DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 20 June 2023

Bibik High Class - Bab 7


“GELILAH nak cuci pinggan.” Katrina siap tutup hidung walaupun tak ada bau busuk pun. Takut-takut tangannya hendak menyentuh pinggan kotor di dalam singki itu.

Go Cik Kat! You can do it.” Para bibik sekalian memberi sokongan.

Go Kat! Bibik high class boleh buat apa saja. Sambil tutup mata boleh cuci pinggan.” Kata-kata Mahira disambut dengan sorakan oleh kawan-kawannya serta para bibik yang lain.

“Tak mahu lah cuci pinggan!”

Akil yang memerhati hanya mampu menggeleng. Kalau begini caranya, lebih baik batalkan aje misi. Perkara asas pun tak mampu buat. Belum lagi belajar menyapu, mop lantai, vakum karpet dan memasak. Mereka hanya ada dua minggu sahaja sebelum Katrina memulakan kerja di banglo Tengku Harraz.

“Gelilah!” jerit Katrina.

Akil hela nafas berat dan merapati kakaknya.

“Dah, Kat. Tak payahlah cuci pinggan lagi. Kita batalkan saja misi tu. Ladies... you all boleh bawa balik bibik masing-masing ya.”

No! Misi kita mesti jadi!” Alang-alang dia sudah mencemar duli untuk belajar mencuci pinggan, dia akan pastikan dirinya berjaya. Katrina berkata dengan yakin. Dalam seumur hidupnya dia tak pernah gagal dalam apa pun misinya. Dan dia tak boleh gagal kali ini.

“Kalau macam tu, jangan menjerit time cuci pinggan. Tak pasal-pasal sehari aje kerja nanti.” Sambil bersilang lengan dia keluar dari kawasan dapur. Tersungging sengih di hujung bibir Akil. Katrina pantang dicabar. Apa lagi cabaran dengan pulangan yang lumayan. Sebab itu dia minta kakaknya batalkan misi tadi.

Katrina mengesat peluh. Akhirnya dia lulus dengan cemerlang mata pelajaran mencuci pinggan. Bersih, licin dan berkilat. Tak ada kesan bau dan tak ada kesan minyak. Di samping itu, dia belajar jenis-jenis pinggan daripada semua bibik. Rupanya setiap pinggan ada kegunaannya. Jangan pakai piring kuih untuk taruk sayur, pesan Kak Tini.

“Akil, aku dah berjaya!” Katrina menjerit girang.

“Tahniah! Next. Masak lauk kegemaran Tengku Harraz. Kangkung goreng belacan.” Akil membaca nota pada buku catatannya sambil tersengih.

“Kangkung goreng belacan?” Katrina pengsan di situ juga.

 

UWEK! UWEK! Tidak dapat menahan dirinya. Bau belacan membuat tekaknya loya. “Kenapalah mesti kangkung belacan? Tak boleh ke makan kangkung goreng biasa? Kangkung masak rendang ke?”

Kata-kata Katrina disambut dengan gelak ketawa oleh bibik-bibik di situ.

Uwek! Katrina terus berlari dan mencari tandas. Bau belacan yang ditumis buat isi perutnya hendak keluar.

“Cik Kat! Jangan tinggal kuali, nanti hangit!”

Akil memberi isyarat kepada orang gajinya agar menutup api. Mata dihalakan ke arah kawan-kawan kakaknya. Dia hanya mengangkat bahu. Lily, Cynthia dan Mahira menggeleng serentak.

Katrina muncul dengan muka merah. Baru lepas muntah agaknya.

Babe, are you okay?” Lily terus mendapatkan Katrina. Penyepit baju yang tersepit di hidung sahabatnya dialih.

“Kau dah sedia untuk tarik diri?” tanya Akil.

“Yalah, Kat. Tak berbaloi rasanya kalau dah terpaksa masak kangkung belacan demi dia.” Lily berpandangan dengan Akil.

“Aku tak akan tarik diri. Takkan sebab aku tak pandai masak sayur kangkung belacan, aku tak dapat kerja pulak. Kata ada kabel.”

Akil tersengih lebar. Dia menggoyangkan jari telunjuk di hadapan kakaknya. “Dia pernah pecat tukang masak sebab lupa buat sambal belacan untuk dia. Sambal belacan tu wajib.”

Hendak terjatuh rahang Katrina. Gila ke apa mamat ni? Pecat orang semata-mata lupa hendak buat sambal belacan? Alasan remeh.

“Sebab tu kau kena belajar buat sambal belacan sedap-sedap. Kata orang nak ikat lelaki dari perutnya. Jadi kau kena ikat Tengku Harraz dari sambal belacan kau.”

“Kenapa mesti sambal belacan? Tak ada sambal lain ke?” Katrina merengek. Macam sukar sahaja jalannya untuk menjadi orang gaji di rumah banglo itu.

“Oh kejap. Dia ada suka sambal lain.” Akil membelek buku notanya. “Dia makan sambal tempoyak.”

Euw... kampung sangat dia ni. Sambal tempoyak?” Tidak faham Katrina dengan selera lelaki itu. Sambal belacan, sambal tempoyak. Entah apa sambal lagi agaknya.

“Kalau kau nak tarik diri, kita stop kat sini.”

No! Tak ada istilah mengalah dalam hidup Katrina.” Katrina berkata dengan yakin. Setakat sambal belacan, mo man tai. Kacang saja.

“Kak Tini siapkan bahan untuk kangkung goreng belacan.”

