DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 1

 

HASNAN tersenyum ceria apabila mendapat tawaran bekerja di Kuching, Sarawak. Bukan mudah untuk dia ke sana. Lebih-lebih lagi, bekerja di sana dapat memberikan dia pengalaman yang lagi baik.

“Dah siap mengemas ke?” soal Puan Asiah.

Dia duduk di birai katil sambil melihat anak sulungnya memasukkan beberapa buah buku ke dalam beg.

“Ada lagi sikit, mak.”

Puan Asiah hela nafas panjang. Dia sebenarnya agak berat hati nak melepaskan anaknya pergi ke sana. Lebih-lebih lagi ini kali pertama mereka berjauhan.

“Bilalah Nan nak balik ke sini ya?”

Terhenti perbuatan Hasnan dari memasukkan barang-barangnya ke dalam beg. Wajah sugul emak dipandang dengan rasa serba salah. Dia duduk di sisi wanita itu. Kedua tangan emak diraih dan dibawa ke bibir.

“Nan tak akan lupakan mak dan adik-adik di sini. Nan pergi sana, untuk ubah nasib keluarga kita. Nan janji akan selalu hubungi mak dan adik-adik.”

Terasa hangat tubir mata Puan Asiah. Pipi anaknya yang sudah berusia 23 tahun itu diusap lembut. Dia percaya anaknya tak akan sesekali melupakan mereka di sini.

“Mak risau kalau Nan tersangkut dengan orang sana. Berkahwin dan terus tinggal di sana,” sakat Puan Asiah.

Berdekah-dekah Hasnan ketawa. Kepalanya digeleng berkali-kali.

“Ke situ pula, mak. Nan ni bukannya ada apa. Tak mungkinlah ada yang berkenan dengan Nan di sana.”

Dia ada terdengar gadis-gadis di sana sangat cantik. Walaupun rupa Hasnan biasa saja, tapi mampu menarik hati gadis yang memandangnya. Cuma Hasnan masih belum bersedia ke arah itu. Bercinta lagilah tak pernah.

“Mak jangan risaulah. Kalau betul Nan nak kahwin, mak orang pertama yang Nan akan beritahu.” Itu janji Hasnan.

Dia tak mungkin membelakangi keluarganya dalam soal yang serius ini. Selepas kematian ayahnya, dia bekerja keras demi membantu keluarganya. Mustahil untuk dia melukakan hati orang yang dia sayang.

“Mak percayakan Nan. Mak tak kisah kalau ditakdirkan Nan bertemu jodoh di sana. Cuma satu aje yang mak minta. Jaga maruah keluarga kita baik-baik. Hidup merantau di tempat orang ni tak mudah.”

Hasnan mengangguk faham.

“Insya-Allah, mak. Nan akan sentiasa ingat nasihat mak. Mak janganlah sedih. Nanti ada rezeki, Nan akan balik ke sini.”

Puan Asiah memeluk tubuh anaknya. Besar harapannya Hasnan berjaya mencapai cita-citanya. Sudah terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh si anak. Tak kira apa pun keputusan Hasnan demi masa depan, dia akan tetap berdiri di sisi si anak.

 

 

HASNAN MELIHAT pemandangan di luar tingkap teksi. Syukur dia selamat sampai di Kuching dengan selamat. Sekarang dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya untuk melihat bilik sewanya di sana. Dia bernasib baik kerana di sini, dia diberi kemudahan tempat tinggal.

“Saya hantar encik sampai di sini saja. Encik boleh terus masuk ke dalam.”

“Terima kasih,” ucap Hasnan sebelum keluar dari teksi.

Dia melangkah masuk melalui pintu hadapan dengan membawa beg pakaiannya. Tempat pertama yang dituju, adalah meja penyambut tetamu. Dia memberitahu tujuan dia datang ke sini kepada penyambut tetamu tersebut.

“Saya Hasnan, dari Semenanjung. Datang ke sini untuk melaporkan diri.”

“Kejap ya. Saya beritahu ketua kami.”

Hasnan disuruh duduk di sofa yang disediakan di lobi. Sementara menunggu, Hasnan keluarkan pen dan buku notanya dan menulis apa yang baru dilaluinya sepanjang hari ini. Sudah menjadi kebiasaan untuk dia menulis setiap hari. Seolah-olah itulah diari dalam hidupnya.

“Encik Hasnan.”

Hasnan mengangkat wajahnya memandang lelaki yang berdiri di hadapannya. Lelaki itu hadiahkan senyuman kepadanya.

“Selamat datang. Saya Cikgu Dali.” Tangan dihulurkan kepada Hasnan.

Hasnan bangun dan menyambut huluran itu dengan mesra.

“Mari ikut saya,” katanya dengan lembut.

Hasnan mengekori lelaki itu. Semasa di dalam lif, Hasnan mendapat tahu Cikgu Dali akan menjadi ketua di tempatnya bekerja. Malu kerana dia sendiri tidak kenal dengan nama ketuanya sendiri. Di sini, lelaki itu memang dikenali dengan gelaran Cikgu Dali.

“Encik Hasnan dah makan?”

“Tak payahlah berencik. Panggil aje Hasnan. Saya dah makan tadi.”

Cikgu Dali tarik nafas lega. Risau juga Hasnan masih belum makan setelah menempuh perjalanan yang jauh ke sini.

