DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 18 May 2023

Bonjour, Mon Amour - Bab 3


LAYLA mengikut sahaja dari belakang Waiz yang sudah melangkah masuk ke dalam butik mewah yang menerima tempahan sut lelaki. Pelik juga Layla kerana sepatutnya dia perlu berjumpa dengan Waiz di kedai makan dan bukannya di sini.

“Waiz, kau nak kahwin ke?” soal Layla sambil anak mata meliar memerhatikan deretan sut lelaki pelbagai warna yang tersusun kemas di hadapan mata.

“Luar alam betul soalan kau ni,” jawab Waiz dengan dahi yang berkerut memandang Layla.

“Dah tu datang sini nak buat apa? Mestilah kau nak tempah sut, kan? Takkan nak makan pula...”

“Kau dah lapar sangat ke sampai dalam kepala kau fikir fasal makan aje?”

“Aku datang sini sebab kau nak ajak makan kut. Jadi, mestilah perut aku tengah lapar.” Layla sudah tergelak-gelak.

“Kau minta perut kau sabar kejap. Aku nak ambil sut yang aku tempah. Hujung minggu ni kan ada Young Entrepreneurs Award kat Melaka.”

“Ahaaa... aku lupa pulak fasal award kau tu.” Layla mengoyak sengih memandang Waiz yang menggeleng perlahan.

“Memanglah kau lupa, sebab aku ada ajak kau sekali teman tapi kau tak nak.”

“Tarikh award tu clash dengan tarikh birthday party anak buah aku. Lagipun, kau patut ajak salah seorang girlfriends kau daripada ajak aku.”

“Bila masa pulak aku ada girlfriends ni?” Sengaja Waiz tekankan intonasi suara pada bunyi ‘s’ apabila menyebut perkataan ‘girlfriends’ itu.

“Yalah tu. Punyalah banyak gambar kau share dekat IG kau dengan ramai perempuan. Bukan girlfriends ke namanya tu?”

“Kau jealous ke?” Senyuman mengusik tersungging di hujung bibir Waiz.

Sejak dia mengenali Layla yang merupakan anak kawan daddynya, dia memang sudah menyimpan perasaan suka kepada si cantik manis yang sedang berdiri di hadapannya ini dalam diam.

“Tak ada maknanya nak jealous bagai. Sebagai kawan, aku risau kalau kau patahkan hati ramai perempuan tu dan nanti orang yang kau betul-betul suka akan patahkan hati kau.”

Terus hilang senyuman di bibir Waiz. Berbeza dengan dia, Layla memang hanya menganggapnya sebagai kawan.

“Memang aku rasa aku dah patah hati pun.” Waiz bersuara perlahan dengan bahu yang sudah jatuh.

“Apa dia?”

“Tak ada apa-apa. Kau tunggu sini kejap. Aku nak pergi kaunter buat payment. Lepas tu kita boleh terus pergi makan.” Terus Waiz berlalu mendapatkan seorang staf butik yang baru saja keluar dari bilik khas dengan membawa sut hitam yang ditempah.

Sementara menunggu Waiz yang masih di kaunter, Layla mula membelek-belek deretan sut lelaki yang tersusun kemas tidak jauh dari bilik persalinan.

“Along dah boleh imagine wedding angah nanti macam mana.”

Suara lelaki yang kedengaran tidak jauh dari tempat Layla sedang berdiri membuatkan dia turut sama menoleh ke arah suara tersebut memandangkan dia seperti pernah mendengar suara tersebut.

“Aku kena tanya opinion bakal wife jugak, long. Bukannya boleh syok sendiri plan wedding.” Kedengaran satu lagi suara garau.

Terus anak mata Layla beralih ke arah seorang lelaki yang mengenakan sut berwarna hitam dan sedang berdiri di hadapan cermin. Itu Tengku Qadr Naufal yang dia jumpa di baking class Pahlawan Café dahulu!

“Benda ni boleh dibawa berbincanglah, ngah,” ujar Qaid pula dan berdiri di sebelah Qadr.

Tidak lepas-lepas Layla memerhatikan dua beradik yang sememangnya tidak menyedari kehadirannya di situ. Jadi, Qadr akan berkahwin tidak lama lagi?

“Layla, jom.”

Suara Waiz yang menyapa dari belakang itu membuatkan Layla terkejut. Cepat-cepat dilarikan pandangan mata daripada terus memandang ke arah Qadr.

“Kau tengok apa?” soal Waiz pelik dan turut sama memandang ke arah Qadr dan Qaid.

