DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 17 May 2023

Dia... Masih Di Sini - Bab 3


QAIREEN rasa tak sedap hati. Hari ini dia pulang ke sekolah agak lewat disebabkan membuat ulang kaji di perpustakaan. Disebabkan Afia tidak sihat, hanya dia yang berada di sekolah selepas menjawab kertas peperiksaan pagi tadi.

Esok hari terakhir dia menjawab kertas peperiksaan SPM. Dia sudah tidak sabar untuk keluar dari rumah anak-anak yatim itu. Mungkin dia boleh mencari pekerjaan di bandar sementara menunggu keputusan SPM.

Tiba-tiba muncul sebuah van di sebelah. Qaireen berundur ke belakang. Tak sempat dia melarikan diri, ada dua orang lelaki asing menangkap tubuhnya dan mencampak dia ke dalam van.

Qaireen menjerit sekuat hati. Wajahnya ditampar kuat membuatkan dia menggigil ketakutan.

“Kau jangan nak melawan. Kalau kau tak nak sakit, diam!”jerkah lelaki yang memakai topeng itu.

Teresak-esak Qaireen menangis. Dalam hati, dia berdoa semoga dirinya selamat. Hampir setengah jam kemudian, dia dipaksa masuk ke dalam sebuah bangunan kosong. Beg sekolahnya dipeluk erat ke dada.

“Duduk sini!”

Menyeringai wajah Qaireen apabila tubuhnya ditolak ke dinding. Dia memandang ke sekeliling kawasan itu. Tempat itu terlalu tersorok. Sudah tentu sukar untuk dia mendapatkan bantuan.

“Kami dah tangkap budak tu, bos.”

Lelaki itu memandang ke arah Qaireen.

“Ya. Kami faham.”

Selepas panggilan tamat, lelaki itu duduk mencangkung di hadapan Qaireen. Senyuman sinis terukir di bibirnya.

“Nasib baik bos aku dah bagi amaran supaya tak usik kau.”

Qaireen berundur ke belakang.

“Kau ni cantik. Patutlah bos aku tu berkenan.”

“Si... siapa?” Takut-takut Qaireen menyoal.

Lelaki itu berdiri tegak. Dia mengeluarkan sebatang rokok dari poket baju.

“Kejap lagi kau akan tahu.”

Qaireen rasa nak meraung. Air mata tidak putus-putus mengalir daripada pipinya.

‘Allah... selamatkanlah aku.’

 

 

BUNYI BARANG jatuh mengejutkan Qaireen. Suasana di sini sudah gelap. Tak sedar dia terlelap di dinding. Jam tangannya sudah menunjukkan hampir pukul 10 malam.

Tiba-tiba dia teringat ada membawa telefon bimbitnya bersama ke sekolah. Pantas dia mencari di dalam beg sekolah. Mujurlah dia membuat tetapan senyap pada telefon bimbitnya itu.

Ada banyak mesej dan panggilan masuk ke telefonnya. Semuanya daripada Afia. Cepat-cepat dia menghantar mesej kepada gadis itu untuk mendapatkan bantuan. Tak lama kemudian, gadis itu menghubunginya.

“Seriuslah, Reen.”

“Ya. Kau minta tolong dengan mereka sekarang. Aku...”

Terdengar suara orang bercakap sedang menghala ke situ. Wajah Qaireen pucat.

“Kau jangan bercakap. Aku buat loudspeaker.”

Qaireen segera menyembunyikan telefon itu ke dalam poket baju kurung. Dia berpura-pura tidur.

“Bangun, budak.”

Kepalanya ditolak kasar. Qaireen bukakan mata. Wajahnya berubah riak saat terpandang susuk tubuh yang berdiri di belakang penculik tersebut.

“Kau...”

“Terkejut tengok aku?” Zayed ketawa sinis. Dia menarik tudung sekolah Qaireen dengan kasar.

Terjerit Qaireen gara-gara terkejut.

“Kau memang cantik. Dah lama aku perhatikan kau, tapi kau ni sombong. Tak macam Hana. Bodoh! Ikut aje apa yang aku nak.”

Qaireen masih tak percaya. Tergamak lelaki itu cuba membuat onar terhadapnya.

“Kau nak apa daripada aku?”

“Aku?” Zayed duduk mencangkung di hadapan Qaireen.

“Disebabkan kau dah ugut aku, aku perlukan jaminan supaya kau takkan bongkar rahsia aku.”

Berkerut dahi Qaireen.

“Malam ni aku nak ajar kau, macam mana nak hormat aku yang lebih tua.”

Zayed menanggalkan baju kemejanya. Qaireen menggigil ketakutan. Manakala lelaki yang menculiknya sudah bersedia merakam perbuatan terkutuk Zayed.

