DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 17 May 2023

Dia... Masih Di Sini - Bab 1


QAIREEN betulkan selendang di kepala. Dia keluar dari bilik menuju ke dewan makan. Ramai penghuni di sini sudah mengambil makanan.

Seperti biasa, dia akan beratur bersama penghuni yang lain. Perutnya sudah terlalu lapar. Semalam mereka hanya diberi makanan sedikit saja.

“Hesy... takkan kuih karipap sebiji aje? Mana kenyang!”

Terdengar suara rungutan salah seorang penghuni di sini. Jatuh kedua-dua bahu Qaireen. Dia rasa ada perkara yang tak kena berlaku di sini.

Selama 17 tahun dia tinggal di sini, mereka belum pernah lagi dilayan begitu teruk. Semuanya berubah apabila anak kepada pemilik rumah anak yatim ini mengambil alih menjaga mereka.

Selepas mengambil makanan, Qaireen duduk di meja makan. Nafas dihela lemah. Hari ini mereka hanya diberi makan sebiji karipap dan secawan teh panas.

“Reen...”

Bahu Qaireen dicuit. Gadis itu menoleh ke sebelah.

“Makin teruk ni. Kau tak rasa pelik ke?” Afia berbisik perlahan.

“Aku dah lama perasan. Dah tiga bulan kita dilayan macam ni. Setahu aku, tempat kita ni selalu dapat bantuan.”

Afia mengangguk laju.

“Aku tak tahanlah hidup macam ni. Kita lari nak?”

Bulat mata Qaireen. Laju dia gelengkan kepala.

“Jangan buat gila! Kita dah nak SPM. Bertahan sikit. Lepas tamat SPM, kita dah ada lampu hijau untuk keluar dari sini.”

Ikutkan hati, dia dah lama nak pergi dari sini. Disebabkan dirinya masih terikat dengan peperiksaan penting, terpaksalah Qaireen bertahan.

“Badan aku ni dah kurus sangat. Makan pun asyik kena catu.”

Qaireen hembus nafas panjang. Badan dia pun dah kurus mendadak.

“Sabarlah sikit. Kita ni bernasib baik masih diberi makan. Ada lagi yang tak dapat makanan.” Qaireen cuba menyedarkan Afia.

Sedang mereka menikmati sarapan, anak matanya terpandang kelibat anak kepada pemilik rumah anak yatim itu. Lelaki itu sedang memerhati mereka bersarapan di dewan.

Tiba-tiba anak mata mereka bertemu. Sengaja Qaireen tidak mengalihkan anak matanya. Lelaki itu menghadiahkan senyuman kepadanya.

Qaireen tersenyum sinis. Dia segera habiskan makanan dan minumannya. Lebih baik dia cepatkan habiskan sarapan supaya dapat masuk ke bilik.

“Siapa nama?”

Qaireen mendongak sedikit ke atas. Dahinya berkerut.

“Siapa nama awak?” soal lelaki itu.

“Qaireen.”

Lelaki itu mengangguk bersama senyuman lebar di bibir. Afia di sebelah sudah berasa pelik.

“Umur?”

“Encik boleh tengok maklumat peribadi kami di sini. Takkan selama encik ada di sini, langsung tak ambil tahu tentang penghuni di sini?” Nak kata ramai, hanya ada 60 orang yang tinggal di rumah anak yatim ini.

Berubah air muka lelaki itu. Afia di sebelah rasa nak tepuk tangan. Padan muka. Nampak sangat kerja di sini hanya menghabiskan duit bantuan.

“Saya sibuk. Banyak kerja yang perlu diselesaikan sejak saya ambil alih tempat ni. Maaf kalau pertanyaan saya tadi kurang senang. Saya Zayed.”

“Saya tahu. Takkanlah kami tak kenal dengan encik.”

Qaireen berdiri sambil membawa cawan kosong. Selamba dia berjalan melintasi lelaki itu. Afia cepat-cepat mengikut Qaireen dari belakang.

“Kau dah gila ke?” bisik Afia sebaik saja mereka keluar dari dewan makan.

“Apa yang aku buat?” Qaireen pura-pura menyoal.

“Muka dia berubah teruk lepas kau cakap macam tu.”

Qaireen tergelak kecil.