“Sepatutnya awak berjumpa dengan bos besar kita. Tapi sebab dia sibuk sangat hari ni, jadi terpaksa tangguh ke hari esok. Untuk sementara ni kita pergi pejabat akhbar dulu. Rehat-rehatkan diri dulu.”

“Baik,” balas Hasnan sambil tersenyum kecil.

“Macam mana perjalanan tadi?”

“Taklah penat sangat, cikgu. Bukan jauh sangat,” jawab Hasnan dengan tertib.

Setibanya di pejabat akhbar Sinar Sarawak, Cikgu Dali menunjukkan bilik kerja Hasnan. Kagum Hasnan melihat tempat barunya ini. Tak sabar untuk dia bekerja di sini.

Akhbar Sinar Sarawak adalah akhbar rasmi yang dimiliki oleh DP Rahman. Pejabat akhbar tersebut terletak di bangunan bersebelahan dengan pejabat DP Rahman. Sebahagian daripada waktunya, DP Rahman akan berada di Bangunan BINA, sebuah organisasi yang terkenal di sini. BINA adalah singkatan Angkatan Nahdatul Islam Bersatu Sarawak. Sebuah badan NGO. Sumber kewangan BINA dibiayai oleh seorang saudagar minyak dari Arab Saudi.

Hasnan kemudian dibawa ke bilik yang bakal menjadi tempat tinggalnya di sini. Bilik ini walaupun agak kecil tapi cukup selesa untuk dia menetap di sini.

“Sebenarnya bilik awak ni tengah diubah suai. Tak sangka pula ambil masa yang lama untuk disiapkan.” Serba salah Cikgu Dali.

Hasnan sudah cuak. Sudahlah dia tiada tempat tinggal sekarang. Nak mencari hotel, dia bukan ada duit yang banyak.

“Buat sementara ni, tinggallah dulu di rumah saya sampai bilik awak ni siap. Boleh?”

Err... tak menyusahkan ke?” soal Hasnan.

“Tak adalah. Rumah saya besar. Setakat nak tumpangkan awak seorang, tak ada masalah. Nanti petang awak balik dengan saya.”

Hasnan menarik nafas lega. Cikgu Dali menerangkan tentang tugas dan matlamat tempat ini diwujudkan. Lelaki itu turut menyerahkan beberapa surat khabar Sinar Sarawak keluaran sebelum ini. Akhbar itu diterbitkan seminggu sekali. Hasnan membawanya ke meja kerjanya. Dia berniat untuk membaca kandungan surat khabar itu. Terlalu ralit membaca, tak sedar masa berlalu begitu pantas.

“Hasnan, dah pukul lima. Marilah ikut saya balik.”

Hasnan terkejut dengan sergahan itu. Dia menyimpan surat khabar tadi. Cikgu Dali tersenyum senang melihat ketekunan Hasnan membaca isi akhbar itu. Dia yakin, Hasnan pasti seronok menggali pelbagai maklumat dari akhbar tersebut.

“Macam mana? Ada apa-apa berita yang menarik hati awak?” soal Cikgu Dali sambil memandu kereta.

“Banyak juga perkara menarik yang saya jumpa. Saya memang suka baca tentang sejarah.”

“Nampaknya kita ada minat yang sama. Sukakan sejarah.”

“Dah tentu cikgu. Alangkah ruginya jika kita tak mengkaji sejarah, terutama sekali sejarah tamadun manusia. Sejarah bangsa.”

Cikgu Dali angguk setuju.

“Saya memang suka sejarah. Dulu masa mengajar, subjek Sejarah memang pilihan saya. Tapi pelajar-pelajar tak suka. Kata mereka pelajaran Sejarah penat nak kena ingat tahun dan peristiwa. Tapi kalau kita buta sejarah, kita akan hilang di bumi sendiri,” kata Cikgu Dali.

“Di sini terlalu banyak etnik. Saya kagum sebab DP Rahman berjaya menyatukan setiap etnik itu di bawah satu parti.” Hasnan turut memuji lelaki itu yang bergelar majikannya di sini.

“Keistimewaan DP Rahman, dia berjaya menggabungkan Parti Berjasa, Parti Bumiputera dan PESAKA. Semua parti-parti ni dulunya tidak bersatu. Walaupun kita sekarang dah bersatu, masih ada lagi parti yang menjadi ancaman,” terang Cikgu Dali.

Hasnan sekadar memasang telinga. Sebagai wartawan, Hasnan sudah membuat banyak ‘homework’. Dia selalu bersedia untuk berhadapan dengan setiap persoalan agar fakta yang diberi adalah tepat. Sebab itulah dia sanggup menghabiskan masa berjam-jam di perpustakaan daripada melepak bersama kawan-kawan. Jadi tidak hairanlah dia masih belum ada kekasih sehingga sekarang.

Tak lama kemudian, mereka tiba di sebuah rumah yang agak besar. Hasnan kagum melihat dekorasi di rumah ini.

“Ni lah rumah saya,” kata Cikgu Dali.

Hasnan keluar dari perut kereta. Pada masa yang sama, anak matanya terpandang satu susuk tubuh seorang gadis yang sedang menyiram pokok bunga. Keduanya saling berpandangan.

Tiba-tiba gadis itu berlari masuk ke dalam rumah. Hasnan sedikit keliru. Tak akanlah gadis itu takut melihat wajahnya.

No comments:

Post a Comment