DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 17 May 2023

Dia... Masih Di Sini - Bab 9


AIR kopi yang sudah siap dibancuh diletakkan di atas meja. Barang-barang yang ada di atas meja disusun kemas. Tersenyum gadis itu setelah hampir tiga minggu tidak masuk ke sini.

Bunyi pintu dibuka membuatkan Syazmin menoleh ke belakang. Mereka berbalas senyuman.

“Awak dah balik bekerja?”

“Ya, tuan. Saya dah puas bercuti. Tuan sihat?”

Elman mengangguk kecil dan berjalan ke arah meja. Beg kerja diletakkan di atas kerusi. Bau kopi yang ada di atas meja membuatkan dia tidak sabar mahu menjamah.

“Kopi untuk saya?”

“Mestilah untuk tuan. Mesti tuan rindukan air tangan saya.”

Tergelak Elman. Gadis itu sudah lama bekerja di sini sebagai setiausaha Elman. Hubungan mereka rapat seperti adik dan abang.

“Sedap,” Elman memuji air tangan Syazmin.

“Terima kasih. Tuan nampak lain sekarang.”

“Apa yang lain?” soal Elman dengan riak bingung.

“Tuan nampak lebih kacak sekarang.”

Makin kuat Elman ketawa. Syazmin bijak mengenakannya.

“Awak ni tak payahlah nak memuji. Gaji awak saya baru naikkan tahun lepas.”

Syazmin turut ketawa. Selama hampir tiga minggu ini, dia bercuti kerana ada urusan keluarga yang perlu dia selesaikan. Mujurlah Elman membenarkan dia bercuti panjang.

“Dah selesai masalah keluarga awak?”

“Alhamdulillah. Hampir selesai. Lepas ni, saya akan kembali bekerja seperti biasa.”

Good. Banyak kerja saya jadi huru-hara disebabkan tak ada awak. Jadual kerja saya pun saya pening nak tengok.”

Selama tiga minggu gadis itu bercuti, kelam-kabut dia dibuatnya. Selalu saja dia terlambat menghadiri miting kerana tiada yang mengingatkannya.

“Lepas ni saya akan sentiasa ada untuk tuan,” kata Syazmin penuh makna.

Elman menarik nafas lega. Selepas gadis itu keluar, dia segera menyiapkan kerja. Terlalu ralit menyiapkan kerja, sampai tak sedar sudah hampir waktu makan tengah hari.

Elman keluar dari bilik kerja untuk makan tengah hari. Hari ini dia teringin makan di restoran yang berdekatan dengan pejabat.

Telefon Elman berdering. Cepat-cepat dia keluarkan telefon dari poket seluar. Langkahnya berhenti mendadak saat nama itu muncul di skrin. Nafas dihela berat. Serba salah dia nak menjawab.

“Helo.”

“Helo. I ganggu you?”

“Tak. Sekarang masa I lunch. You buat apa?”

Masing-masing terdiam seketika.

“I ada di rumah. Boleh ke kalau I nak cakap sesuatu?”

Sure. Teruskan. I dengar.”

Elman berdiri di tepi bangunan. Cuaca panas membuatkan badannya mudah berpeluh.

“I terima tawaran bekerja di Jerman.”

Elman kehilangan ayat.

“Minggu depan I perlu ke sana.”

Masing-masing terus terdiam. Elman melonggarkan tali lehernya.

“I masih nak tahu jawapan you. Kalau you setuju, I takkan terima tawaran tu.”

Jantung Elman berdegup laju. Wajahnya sudah berpeluh. Dia rasa bersalah untuk memberikan jawapan dalam keadaan begini.

“I perlukan kata putus daripada you. Please, El.”

Mata terpejam rapat. Dalam hati Elman berdoa semoga dia diberi petunjuk sekali lagi. Saat dia bukakan mata, tubuhnya menjadi kaku.

Tidak jauh dari tempat dia berdiri, ada seoranggadis sedang memberi kucing di jalanan makan. Apa yang mengejutkan Elman, gadis itu ialah orang yang sama dilanggarnya tempoh hari. Dia kenal gadis itu disebabkan cara gadis itu mengusap kucing tersebut.

Perlahan-lahan dia mendekati gadis itu. Dia cuba bersembunyi di sebalik tiang bangunan.

“Alhamdulillah. Kaki kau dah kuat. Lepas ni bolehlah kau merayau. Jangan jalan jauh-jauh. Nanti susah aku nak bagi makan.” Kucing yang berbulu gebu itu diangkat. Bertubi-tubi ciuman diberikan ke muka si comel.

Tanpa sedar, Elman tersenyum nipis. Perkara yang dilakukan gadis itu sangat menyentuh hatinya.

“El....”

Tersentak Elman. Boleh pula dia terlupa sedang bercakap dengan Amylea. Wajahnya diraup perlahan.