“Kau takkan berani dedahkan rahsia aku lagi. Sebab... aku akan simpan kenangan kita malam ni.” Kaki Qaireen ditarik kasar sehingga terbaring di hadapannya. Lalu Zayed segera menindih tubuh gadis itu.

Sekuat hati Qaireen menjerit apabila bibir lelaki itu sudah berada di lehernya.

“Reen!”

Suara itu menghentikan pergerakan Zayed. Tajam anak matanya merenung wajah Qaireen.

“Kau takkan terlepas. Kawan aku dah tahu siapa sebenarnya kau.” Qaireen meludah ke wajah Zayed.

Bengang Zayed. Dia mencari telefon bimbit gadis itu. Sebaik saja dia berjaya merampas telefon itu, wajah Qaireen ditampar kuat.

“Tak guna! Aku bunuh kau!”

Kepala Qaireen dihentak ke lantai. Hilang nafsunya terhadap gadis itu gara-gara tindakan berani gadis itu.

“Bos! Mati budak tu, bos!”

“Biar dia mati!”

“Bos memang dah gila. Aku tak nak masuk campur.” Lelaki itu pantas melarikan diri.

Nafas Qaireen rasa tersekat apabila lehernya dicekik. Dengan kudrat yang ada, dia mencapai batang besi yang berada di sisinya. Sekuat hati dia memukul kepala Zayed. Menggelupur Zayed menahan sakit.

Qaireen menolak tubuh lelaki itu jauh daripadanya. Terhuyung-hayang Qaireen melarikan diri dari bangunan itu. Tak sedar kakinya sudah berada di jalan besar. Kepalanya terasa sakit. Hampir saja dia dilanggar oleh sebuah kereta.

Tubuhnya rebah di atas jalan tar. Sayup-sayup dia terdengar suara seseorang bertanyakan tentang keadaannya. Matanya terpejam rapat. Hanya perkataan ‘tolong’ yang sempat diucapkannya sebelum tidak sedarkan diri.

 

 

SETELAH SEMINGGU berada di hospital, barulah Afia datang melawatnya. Afia tahu Qaireen sangat sedih kerana tidak mampu menjawab kertas peperiksaan terakhir.

Zayed sudah ditangkap. Kemungkinan semua penghuni di rumah anak yatim itu akan dimasukkan ke rumah kebajikan yang lain.

“Siapa yang tolong kau?”

Qaireen menggeleng. Yang dia tahu, lelaki itu membawanya ke hospital. Selepas beberapa hari dia sedar, lelaki itu tidak pernah pun muncul.

“Kaki kau okey?”

“Sikit aje.” Afia memandang ke arah kakinya yang masih berbalut.

Qaireen terharu dengan kesungguhan Afia. Sanggup gadis itu berlari dengan berkaki ayam mencari seseorang untuk menyelamatkan dirinya. Kaki Afia terkena sesuatu yang tajam ketika cuba mendapatkan bantuan.

“Aku dah bawa semua barang-barang kau. Dokumen penting pun ada dalam beg ni. Kau nak buat apa dengan barang-barang ni?” soal Afia.

“Aku nak pergi dari sini.”

Tergamam Afia.

“Aku nak cari kerja. Keputusan SPM aku pun dah tak ada makna lagi. Aku kena cari duit untuk ambil peperiksaan sekali lagi.”

Afia bersimpati dengan nasib Qaireen. Gadis itu bijak tapi disebabkan perbuatan bodoh Zayed, Qaireen menjadi mangsa.

“Aku nak beritahu kau tentang Hana.”

Qaireen masih tayang wajah bersahaja. Langsung tak berminat untuk mengambil tahu tentang perempuan simpanan Zayed.

“Hana meninggal.”

Laju Qaireen menoleh ke sebelah.

“Meninggal?”

Ermmm... dia bunuh diri.”

“Allah...” Mengucap panjang Qaireen dalam hati.

“Dia mengandung. Zayed tu tak nak bertanggungjawab. Sekarang jantan tak guna tu dah masuk penjara. Mungkin sebab tu...” Tak sanggup Afia habiskan ayatnya. Mereka masih terkejut dengan kematian Hana.

Dendam Qaireen terhadap lelaki seperti Zayed semakin bertambah. Dia takkan biarkan dirinya ditindas lagi selepas ini.

“Ini...”

Hampir bertaut kening Qaireen.

“Jam siapa ni?” soal Qaireen apabila Afia menghulurkan jam tangan kepadanya.

“Doktor cakap, ni jam lelaki yang tolong kau. Nampak macam jam mahal. Kau simpanlah. Manalah tahu dia datang nak ambil balik.”

Jam tangan sudah bertukar tangan. Ada perkataan E di belakang jam itu. Tak ada rezeki dia nak pulangkan jam ini. Lagipun dia akan keluar wad petang ini. Biarlah dia simpan jam ini untuk dijadikan kenangan.

 

No comments:

Post a Comment