DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 18 May 2023

Bonjour, Mon Amour - Bab 6


SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke dalam perut kapal terbang, kelihatan dua orang pramugari Malaysia Airlines (MAS) menyambut Layla dengan senyuman lebar. Automatik dua ulas bibir Layla turut mengorak senyum sebelum dia mencari tempat duduknya. Apabila langkah kaki berhenti di tepi deretan kerusi, sempat anak matanya menangkap seorang kanak-kanak perempuan yang berwajah Pan-Asia sudah duduk di kerusi tengah yang menempatkan tiga buah kerusi.

Compartment yang terletak di bahagian atas tempat duduk dibuka untuk meletakkan beg laptop miliknya dan sempat dia mengukir senyum ke arah kanak-kanak perempuan itu dengan menghantar isyarat anak mata yang dia mahu masuk ke bahagian dalam deretan kerusi memandangkan tempat duduknya terletak di tepi tingkap. Pantas kanak-kanak perempuan itu membalas semula senyumannya dan Layla melabuhkan duduk sambil anak mata meliar memandang sekeliling. Pelik dia kerana ibu bapa budak perempuan itu tidak kelihatan langsung. Tidak mungkin kanak-kanak sekecil itu menaiki kapal terbang tanpa ditemani ibu bapanya.

Baru sahaja mulut dia ringan mahu bertanya, kelihatan seorang lelaki Melayu menghampiri barisan tempat duduk mereka dan melabuhkan duduk di sebelah kanak-kanak perempuan tadi. Bulat terus sepasang mata Layla.

Itu lelaki yang dia jumpa di dalam tandas lelaki tadi! Kenapalah dalam banyak-banyak penerbangan yang ada, dia mesti satu flight dengan lelaki ini?

Cepat-cepat Layla menarik keluar majalah dari dalam poket seat di hadapannya dan menyembunyikan wajah di sebalik majalah di tangan. Dia pura-pura khusyuk membaca majalah itu.

Are you okay, darling?” Suara garau yang menyoal itu membuatkan Layla yang sepatutnya menyembunyikan wajahnya di sebalik majalah itu turut mengintai ke sisi. Confirm bapa kanak-kanak itu kerana si comel tersebut sudah tersenyum lebar. Panggilan ‘darling’ itu membuatkan Layla tumpang senyum. Sedap pula telinga dia mendengarnya. Dahlah suara sedap, gaya lelaki itu pun nampak seperti seorang bapa yang penyayang.

Amboi, kau Layla! Tak agak-agak dengan bapak budak!

Okay, daddy,” jawab si comel di sebelah Layla dengan senyuman lebar.

Tidak lepas-lepas mata Layla memerhatikan si ‘daddy’ yang sudah tersenyum sambil membetulkan kardigan di tubuh kecil anaknya sebelum tangannya naik merapikan rambut si comel yang ditocang dua itu. Lesung pipit yang terbentuk di pipi kanan si daddy menarik pandangan mata Layla supaya terus melekat di situ. Dan Layla semakin yakin yang dia pernah nampak senyuman itu sebelum ini tetapi dia lupa siapa dan di mana. Itulah, dia ni dah terlebih minum air bersemut gamaknya.

Qadr yang sejak tadi menguntumkan senyum sambil memastikan Orked selesa di tempat duduknya mula mengerutkan dahi apabila perasan ada orang lain yang sedang memerhatikan telatah mereka.

‘Eh, itu budak perempuan yang salah masuk toilet lelaki tadi!’

“Ehem!”

Suara Qadr yang berdeham itu membuatkan Layla cepat-cepat menyembunyikan wajah di sebalik majalah semula dan pura-pura menyelak halaman demi halaman majalah di tangan.

“Kalau tadi awak tersalah masuk toilet lelaki, are you sure you are in the right flight this time?” soal Qadr sarkastik dengan sebelah kening terjongket naik ke atas memandang Layla.

“Encik, kalau saya tersalah naik flight, mesti staf MAS yang check tiket saya tadi takkan benarkan saya masuk,” jawab Layla dengan nada suara yang ditahan. Dia geram dan dia segan dengan lelaki itu. “Lagipun, tak boleh ke kalau awak lupakan aje hal kat toilet tadi? Apa yang dah jadi kat toilet lelaki tu, biarlah stay dekat toilet lelaki tu aje. Tak payahlah awak bawa naik kapal terbang pulak,” tambah Layla geram.

