DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 3

 

ZATON tengok dahinya yang masih ada kesan lebam. Keluhan kasar terlepas dari bibirnya. Satu masalah pula dia nak sembunyikan kesan lebam itu. Dahlah hari ini dia perlu melaporkan diri di tempat kerja baharunya.

“Macam mana aku nak pergi kerja? Malulah kalau ada yang nampak dahi aku macam ni.”

Sudah puas dia letakkan ubat dan menutup kesan lebam itu dengan bedak. Tapi masih lagi nampak. Akhirnya dia menutup kesan lebam itu dengan rambut di bahagian hadapan. Sekurang-kurangnya, tak adalah nampak sangat.

“Pelik pula kalau aku sikat rambut macam ni.”

Zaton hela nafas panjang. Nak tak nak, terpaksalah dia buat fesyen rambut yang pelik itu. Setelah siap mengenakan solekan yang nipis, dia bergegas keluar dari bilik. Tak sabar untuk memulakan kerjanya di tempat baru. Syukur dia diterima bekerja sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat telekomunikasi di bandar Kuching.

Ketika dia turun tangga, terdengar abangnya sedang berbual rancak bersama seseorang. Sudah tentu orang itu ialah Hasnan. Jantung Zaton berdegup laju. Setiap kali dia menatap wajah tampan itu, dia rasa malu untuk melihat wajah itu.

Emak tidak kelihatan di meja makan. Zaton duduk agak jauh dari abangnya dan Hasnan. Terhenti perbualan dua lelaki itu sebaik saja Zaton duduk di kerusi makan.

“Ton nak pergi mana ni?” soal Cikgu Dali dengan riak keliru.

Hasnan masih lagi menghabiskan sarapan. Tidak mahu mengganggu perbualan dua beradik itu.

“Ton nak pergi kerja. Hari ni, hari pertama Ton mulakan kerja.” Ceria wajah Zaton.

“Mak tahu tak?” Jelas wajah lelaki itu sedikit terkejut.

Err... belum. Ton baru nak beritahu mak hari ni.” Zaton meneguk air di cawannya perlahan-lahan.

Hari ini dia nekad untuk bekerja. Umurnya sudah 18 tahun. Zaton berhak untuk membuat keputusan sendiri.

“Semalam mak cakap, Ton baru pergi temu duga.”

“Dah lama Ton pergi. Dua hari lepas baru Ton dapat jawapan.” Sesekali Zaton mencuri memerhati gerak-geri Hasnan.

Nak tergelak Zaton dengan reaksi Hasnan. Nampak berselera betul menjamah mi kolok air tangan emak. Di Sarawak, memang itulah makanan istimewa. Rugi kalau sesiapa yang tak mencuba jika singgah ke sini.

Tak lama kemudian, Mak Mon muncul. Wajah wanita itu jelas berubah sebaik saja melihat penampilan Zaton.

“Nak ke mana?” Pelik pula dia melihat fesyen rambut si anak. Tiba-tiba saja dahi ditutup dengan rambut. Gaya seperti zaman orang lama.

“Ton nak pergi kerja. Hari ni, Ton kena lapor diri.” Gugup Zaton memberikan jawapan.

“Degil. Nak juga bekerja. Suka hatilah. Tapi jangan nak merayap lepas habis kerja.” Tegas nada wanita itu. Dia pun dah penat nak melarang. Suaminya juga menyokong tindakan Zaton untuk bekerja.

“Ayah tak balik lagi ke?” soal Cikgu Dali.

“Belum. Sibuk sangat dengan kelas agama dia tu. Biarlah dia nak pergi mana pun. Mak malas nak halang. Ada di rumah pun, bukan membantu.”

Zaton dan Cikgu Dali berpandangan. Tahu sangat emak mereka masih tak sebulu dengan ayah.

“Kenapa pelik sangat fesyen rambut Ton tu?”

Err... sesekali, mak. Ton rasa macam cantik.”

Hasnan angkat wajahnya. Baru dia perasan penampilan rambut gadis itu agak berbeza dari semalam.

“Mengarutlah. Cantik apa macam ni? Sini mak betulkan.”

Zaton yang tidak sempat mengelak, hanya membiarkan emak menyelak rambutnya ke belakang. Terbuntang biji mata orang tua itu.

“Kenapa dengan dahi tu?”

Kecut perut Hasnan. Dia pula yang cuak untuk mendengar jawapan Zara. Memang jelas sangat kesan lebam di dahi Zaton.

“Terhantuk, mak. Sikit aje ni.”

Mak Mon menggelengkan kepala.

“Cuai betullah. Lain kali hati-hati buat kerja tu.”

Zaton hanya berdiam diri. Emak kalau dah membebel, dia hanya perlu biarkan saja. Tak berani nak menjawab.

“Nanti pergi dan balik, Dali yang hantarkan.”

Cikgu Dali tegakkan badan. Dia serba salah nak berikan jawapan.

“Boleh tak, Dali? Sementara nak dapat drebar, mak nak Dali yang hantarkan,” soal Mak Mon.

Err... Dali tak kisah tapi kalau setiap hari tu, susah sikit. Ada masanya, Dali nak kena pergi ke luar daerah. Minggu ni pun Dali sibuk. Nanti Dali minta tolong dengan Hasnan.”

