Banglo Warisan, Segamat...
“AKU terima nikahnya Wilda Safiyyah Binti Salaman dengan mas kahwinnya RM22.50 tunai.” Akhirnya, termeterai ikatan ijab dan kabul ke atas Wilda Safiyyah Datuk Salaman selepas Alif Furqan kembali sembuh setelah menjalani rawatan psikiatri selama beberapa bulan.
Datuk Salaman memandang tajam wajah anak muda di hadapannya itu. Wajah menantunya bersih persis pan-Asia. Baru sahaja sebentar tadi akad berjaya dilafazkan oleh Alif Furqan kepada anak gadisnya, Wilda Safiyyah.
Datuk Salaman masih ragu-ragu, mampukah anak lelaki tunggal Tan Sri Rafique itu membahagiakan anak manjanya? Perkenalan mereka terlalu singkat.
Teringat dia perbualan antara dia dengan Furqan sebelum tok kadi hadir.
“Ayah risau kamu tak boleh membahagiakan anak ayah selayaknya, Alif. Papa kamu dahulu kaki perempuan. Kaki clubbing. Bukan ayah tak tahu perangai suka foya-foya dia sepanjang kami belajar dahulu. Ayah takut kamu menurun perangai tak elok papa kamu, Alif.” Timbul kerutan pada dahi tua itu. Datuk Salaman menyatakan kerisauan hatinya. Dia kenal sangat perangai Tan Sri Rafique semasa mereka belajar di London dahulu.
“Insya-Allah tak, ayah. Pertama kali kami dipertemukan, saya sudah terpaut dengan kesantunan dan kemanisan wajah Wilda.” Tipu! Wilda Safiyyah itu berpurdah. Masakan dia boleh nampak wajah gadis itu. Sampai hati Datuk Salaman membandingkan dirinya dengan kelakuan negatif papanya semasa muda dahulu. Dia seorang yang setia. Buktinya, kematian Dhia Farhain menjadi ratapannya dahulu.
“Kamu berdua jagalah hubungan ini sebaik-baiknya. Jangan nanti ada yang menyalahkan antara satu sama lain. Urusan jodoh itu ketentuan Tuhan.” Mata tua Datuk Salaman memandang si anak yang berdebar-debar menunggu untuk diakadkan. Anak gadisnya memang ayu. Cantik persalinan baju pengantin rona putih eksklusif tempahan isterinya buat Wilda. Kain purdahnya juga daripada satin. Tempahan di butik mahal!
Furqan turut memasakkan pandangan yang sama. Dia terkesima. Mana tidaknya, hanya dua biji mata Wilda sahaja yang dapat dilihat tika itu. Entah cantik atau tidak wanita yang membungkus wajahnya itu.
Wilda ditatang bagai minyak yang penuh sedari kecil. Apabila Wilda menginjak dewasa, dia merupakan anak solehah buat ibu dan ayahnya. Sifat kelembutan dan keayuan Wilda itu menurun daripada ibunya, Datin Hayati.
Yang peliknya, Furqan perhatikan ibu mentuanya tidak pula berpurdah. Rasanya tidak wajib wanita Islam berpurdah, kan? Lain pula hubungannya dengan bapa mentuanya. Seakan tidak boleh serasi. Sebab sifat overprotective lelaki tua itu.
“Ayah doakan perkahwinan kamu berdua berkekalan hingga ke jannah. Ayah harap Alif mampu menjaga Wilda selayaknya. Yang lepas tu lupakan saja. Tiba masa untuk kamu pandang ke depan. Menyayangi wanita yang sanggup menerima baik buruk diri kamu. Ayah sayang anak-anak ayah.” Datuk Salaman memberi kata dua. Bahu sado anak muda itu ditepuk-tepuknya perlahan.
“Insya-Allah, ayah. Doakan yang baik-baik untuk kami berdua.” Songkok hitam atas kepala diperketatkan. Halkumnya turun naik menahan debar akan diijabkabulkan sebentar nanti.
“Kamu janji mencintai Wilda sepenuh hati, Alif?”
Erk! Furqan tergamam. Dia tidak ada jawapan yang kukuh untuk soalan sedrastik itu. Kenal betul-betul pun belum! Apatah lagi nak cinta? Betul ke orang kata bercinta sesudah kahwin itu menarik? Hmm...