Terus tawa Qadr terlepas.

Berkerut-kerut dahi Layla memandang Qadr yang tiba-tiba ketawa. Si daddy ni boleh gelakkan dia?

Sorry, saya gelak sebab confident betul awak bila bercakap, tapi baca majalah pun terbalik. Saya tak tahulah pula kalau awak memang ada bakat membaca secara terbalik macam tu,” balas Qadr bersahaja sebelum mengisyaratkan anak matanya ke arah majalah di tangan Layla.

Terus darah panas berlumba-lumba naik menyimbah wajah Layla dan majalah di tangan ditutup rapat sebelum dia memalingkan wajah menghadap tingkap. Deria pendengarannya menangkap suara Qadr yang masih ketawa.

“Orked, jom kita baca doa naik kenderaan dulu,” tutur Qadr sebaik sahaja tawanya reda dan tersenyum memandang Orked walaupun anak matanya sempat mencuri pandang ke arah Layla yang masih membuang pandang ke luar tingkap.

Pantas sepasang tangan comel milik Orked menadah kedua-dua belah tangan, mengikut Qadr yang mula membaca doa menaiki kenderaan dengan nada suara yang perlahan.

Layla yang tadinya membuang pandang ke luar tingkap, kembali memusingkan tubuh memandang Qadr dan Orked sebelum dia turut sama menadah tangan. Tiba-tiba anak mata Qadr memandang dia dan spontan dia mengukir sengih.

Errr... doa lagi makbul kalau lagi ramai yang aminkan,” jawab Layla bersahaja dengan sengihan yang masih tidak hilang.

Macam-macamlah kau ni Layla Tihani!

 

 

CABIN CREW, please take your seats for take-off.” Suara chief flight attendant bergema tidak lama selepas demonstrasi keselamatan selesai. Pesawat Airbus Industrie A350-900 yang membawa para penumpang ke Paris dan akan transit di Lapangan Terbang Heathrow itu mula bergerak semakin laju.

Layla membuang pandang ke luar tingkap kapal terbang yang sememangnya gelap-gelita memandangkan sudah pukul 10 malam waktu Malaysia. Dia bukannya takut untuk menaiki kapal terbang tetapi setiap kali mahu ‘take-off’, setiap kali itu jugaklah dia akan cuak.

Apabila gegaran kuat terasa, Layla mengeratkan pegangan tangannya pada tempat letak tangan di kiri dan kanan. Dia sudah memejamkan mata sambil mulut terkumat-kamit membaca doa dalam hati. Ini kalau ada Najmi, confirm adiknya itu akan menggelakkan dia yang sentiasa cuak setiap kali ‘take off’.

“Kakak.”

Suara halus kanak-kanak perempuan yang kedengaran dari sisi kiri membuatkan sepasang mata Layla celik semula sebelum dia menoleh ke sisi.

Are you scared?” soal Orked. Bulat sepasang matanya memandang riak wajah Layla yang sedikit pucat.

Layla mengangguk perlahan sambil mengukir senyuman. Tiba-tiba Orked menghulurkan tangan kanannya ke arah Layla sambil tersenyum manis. Terpinga-pinga Layla sambil automatik dia memandang wajah si daddy kanak-kanak itu.

Erk, dah kenapa pulak kau kena tengok muka daddy dia dan bukannya anak dia?’ Monolog dalaman Layla mula bergema sendiri. Tindakan refleks yang dia sendiri tidak dapat kawal.

“Mama dia dah biasa buat macam tu. Setiap kali kapal terbang nak take off, mesti mama dia akan pegang tangan dia.” Kali ini suara garau milik si daddy kedengaran semula dengan riak wajah yang sangat bersahaja. Siap dengan kaki yang disilangkan sambil membaca travel magazine yang disediakan oleh pihak Malaysia Airlines di poket kerusi hadapan.

“Nama adik apa?” soal Layla ramah. Ditahan keramahan mulutnya yang ringan mahu bertanya di mana mama kepada anak kecil ini kerana dia tidak mahu si daddy melabel dia sebagai penyibuk pula. Dia masih yakin yang dia pernah berjumpa dengan daddy si comel ini.

“Orked Esabel,” jawab Orked dan tersenyum menayangkan barisan gigi susunya yang tersusun rapi.

“Cantiknya nama dia. Cantik macam Orked jugak,” puji Layla dengan senyuman yang semakin melebar. Dia sebenarnya kagum juga dengan bahasa Melayu Orked yang fasih walaupun dia yakin yang ibu Orked ini merupakan ‘minah salih’ memandangkan daddy Orked yang sedang khusyuk membaca majalah itu berbangsa Melayu. Tentu ibu bapa Orked mengajar anak mereka supaya berbangga dengan bahasa Melayu juga.

Thank you, kakak. Nama kakak apa?” soal Orked.

“Layla Tihani. Boleh panggil Kak Layla,” jawab Layla.

“Nama kakak pun cantik,” sengih Orked dan dipandang Layla tidak berkelip.

Tergelak kecil Layla dibuatnya sebelum sempat dia mencuri pandang ke arah daddy Orked yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperkenalkan diri. Lagipun, selepas 14 jam nanti mereka akan berpisah di Heathrow dan akan membawa haluan masing-masing. Selalunya, dia bukanlah next door passenger yang rajin nak beramah mesra dengan penumpang sebelah.  Dia selalunya akan menghabiskan masa dengan tidur, makan  dan menonton filem yang tersedia di dalam kapal terbang sehinggalah dia sampai ke destinasi.

Are you scared as well, Orked?” Tanpa mempedulikan lelaki itu, Layla menyoal Orked dan kali ini dia memandang wajah Orked. Dengan Orked ini tak adalah dia segan, tapi dia segan dengan daddy Orked yang sedang memandangnya dengan tajam.

Nope. Tapi mama pun takut macam kakak,” jawab Orked. Dia meletakkan tangan halusnya ke telapak tangan Layla.

Terus tersungging senyuman di bibir Layla sebelum dia menggenggam erat tangan halus milik Orked sehinggalah kapal terbang berjaya ‘naik’ dan mula stabil di awan biru. Barulah perlahan-lahan genggaman tangan Orked dilepaskan. Spontan, Layla menggosok perlahan kepala Orked.

“Awak tahu tak bila rasa kebergantungan kepada Allah tu paling tinggi?” soal Qadr tiba-tiba dan wajah Layla yang nampak mula selesa itu dipandang sekilas. Dia menutup travel magazine di tangan dan memusingkan sedikit tubuh supaya menghadap Layla.

Layla hanya menjongketkan keningnya dengan kedua-dua belah bahu dijongketkan ke atas.

“Kebergantungan kepada Allah paling tinggi waktu naik flight macam ni. Sebab anything can...”

Stop! Choi betul mulut awak tu. Saya ni belum sempat kahwin lagi tau. Banyak benda yang saya nak buat dalam hidup ni. Awak tu tak apalah, sebab dah kahwin dan ada anak yang comel macam Orked ni,” bebel Layla geram. Hampir sahaja dia menguatkan ‘volume’ suara sambil memandang Qadr yang nampak tidak beriak itu.

Terus Qadr ketawa dan dia kembali menyelak majalah di tangan. Saat itu terdengar suara lelaki di sebelah sana berdeham kuat. Qadr menoleh dan kelihatan Azad yang duduk di sebelah sana sudah tersenyum penuh makna memandangnya.

“Kau sengih-sengih miang tu dah kenapa?” soal Qadr pantas.

“Bos, itu calon mommy baru untuk Orked ke?” bisik Azad perlahan. Sengaja dia mengusik Qadr yang riak wajahnya sudah berubah.

“Apa benda kau merepek ni, Jad?” Berkerut-kerut dahi Qadr memandang Azad. Pada masa yang sama, dia sempat mencuri pandang ke arah Layla yang sudah kembali khusyuk dengan video monitor di hadapannya. Rupa-rupanya Layla sedang menonton filem kartun Frozen, sama seperti Orked.

Azad tidak menjawab sebaliknya menghantar isyarat pandangan mata ke arah Layla.