“Kenapa Kak Tini kena siapkan? Kau yang kena  siapkan.” Akil membetulkan. Katrina kena buat semuanya sendiri. Tanpa bantuan sesiapa.

“Aku benci kau, Akil!”

Akil tersengih. Bagus juga kakaknya terima cabaran  ini. Boleh dia buli-buli. Dan terpaksalah Katrina belajar membuat kerja-kerja rumah. Kalau tidak, matahari tegak kat kepala pun belum tentu bangun lagi.

 

“YEAY, BERJAYA jugak aku masak kangkung goreng belacan dan sambal belacan yang sedap.” Katrina baringkan tubuhnya di sofa. Penat. Kawan-kawannya yang lain juga terbaring kepenatan. Penat bersorak. Kalau Tengku Harraz tak jatuh cinta juga memang sia-sialah usahanya belajar memasak makanan kegemaran lelaki itu.

Akil muncul dengan membawa buku nota. Dia duduk berhadapan dengan kakaknya. “Ciri-ciri yang seterusnya dan yang paling penting... Dressing ala kampung.”

Terus terbangun Katrina. Terkebil-kebil matanya melihat Akil. “Ulang balik apa kau cakap tadi.”

“Kalau boleh dia nak orang gaji asal dari kampung. So dressing ala kampunglah.”

What?” Bergema seluruh ruang tamu dengan suara halilintar Katrina. Kawan-kawannya yang lain turut terbangun mendengar suara Katrina.

“Kenapa dia cerewet sangat? Mesti lagi banyak ciri-ciri dia nak dari bakal isteri dia nanti.” Pening Mahira dengan permintaan Tengku Harraz. Kalau cari orang gaji sudah cerewet macam ni, bagaimana pula dengan kehidupan sehari-hari lelaki itu? Tarik balik minatnya kepada Tengku Harraz.

“Itu aku tak ambil tahu. Ladies... tugas korang nak bagi dia dressing ala kampung. Satu lagi saya nak ingatkan... Tolong jangan cari baju kat Pavi. Tolong pergi pasar malam. Beli brand fake. Jangan beli yang ori.” Akil berkata sambil menyengih. Entah pernah atau tidak kawan-kawan kakaknya jejak pasar malam.

“Helo! Kami tak sokong barang fake, okey.” Lily mencekak pinggang.

“Kalau Katrina pakai baju Fendi muncul kat rumah dia, sah dia kena reject. Cari jenama Afendi okey... Afendi, bukan Fendi.” Akil tergelak. Muka Lily nampak kelakar sangat di matanya. Belum lagi kawan kakaknya yang lain. Jatuh maruah kalau pakai barang tiruan.

Eeww...” Cynthia tunjuk muka geli. Siap buat isyarat tubuh lagi.

Ladies, time is precious. Katrina kena betul-betul mahir jadi bibik. Jangan sampai Tengku Harraz tahu dia bibik jadi-jadian.” Akil tunjukkan jam di pergelangan tangannya.

“Okey.” Cynthia buat olengan mata. Geram dengan Tengku Harraz. Cerewet tahap dewa.

Good. I serah kakak I kat you all ya.” Usai berkata-kata Akil terus beredar dari situ. Tak sanggup berlama-lama duduk dengan semua gadis itu. Benteng imannya bukan kuat mana pun. Semuanya memakai pakaian seksi-seksi.

Dressing ala kampung tu macam mana?” Lily bertanya. Dia tak pandai sangat pasal kampung-kampung di Malaysia. Kalau imej kampung di Indonesia mungkin pandai sedikit.

“Baju kurung. Tudung. Baju kurung pun jangan mahal-mahal. Yang lima puluh ringgit dua pasang jadilah.” Mahira melihat skrin tabletnya.

“Kenapa mesti imej kampung? Bibik sekarang dah moden, okey? Ada uniform.” Katrina menoleh ke arah bibik-bibik mereka. Semuanya nampak kemas dengan pakaian seragam masing-masing.

“Dah dia kata imej kampung, jadi kau kena guna imej kampunglah.” Mahira melarikan jarinya di atas skrin.

“Kalau kau dah diterima kerja baru ada uniform agaknya.”

Katrina tertunduk lemah. Baru cari orang gaji, belum cari isteri lagi. Mujurlah dia hendak buat Tengku Harraz jatuh cinta sahaja. Bukan hendak jadi teman sehidup semati lelaki itu.

“Kak Tini... laparlah. Nak makan.” Katrina usap perutnya.

“Lauk kangkung tadi ada. Kak Tini tinggal nak masak nasi.”

Laju Katrina menggeleng. Dia sudah trauma dengan kangkung. “Tak nak kangkung. Saya nak sambal udang. Kangkung tu Kak Tini makanlah.”

“Baik, Cik Kat.” Kartini mengangguk lalu ayun langkah ke dapur.

 

“AKU RASA imej ni okey. Kain batik dengan baju kurung Kedah. Tudung bawal.” Mahira tunjukkan skrin tabletnya. Nampak menarik juga. Stail yang sangat ringkas tapi cantik dan ayu. Pada masa yang sama, nampak imej ala kampung.

“Menarik juga ni, babe.” Lily jatuh hati pula dengan penampilan ala kampung model di dalam skrin itu.

“Aku kena pakai kain batik ke? Tudung?”

“Ya... Belajar ikat kain batik. Jangan sampai terburai depan Tengku Harraz. Karang dia tahu kau bukan orang kampung.”

Katrina pengsan lagi.

 

No comments:

Post a Comment