DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 20 June 2023

Bibik High Class - Bab 6


“KAT... kau kat mana? Yuhuu... Kat... meow.” Bergema seluruh ruang tamu dengan suara Akil. Ada berita gembira yang perlu dia sampaikan kepada kakaknya. Malas hendak telefon. Tinggal serumah takkan nak telefon.

“Kat!”

“Tuan Akil, Cik Kat tengah mandi dekat kolam renang.” Kartini, orang gaji di rumah mereka muncul memberitahu.

“Kak Tini, cakap kat Cik Kat ada berita gembira. Suruh dia jumpa saya lepas habis mandi nanti.” Usai berkata-kata, kaki diayun menuju ke biliknya. Baru pulang dari pejabat, badannya sangat penat. Dia perlu mandi dan solat dahulu. Katrina pun satu. Nak maghrib baru sibuk nak mandi di kolam renang.

Masuk sahaja ke dalam bilik, azan maghrib kedengaran. Akil letakkan beg kerjanya di atas meja. Usai itu dia masuk ke bilik pakaian. Tuala diambil dan pakaiannya dilucut lalu dicampak ke dalam bakul baju kotor. Akil menapak masuk ke bilik mandi.

Selepas beberapa minit dia keluar dari bilik mandi dengan hanya memakai tuala yang terlilit di pinggang. Hampir melompat dia melihat kelibat kakaknya sedang berdiri di depan bilik mandi. Turun naik matanya melihat Katrina. Tak menyempat sungguh.

“Berita gembira apa kau nak beritahu aku?” Dia mahu mendekati Akil tapi pantas adiknya itu menjauh.

“Aku ada wuduk. Kau pun pergilah pakai baju elok-elok dulu. Naik kolam renang terus datang sini. Nasi lemak dua puluh sen kau tu tak payah nak tayang-tayang.” Akil tundukkan pandangan. Silapnya juga salah bagi arahan. Kerana teruja dia terlupa hari hampir maghrib. Dia perlu mandi dan solat terlebih dahulu. Kakaknya muncul dengan hanya berbikini. Mujur memakai tuala separas pinggang.

“Kau pergi tukar baju dulu.”

“Aku dah excited sangat nak tahu ni. Jangan hampakan aku.”

“Kakakku sayang, maghrib bukan sepuluh jam. Tolong hormat sikit...”

Kasilah hint sikit.”

Meow... shooh shooh.” Tiada cara lain untuk menghalau kakaknya.

“Menyampah!” Sambil menghentak kaki. Katrina keluar dari bilik adiknya.

Akil mengurut dada dan menarik nafas lega.

“Ampunkanlah dosa-dosa hamba-Mu, Ya Allah.”

 

“BERITA BAIK apa yang kau nak beritahu aku?” Tidak sabar-sabar hendak tahu berita baik yang adiknya mahu sampaikan. Tak senang duduk dia memikirkan. Pelbagai tekaan dia buat tadi. Harap-harap salah satu tekaannya betul.

“Tengku Harraz tengah cari orang gaji,” ucap Akil selamba sambil menyenduk nasi ke pinggannya.

“Apa kena-mengena dengan aku? Biarlah dia cari orang gaji.” Mati terus rasa terujanya. Itu bukan berita gembira. Kenapa Akil bawa berita yang tak berkaitan dengan misi mereka? Dengan muka masam dia memberi isyarat kepada orang gajinya agar menyendukkan nasi untuknya.

“Inilah peluang kau untuk rapat dengan Tengku Harraz.”

“Helo... Adikku sayang. Dia cari orang gaji. Dia cari bibik tahu tak. Bibik! Bukannya dia cari bakal isteri. Kenapa? Kau nak suruh aku jadi bibik kat rumah dia?”

Tiada jawapan daripada Akil. Lelaki itu selamba sahaja menyuap makanan. Katrina pandang adiknya tajam. Kalau Akil berdiam begitu, maknanya ya. “Kau memang nak suruh aku jadi bibik dia ke?”

