MELUAT Qaireen mendengar rayuan Ferhad di hujung talian. Mahu saja dia mematikan panggilan.
“Please, sayang. I difitnah.”
“Fitnah? Macam mana dengan isteri you tu?”
Ferhad terdiam di hujung talian. Nak tergelak Qaireen. Nampak sangat lelaki itu bodoh. Sebenarnya dari awal lagi dia telah menghubungi isteri Ferhad. Malah dia sudah merancang untuk mengenakan lelaki itu di sana.
Malam ketika dia melarikan diri dari hotel itu, dia tahu Ferhad mengajak skandalnya ke bilik. Peluang itu diambil oleh Qaireen untuk mengenakan lelaki itu. Kad bilik lelaki itu diberikan kepada petugas untuk diserahkan kepada isteri Ferhad.
Ferhad terlalu bodoh kerana mempercayainya. Malam itu menjadi detik paling ngeri untuk Ferhad apabila wartawan dan isterinya datang menyerang di bilik.
Setelah beberapa hari kejadian itu berlaku, baru sekarang lelaki itu berani menghubunginya.
“I minta maaf. I sebenarnya dah lama ada masalah dengan my wife.”
Qaireen julingkan biji mata.
“Sejak bila you ada masalah dengan wife you?”
“Err... dalam setahun.”
“Wow! You cakap dah setahun bermasalah, tapi boleh pula isteri you mengandung.”
Ferhad kehilangan ayat.
“Macam nilah. I tak suka libatkan diri dengan suami orang. Dari awal, I dah cakap tak suka diduakan. Belum kahwin lagi, you dah ada skandal.”
“Sayang...”
“Stop calling me sayang. I jijik nak dengar.”
Tergamam Ferhad. Kali pertama Qaireen bercakap kasar dengannya.
“Mulai hari ni, jangan cuba nak hubungi I. I dengar skandal you pun tengah mengandung. So, you bakal ada dua orang anaklah tahun ni. Hebat you.”
“Mana you tahu tentang dia?”
Mati senyuman Qaireen. Mulutnya ditampar kuat. Boleh pula dia terlepas cakap.
“Kes you dah kecoh. Mestilah berita pasal skandal you tu dah viral.”
“Tapi tak ada sesiapa pun yang tahu dia mengandung kecuali I dan isteri I.”
Tertelan air liur Qaireen. ‘Fikir Qaireen, jangan sampai tertangkap!’
“Wait... kad bilik I, I ada bagi pada you. Entah-entah you dan my wife...”
“Sudahlah. Jangan nak salahkan I pula. Kad bilik you tu I dah campak dalam tong sampah. Lepas kes you kena tangkap, I terus beli tiket balik ke KL. I tak ada masa nak bersubahat dengan isteri you.” Talian terus dimatikan. Malah nombor lelaki itu disekat. Ke hulu ke hilir dia berjalan di dalam bilik. Jantungnya masih berdegup laju.
“Tenang, Qaireen. Kau cuma nak ajar jantan tak guna tu. Kau tak salah.”
Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Dia ke dapur untuk membasahkan tekak. Botol air dikeluarkan dari peti sejuk. Gelas dikeluarkan dari kabinet dapur.
Bunyi deringan telefon mengejutkan Qaireen. Nyaris gelas di tangannya terlepas ke lantai. Melihat nama Afia muncul di skrin, dia rasa nak mengamuk. Hampir dia diserang sakit jantung gara-gara terkejut.
“Kau nak apa?”
“Amboi... eloknya bahasa. Salam mana?”
“Assalamualaikum. Kau nak apa?”
Air diteguk rakus. Dia melabuhkan punggung di kerusi makan.
“Waalaikumussalam. Kau ada di rumah, kan?”
“Ermmm...” gumam Qaireen.
“Alhamdulillah. Kau tolong aku ya? Aku betul-betul dah terdesak sangat ni.”
Hampir bertaut kening Qaireen.
“Kau nak guna duit ke?”
“Bukan. Aku nak kau tolong hantarkan fail kerja aku. Aku tertinggal kat atas meja. Tolong aku ya?”
Qaireen menghembus nafas kasar. Dia bangkit dan berjalan ke ruang tamu. Ada fail merah di atas meja kopi.
“Kau ni cuailah.”
“Ya. Aku nak cepat tadi. Tengah hari ni ada miting. Semua laporan ada dalam fail tu.”
“Yalah. Aku datang.”
Panggilan dimatikan. Jam di dinding sudah hampir pukul 11. Dia hanya ada sejam untuk ke sana.
“Menyusahkan betul budak ni!”
JAM DI tangan dipandang sekali lagi. Hanya ada beberapa minit dia perlu berada di pejabat. Boleh pula dia terlupa hari ini dia perlu ke pejabat untuk menggantikan walid.
Kereta dipandu laju. Disebabkan jalan yang agak lengang di sini, Elman semakin berani menekan minyak kereta. Tiba-tiba ada seseorang berlari ke arah jalan. Spontan dia memutar stereng kereta ke kiri. Brek kereta ditekan sehabis boleh.