“Ayah faham. Macam mana nak bercinta kalau kamu berdua pun belum berkenalan. Bercintalah hari-hari dengan Wilda sehingga ke akhir hayat kamu berdua. Cinta selepas nikah ni besar nikmatnya. Wilda baik orangnya. Penyayang lagi. Dia memang jodoh yang baik untuk kamu, Alif. Jangan persiakan Wilda. Jadikan dia isteri solehah buat kamu. Sama-sama nanti berpimpinan tangan ke syurga,” pesan Datuk Salaman lagi.
Datang tok kadi menghampiri mereka berdua. Sekali gus menamatkan perbualan mereka. Tok kadi sudah bersedia mahu menjalankan tanggungjawabnya.
Tan Sri Rafique tidak dapat hadir majlis akad nikah anaknya di Banglo Warisan, Johor. Ada urusan penting di Thailand. Tidak dapat dielakkan. Esok barulah dia berkesempatan meraikan majlis persandingan anaknya di vila agamnya. Dan... jandanya, Puan Charlotte juga akan hadir sama memeriahkan majlis perkahwinan anaknya. Puan
Charlotte diceraikan hampir 20 tahun yang lalu; mummy Alif Furqan. Waktu itu, Furqan masih kecil. Masih di tadika lagi.
20 tahun yang lalu, 1998...
“KITA DAH tak sehaluan lagi, Raff. Ceraikan I! I rela balik ke Tokyo semula. Sini bukan dunia I.” Charlotte menangis teresak-esak.
“Oh, mudahnya you cakap! Time sayang, you sanggup kahwin dengan I. Time timbul masalah besar macam ni, you minta cerai. Perempuan jenis apa you ni, Char!” Rambut beetle diraup kasar ke belakang. Ombak dada Rafique turun naik sedari tadi.
“You tanya I perempuan jenis apa? Perempuan mana yang rela dimadukan, Raff? Anak kita masih kecil tau! Kalau you memang nak kahwin dengan perempuan Melayu pilihan mak you, I rela diceraikan. I nak balik ke Jepun semula.” Tangisan masih mengiringi wajah sayu Charlotte. Hidung yang meleleh hingus dikesat rakus. Serta-merta bertambah merah hidung putih melepak itu.
“I tak izinkan, Char. You jangan macam-macam! I minta you cara baik dengan keluarga you. I pulang pun kena cara baik juga. I ada maruah, Char. I ada maruah!” Rafique berdiri betul-betul di hadapan Charlotte yang duduk di sofa. Mata mereka bertentangan.
“Betullah you memang nak melamar perempuan Melayu itu, kan? You memang dah tak sayangkan perkahwinan kita, kan?” Charlotte naik angin. Semudah itukah perjalanan rumah tangganya? Hampanya dia bersuamikan Rafique.
Rafique melutut di hadapan Charlotte. Tangan lembut anak Jepun itu digenggam dan dibawa ke dada bidangnya. Mata isterinya ditenung sayu.
“I masih sayang dan cintakan you, Char. Aishiteru dayo! (Saya sayangkan awak, tahu!) Please understand me, my dear. Ini arahan mak I dan I benar-benar terikat. Dia boleh terima you tapi dia letakkan syarat I kena berkahwin dengan pilihannya juga.” Selembut habis Rafique memujuk isterinya. Charlotte masih menggeleng-geleng tidak dapat menerima kenyataan yang satu itu. Dia tidak mahu dimadukan! Susah sangat ke suaminya nak faham? Bermadu adalah racun berbisa bagi seorang isteri.
“Raff, kalau macam tu, kita tinggal di Tokyo sahaja ya?” Charlotte pula cuba memujuk perlahan. Mana tahu pujukannya kali ini terkesan di hati suaminya.
“I boleh sayang, tapi keluarga I akan buang I selama-lamanya. You should understand that. Kalau tak ada parents I, I tak wujud atas dunia ni, Char. I tak dapat jumpa you dan berkahwin dengan you, Char. You tak sayangkan I ke, Char sampai you mahu pulang ke Tokyo semula, sayang? I nak anak kita dibesarkan di sini... kenal budaya sini, mengenali Islam di sini.” Sedaya upaya Rafique cuba memahamkan isterinya. Dia tersepit antara kemahuan isterinya dan permintaan ibunya.
“Oh, you nak cakap yang di Tokyo susah mahu kenal Islam? Yang selama ini I mengaji tentang Islam itu bukan di Jepun? Huh, mudahnya you cakap, Raff!” Charlotte tidak puas hati apabila isu mengenai agama dibangkitkan.
