DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 19 June 2023

Bibik High Class - Bab 2


“EHEM... ladies.”

Mata mereka semua diarahkan ke hujung meja. Seorang gadis yang berpakaian agak seksi sedang berdiri sambil bersilang lengan.

“Ramona Tan Sri Kamaruddin. What a suprise! You buat apa kat sini?” Katrina menegur. Takkan hendak cari gaduh pula.

“Seronok mengata I?”

Katrina tidak menjawab. Hanya mengangkat kening sebelah. “You nak saman we all sebab kutuk you ke?”

“Jangan risau. I bukan budak-budak nak saman orang sana sini. I ada tawaran. Atau boleh juga kata cabaran.” Ramona tarik kerusi dari meja sebelah dan melabuhkan duduk.

Sorry, we all tak berminat.” Lily menjawab bagi pihak kawan-kawannya.

“Katrina, I bagi you sejuta ringgit kalau you berjaya buat Tengku Harraz jatuh cinta.” Ramona berkata dengan muka serius dengan mata dihalakan tepat ke arah Katrina.

Katrina dan kawan-kawannya saling berpandangan. Tawaran yang menarik. “Helo. You ingat we all ni tak ada duit ke? Setakat one million tu, I pun ada.”

“You tahu kan I ada yatch. Harga dia lebih kurang 700 ribu USD. Kalau berminat, you boleh jugak ambil yatch tu.”

Whoa... whoa... kejap! Ramona, you ni dah gila ke?” Katrina jadi curiga dengan niat gadis itu. Tiba-tiba sahaja muncul dan buat tawaran tak masuk akal. Dia tak hairan dengan duit yang ditawarkan tapi kapal mewah Ramona buat dia tertarik.

“I cuma nak tengok dia tersungkur kat kaki perempuan. Dengan cara tu I dapat tebus balik maruah I.”

“Dah tahu dia tak suka perempuan sentuh-sentuh, yang you buat hal pergi sentuh dia buat apa? Mendapatlah...”

Lily mencebik. Sendiri yang salah, acah-acah jadi mangsa. Nak tebus maruah konon.

Ramona menahan sabar. “I memang tahu I salah... tapi... dia ada cakap sesuatu yang boleh buat semua perempuan sakit hati. I nak dia telan balik kata-kata dia.”

“Dia kata apa?”

“Cinta dan perempuan satu benda yang menyusahkan hidup. Lelaki akan lebih berjaya kalau tak ada cinta dan jugak perempuan yang kacau dia. Perempuan ni murah, pemalas... cari lelaki sebab nak ada orang tanggung. Nak dengan lelaki sebab nak duit. Helo... I pun ada duit. Ada syarikat, ada saham. Ingat dia seorang aje ada?” Ramona bercakap dengan penuh emosi. Memang dia tak akan lupa dengan penghinaan yang Tengku Harraz lemparkan.

Eei... seriuslah Tengku Es Batu bilang begitu? Teruknya!” Lily tunjuk muka meluat. Hilang rasa kagum terhadap lelaki itu. Berlagak sangat. Sombong!

Let’s say kalau I berjaya buat dia jatuh cinta dekat I, you nak I buat apa?” Katrina simpati dengan Ramona tapi masih lagi ragu-ragu dengan niat gadis itu. Dia bukan kenal sangat Ramona. Hanya tahu nama. Bertegur memang tak pernahlah.

Up to you nak tinggalkan dia atau nak stay dengan dia. I cuma nak tengok dia jatuh cinta saja. Bila dia angau sebab cinta, bolehlah I ludah muka dia balik.”

Katrina saling berpandangan dengan sahabat-sahabatnya. Entah kenapa dia rasa sesuatu yang aneh dengan cabaran Ramona. Bukan sedikit duit yang gadis itu pertaruhkan. Dah kenapa buat kerja gila hanya kerana seorang lelaki?

“Kalau you tak percaya, you boleh ambil jam I sebagai pendahuluan. Jam ni harganya 200k. Tapi I kira 100k lah. Lagi 900k lepas dia cakap I love you kat you. Pastikan you rakam dia semasa dia cakap I love you tu.” Ramona tanggalkan jam di tangannya lalu diletakkan di atas meja. Usai itu dia terus bangun. “I bagi you masa 3 bulan. Kalau you gagal, tak ada bayaran. Dan jangan lupa pulangkan balik jam tu. Good luck.”

“Hei...” Katrina tak kata setuju pun lagi, Ramona sudah meninggalkan meja.

“Patek Philippe. Not bad.” Lily mengambil jam dari tangan Katrina.

“Lily, boleh percaya ke dia tu?” Mahira bertanya. Dia juga turut ragu-ragu dengan niat Ramona. Kalau betul Ramona sukakan Tengku Harraz teramat sangat, takkan gadis itu hanya akan melihat lelaki pujaan jatuh hati pada gadis lain.

“Aku tahu dia memang kaya, babe. Kau tahu kan atuk dia siapa?” Lily sibuk membelek jam tangan yang Ramona tinggalkan.

