HUGO yang masih berdiri di sisi Layla sejak 10 minit yang lepas hanya merenung lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Qadr itu dengan pandangan yang tajam. Geram pula dia dengan perangai kurang sopan Qadr yang tiba-tiba memarahi Layla. Walaupun dia tidak faham dengan bahasa yang digunakan oleh Qadr, tetapi dia dapat agak yang Qadr memang naik angin dengan Layla berdasarkan riak wajah mendung Layla sebentar tadi.
“Kenapa dia tiba-tiba marah tadi?” soal Hugo sekali lagi kepada Layla dalam bahasa Perancis. Sesekali dia menjeling Qadr yang duduk di hadapan Layla. Mereka bertiga kini sedang duduk di dalam bilik pejabat Madame Ines.
“Dia cari anak perempuan dia,” jawab Layla dalam bahasa yang sama sambil memandang Qadr yang nampak sedikit cuak apabila Hugo sudah mula menunjukkan sisi ‘protective brother’ dia. Yalah, dah Hugo itu bertubuh besar dan sasa. Rasa-rasanya kalau sekali Hugo ayun penumbuk, mahunya Qadr ini masuk hospital terus!
“Anak perempuan? Layla dah pandai ada skandal dengan suami orang ke?” Membulat mata Hugo memandang Layla.
“Eh, taklah! Saya tak kenal pun dia ni,” jawab Layla pantas. Memang betul pun dia tidak mengenali lelaki Melayu itu. Setakat berkongsi penerbangan yang sama dari Kuala Lumpur tidak melayakkan Qadr masuk dalam kategori orang yang dia kenal. Dahlah tak kenal, tiba-tiba muncul dan terus ‘menyembur’nya. Memang pantang orang Perancis dengan lelaki yang tidak sopan seperti Qadr ini. Bak kata Madame Ines; ‘courtesy counts in France’. Betapa adab sopan penting di negara ini sehinggakan ada kafe yang akan menaikkan harga minuman jika pelanggan tidak menyebut perkataan seperti ‘hello’ dan ‘please’.
Madame Ines muncul dengan membawa sepiring kuih-muih dan dua gelas jus epal dan meletakkannya di hadapan Layla dan Qadr.
“Please, help yourself.”
Anak mata Qadr jatuh pada pinggan yang berisi kuih-muih itu sebelum naik memandang wajah Madame Ines yang nampak tenang. Terus Qadr berasa serba salah dengan apa yang baru berlaku tadi. Perasaan serba salahnya semakin berganda-ganda apabila dia teringatkan riak wajah Layla yang kelihatan seperti sedang menahan tangis sebentar tadi. Keruh sahaja raut wajah manis itu apabila kena ‘sembur’ dengannya.
Bising monolog dalamannya yang sedang memarahi diri sendiri yang bersikap kurang ajar.
“Madame baik sangat. Kalau sayalah kan, memang saya biarkan aje lelaki ni,” jawab Hugo penuh emosi sambil memandang tajam Qadr sekali lagi.
“Hugo, tak baik cakap macam tu,” tegur Madame Ines perlahan walaupun dia tahu Qadr mungkin tidak memahami butir bicara mereka. Layla di sebelah pula tidak menunjukkan tanda-tanda mahu menjadi penterjemah tidak bergaji. Selepas dia mengajak Layla dan Qadr masuk berbincang dalam ruang pejabatnya, Layla yang selalunya banyak mulut itu hanya mendiamkan diri.
“Encik dah puas hati, kan?” soal Layla sambil memandang tepat wajah Qadr yang nampak berserabut.
“Sorry?”
“Encik datang sini sebab ingat saya sorokkan Orked. Jadi, encik puas hati tak yang Orked memang tak ada kat sini?”
Jeda dan pandangan mata Qadr bertemu dengan Layla yang sedang berpeluk tubuh memandangnya. Tidak sempat dia menjawab apabila iPhone di dalam poket seluar berbunyi nyaring dan tertera ‘Adik’ di skrin telefon.