Nasib baiklah tiada kereta di belakangnya. Enjin kereta dimatikan terlebih dahulu. Dia segera keluar dari perut kereta. Turun naik nafasnya menahan marah.
“Awak dah gila ke? Tiba-tiba muncul kat depan kereta saya macam tu.”
“Hesy... jangan bisinglah. Dia yang bawa kereta laju macam kat litar sepang, tak sedar pula.”
Jatuh rahang Elman. Menyirap darahnya apabila dirinya pula yang ditegur. Tak sempat dia bersuara sekali lagi, terdengar suatu bunyi yang agak pelik.
“Kesiannya awak. Nasib baiklah tak kena langgar.”
Berkerut dahi Elman. Gadis itu masih lagi duduk mencangkung di situ.
“Awak tiba-tiba melintas tadi sebab nak selamatkan kucing ni?” Tak berkelip anak mata Elman.
“Yalah. Kalau saya tak halang, sahlah kereta awak tu lenyek dia.” Gadis itu membawa kucing itu ke tepi.
Disebabkan ada kereta yang muncul, terpaksalah dia masuk ke kereta untuk mengalihkan keretanya ke tepi. Dari cermin pandang belakang, dia nampak gadis itu masih ralit melihat keadaan kucing.
Sungguh dia tak sedar ada seekor kucing yang terbaring di atas jalan. Kepalanya digeleng berkali-kali. Gadis itu pun satu. Keluar secara tiba-tiba pula. Oleh kerana dia sudah terlewat, terpaksalah dia meninggalkan gadis itu begitu saja.
NAMPAK KELIBAT Qaireen di lobi pejabat, tubuh itu didakap erat.
“Terima kasih, Reen. Kau betul-betul sahabat aku dunia akhirat.”
Mencebik bibir Qaireen. Tubuh Afia ditolak sedikit.
“Nah. Tapi aku buat semua ni bukan percuma. Seminggu kau kena belanja aku makan.”
Afia ketawa kecil.
“Jangan cakap seminggu, sebulan pun boleh.”
Terherot-herot mulut Qaireen mengajuk kata-kata Afia. Cakap besar konon. Silap-silap, dia pula yang kena keluarkan duit.
“Eh, darah apa ni?” Terkejut Afia.
Qaireen memandang tapak tangannya yang tergesel di atas jalan tar tadi. Patutlah pedih semacam.
“Aku jatuh tadi,” bohong Qaireen.
“Macam mana boleh jatuh? Teruk sangat ni. Tu... seluar kau dekat lutut pun dah koyak.”
Anak mata Qaireen jatuh ke bawah. Besar juga kesan koyakan pada seluarnya. Nafas dihembus kasar. Kalau dia nampak muka lelaki tadi, memang teruk lelaki itu dikerjakannya. Dah buat salah, boleh pula tinggalkan dia begitu saja.
Tiba-tiba dia terpandang sesuatu. Tak sedar kakinya menghampiri gambar-gambar yang berada di situ.
“Ini... siapa?”
“Siapa?” soal Afia.
Jari telunjuk Qaireen menghala ke arah gambar lelaki itu.
“Ooo... inilah anak bos aku. Yang ni bos besar kami, Haji Emad. Yang ni anak dia...”
“Elman Firdaus.” Spontan nama itu disebut.
Terkebil-kebil mata Afia.
“Mana kau tahu nama dia? Kau dah kenal dia lama ke?” Bertubi-tubi soalan diajukan kepada Qaireen.
“Dekat situ kan ada nama dia. Mestilah aku boleh baca.” Bengang Qaireen. Lurus sangat rakannya ini.
“Sorry. Lupa.” Tersengih-sengih Afia.
Qaireen terfikirkan sesuatu. Laju dia menoleh ke arah Afia.
“Kau cakap, tempat ni nak ambil pekerja. Betul ke?”
“Betul.”
“Bila?” soal Qaireen.
“Minggu depan. Kalau ada yang nak cuba, boleh isi borang yang ada dekat kaunter tu.”
Tanpa banyak soal, Qaireen terus bergerak ke arah kaunter pertanyaan. Bingung Afia. Lengan gadis itu ditarik bersamanya.
“Kau nak bawa aku pergi mana ni?”
“Ambil borang.”
“Hah?” Terjerit Afia.
“Aku dah buat keputusan nak cuba kerja di sini. Lagipun aku dah tak ada terikat dengan mana-mana kontrak peragaan. Jangan lupa doakan aku dapat kerja satu tempat dengan kau tau!” Qaireen kenyitkan mata sebelum berlalu ke kaunter.
Afia masih tak berganjak dari tempatnya. Tiba-tiba saja Qaireen mahu bekerja di sini. Sebelum ini, bukan main liat lagi.
Perlahan-lahan dia menoleh ke arah gambar tadi. Air liur yang ditelan terasa payah. Takkanlah sasaran Qaireen selepas ini ialah... Elman Firdaus???
No comments:
Post a Comment