DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 2

 

HASNAN berasa agak kekok ketika masuk ke rumah ini. Dia duduk di kerusi rotan untuk melepaskan lelah.

“Besar juga rumah cikgu ni.”

“Besar tapi sunyi. Di rumah ni, hanya ada saya, emak, ayah dan adik bongsu saya. Seorang adik saya dah berkahwin. Tak tinggal di sini. Adik lelaki saya pula, masih belajar di luar negara.” Cikgu Dali duduk berhadapan dengan lelaki itu.

Tiba-tiba muncul seorang wanita yang agak berusia. Masih nampak cantik. Malah wanita itu mengenakan pakaian yang cantik di tubuhnya. Jelas wajah itu ada peranakan Cina. Tak hairanlah Cikgu Dali persis ada kacukan Cina.

“Lambat Dali balik hari ni. Ada banyak kerja ke?” soal wanita itu kepada anaknya. Wajahnya sedikit berubah saat terpandang kelibat Hasnan.

“Ya, mak. Banyak sangat kerja hari ni.”

“Siapa pula yang kau bawa balik ni?” soal Mak Mon.

Matanya memandang Hasnan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Hasnan berdiri sambil menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat. Nak bersalam, rasanya tak manis.

“Ni pekerja baru di pejabat saya. Hasnan namanya. Orang Perak.”

Terangkat kening wanita itu. Dengar perkataan dari Perak, dia jadi panas hati.

“Kenapa bawa dia ke sini?” soal Mak Mon tanpa menghiraukan perasaan tetamu itu.

Hasnan jadi tak selesa dengan soalan itu. Nampak sangat kedatangannya ke sini tidak dialu-alukan.

“Dali nak tumpangkan dia di sini beberapa hari. Bilik sewa dia masih dalam proses ubah suai. Kebetulan rumah kita ada banyak bilik kosong. Boleh kan kalau kita tumpangkan Hasnan?”

Mak Mon hela nafas berat. Nak dibantah, dia tak nak malukan anaknya di hadapan tetamu. Terpaksalah dia mengalah.

“Jomlah ke dapur. Kebetulan Ton ada buat minum petang. Langkah kananlah tetamu Dali hari ini.”

Mak Mon mengajak mereka ke ruang makan yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu.

Cikgu Dali dan Hasnan bergerak ke meja makan. Mak Mon memanggil orang gajinya agar membawakan teh panas. Di atas meja makan sudah terhidang sepinggan pisang goreng dan kek lapis Sarawak.

Tak lama kemudian, muncul gadis yang dilihat oleh Hasnan ketika dia tiba di sini tadi. Mungkin gadis ini orang gaji di rumah ini, duga Hasnan.

Mak Mon agak terkejut melihat Zaton yang membawa minuman ke meja makan.

“Kenapa kau yang hidangkan teh, Ton? Mana Mak Joha?”

“Dia tengah solat asar,” jawab Zaton.

Hasnan melirik ke arah Zaton. Wajahnya tak sama seperti Mak Mon tapi masih berkulit putih kemerahan. Hidungnya mancung dan kecil. Matanya juga kecil tetapi bulat. Beberapa kali mereka berpandangan.

Zaton menuang teh ke dalam setiap cawan. Selesai kerjanya, dia terus beredar. Langkahnya terhenti apabila terdengar suara Mak Mon memetir.

“Ton!”

“Ya, mak.” Zaton menoleh ke belakang.

Hampir tersembur air yang diminum Hasnan. Cepat-cepat dia mengesat bibirnya. Terkejut apabila mendapat tahu gadis itu ialah adik bongsu Cikgu Dali.

“Kemaskan bilik Abang Jalal. Tukar cadar dan selimut. Ada tetamu nak tumpang bermalam di sini beberapa hari.”

Zaton sekadar mengangguk sebelum cepat-cepat dia berlari ke bilik atas. Cikgu Dali kesian melihat adiknya dilayan kasar. Depan tetamu pun, emak suka menengking.

“Ton tak dapat kerja lagi ke mak?” soal Cikgu Dali.

“Entah. Katanya dah pergi temu duga. Sibuk nak bekerja. Macamlah dekat rumah ni tak ada kerja,” kata Mak Mon sambil mencapai cawan.

“Biarlah Ton tu bekerja mak. Kesian dia asyik terperap dalam rumah.”

Mak Mon menjuih bibirnya tanda tidak puas hati. Dia kemudian memandang ke arah Hasnan.

“Kamu kerja apa di sini?”

“Saya wartawan dan penulis, mak cik,” jawab Hasnan.

Mak Mon mengangguk sedikit.

“Pertama kali datang ke Sarawak?” tanya Mak Mon lagi.