Hampir terjojol mata Katrina melihat senyuman di bibir adiknya. Pantas dia gelengkan kepala. Tak mungkin dia akan jatuhkan maruahnya serendah itu. “Bibik... Euww... gelilah.”

“Kau fikir elok-elok. Dia nak bibik. Bibik kerja kat rumah dia 24 jam. Dia sediakan tempat tinggal. Maka 24 jam kau akan hadap dia. Kau ada masa 24 jam sehari, 6 hari seminggu untuk jalankan rancangan kau. Sambil tu kau buat kerja-kerja bibiklah...”

“Kerja-kerja bibik?” Katrina menoleh ke arah pembantu rumahnya. “Kak Tini, apa kerja-kerja bibik?”

“Kemas rumah, menyapu, mop lantai. Cuci pinggan. Cuci baju...” Kartini sudah 10 tahun berkhidmat dengan keluarga itu. Sudah hilang telor Indonesianya. Seram sejuk tubuh Katrina mendengar skop kerja bibik. Cuci pinggan kotor orang lain, memang taklah. Pinggannya sendiri pun dia tak cuci. Laju dia menggeleng.

A big no!”

“Kau fikir baik-baik. 24 jam kau dengan dia. 24 jam. Bukan sejam dua. Perempuan lain jangan kata sejam, seminit pun tak dapat. Sesaat pun kira bernasib baik. Kau ada 24 jam.”

“Saya setuju dengan Tuan Akil. Betul tu. Ini memang peluang terbaik untuk Cik Kat masuk ke dalam hidup dia.”

Kartini menyampuk. Dia tahu rancangan dua beradik itu. Katrina tak pernah berahsia dengannya. Apa sahaja yang berlaku, gadis itu akan cerita kepadanya.

“Kak Tini, saya nak dekat-dekat dengan Tengku Es Batu tu sebab nak buat dia jatuh cinta. Bukan nak tolong cuci kain baju dia.”

“Cik Kat... orang kata sambil menyelam minum air. Sambil jadi bibik... mengurat majikan. Mula-mula masuk dalam rumah, kemudian masuk dalam hati. Lepas tu jatuh cinta. Akhirnya hidup bahagia selamanya.” Kartini gelak malu-malu.

“Jadi Kak Tini ada hati nak mengurat Akil lah?”

Terbatuk Akil mendengar kata-kata kakaknya. Gila ke apa Katrina ni. Sekarang mereka membincangkan soal Tengku Harraz, bukan dia.

“Eh bukan... Tuan Akil sudah saya anggap macam adik. Lagipun saya sudah ada pacar. Kami mahu kahwin tak lama lagi.” Kartini senyum malu-malu.

Katrina terlupa pula yang Kartini bercinta dengan tukang kebun mereka. Lelaki keturunan Indonesia juga. Tak lama lagi mereka akan berkahwin. Selepas berkahwin kedua-duanya akan terus menetap di sini dan bekerja bersama-sama.

“Nantilah aku fikir.” Katrina bangun dari duduk.

“Kau tak makan ke?” Akil memerhatikan nasi di dalam pinggan kakaknya. Langsung tak berusik. Namun dia biarkan sahaja. Dia tahu, pasti Katrina akan mengadakan mesyuarat tergempar dengan Lily dan yang lain-lain.

Sambil berjalan masuk ke dalam bilik, Katrina menghantar pesanan WhatsApp kepada kawan-kawannya.

 

Girls! I need you all. ASAP via

WhatsApp.

 

Masuk sahaja ke dalam bilik panggilan video masuk daripada kawan-kawannya. Dia tahu dia boleh mengharapkan mereka semua. Tubuh dihempaskan ke katil. Ambil bantal dan meniarap sambil menghadap skrin telefon.

 

ASAP... orang tengah makanlah. Nasib baik mama dengan papa aku tak ada.” Wajah Cynthia muncul di atas skrin.

Babe, apa yang ASAP tu?” tanya Lily pula. Dia baru selesai makan malam dan sedang bermalasan di biliknya.

“Cakap aje apa nak cakap. Aku tengah makan.” Mahira pula muncul. Selamba sahaja mengunyah makanan sambil bercakap di hadapan kamera.

“Tengku Harraz cari bibik untuk kerja kat banglo dia.” Katrina memulakan bicara.

“Apa kena-mengena dengan kau, babe? Biarlah dia cari orang gaji.” Lily bertanya.

“Demi misi aku untuk membuat Tengku Es Batu tu jatuh cinta, aku akan jadi bibik kat rumah dia.”

What?” Serentak ketiga-tiga sahabatnya menjerit. Disusuli pula dengan bunyi batuk. Mahira tersedak!

“Kau tahu enggak kerja bibik tu bagai mana?” tanya Lily dengan muka gusar. Kawan-kawannya sama seperti dia. Cuci pinggan sebiji, setahun sekali belum tentu.

“Tengku Harraz tengah cari orang gaji perempuan. Ini aje peluang aku untuk dekat dengan dia. Bayangkan aku ada 24 jam untuk mengurat dia,” terang Katrina lagi. Dia akui ada benarnya kata-kata Akil. Ini peluang keemasannya.

Babe... kau nak mengurat dia sampai ke bilik tidur ke? Jangan buat pasal.” Mahira mengingatkan. Tidak mahu hanya kerana pertaruhan, sahabatnya hilang maruah diri.

Of courselah tak. Jangan risau. Pandailah aku jaga diri nanti. Korang jugak cakap, kan? Benteng iman dia setebal Great Wall Of China. Kalau aku bukak baju depan dia pun, mesti dia boleh tahan godaan.” Katrina tergelak nakal. Tiba-tiba dia diterjah rasa ingin tahu. Bagaimana agaknya reaksi Tengku Harraz melihat gadis tidak berpakaian di depan mata? Hatinya meronta-ronta ingin tahu.

“Kalau macam tu kami sokong kau. Perlukan bantuan apa-apa dari kami ke?”

“Pinjamkan bibik-bibik korang satu hari. Nak buat crash course satu hari. Tunjuk ajar aku cara-cara nak jadi bibik.” Katrina memberitahu rancangannya. Kartini ada untuk membantunya tapi dia perlukan ilmu lebih. Tak salah punya ramai guru.

On babe. Besok kami datang.”

Thanks, babe. Love korang.” Katrina tersenyum lebar. Talian dimatikan. Perutnya sudah pun berkeroncong. Cepat-cepat dia turun dari katil dan berlari keluar dari bilik lalu terus ke meja makan. Dia berdiri memandang Akil dengan muka penuh keyakinan.

“Okey. Aku akan jadi bibik kat rumah dia. Tapi ini bibik bukan sebarang bibik. Ini bibik high class!” Katrina berkata dengan penuh semangat.

Bibik high class tu apa benda? Bibik jugak, kan? Kemas rumah jugak, kan? Ada kerja luar biasa ke kalau jadi bibik high class?”

Katrina sepetkan mata. Rasa hendak ditumbuk-tumbuk sahaja perut adiknya saat ini. Saja dia suka-suka gelar bibik high class. Tak adalah nampak bibik sangat.

Good luck, kakakku sayang. Kau belajar jadi bibik dulu, ya. Yang lain-lain aku akan settlekan. Sekarang makan. Kalau kau sakit mama dengan papa marah aku pulak.”

Dengan senang hati Katrina duduk di kerusinya. Dia cedok lauk dan mula makan. Barulah ada semangat hendak makan.

“Tapi kau kena transform jadi macam bibik yang dia nak.” Akil mengingatkan.

“Jangan risau, aku akan jadi bibik paling lawa dan juga paling cun di alam semesta ni. Pasti dalam masa sesaat dia akan jatuh cinta kat aku.” Katrina berkata dengan penuh yakin sambil menyuap makanannya.

“Dia nak bibik dari kampung. Bibik muslimah. Bibik yang tak pakai make up.”

Rasa hendak jatuh rahang Katrina saat ini.

 

No comments:

Post a Comment