“Banyak mana harta dia, bukan urusan aku. Aku sangsi dengan dia.” Katrina menyedut minumannya.

Well... kalau dah namanya dendam, orang akan sanggup buat apa saja. Lagi-lagi kalau orang dah jatuhkan air muka kita.” Cynthia berkata. Dia boleh faham kenapa Ramona sanggup mempertaruhkan harta sebanyak itu. Lagi pula tak luak sedikit pun harta Ramona setakat sedekah kat orang sejuta.

“Aku tak fikirkan pasal duit tu. Aku sakit hati dengan Tengku Es Batu tu. Tergamak dia hina perempuan. Dia fikir semua perempuan malas. Murah. Kita bukan malas kerja... tapi buat apa nak kerja kalau duit dah banyak.”

Kata-kata Katrina disambut dengan sorakan oleh kawan-kawannya yang lain. Mereka berempat pewaris harta keluarga masing-masing. Masing-masing sudah mempunyai kerjaya walaupun mereka nampak lebih banyak bersuka ria dan kuat bersosial.

“Serius ni. Aku kasihan sama Ramona. Kalau Tengku Harraz enggak suka, tak perlulah nak hina-hina. Kena tolak sampai jatuh pun dah malu, apa lagi kena hina begitu.” Lily bersuara. Bukanlah dia baik sangat dengan Ramona tapi kasihan juga kalau apa yang gadis itu beritahu adalah benar.

“Kita kena bagi Tengku Harraz pengajaran! Tak semua perempuan malas dan hanya bergantung dengan lelaki. Perempuan pun boleh berjaya tanpa lelaki.” Mahira mengepal penumbuk. Memang sakit hati dengan kata-kata Tengku Harraz. Agaknya kalau dia di tempat Ramona, memang dia akan layangkan penumbuk pada wajah kacak itu.

“Jadi... kita akan sahut cabaran Ramona. Kalau menang... kita kaya. Boleh shopping puas-puas.” Belum apa-apa, Cynthia sudah teruja. Nampak duit berkepuk-kepuk sahaja di depan matanya.

“Kat, kau memang paling sesuai untuk tugas ni. Memang tepat Ramona pilih kau.” Mahira menunjuk ke arah Katrina.

“Aku?” Katrina tunjuk diri sendiri. Dekat dengan lelaki pun dia tak mahu. Apatah lagi hendak mengurat sampai jatuh cinta. Sesekali datang gila baru dia akan kenakan lelaki. Seperti tadi.

“Kau paling sesuai, babe. Sebab tak ramai kenal anak perempuan tunggal Tan Sri Osman. Semua orang ingat kau stay dengan parents kau kat Aussie.” Mahira menjelaskan.

“Apa kena-mengena orang tak kenal aku dengan rancangan kita? Aku tak faham. Lambat loading.” Sungguh Katrina tak faham dengan apa yang kawan-kawannya maksudkan.

“Aku yakin Tengku Harraz akan jatuh cinta denganperempuan biasa. Perempuan ayu, lemah lembut dan sopan santun. Kau... dia pasti tak kenal kau. Jadi bolehlah berlakon jadi gadis ayu.” Mahira menambah. Itu yang dia fikirkan sekarang. Mereka harus merubah Katrina menjadi seorang gadis biasa. Biasa, maksudnya gadis marhaen.

“Okey, aku boleh jadi gadis biasa. Soalannya sekarang, macam mana gadis biasa ni nak dekat dengan dia? Takkan nak buat gadis biasa ni tiba-tiba jatuh dari langit dan Tengku Es Batu tu terus jatuh cinta. Orang sombong macam tu bukan jenis lelaki jatuh cinta pandang pertama.”

Krik! Krik! Krik!

Senyap sahaja meja mereka. Tiada siapa membalas. Tiada siapa punya buah fikiran tentang bagaimana caranya agar Katrina boleh mendekati Tengku Harraz. Memandangkan sekeliling Tengku Harraz hanya ada orang lelaki. Pembantu rumah pun semua lelaki.

Any ideas?” Katrina bertanya.

Lily, Cynthia dan Mahira menggeleng.

“Apa kata buat macam dalam drama atau novel? Buat-buat accident dengan motor atau skuter. Dia kena hantar kau pergi klinik.” Lily tiba-tiba terfikir sesuatu. Dia tak ingat novel mana dia baca atau drama mana yang dia tonton.

“Katrina naik basikal pun tak pandai, ada hati nak naik motor. Belum apa-apa dah bertempik Puan Sri Kirana kat Aussie. Mampus Akil kena gantung dengan mama dia.”

Katrina ketawa mendengar kata-kata Mahira. Menunggang motosikal adalah dilarang sama sekali. Membonceng sahaja dibenarkan. Itu pun hanya dengan adiknya, Akil. Mamanya memang melarang keras dia melakukan aktiviti berbahaya.

“Akil!” Katrina tiba-tiba tersengih. “Aku akan mintak tolong Akil.” 

 

No comments:

Post a Comment