DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 17 May 2023

Dia... Masih Di Sini - Bab 10


HAMPIR jam 7 malam barulah Elman keluar dari pejabat. Belakang lehernya diurut sedikit. Seharian bekerja membuatkan dia berasa sangat penat.

Dia masuk ke dalam lif. Sampai di tingkat lapan, pintu lif terbuka. Tapi tiada sesiapa yang berada di hadapan lif. Belum sempat dia menekan butang tutup, terdengar suara seseorang dari luar lif. Pantas dia menekan butang buka.

“Nasib baik sempat. Terima...” Terpaku Qaireen.

Elman lagilah terkejut.

“Awak tak balik lagi?”

Qaireen masuk ke dalam lif bersama beberapa fail di tangan.

“Hari ni saya banyak kerja. Ini pun terpaksa bawa balik. Tak sangka tuan pun balik lewat.”

Elman merengus kasar. Kedua-dua tangannya sudah bercekak ke pinggang.

“Tak perlu nak balik lewat. Kerja awak sampai pukul 5.30 petang. Company takkan bayar gaji lebih juga kepada awak.”

Mencebik bibir Qaireen. Teruk betul majikannya ini. Orang dah rajin bekerja, patutnya pujilah sikit!

“Tuan dah tekan ke tingkat bawah?” soal Qaireen. Lama pula nak sampai ke tingkat bawah.

“Dah.” Elman turut bingung. Dia memandang ke atas. Baru dia sedar nombor yang menyala itu tidak bergerak. Pantas Elman menekan butang buka. Namun pintu lif tak berfungsi.

“Kenapa?” cuak Qaireen.

“Saya rasa... lif ni dah rosak.”

“Tak lawak, tuan.”

“Awak ingat saya ada masa ke nak buat lawak sekarang?”

Tertelan air liur Qaireen. Fail di tangannya dicampak ke lantai lif. Tubuh lelaki itu ditolak ke tepi. Tergamam Elman.

“Tolong... tolong kami! Kami terperangkap di tingkat 8,” jerit Qaireen sambil menekan butang keselamatan. Sekali lagi Qaireen mencuba, tetapi masih gagal mendapatkan bantuan.

“Macam mana ni, tuan?” Qaireen hampir menangis. Dia paling tak suka terperangkap di dalam lif.

Elman mengeluarkan telefon bimbitnya. Nafas dihela berat. Tiada talian di dalam lif.

“Masalah juga ni. Telefon tak boleh guna. Lif langsung tak berfungsi.” Dia melonggarkan tali lehernya. Beg kerja diletakkan ke tepi dinding bersama kot miliknya.

Qaireen dah bersandar lemah di dinding lif.

“Tuan fikirlah sesuatu. Takkan kita nak bermalam dekat sini?”

“Awak jangan nak merepeklah. Takkanlah kita akan terperangkap sampai esok.”

Sudah hampir sejam mereka terkurung. Qaireen rasa dah sesak nafas. Butang kemeja di tubuhnya ditanggalkan satu per satu.

Terbeliak biji mata Elman. Pantas dia memegang kedua-dua lengan Qaireen. Tertelan air liurnya melihat sebahagian dada gadis itu sudah terdedah. Mujurlah Qaireen memakai singlet di dalam.

“Awak buat apa ni?”

“Lepaslah, tuan. Saya panas sangat ni. Rasa tak boleh nak bernafas.” Dia tak berbohong. Nafasnya terasa sempit.

“Jangan macam ni. Tak elok. Saya ni lelaki normal.” Elman cuba memberi amaran.

“Takkanlah dalam keadaan darurat ni pun tuan masih bernafsu dengan saya?” Tubuh lelaki itu ditolak kasar.

Terlepas saja tangan lelaki itu daripada pergelangan tangannya, baju kemejanya ditanggalkan di hadapan Elman. Barulah dia rasa lega sedikit.

Tiba-tiba dalam sekelip mata tubuhnya ditolak ke dinding. Tergamam Qaireen apabila wajah lelaki itu sangat dekat dengannya. Malah ada baju kot ditutup di bahagian depan badannya.

“Pakai kot ni sekarang.” Keras Elman memberi amaran.

“Panaslah...”

Terdiam Qaireen apabila mulutnya ditekup dengan tapak tangan Elman. Bibir lelaki itu melekat di belakang tapak tangan lelaki itu sendiri. Jika tangan itu beralih, sudah tentu bibir mereka bersentuhan.

“Ini amaran saya yang terakhir. Saya lelaki normal. Jangan buat sesuatu yang boleh buat awak menyesal.”

Qaireen angguk sedikit. Jantungnya rasa dah nak terkeluar sekarang. Sebaik saja Elman berundur ke belakang, cepat-cepat Qaireen memakai kot lelaki itu.

Tiba-tiba keadaan di dalam lif bertukar gelap. Menjerit Qaireen disebabkan terlalu takut. Tubuh lelaki itu didakap erat.

Arghhh! Saya nak keluar dari sini! Tolong!”

Elman kaku di tempatnya berdiri. Tubuh Qaireen masih melekat di tubuhnya. Sungguh imannya sudah senipis kulit bawang.