“Setahu saya, bos ni bukannya jenis next seat neighbour yang friendly dalam flight,” tambah Azad lagi.

“Huh?”

“Saya nampak bos tersenyum-senyum tadi. Lepas tu bukan main lagi ya bos gelak tadi. Kenapa kalau dengan saya, bos tak adapun nak gelak bila saya buat lawak? Penat tau saya buat lawak, tapi tak ada orang nak gelak.”

“Dah kau tu suka buat lawak kurang cerdik.”

Ouch, pedih rasanya hati ini. Saya terasa kesetiaan saya kepada bos sejak bos mula-mula report duty telah diduakan,” balas Azad penuh dramatik dengan tangan kanan melekap di dada kiri.

“Kalau macam tu, aku boleh request dekat HR untuk minta tukar PA lepas ni. Aku dengar CFO tengah cari secretary. Bolehlah kau try.” Hampir enam bulan Qadr mengambil alih tugas Chief Operating Officer (COO) yang sudah lama kosong, selama itu jugaklah dia mengenali Azad Rayyan yang sudah lama bekerja dengan JS Corporation yang diusahakan oleh babahnya.

“Saya gurau ajelah, bos. Bos ni, nak gurau pun tabuleh. Lagipun kan saya dah pernah janji dengan...” Tidak jadi Azad untuk menghabiskan ayatnya apabila raut wajah Qadr terus berubah dan pandangan matanya bertukar dingin.

“Bos nak tahu tak yang saya sempat belajar sikit bahasa Perancis daripada Reine semalam. Kita kenalah bagi team Paris Operation impressed sikit dengan kita esok. Orang Perancis suka tau kalau kita cuba untuk belajar bahasa diaorang.” Cepat-cepat Azad menukar topik perbualan sambil dalam hati memarahi diri sendiri yang hampir terlepas kata tadi.

“Kita kan ada translator yang dah standby kat sana,” jawab Qadr tanpa nada. Dia mula mengeluarkan iPad dari dalam beg apabila isyarat tali pinggang keselamatan sudah dipadamkan. Aplikasi Microsoft Outlook dibuka dan dia mula membaca deretan unread email yang memenuhi ruangan inbox.

“Saya share dua perkataan yang saya rasa penting untuk bos ingat. Perkataan pertama; ‘bonjour’ yang bermaksud hai atau helo. Perkataan kedua; ‘mon amour’ yang bermaksud my love. Jadi...”

Azad berjeda seketika dan wajah Qadr yang masih menatap skrin iPad itu dipandang. Walaupun wajah Qadr sentiasa nampak tenang dan tidak beriak, dia tahu apa yang Qadr cuba sembunyikan. Kedatangan mereka ke bumi Perancis kali ini sebenarnya agak berat untuk Qadr sendiri.

“Saya rasa ayat Perancis yang sesuai sangat untuk bos ialah bonjour, mon amour. Saya doakan Orked cepat-cepat dapat mommy baharu,” sambung Azad selamba sambil tersenyum lebar. Sengaja dia menghantar isyarat anak mata ke arah Layla yang melayan Orked menonton kartun Frozen sambil sesekali ketawa kecil berdua seolah-olah mereka sudah kenal lama.

“Kau ni kan!” Kali ini anak mata Qadr kembali memandang Azad yang sedang tersengih.

“Eh, bos tahu tak doa orang yang sedang bermusafir ni mudah untuk Allah nak makbulkan? Sebab itulah saya doakan yang baik-baik aje untuk bos. Cepatlah bos, aminkan sekarang!” usik Azad lagi.

Qadr buat-buat tidak dengar. Boleh pening kepala dia jika terus melayan Azad. Dipusingkan sedikit tubuh ke kanan dan kelihatan Orked sudah tertidur dengan kepala yang terlentok ke arahnya. Perlahan-lahan dia membetulkan kedudukan kepala Orked dan merapikan selimut di tubuh Orked sebelum sekali lagi dia memandang Layla yang masih khusyuk menonton filem Frozen di monitor hadapannya. Pantas dia menggelengkan kepala. Dia ada tujuan yang lagi penting di bumi Perancis.

 

No comments:

Post a Comment