DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 18 May 2023

Bonjour, Mon Amour - Bab 7


PENERBANGAN Malaysia Airlines dari KLIA selamat mendarat di Lapangan Terbang Heathrow selepas hampir 14 jam tempoh perjalanan di udara. Para penumpang transit di Heathrow selama dua jam sebelum menaiki pesawat British Airways untuk meneruskan perjalanan ke Paris Charles de Gaulle Airport yang memakan masa selama satu setengah jam.

Sewaktu Layla menaiki kapal terbang yang membawa dia dan para penumpang lain ke Paris, dia sudah tidak duduk bersebelahan dengan Orked dan daddy Orked. Sebelum mereka turun selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Heathrow tadi, sempat dia memberi kad namanya kepada Orked tanpa disedari oleh Qadr. Sebaik sahaja pesawat British Airways selamat mendarat di Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle, terus Layla menguruskan urusan pengambilan bagasi dan bergerak ke balai ketibaan memandangkan Dhiya a.k.a. housemate terchenta dia mahu menjemputnya pulang hari ini.

“Dhiyaaaaa!!!” Layla bersorak riang sebaik sahaja anak matanya menyedari yang Dhiya sudah menunggu di balai ketibaan. 

“Layla! Rindunya aku dengan kau!” balas Dhiya sebelum mereka berdua berpelukan erat.

“Terharunya aku sebab kau datang jemput aku dekat airport ni. Kau tak ada kelas ke hari ni?” soal Layla.

“Kelas cancel. Sebab tu aku boleh datang jemput kau kat sini. Rezeki kau jugak sebab Chloe bagi aku pinjam kereta dia,” jawab Dhiya sambil tersenyum memandang Layla memandangkan hampir dua minggu mereka tidak berjumpa disebabkan Layla pulang ke Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah... aku pun dah tak larat kalau nak heret luggage ni naik bas. Tadi aku terfikir nak naik cab aje balik rumah,” balas Layla.

Apabila dia teringatkan Orked dan daddy Orked, terus dia memusingkan tubuh menghadap balai ketibaan tetapi bayang Orked dan bayang lelaki tinggi lampai itu tidak kelihatan langsung.

“Kau cari siapa? Ada orang yang kita kenal naik flight yang sama dengan kau ke?” tegur Dhiya apabila perasan yang Layla sedang memanjangkan lehernya memandang orang ramai yang keluar dari balai ketibaan.

“Tak ada siapalah,” jawab Layla dan dipusingkan semula tubuh menghadap Dhiya yang sedang memandang lama luggage di sisinya.

“Serunding daging yang aku pesan tu kau ada bawa, kan? Maggi kari? Kicap manis cap Kipas Udang? Keropok keping?” soal Dhiya dengan sepasang mata yang terkedip-kedip memandang Layla.

“Kau ingat aku ni vending machine makanan ke? Tak nak tanya kot-kot aku ada bawa balik pasar raya Mydin sekali?” Terus Dhiya ketawa lepas.

“Kalau kau vending machine, kaulah vending machine yang paling comel yang aku pernah tengok,” usik Dhiya tetapi disambut dengan kerutan dahi Layla.

“Kau sebenarnya lagi risaukan serunding daging kau daripada aku, kan? Sebab tu kau datang jemput aku kat airport ni.” Layla sudah mengecilkan mata memandang Dhiya yang tersengih-sengih lawa.

“Aku risaukan kaulah.”

“Yalah tu.”

“Dan... aku risaukan serunding daging aku jugak. Dan... makanan lain yang aku pesan tu.”

“Aku dah agak!”

Dhiya ketawa senang sebelum dia memaut erat bahu Layla.

“Guraulah! Jomlah, kita gerak balik rumah. Aku tak sabar nak makan croissant dengan serunding daging tu.”

“Dhiya Amirah!”

Dhiya sambung ketawa sebelum dia menolak troli bagasi Layla ke arah kereta yang diparkir tidak jauh dari situ. Apabila menyedari yang Layla berjalan lambat-lambat di belakang sebaik sahaja mereka keluar dari pekarangan airport, Dhiya memusingkan tubuh menunggu Layla.

“Layla, kau tengok apa yang khusyuk sangat tu?” soal Dhiya pelik.

Someone yang aku sempat kenal dalam flight from KL semalam,” jawab Layla sambil anak mata memerhatikan Orked yang sedang dalam dukungan Qadr. Ada sebuah kereta Peugeot 3008 berwarna putih berhenti di ruang menunggu dan ada seorang lagi lelaki Melayu yang membantu menyimpan bagasi ke dalam but kereta.

Apabila pandangan mata Layla bertemu dengan Orked, laju sahaja si comel itu melambai-lambaikan tangannya ke arah Layla. Elok sahaja Layla membalas lambaian tangan Orked, tiba-tiba sahaja Qadr mengalihkan pandangan matanya ke arah Layla dengan riak wajah yang serius. Amboi, bukannya nak culik anak dia pun!

“Dhiya, jom kita balik! Kau tak sabar nak makan croissant dengan serunding daging kan tadi?” Cepat-cepat Layla melarikan pandangan mata dan melajukan langkah kaki.

 

No comments:

Post a Comment