“Bertenang. Tak lama lagi ada yang tolong kita.”

“Tuan tipu! Dah sejam kita terkurung. Nak tunggu kita dah mati dulu baru ada yang datang ke?”

Mengamuk Qaireen. Nama saja syarikat besar, tapi soal keselamatan tidak diambil berat.

“Saya nak balik. Saya tak nak mati dekat sini.” Tanpa sedar, Qaireen sudah menangis.

Cuak Elman.

“Ya, saya tahu.” Terpaksalah Elman memujuk. Dia membawa gadis itu duduk di sudut lif. Disebabkan keadaan gelap, Elman menggunakan lampu di telefon bimbitnya.

“Tuan nak ke mana?” Cepat-cepat Qaireen menarik lengan Elman agar duduk di sebelahnya.

“Saya duduk sana. Awak duduk sini.”

“Tak nak. Saya takut.”

Elman memejamkan mata. Nak menolak, dia tak sampai hati melihat gadis itu terus menangis. Akhirnya dia duduk di sebelah Qaireen.

Masing-masing terdiam seketika. Tiba-tiba bahunya terasa berat. Elman menoleh ke sebelah.

“Saya rasa mengantuk, tapi saya tak nak tidur. Tuan berbuallah dengan saya.”

Kepala Elman terdongak ke atas. Dia sendiri tiada idea untuk berbual dengan Qaireen. Butang baju kemejanya turut dibuka habis. Bahang semakin terasa.

“Kita pernah jumpa ke sebelum ni?”

“Kan saya dah pernah jawab dulu.”

“Maksud saya, sebelum awak bekerja di sini. Kita pernah jumpa ke?”

Qaireen angkat kepalanya. Wajah samar-samar Elman dipandang tak berkelip.

“Tuan ingat saya?”

Berkerut dahi Elman. Kepalanya menoleh ke sebelah.

“Maksud awak?”

Berdecit lidah Qaireen.

“Saya yang tanya tuan. Jawablah soalan saya.”

“Masalahnya saya yang tanya awak dulu. Kenapa tak jawab?”

Serentak mereka ketawa. Sampai esok pun takkan habis kalau masing-masing bersoal saja.

“Saya anak yatim piatu.”

Mati senyuman Elman.

“Keluarga tuan pernah datang bagi sumbangan ke tempat kami dulu.” Kepalanya bersandar di bahu Elman. Bau wangian lelaki itu disedut dalam.

“Masa tu tuan sombong sangat.”

Qaireen tersenyum setiap kali teringat peristiwa itu.

“Sekarang pun tuan masih sombong.”

Elman sebenarnya masih terkejut. Tak sangka gadis itu masih mengecam wajahnya.

“Saya jarang berkawan rapat dengan mana-mana perempuan. Kecuali dengan umi, adik perempuan saya dan...”

“Dan siapa?”

Elman berdeham sedikit.

“Amylea.”

Terus berubah air muka Qaireen. Dia fikir lelaki itu akan menyebut namanya.

“Teman wanita tuan eh?”

“Kalau dia teman wanita saya, saya takkan biarkan awak tidur atas bahu saya.”

Qaireen sembunyi senyum. Maksudnya lelaki ini masih belum ada teman istimewa. Hatinya kembali berbunga. Nafasnya terasa semakin sempit. Dia cuba bertenang.

“Saya pernah nampak awak bersama seseorang. Lelaki tu nampak bukan orang sembarangan. Itu teman lelaki awak ke?”

Qaireen tak menjawab.

“Kenapa diam? Betullah yang lelaki tu teman lelaki awak?” Elman menunduk sedikit. Tiba-tiba kepala Qaireen jatuh di atas ribanya. Cuak Elman. Tubuh itu diangkat sedikit.

“Qaireen! Bangun!”

Wajah itu sudah basah dengan kesan peluh. Elman tiada pilihan. Dia terpaksa menanggalkan kot pada tubuh gadis itu, hanya tinggal singlet. Tubuh Qaireen diangkat sedikit agar bersandar di dadanya.

“Qaireen! Awak jangan takutkan saya!”

Elman rasa nak pitam di situ. Sudahlah keadaan Qaireen masih tidak sedarkan diri. Dalam sekelip mata keadaan yang gelap berubah terang. Pada masa yang sama, pintu lif terbuka luas.

Cepat-cepat Elman mencempung tubuh itu keluar. Barang-barang yang lain ditinggalkan di dalam lif.

Namun Elman terduduk lemah kemudiannya. Tubuh Qaireen masih tidak dilepaskan.

“El!”

Elman memandang ke arah suara itu. Matanya terbuntang luas melihat semua ahli keluarganya berada di situ.

Anak matanya jatuh ke arah Qaireen. Baru dia sedar gadis itu hanya memakai singlet yang nipis. Manakala pakaian di tubuhnya pula tidak sempurna.

“Apa yang El dah buat ni???” Suara Hajah Natasya bergema di situ.

Elman menghela nafas berat. Dalam keadaan mereka begini, sudah tentu menimbulkan salah faham pada mata ahli keluarganya.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/ WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment