutnya kau malu. Mengaku pun kau dera Adra.” Nabil membidas sambil menggeleng kepalanya.

Daffa tersengih. Terasa sindiran halus Nabil.

“Ya aku tahu. Aku memang terasa malu juga, sikitlah, tapi lebih kepada bersyukur.” Daffa masih ingin memenangkan kata-katanya.

Nabil mencebik. “Kau boleh terima keluarga dia?”

Daffa mengerut dahinya.

“Maksud kau?”

“Yalah, sebelum ni kau yakin sangat famili dia semua terlibat dan bersalah atas kematian papa kau. Sekarang aku tengok kau terima pula, jadi kau boleh terimalah?” Nabil menyoal lagi penuh keraguan.

“Kau tahu kan aku study law dulu? Aku dapat rasa yang famili dia memang tak terlibat. Muka diaorang pagi tadi relaks aje masa tengok aku. Kalau diaorang ada terlibat, mesti diaorang kenal aku, cam aku yang diaorang dah kelentong ni. Betul tak? So bila abang dia jelaskan semua, aku jadi yakin yang memang diaorang tak terlibat.” Daffa menjawab dan menjelaskan semuanya.

Nabil terangguk-angguk dengan setiap penjelasan Daffa yang ada rasa sedikit angkuh itu.

“Tapi kenapa bila Adra cakap dia tak terlibat, kau tak percaya?” Nabil mencebik bibir. “Kau berdendam, kan? Kau yakin sangat Adra ada masa hari tu, sebab tu kau layan dia macam tu, kan?”

Daffa mengeluh berat.

“Kau tahu kan, aku menentang habis-habisan bila papa suruh aku kahwin. Aku buat macam-macam, tapi langsung tak mengubah pendirian papa. Papa tetap dengan keputusan dia nak kahwinkan aku dengan Adra. After a year, akhirnya aku mengalah. Aku lupakan impian nak buka firma guaman aku sendiri, aku lupakan cita-cita aku nak jadi peguam terhandal, aku terus terjun dunia bisnes. Tapi apa yang aku dapat akhirnya? Papa mati dalam kecewa, bukan bahagia yang dia inginkan. Kat sini... sini ada luka yang tak berhenti darahnya.” Daffa menampar dadanya kuat.

Nabil yang mendengar sekadar mengangguk kepala. Dia sedar kawannya itu terlalu memendam rasa kecewa dan kehilangan.

Malam itu mereka solat berjemaah. Seperti selalu along yang akan mengimamkan solat. Adra duduk di hujung saf wanita bersama emaknya dan Qayla. Kedudukannya sebaris dengan Daffa di hadapannya. Ini pandangan pertama yang lain di mata Adra terhadap lelaki ini. Lebih 2 minggu di Ipoh, dia dikurung, diherdik dan dipukul oleh lelaki itu. Malah dia juga hampir dinodanya. Malam ini lelaki itu lengkap berbaju Melayu, berkain pelekat dan bersongkok. Jelas menunjukkan sisi ‘baik’ lelaki yang bernama Daffa.

Seperti Daffa, Adra sendiri mempunyai anggapan yang lain tentang pertemuan pagi tadi. Adra fikir Daffa akan membuat kecoh, bersuara lantang ataupun memulakan pergaduhan dengan abang-abangnya. Namun anggapannya meleset. Daffa nyatanya lebih bertoleransi dalam perbincangan tersebut. Memang tegas dalam menyatakan setiap butir bicara namun tidak pula menyalahkan mereka sekeluarga. Sikapnya hari ini 100 peratus berbeza! Adra sendiri seakan tidak percaya.

Huish... doa dulu, jaga mata tu.” Puan Halimah menyiku lembut anaknya yang berada di sebelahnya. Anaknya itu kelihatan merenung tajam ‘menantu’ baharunya.

Adra tersentak, lalu menunduk malu. Perlakuannya ditangkap oleh emaknya sendiri, cepat-cepat dia menadahkan tangan turut berdoa.

Usai berdoa, mereka saling bersalaman. Qaliff mengemaskan semua sejadah yang digunakan. Adra yang hendak melangkah ke bilik, dihalang oleh pautan tangan Puan Halimah.

“Adra dan Daffa, mak nak cakap sikit boleh?” Puan Halimah bersuara sebaik sahaja semua jemaah mahu melangkah ke bilik masing-masing. Daffa yang sudah hampir berlalu dari ruang solat, kembali melangkah menghampiri Puan Halimah. Adra dan Daffa, masing-masing duduk di sisi wanita ini.