“Adik? Ya Allah, where are you?”
Tiga pasang mata melekat ke arah Qadr sebaik sahaja dia menjawab panggilan tersebut.
“Tahu tak yang angah risau gila ni? I called you hundred times but no one answered.” Anak mata Qadr singgah pada wajah Layla yang masih fokus kepadanya.
“Angah ada kat mana? Dekat Sedapnya Cafélah. That was the only clue yang angah jumpa kat rumah bila Orked hilang. Angah jumpa name card budak perempuan tu dengan alamat kafe dia dalam bilik Orked.”
Terus tersedak-tersedak Layla. Budak perempuan? Dia ke yang Qadr maksudkan sebagai ‘budak perempuan’ tersebut? Kalau Qadr panggil dia sebagai ‘budak perempuan’, memang dia akan panggil lelaki itu dengan panggilan ‘pak cik’ selepas ini. Sabajap, pak cik!
“Astaghfrullahalzim! Do you know what you have done?” Kali ini nada suara Qadr kembali tegas sebaik sahaja mendengar apa yang diberitahu oleh adik bongsunya. Automatik, anak matanya naik memandang wajah Layla. Terus rasa bersalahnya terhadap Layla semakin berganda-ganda.
“Send your location to me. I am coming to you right away.”
“Dah jumpa Orked?” soal Layla bersahaja sebaik sahaja Qadr menyimpan semula telefon ke dalam poket seluar.
Riak wajah Layla yang nampak bersahaja itu membuatkan Qadr terasa disindir. Itulah, Qadr! Ikutkan sangat ‘angin kus-kus’ kau tu! Macamlah tak boleh bersabar dan kawal nafsu amarah. Memang padanlah dengan muka dia!
“Orked rupa-rupanya ada dengan my sister,” jawab Qadr dengan kulit wajah yang sudah memerah menahan rasa segan dengan tindakan kurang ajarnya disebabkan ‘menyembur’ Layla. Dengan Madame Ines dan Hugo pun dia segan. Madame Ines masih boleh tersenyum memandang dia, cuma Hugo sahaja yang kelihatan bila-bila masa boleh mencekik lehernya dengan sepasang tangan besar itu.
“Alhamdulillah, great to hear that,” balas Layla.
“Cik...” Qadr memberanikan juga diri memandang wajah Layla yang kini nampak selamba sahaja mengunyah karipap.
“Layla Tihani. You can just call me Layla.” Berkerut-kerut dahi Layla memandang Qadr. Pak cik ni boleh lupa dengan nama dia? Rasa-rasanya nama dia dah tertulis agak besar dan jelas di kad nama yang diberikan kepada Orked.
“Cik Leyla.”
“Layla.” Layla sudah membuat memek wajah yang mahu menjulingkan biji mata ke atas. Ada jugak nak kena ‘pang’ dengan dia kejap lagi ni.
“Cik Layla, I am so sorry. I don’t know what has gotten to me until I called you...” Qadr menelan liur sendiri kerana dia tidak sanggup menghabiskan ayatnya.
“Plain stupid. That was what you called me just now,” balas Layla sambil berpeluk tubuh memandang Qadr.
Terus tangan kanan Qadr naik menggosok belakang tengkuk sendiri. Walaupun ruang pejabat kecil Madame Ines ini dilengkapi dengan penyaman udara, tetapi dia sudah berpeluh-peluh dingin. Kulit mukanya sudah terasa kebas semacam. Malu yang amat sangat! Ini kalau mama dia yang di Malaysia itu tahu adabnya dah ke laut, memang percuma sahaja kena ceramah.
“Cik Layla, saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak panggil awak macam tu.”
“Tak apalah, pak cik. Kadang-kadang kita jadi lupa diri bila diikutkan sangat emosi waktu tengah marah. Sebab itu kalau biarkan diri hanyut dengan emosi, boleh membahayakan kita.”
Puk! Setepek kena dekat muka Qadr. Siap dipanggil ‘pak cik’ lagi. Memang padanlah dengan muka dia!