Hampir tersembur air yang diminum Hasnan. Tiba-tiba nama dia pula yang dipetik. Tak pasal-pasal dia disuruh jadi drebar tak berbayar. Bukan dia tak nak. Tapi mengenangkan sikap Mak Mon yang agak dingin itu, dia jadi takut.

“Yalah. Rumah ni ada banyak kereta tapi si Ton ni penakut sangat nak bawa. Nanti carikan mak drebar. Senang nak suruh dia hantarkan adik Dali ni pergi kerja.”

“Tak payahlah, mak. Ton boleh pergi dan balik sendiri.” Sebenarnya dia malu hendak menyusahkan Hasnan. Lebih baik dia berdikari.

“Jangan degil. Ton tu perempuan. Bahaya,” bantah Mak Mon.

“Kalau mak risau sangat, kahwinkan aje Ton ni.”

Terbuntang mata Zaton.

“Merepeklah Abang Dali ni. Ton baru 18 tahun.” Tebal kulit mukanya menahan malu.

“Betul cakap Ton tu. Umur baru setahun jagung. Jangan harap nak kahwin. Carikan mak drebar. Faham?”

“Yalah, mak. Nanti Dali carikan.”

Cikgu Dali bangun. Bahu Hasnan dicuit sebagai tanda mereka perlu beredar sekarang. Cepat-cepat Hasnan habiskan baki minumannya.

Zaton mengekori langkah kedua lelaki itu. Dia duduk di bahagian tempat duduk belakang. Sesekali Hasnan mencuri pandang wajah gadis itu melalui cermin pandang belakang.

Kebetulan pula gadis itu turut memandang ke arah cermin itu. Keduanya tergamam. Pantas Hasnan alihkan anak matanya ke luar tingkap.

Dia sembunyi senyum. Pertama kali dia rasakan sesuatu ketika berhadapan dengan seorang gadis. Ada rasa bersalah dirinya menjadi punca gadis itu perlu pergi bekerja dengan dahi yang lebam. Hasnan akan cuba cari peluang yang baik untuk meminta maaf kepada gadis itu.

 

 

SUDAH HAMPIR seminggu Hasnan menyesuaikan diri bekerja di sini. Esok hari terakhir dia tinggal di rumah Zaton. Selama dia menunggu biliknya siap, Hasnan sudah membeli keperluan dirinya di sini seperti tilam, katil dan almari.

Buat masa ini, dia tiada lagi rakan yang rapat. Hanya dengan Cikgu Dali dia selalu bertanyakan jika ada masalah. Dari pemerhatian Hasnan, Cikgu Dali seorang yang sangat baik dan tidak kedekut ilmu. Banyak tunjuk ajar yang diberi oleh lelaki itu kepadanya.

Sebenarnya Hasnan masih belum berpeluang bercakap dengan Zaton. Gadis itu lebih suka berkurung di dalam bilik. Nak berjumpa pun, hanya ketika di meja makan. Tak berani dia nak menegur bila Mak Mon ada sekali.

Kebetulan hari ini dia diminta oleh Cikgu Dali untuk mengambil Zaton di tempat kerja. Ini peluang yang baik untuk Hasnan berbual dengan gadis itu sebelum dia keluar dari rumah mereka.

Dari jauh dia sudah ternampak kelibat Zaton berlari anak ke arah kereta. Zaton kelihatan sangat manis berbaju kurung. Dahi gadis itu sudah tiada kesan lebam lagi.

Terkejut Zaton apabila dia membuka pintu kereta di bahagian belakang, hanya ada Hasnan. Serba salah dia nak duduk di belakang kerusi pemandu.

“Masuklah. Saya tak kisah kalau awak nak anggap saya driver.”

Zaton tersenyum kekok. Dia tutup pintu kereta dan bergerak ke tempat duduk sebelah pemandu. Dia masuk ke dalam kereta itu dengan riak wajah tenang.

“Abang Dali sibuk ke?”

“Ya. Katanya nak ke Miri. Dia suruh saya ambil awak.”

Tenang lelaki itu memandu kereta. Walaupun dia agak kekok memandu di kawasan ini, dia sudah boleh menghafal jalan ke rumah Zaton.

“Saya nak minta maaf.”

“Untuk apa?” soal Zaton.

“Sebab buat dahi awak lebam.”

Zaton tergelak kecil. Lucu pula bila diingatkan kembali.

“Dahi saya dah okey. Tak perlu nak minta maaf.”

Keduanya saling terdiam seketika.

“Esok... saya dah pindah ke bilik sewa.”

Spontan anak mata Zaton melirik ke sebelah.

“Saya harap, lepas ni kita boleh jumpa lagi,” kata Hasnan dengan penuh makna. Sejujurnya, dia dapat rasakan sesuatu di antara mereka berdua. Tapi dia masih tak berani nak meluahkan.

Zaton tunduk bermain jari sendiri.

“Insya-Allah. Ada rezeki, kita jumpa lagi.” Perlahan Zaton membalas.

Kedua-duanya hanya berdiam diri sehingga sampai ke rumah. Zaton berlari anak masuk ke dalam rumah. Di bilik, Zaton merenung wajahnya di hadapan cermin. Dia tersenyum malu. Pertama kali dia akui hatinya sudah dicuri seseorang.

No comments:

Post a Comment