DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 20 June 2023

Bibik High Class - Bab 8


SERIOUSLY?” Berkali-kali Akil pandang kakaknya dari atas ke bawah. Sudah berkali-kali dia beritahu bagaimana rupanya pakaian seorang bibik. Malah mereka sudah mencari pakaian yang sesuai untuk kakaknya. Terus dia mencekak pinggang. Degil sungguh!

Bibik tahun 2023 dah maju ke depan. Tak mainlah kain batik dengan baju kurung Kedah.” Dia lihat penampilannya sendiri. Gaun hitam separas paha melekat pada tubuh. Yakin dengan serta-merta lelaki akan terpikat melihat penampilannya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia pakai pakaian bibik serupa animasi Jepun. Biar terjojol mata lelaki yang melihat.

“Kau pakai macam ni... Jangan cakap Tengku Harraz nak pandang. Belum bukak mulut, dia dah halau kau pergi.”

Katrina mencebik. Kalau bukan disebabkan cabaran Ramona untuk menundukkan Tengku Harraz Sulaiman, memang dia tak akan menjadi pembantu rumah. Tambahan pula ada sokongan padu daripada kawan-kawannya dan rasa sakit hati sebab Tengku Harraz menghina kaum perempuan.

Semua orang tahu Tengku Harraz Sulaiman adalah  lelaki kalis cinta. Setakat ini tiada mana-mana perempuan pernah berjaya membuat lelaki itu jatuh cinta. Sebab itu kawan-kawannya menggelar lelaki itu Tengku Es Batu. Tak kisahlah Tengku Es Batu atau Mr. Beku sekalipun, dia akan pastikan lelaki itu melafazkan kata cinta terhadapnya.

“Pergi tukar baju cepat. Jangan buang masa. Banyak kerja lagi aku kena buat dari melayan kepala tak betul kau. Buang sekali make up kau tu.”

“Aku tak ada make up sama macam aku keluar tak pakai baju.”

Akil mencekak pinggang. “Kau pakai make up serupa Kak Limah dah. Bedak tebal seinci.”

“Kau kutuk aku, aku tak bagi bahagian kau kalau aku menang taruhan ni.” Katrina bengang dengan Akil. Penat-penat dia bersiap. Berjam-jam depan meja solek untuk kenakan solekan paling cantik. Sudahnya kena marah.

“Aku kenal sangat Tengku Es Batu kau tu. Kau ingat dia nak pandang kau kalau pakai macam tu? Kirim salam ajelah. Itu pun kirim salam pakai niat aje.” Tepuk dahi dia dengan perangai kakaknya. Sudah berkali-kali pesan kena jadi gadis kampung. Gadis sederhana. Tak ada sebarang calitan alat solek. Tak nak dengar langsung.

“Aku...”

“Jangan banyak bunyi. Pergi tukar baju cepat.”

Katrina akur. Dia kembali ke biliknya untuk menukar pakaian. Demi rancangannya, jadi bibik pun bibiklah. Tapi ini bibik, bibik high class.

Selepas 20 minit, Katrina muncul dengan penampilan baru. Tersenyum Akil melihat penampilan kakaknya. Dia tunjuk ibu jari tanda bagus. Ini barulah bibik sebenar. Tiada lagi make up tebal dan baju vogue. Katrina memakai baju kurung Kedah dengan kain batik. Tudung bawal diikat di leher sahaja. Rasanya ini kali pertama dia melihat kakaknya berpakaian sopan. Nampak ayu sahaja.

“Cantik,” puji Akil.

“Cantik ke? Aku rasa muka aku tak ada make up macam pelik.” Katrina sentuh pipinya sendiri. Rasa aneh pula keluar rumah tanpa memakai alat solek.

“Lawalah tu. Aku rasa ada 1% peluang untuk Tengku Es Batu tu pandang kau.”

“Tak membantu langsung.” Katrina heret bagasinya.