“Orked ada dekat mana sebenarnya, pak cik?” soal Layla. Nak tergelak pula dia melihat riak wajah Qadr yang dah kelat semacam disebabkan baru mendapat ceramah lima saat daripada dia dan mungkin juga kerana baru dipanggil dengan panggilan ‘pak cik’.
“Kalau tengok directions yang adik saya hantar ni, macam ada dekat-dekat sini aje,” jawab Qadr sambil menayangkan iPhone di tangan kepada Layla.
“Jom!” Terus Layla berdiri dan sempat dia menerangkan apa yang terjadi kepada Madame Ines yang sejak tadi hanya memerhatikan mereka berdua.
“Jom?” soal Qadr pelik. Dia bertambah-tambah pelik apabila Madame Ines dan Hugo sudah keluar dari ruang pejabat itu.
“Jom, saya temankan pak cik cari Orked. Orang Perancis ni tak layan sangat kalau kita tanya directions dalam bahasa Inggeris. Takut pak cik sesat aje kejap lagi,” balas Layla sambil mengemas pinggan yang dihidangkan sebentar tadi.
“Eh, tak apa. Saya boleh pergi sendiri kalau ikut directions kat map ni,” balas Qadr laju. Cukup-cukuplah, dia sudah segan sangat dengan Layla.
“Saya insist, pak cik. Lagipun saya tak nak tiba-tiba esok adik pak cik muncul dengan Orked dekat kafe ni pulak. Tak pasal-pasal saya kena sembur lagi sebab dia cari pak cik yang hilang dekat tengah-tengah kota Paris ni,” tambah Layla selamba.
Qadr telan liur. Memang setepek lagi dia disindir oleh Layla. Padanlah dengan muka dia hari ini!
“KAT DEPAN tu pak cik belok kanan. Kedai buku yang adik pak cik beritahu tu memang kat situ. Saya nak kena patah balik kafe sebab Madame Ines dah cari saya,” beritahu Layla sebaik sahaja dia selesai menjawab panggilan telefon Madame Ines.
“Terima kasih sebab tolong,” balas Qadr, ikhlas.
“Sama-sama.”
“Saya nak minta maaf sekali lagi.”
Pandangan mata Layla bertemu dengan Qadr yang sedang memandangnya. Jelas riak wajah lelaki itu kelihatan bersalah dengan dia.
“Maaf diterima. Tolong sampaikan salam saya kepada Orked.”
Qadr hanya mengangguk perlahan dan mula membuka langkah kaki.
“Pak cik.”
Terus langkah kaki Qadr terhenti dan dipusingkan tubuh memandang Layla semula.
“Bienvenue à Paris.” Layla ukir senyum segarit.
“Sorry?”
Melihatkan riak wajah blur milik Qadr sekarang, Layla sudah ingat, lelaki yang memakai baju berhoodie hitam sewaktu kelas membuat kek di Pahlawan Café beberapa bulan lepas dengan Qadr yang sedang berdiri di hadapan dia sekarang ialah orang yang sama; iaitu Tengku Qadr Naufal! Gaya rambut Qadr yang sudah lain membuatkan dia tidak dapat mengecam lelaki itu.
“Maksudnya selamat datang ke Paris.”
Qadr kelihatan menganggukkan kepalanya perlahan sebelum berlalu. Layla hanya memandang Qadr yang berlalu dengan pelik. Menurut Luth, abang Qadr yang bernama Qaid itu yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Atau Luth yang tersalah info mengenai Qadr? Qadr sebenarnya yang sudah berkahwin dan bukannya abang dia. Lagipun, dia pernah terserempak dengan Qadr yang sedang mencuba sut hitam di butik dulu dan Qaid memang ada menyebut tentang kahwin.
“Dah tak payah jadi penyibuk, Layla. Bukannya kau akan jumpa dengan pak cik tu lagi,” gumam Layla seorang diri lalu berpatah balik ke Sedapnya Café.
No comments:
Post a Comment