“Tak ada apa-apa. Kau dah settle, kan? Jomlah kita pergi makan, sebab perut aku dah tak boleh nak bersabar ni,” jawab Layla dan terus mengatur langkah ke arah pintu keluar butik.

Waiz tidak terus mengikut, sebaliknya masih terus memerhatikan Qaid dan Qadr dengan dahi yang sudah berkerut lebat.

 

 

YOUNG ENTREPRENEUR Award yang diadakan di Melaka pada Sabtu malam itu dihadiri oleh ramai usahawan muda tanah air dari pelbagai industri. Walaupun sesi penyerahan anugerah sudah tamat tetapi masih ramai para hadirin di dewan yang masih berbual antara satu sama lain.

“Waiz, aku gerak balik hotel dulu.”

Terus Waiz mengalihkan pandangan yang sejak tadi memerhatikan gelagat Qaid dan isterinya itu kepada Fahmi yang sudah berdiri di hadapannya.

“Kau stay one night kat Melaka ke?” soal Waiz.

“Haah, aku tak larat nak drive balik KL ni. Mata aku dah berat. Kau?” balas Fahmi dengan mata yang sudah terasa pedih.

“Aku nak balik KL lepas ni.”

Daddy kau suruh balik ke?”

Waiz angguk perlahan tanpa sebarang bunyi. Tadi pun pedih telinganya menerima ayat-ayat daripada Tan Sri Wadi apabila dia tidak menerima sebarang anugerah. Daddynya  bertambah berang apabila Qaid daripada JS Corporation yang merupakan pesaing utama WW Holdings menerima beberapa anugerah.

Sejak zaman sekolah sehinggalah dia sudah dewasa, memang ada sahaja perkara yang dia lakukan, tidak dapat memuaskan hati Tan Sri Wadi.

Safe drive, Waiz. Aku gerak dulu.” Fahmi menepuk perlahan bahu Waiz sebelum dia berlalu keluar meninggalkan dewan.

Jam tangan dikerling sekilas. Sudah menunjukkan pukul 10.30 malam. Terus Waiz bangun daripada duduknya dan mengatur langkah ke arah pintu keluar dewan. Apabila dia berselisih dengan Qaid, lelaki itu sempat lagi menghulurkan senyuman kepadanya. Entah kenapa, dia rasakan senyuman Qaid itu seolah-olah seperti tersenyum mengejek kepadanya pula.

 

 

BERULANG KALI Waiz cuba menghidupkan enjin kereta tetapi gagal sehinggakan dia hilang sabar. Tadi sewaktu dia memandu kereta ini dari Kuala Lumpur ke Melaka, keretanya masih dalam keadaan elok.

Sekali lagi jari menekan push start button dan keadaan kereta masih sama seperti tadi.

“Tak guna betullah!” Kedua-dua belah tangan sudah memukul kuat stereng kereta, melepaskan rasa marahnya.

Tok, tok, tok!

Bunyi tingkap kereta yang diketuk dari luar membuatkan Waiz menoleh ke sisi dan kelihatan Idris iaitu staf WW Holdings yang turut datang sebagai wakil syarikat sedang berdiri di luar.

Waiz membuka pintu kereta dan keluar dari perut kereta.

“Kenapa bos?” soal Idris sambil sesekali anak mata memandang Mercedes hitam milik Waiz.

“Kereta aku tiba-tiba tak boleh start,” jawab Waiz lalu memicit kepala sendiri. Mata dia sudah pedih sebenarnya tetapi dia perlu pulang ke Kuala Lumpur juga atas arahan Tan Sri Wadi.

“Bos nak balik KL malam ni jugak?” soal Idris lagi.

“Haah.”

“Bos pakailah kereta saya bawa balik KL. Kalau nak panggil pomen sekarang pun susah nak dapat, sebab dah malam ni. Mungkin awal pagi esok kut baru pomen boleh datang.”

“Habis tu, kau nak balik KL macam mana?”

“Bas kan banyak, bos. Saya boleh aje naik bas balik KL.”

Waiz memandang lama wajah Idris yang masih tersenyum hormat memandangnya.

“Betul ni?” soal Waiz.

“Betul, bos. Kereta saya Toyota Hilux yang warna putih parking kat sebelah Honda City putih tu.” Kunci kereta dari dalam poket seluar ditarik keluar dan diserahkan kepada Waiz.

“Okey, thanks.” Kunci kereta sudah bertukar tangan.

No problem, bos. Saya masuk dululah.” Idris berlalu masuk ke dalam dewan semula.

 

No comments:

Post a Comment