“Daffa, Adra Malaeka ni puteri sulung mak. Beza umurnya dengan angah hampir 10 tahun. Lama mak tunggu untuk dapat seorang puteri.” Puan Halimah memulakan bicaranya. Tangannya menggenggam erat jari-jemari Adra. Dari memandang wajah anaknya, dia kemudian memandang wajah Daffa.

“Mak tak kisah siapa pun menantu mak, siapa pun putera untuk puteri mak. Asalkan pandai menjaga puteri mak ni dan mampu memimpin dia sebaiknya. Insya-Allah, mak yakin Daffa mungkin yang terbaik buat Adra, siapa tahu kan?” Puan Halimah terus berbicara.

Adra dan Daffa berbalas pandangan namun tidak pula mahu membuka mulut mencelah kata-kata wanita ini.

“Pernikahan kamu berdua masih belum jelas. Secara tiba-tiba, puteri mak ni sudah bernikah selama hampir 8 bulan. Mak tak tahu, abang-abang dia tak tahu malah empunya diri pun tak tahu, sebab itu mak kata tak jelas, walaupun Daffa datang membawa dokumen nikah kamu berdua.” Puan Halimah menarik nafas sedalamnya. Perkara utama yang ingin disoal belum terluah.

“Maaf kalau apa yang mak kata dan tanya ni, buat kamu marah ya, Daffa.” Puan Halimah berbicara lembut.

“Mak teruskan aje, saya tahu niat mak baik. Kalau boleh jawab, saya jawab sebaiknya.” Daffa menjawab tertib.

“Sepanjang lebih 2 minggu Adra bersama kamu, ada kamu sentuh dia?”

Kata-kata yang keluar daripada mulut Puan Halimah itu membuatkan Adra dan Daffa tersentak dan terlopong.

“Tak ada!” jawab mereka berdua serentak.

“Betul?” soal Puan Halimah tegas.

Daffa memandang ke arah Adra, lama mereka berdua saling bertentang mata.

“Mak tanya ni, betul tak ada apa-apa yang berlaku antara kamu berdua?” Puan Halimah menyoal lagi setelah dia melihat kedua-duanya berkelakuan pelik.

“Saya... saya hampir-hampir, tapi tak lagi.” Akhirnya Daffa jujur menjawab.

Adra sudah menunduk ke lantai. Dia malu berhadapan dengan emaknya apabila mengenangkan malam yang mengerikan itu.

“Astaghfirullah...” ucap Puan Halimah perlahan.

“Tapi saya memang tak buat apa-apa lagi.” Daffa cuba mempertahankan dirinya manakala Adra hanya diam membatukan diri.

“Adra, betul apa yang Daffa cakap ni?” Puan Halimah menyoal setelah anaknya tidak bersuara sedari tadi.

“Betul mak, tiada apa yang jadi antara kami berdua,” akui Adra perlahan.

Serentak itu, Puan Halimah menghela nafas lega.

“Alhamdulillah, kalau hubungan kamu berdua belum jauh lagi. Mak bukan mahu campur hal rumah tangga anak mak, cumanya hal kamu berdua ni tidak jelas. Mak nak kata takut memandai-mandai. Esok Ustaz Ilyas akan jelaskan sama ada sah atau tidak pernikahan kamu berdua. Kita rujuk yang lebih arif ya.” Puan Halimah menjelaskan panjang lebar.

Adra dan Daffa hanya mengangguk tanda faham dan jelas apa yang telah disampaikan oleh wanita ini.

“Daffa... walau apa pun yang berlaku selepas ini, kamu tetap menantu mak, putera kepada puteri mak ni.” Puan Halimah berkata dengan senyuman melebar.

Daffa yang mendengar sekadar membalas senyuman. Hendak suka atau tidak? Hatinya sendiri tidak pasti.

Bagi Adra, menjadi isteri kepada lelaki bernama Daffa Jawhar, mungkin bukan impiannya. Kata-kata emak tadi seolah-olah menjatuhkan hukuman kepadanya.

‘Kalau pernikahan mereka tidak sah, mak tetap mahu Daffa si singa jantan ini menjadi suaminya? Begitu? Tidak!’ bentak Adra dalam hati. Senyuman di bibir Daffa tidak dapat ditafsirnya. Senyuman yang penuh makna tersirat!

 

No comments:

Post a Comment