“Ya, mak cik.”

“Berapa lama di sini?”

“Belum tahu lagi,” jawab Hasnan. Dia sebenarnya masih belum tahu masa depannya di sini. Jika dia selesa, mungkin dia akan bekerja di sini untuk jangka masa yang panjang.

“Bujang lagi?” Kali ini Cikgu Dali yang menyoal.

Hasnan mengangguk sambil tersenyum malu.

“Mahu cari orang Sarawak?” usik Cikgu Dali sambil tertawa kecil.

Tergelak Hasnan.

“Soal jodoh, saya serahkan kepada Dia.” Jari telunjuk dihala ke atas.

Dia sendiri tak pernah terfikir untuk berkahwin. Lagipun usianya masih muda. Banyak lagi perkara yang perlu dia lakukan di sini.

 

 

SETELAH MINUM petang, Cikgu Dali menyuruh dia ke tingkat atas. Dia diminta berehat di bilik yang paling kiri.

Pintu bilik itu dibuka perlahan-lahan. Terkejut Hasnan apabila melihat Zaton masih ada di bilik ini. Gadis itu sedang mengikat rambutnya yang panjang di tepi tingkap. Terserlah keayuan gadis itu di mata Hasnan. Jantung lelaki itu berdegup laju.

Gadis itu masih belum perasan dia ada di sini. Keadaan bilik kelihatan sangat bersih. Rasa bersalah pula terpaksa menyusahkan gadis bertubuh kecil itu.

Zaton terpandang ke arah pintu. Hampir saja dia terjerit melihat Hasnan ada di sini. Wajahnya merah menahan malu.

“Maaf. Saya ingatkan bilik ni dah siap kemas.” Hasnan garu kepalanya yang tidak gatal. Dia berura-ura untuk keluar dari bilik itu.

“Tak apa. Masuklah. Sikit lagi ni nak siap.” Cepat-cepat Zaton mengambil bakul sampah yang ada di situ. Kertas-kertas yang tidak digunakan, dimasukkan ke dalam bakul itu.

Disebabkan sudah lama bilik ini tidak berpenghuni, Zaton mengambil masa yang agak lama untuk mengemas. Sudah dua tahun juga Jalal tidak menggunakan bilik ini selepas belajar di luar negara. Walaupun mereka mempunyai orang gaji, Mak Mon tak suka bilik ini dikemas oleh orang lain.

“Saya nak ambil cadar tu,” kata Zaton yang sudah berdiri di hadapannya.

Tersentak Hasnan. Tak sedar dia terpijak cadar kotor di atas lantai.

“Saya tolong ambilkan.”

“Tak apa. Awak ke tepi.”

Hasnan tak pedulikan kata-kata gadis itu. Serentak mereka berdua menunduk sehingga kepala mereka terhantuk di antara satu sama lain. Menyeringai wajah Zaton menahan rasa perit di dahi. Begitu juga dengan Hasnan.

“Aduh! Sakitnya.” Zaton terduduk di atas lantai. Agak kuat juga dahinya terhantuk ke kepala lelaki itu. Keras macam batu. Spontan dia menggosok dahinya.

“Allah! Saya minta maaf.” Serba salah Hasnan. Nak sentuh, anak dara orang. Silap-silap, dahi dia pula yang benjol.

“Sakit sangat ke?” soal Hasnan dengan riak yang cuak.

Zaton menggeleng sedikit. Dia berdiri dengan wajah masih menunduk.

“Harap dahi awak tak benjol.”

Kelat wajah Zaton. Dahinya masih diraba-raba lagi. Keduanya berpandangan. Sekali lagi jantung Hasnan berdegup laju saat menatap anak mata gadis itu.

Tertelan air liur Zaton. Wajahnya sudah merah melihat lelaki itu terlalu ralit memandangnya. Zaton pantas menunduk kembali.

“Sikit aje. Tak mungkin benjol.” Zaton cuba bertenang.

Tiba-tiba Hasnan ketawa. Berkerut dahi Zaton dengan reaksi lelaki itu.

“Maaf. Saya gelak sebab dahi awak tu, nampak sangat warna dah berubah. Mungkin kulit awak cerah. Jadi kesan lebam tu, cepat nampak.”

Terbeliak mata Zaton. Pantas dia mencapai cadar kotor tadi dan keluar dari bilik itu. Takut juga kalau dahinya sudah ada kesan lebam. Satu kerja pula dia nak menjelaskan kepada emak.

Hasnan tersenyum sendiri saat teringatkan kejadian tadi. Zaton sangat comel di matanya. Dia rebahkan dirinya di atas tilam. Mungkin terlalu penat, cepat saja dia lelapkan mata.

No comments:

Post a Comment