“Itu baru sikit. Kalau ikutkan hati, aku rasa nak simbah air teh ke muka dia. Dasar lelaki gatal!”

Qaireen tak bodoh. Daripada cara lelaki itu memandangnya, dia sudah tahu Zayed ada agenda sendiri.

“Kau janganlah berani sangat. Nanti dia kenakan kau, macam mana?”

Qaireen tak endahkan kata-kata Afia. Nak kata dia berani, tak juga. Dia cuma bercakap perkara yang betul.

Walaupun dia hidup sebagai anak yatim di sini, itu bukan pakej untuk mereka terus ditindas. Sebelum ini, hidup Qaireen aman tetapi sejak kemunculan Zayed, semuanya seperti mimpi ngeri. Makanan dicatu. Belanja sekolah dikurangkan. Malah bantuan untuk mereka tidak diagihkan dengan betul.

Dia juga tahu, ada salah seorang penghuni di sini menjalinkan hubungan bersama lelaki itu. Diam-diam dia mengumpul bukti untuk menjatuhkan Zayed.

 

 

QAIREEN MASIH tak mampu melelapkan mata. Dia sedang memikirkan masa depannya di sini selepas berusia 18 tahun. Hanya tinggal beberapa bulan sebelum dia keluar dari tempat

ini.

“Ke manalah aku nak pergi lepas ni?”

Nafas dihela berat. Dia tiada sesiapa di dunia ini. Lainlah Afia. Rakannya itu masih ada ibu saudara di kampung. Hanya disebabkan ibu saudaranya tak mampu, Afia disuruh tinggal di sini.

Dia cuba pejamkan mata untuk tidur. Namun bunyi seperti pintu dibuka mengejutkan Qaireen. Mata dibuka sedikit. Berkerut dahinya melihat ada seseorang keluar dari bilik.

Setelah pintu ditutup, cepat-cepat dia bangun. Afia yang tidur di katil atas dikejutkan daripada tidur.

“Fia... bangun.”

Ermmm... kenapa ni?”

“Cepatlah bangun,” gesa Qaireen.

Afia bangun sambil menenyeh kedua-dua matanya.

“Kenapa?”

“Pakai tudung ni. Ikut aku.”

Terbeliak biji mata Afia.

“Kau nak ajak aku lari ke?”

“Bukanlah. Ikut aku. Cepat.”

Terpaksalah Afia menurut. Mereka keluar dari bilik itu tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Mereka berdua berjalan ke arah bilik Zayed.

“Eh, kau kenapa ajak aku ke sini?” Seram sejuk Afia.

“Tunduk. Kita sembunyi dulu.” Telefon yang dibawa bersamanya sudah ada di tangan.

Afia garu kepala yang tidak gatal. Dia memandang ke sekeliling kawasan ini. Sunyi sepi tanpa sebarang bunyi.

“Reen...”

“Diamlah. Nanti kau tahu juga kenapa aku bawa kau ke sini?” Bengang Qaireen. Tak boleh bersabar langsung!

Hampir setengah jam kemudian, terdengar pintu bilik itu dibuka. Qaireen menolak kepala Afia menunduk ke bawah. Kedua-duanya terdiam.

Jatuh rahang Afia melihat ada seorang rakan mereka keluar dari bilik itu sambil tersenyum ke arah Zayed. Lebih meloyakan apabila lelaki itu memeluk tubuh gadis itu tanpa rasa malu.

Qaireen mengambil peluang ini dengan menangkap gambar mereka. Malah video turut dirakam.

“Bingo!”

Senyuman lebar terukir di bibirnya. Esok tahulah nasib lelaki itu. Afia di sebelah dah menggigil ketakutan.

“Kenapa Hana...”

“Bodoh. Perempuan tu memang bodoh,” Qaireen mencemuh.

Tak hairanlah sejak akhir-akhir ini Hana nampak mewah. Telefon pun sudah bertukar ke jenama yang lebih mahal. Rupa-rupanya ada bayaran yang perlu gadis itu berikan kepada Zayed.

“Aku rasa nak muntah.”

“Muntah ajelah.” Selamba Qaireen membalas. 

Dan Afia betul-betul termuntah di situ. 

 

No comments:

Post a Comment