DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 18 May 2023

Bonjour, Mon Amour - Bab 2


PANDANGAN mata Layla tidak lepas memerhatikan dua orang lelaki yang sedang sibuk mengikut demonstrasi membuat chocolate fondant yang ditunjukkan oleh Tuah. Tanpa sedar dia tersenyum sendiri kerana hanya meja tersebut yang kedua-duanya peserta lelaki. Meja-meja yang lain dipenuhi dengan pasangan ataupun kedua-duanya peserta perempuan.

Menurut pandangan matanya, nampak betul yang lelaki berhoodie hitam itu dipaksa oleh lelaki yang memakai baju-T Polo biru tua. Gaya rambut berserabai lelaki tersebut menyokong idea Layla yang lelaki itu mungkin sedang seronok tidur tetapi dipaksa datang ke sini.

Layla menggeleng kepala perlahan apabila dua biji telur yang sepatutnya dipukul bersama-sama dengan gula dan garam sehingga menjadi putih dan kembang hanya dikacau-kacau tanpa tujuan oleh lelaki yang berhoodie itu. Terus dia berjalan merapati meja tersebut.

“Tak boleh pukul macam tu,” tegur Layla.

Sorry, nak pukul siapa?” soal lelaki berhoodie hitam itu dan tanpa ditahan Layla terus tergelak-gelak.

“Tak ada pukul siapa-siapa. Saya maksudkan pukul telur dalam mangkuk tu.”

Lelaki itu hanya diam dan merenung mangkuk kaca di hadapan mata.

“Biar saya tunjukkan nak kena buat macam mana. Kalau kacau-kacau macam tu aje, sampai esok pun telur takkan kembang.”

Mangkuk kaca sudah bertukar tangan dan Layla mengambil alih tugas memukul telur sehingga kembang sebelum mangkuk diletakkan semula di hadapan lelaki berhoodie itu. Layla kembali semula ke kaunter utama mendapatkan Luth yang sedang menghadap MacBook di atas meja kaunter.

“Tengku Qadr Naufal. You can thank me later,” ucap Luth tiba-tiba dengan mata masih pada skrin MacBook.

“Hah?” Layla memandang pelik ke arah Luth.

“Nama the guy in black hoodie tu. In case you  are wondering who he is,” jawab Luth sambil tersenyum mengusik memandang Layla.

“Layla tak tanya pun.”

“Tak apalah, abang saja aje nak beritahu. Ke Layla suka dengan yang sebelah dia tu? Yang tu tak boleh ya, sebab suami orang dan dah ada anak sorang.”

“Abang Luth ni pelik-pelik aje.” Cepat-cepat Layla menarik keluar iPhone dari dalam poket seluar jean. Secara senyap-senyap anak mata Layla mengintai semula Qadr yang sedang memegang telinga sendiri selepas menyentuh bekas acuan yang panas.

“Trend budak-budak muda sekarang memang pegang handphone terbalik eh?” tegur Luth.

“Tak pernah dengar...” Jeda dan Layla baru tersedar yang dia memegang iPhone dalam keadaan terbalik. Cepat-cepat dipusingkan semula iPhone di tangan manakala Luth di sebelah sudah tergelak-gelak. Kan dah kantoi mengintai!

 

 

‘BAKING CLASS With You’ yang dianjurkan oleh Pahlawan Café tamat tepat pada pukul 4.30 petang. Para peserta yang lain sudah mula beransur-ansur pulang kecuali Qadr dan abangnya; Qaid. Layla yang sedang menolong Tuah dan Lekiu mengemaskan kafe perasan yang Luth sedang rancak berbual dengan Qaid sementara Qadr sedang duduk di tepi sambil mengemas meja.

“Nah.”

Suara garau yang tiba-tiba menegur dari sisi itu membuatkan Layla tidak jadi untuk mengangkat kerusi ke atas meja. Terpinga-pinga dia seketika apabila Qadr sudah berdiri dengan tangan kanan menghulurkan bekas yang berisi chocolate fondant bersaiz kecil kepadanya.

“Untuk awak sebab tadi awak tolong kita orang pukul telur dengan cara yang betul. Kalau tak, rasa-rasanya memang tak menjadi chocolate fondant hari ni.” Qadr mengukir senyum memandang Layla yang masih tegak berdiri.

“Terima kasih.” Bekas yang berisi kek sudah bertukar tangan. Pandangan mata Layla masih tidak lepas memandang Qadr yang masih tersenyum. Senyuman yang manis sungguh dan bertambah-tambah manis dengan pakej lesung pipit di pipi kanan lelaki itu.

“Yang awak punya tu yang saiz kecil sebab yang versi besar abang saya dah simpan siap-siap nak bawa balik rumah.”

Layla hanya tersenyum nipis kerana dia masih dalam keadaan terkejut sebenarnya. Terkejut disebabkan Qadr senyum kepadanya kerana dia ingatkan lelaki itu sombong dan paling mengejutkannya, kerana tiba-tiba lelaki itu menghadiahkan chocolate fondant hasil tunjuk ajar Tuah sewaktu kelas tadi.

“Hai, Layla!”

Suara lelaki yang tiba-tiba muncul membuatkan Layla terus menoleh. Kelihatan Waiz iaitu anak kawan abah yang dia sudah kenal lama melambai-lambai ke arahnya.

“Okey, gotta go.” Qadr menghantar isyarat mata kepada Waiz yang sedang berjalan menghampiri Layla.

Belum sempat Layla membalas tetapi Qadr sudah berlalu mendapatkan abangnya yang masih bersembang dengan Luth.

“Siapa tu?” soal Waiz sambil turut memandang ke arah Qadr.

“Salah seorang peserta baking class hari ni,” jawab Layla dengan pandangan mata masih ke arah Qadr yang sedang bergelak ketawa dengan Luth sebelum dipandang Waiz yang juga memandang ke arah Qadr, Qaid dan Luth.

“Kau ni kenapa tiba-tiba muncul kat sini?” soal Layla sedikit pelik.

Senyap dan Waiz masih lagi memandang ke arah Qadr, Qaid dan Luth yang masih rancak bersembang.

“Waiz? Helooo? Kau mengelamun apa?”

“Hah? Eh, sorry, sorry. Aku datang nak ambil kek yang aku dah tempah semalam.”

Uuu... nak bagi girlfriend ke?”

Girlfriend apo? Untuk mommy akulah.”

“Yalah, yalah. Kau kan mama's boy. Sebab itulah sampai sekarang tak ada steady girlfriend sebab takut dengan mak walaupun girlfriend ramai keliling pinggang.”

“Layla!”

Layla sudah tergelak-gelak.

“Nak gurau pun tabuleh. Kejap, aku panggilkan Lekiu sebab tadi aku nampak dia macam pergi dapur. Kau tempah kek dengan dia, kan?”

“Agaknyalah kut sebab aku pun tak boleh beza mana satu Lekiu dan mana satu Tuah. Muka sama aje masing-masing pun.”

Layla ketawa lagi. Betul juga tu kerana dia sewaktu awal-awal mengenali pasangan kembar seiras itu beberapa tahun lepas, memang dia sendiri pun keliru.

“Kau tunggu sekejap. Aku pergi cari Lekiu kat dapur.”

 

No comments:

Post a Comment