“Char, bukan itu maksud I. You tak faham.” Rafique memegang kedua-dua pipi Charlotte perlahan. Muka mereka jaraknya hanya beberapa inci sahaja.
“Habis tu maksud you apa, Raff? Islam sudah tersebar di Tokyo lama dahulu. Sudah menyeluruh pun. Apa masalahnya kalau kita besarkan anak kita di Tokyo sana?”
“Char, di Malaysia ini banyak kemudahannya. Sini agama rasmi ialah agama Islam. Senang anak kita mahu menerima pelajaran tentang Islam. Rumah kita ini, tak sampai 10 minit sudah jumpa masjid. Laungan azan juga kedengaran dari sana. You kata you suka duduk di Malaysia, Char. Belajar tentang budaya I,” pujuk Rafique lagi. Hidungnya sengaja dilagakan dengan hidung mancung Charlotte. Nose-to-nose. Serta-merta Charlotte menjarakkan wajahnya.
“I suka. Kalau tak ada orang ketiga dalam rumah tangga kita. I tetap dengan keputusan I, Raff. Kalau you tetap mahu berkahwin dengan pilihan mak you, I nak balik ke Tokyo semula. I tak mahu terseksa seorang di sini, sedangkan you bahagia dengan dia.” Charlotte muktamad dengan keputusannya.
“You memang nekad, Char? You memang sudah tak sayangkan I lagi ke Char? Semudah itu you minta cerai. Mentang-mentang kuasa cerai di tangan I. Ke you memang sudah ada lelaki Jepun lain yang tunggu you di sana, hah?” Rafique hilang sabar. Tidak habis-habis isterinya membangkitkan isu minta dilepaskan. Perkahwinan mereka selama ini bahagia sahaja. Kenapa mudahnya kini berantakan? Ibarat telur di hujung tanduk.
“Astaghfirullah, Raff. You jangan menuduh sembarangan ya. You tu yang terang-terang sudah ada perempuan lain. Jangan nak menuduh I yang bukan-bukan pula. You pergi keluar dan tanya siapa-siapa. Perempuan mana yang rela diduakan atau dimadukan? Tak ada, tahu!”
“Char, I terpaksa ikut kata-kata mak I. I sayang you seorang sahaja. I sayang anak kita. I sayang perkahwinan kita. I tak suka pun perempuan pilihan mak I tu. Percayalah!”
“Kalau you sayang I, you tak akan sakiti hati I, Raff. You tak akan bagi-bagikan kasih sayang kami pada keluarga baharu you nanti.” Charlotte sudah berdiri tegak. Dia nekad dengan keputusannya. Rafique juga turut berdiri sama. Menentang lahar kemarahan Charlotte.
“Baik, Char. You boleh balik ke Tokyo semula kalau itu mahu you. Dengan syarat, Alif Furqan Bin Rafique mesti tinggal dengan I di sini. Muktamad!” Dipaksikan kuasa veto sebagai seorang suami pula.
“Nani! (Apa!)” Terduduk semula Charlotte. Tidak mungkin dia dapat berjauhan dengan anak kesayangannya. Tidak mungkin! Air matanya mengalir semula.
“Hak penjagaan Alif milik I. I berhak besarkan dia di Malaysia. You tak akan dapat bawa dia ke Jepun. Never!” Rafique sudah berpaling mahu meninggalkan Charlotte di ruang tamu rumah mereka. Namun, langkahnya tertahan dek pautan kuat pada lengannya.
“How dare you, Raff! I am his mummy. I ada hak atas anak yang I kandung.” Kemarahan Charlotte mencanak naik. Merah padam wajahnya.
“You memang ada hak. I tak halang kalau you nak jumpa Alif. Tapi kalau you nak bawa dia ke Tokyo semula, langkah mayat I dahulu. Dia mesti dibesarkan di sini. Di Malaysia.” Itulah kata-kata terakhir Rafique sebelum dia meninggalkan Charlotte keseorangan di rumah itu.
Mujur Furqan tidak menyaksikan pertelingkahan hebat papa dan mummynya di rumah itu. Neneknya awal-awal lagi sudah mengajaknya tinggal di kampung. Memberi ruang anak dan menantunya menyelesaikan isu besar untuk Rafique berkahwin dua.
No comments:
Post a Comment