“Amy... I minta maaf. Pilihan terbaik untuk you sekarang, terima tawaran kerja di sana.”

“Maksudnya, you memang tak boleh terima I?” Bergetar nada suara Amylea.

“Buat masa ni, I tak mampu bagi harapan.”

Jawapan selamat diberikannya. Dia yakin Amylea gadis yang kuat. Malah gadis itu boleh mendapatkan lelaki yang lebih baik. Tak adil jika dia terus memberi harapan sedangkan hatinya tiada rasa untuk gadis itu.

Setelah talian dimatikan, telefon dimasukkan ke dalam poket seluar. Dia berpaling ke belakang.

“Allah!”

Terperanjat Elman. Kakinya terundur ke belakang beberapa langkah. Tiba-tiba saja gadis itu muncul di hadapannya.

“Tuan buat apa dekat sini?”

Elman berdeham sedikit untuk menghilangkan rasa kekok. Janganlah Qaireen perasan dia mengintip gadis itu sebentar tadi.

“Saya nak makan.”

Bibir Qaireen membuat bentuk bulat. Jam tangan dikerling sekilas. Masa rehat masih panjang.

“Saya pun lapar ni. Tuan belanja saya makan ya?” Terkedip-kedip mata Qaireen.

“Hah?”

“Kawan saya cakap, tuan ni suka belanja pekerja makan. Tak salah kalau tuan belanja saya hari ni.”

“Siapa kawan awak tu?” soal Elman.

Qaireen tekup mulutnya. Hampir saja dia terlepas cakap.

Err... semua pekerja dah jadi kawan saya. Merekalah yang cakap.” Qaireen menayang wajah selamba.

Elman tak percaya. Tak pernah lagi dia nampak gadis itu berbual dengan pekerja yang lain. Kata Azizul, ketua di bahagian pemasaran, Qaireen lebih suka bersendirian.

“Jomlah, tuan. Masa rehat dah nak habis. Tuan belanja saya makan dekat restoran kampung tu.” Selamba lengan lelaki itu disauk.

Tergamam Elman. Dia cuba menarik tangannya tetapi makin kemas pula gadis itu memeluk lengannya. Sedar-sedar mereka sudah tiba di restoran.

Nafas ditarik lega apabila Qaireen melepaskan tangannya. Oleh kerana restoran itu menawarkan menu bufet, mereka berdua memilih lauk terlebih dahulu. Setelah minuman dipesan, mereka duduk di meja yang masih kosong.

“Tuan bacalah doa dulu.”

Terkulat-kulat Elman.

“Cepatlah, tuan. Saya dah tadah tangan ni.”

Elman menghembus nafas panjang. Dia turut menadah tangan. Setelah mengaminkan doa, barulah mereka sama-sama menjamah makanan.

Berselera Qaireen menikmati makanan tengah hari. Biasanya dia jarang makan nasi disebabkan diet. Gara-gara Elman, diet dia hari ini ke laut.

Elman masih memerhati gerak-geri gadis itu. Tak sangka pula mereka suka lauk yang sama.

“Tadi tuan bacakan doa makan.” Tersenyum-senyum Qaireen.

Elman hanya memasang telinga. Dia menyedut minumannya untuk membasahkan tekak.

“Manalah tahu, lepas ni tuan jadi imam saya pula. Setiap hari tuan doakan untuk kebahagiaan kita.”

Tersedak Elman. Nyaris air yang diminumnya tadi tersembur ke muka Qaireen.

“Awak ni memang tak ada rasa malu ke?” Tergerak-gerak rahang Elman.

“Nak malu apa? Bukannya saya buat perkara tak senonoh.” Selamba dia menyuap isi ayam ke mulut Elman.

Elman yang tak bersedia terpaksa menjamah makanan itu. Dia memandang ke sekeliling. Janganlah ada pekerja yang ternampak adegan mereka tadi.

“Ayam masak lemak cili padi dekat sini tak berapa menyengatlah. Kurang pedas,” rungut Qaireen.

Ternaik kening Elman.

“Bagi saya, sedap aje.”

Laju Qaireen menggeleng.

“Nanti saya masakkan untuk tuan. Masa tu baru tuan tahu rasa ayam masak lemak cili padi yang sebenar.” Qaireen menayang wajah bangga.

“Tak perlu susahkan diri.” Elman cepat-cepat membantah.

“Tak susah pun. Hari ni tuan belanja saya. Nanti saya pula yang bayar dengan masakan saya.”

Perkara inilah yang dia tidak suka. Dia tak nak disebabkan mereka makan bersama, Qaireen salah faham. Tapi yang membingungkan Elman, dia sebenarnya rasa selesa setiap kali keluar bersama dengan gadis itu.

 

No comments:

Post a Comment