“Satu lagi kau kena ingat. Nama kau bukan Katrina. Nama kau Khatijah Ufaira.”

Katrina terhenti. “Kenapa mesti nama tu?”

“Kata asal dari kampung.”

 

“CIK JANGAN buka mulut. Biar saya yang bercakap dengan dia. Saya takut kalau cik salah cakap.” Roslan membawa Katrina ke bilik bacaan Tengku Harraz di rumahnya. Majikannya selalu membawa kerja pulang ke rumah dan masa lapang Tengku Harraz banyak dihabiskan di bilik bacaan ini.

“Kenapa tak boleh bercakap?” tanya Katrina. Akil hanya menghantarnya di hujung jalan tadi. Selebihnya dia berjalan kaki ke sini. Penat!

“Saya takut kalau cik bukak mulut, Tengku Harraz tahu cik penipu. Cik dah tentu kena buang kerja. Saya tak nak hilang kerja.”

“Acah-acah baik. Yang kau terima tawaran Akil kenapa?” Katrina mengekori Roslan. Besar juga kediaman Tengku Es Batu ini. Melihat sahaja sudah penat. Bagaimana dia hendak mula kerja esok?

“Akil yang merayu sangat-sangat. Lagipun dia janji nak bagi saya sikit hadiah kemenangan tu.”

Katrina terhenti. Dia tarik lengan Roslan. “Akil beritahu kau?”

“Mestilah bagi tahu. Sebab dia merayu sangat. Saya dah janji dengan Akil yang saya akan bantu Cik Kat.”

Roslan berhenti di hadapan sebuah bilik. Dia mengetuk pintu. Selepas mendapat balasan barulah dia membuka pintu.

“Tengku, ni pembantu rumah kita yang baharu.”

“Orang Melayu?”

Katrina berdiam di belakang Roslan. Menunduk berpura-pura segan. Sesekali dia mengintai Tengku Harraz. Muka beku sahaja. Dia paling pantang dengan orang yang tak suka senyum. Baginya orang begitu adalah orang paling sombong di alam semesta.

“Orang Melayu. Nama dia Khatijah. Khatijah Ufaira.” Katrina mengangkat muka dan tersenyum.

Terpaku seketika Tengku Harraz melihat senyuman itu. Senyuman manis dengan pandangan mata yang memukau. Sepertinya dia pernah nampak senyuman itu. Tapi dia tak ingat di mana. Dia cuba berlagak biasa.

“Khatijah Ufaira.” Kembali ke alam sedar. Turun naik mata Tengku Harraz melihat penampilan bibiknya itu. Baju kurung Kedah dan kain batik. Tudung bawal ikat di leher. Sayangnya, nampak aurat. Terlihat dada mulus gadis itu.

“Ya, saya. Khatijah Ufaira.” Katrina angguk takut-takut. Risau pula kalau lelaki itu mengenalinya. Pandangan lelaki itu sebentar tadi membuatkan dia resah.

“Asal mana?”

Katrina garu kepala. Terlupa untuk mereka cerita tentang asal usulnya. Kalau dia mengaku dari Kedah atau Kelantan, risau pulak kalau Tengku Es Batu itu suruh dia bercakap loghat negeri. Dia faham pun tidak, apa lagi hendak bertutur mengikut loghat negeri. Tak pasal-pasal rahsianya terbongkar nanti.

“Dia asal KL, Tengku,” jawab Roslan.

“KL mana?”

Roslan mati kata. Takkan hendak cakap Katrina berasal dari Country Heights Damansara. Terlupa pula minta Akil reka latar belakang gadis itu

“Kampung Berembang.” Laju Katrina menjawab.

Mahira ada mencadangkan nama itu ketika mereka berbual-bual tempoh hari. Mujur juga dia ingat nama kampung itu. Sudah tak wujud pun.

“Wujud lagi ke Kampung Berembang? Bukan ke tu kawasan rumah setinggan?”

“Haah, rumah setinggan. Tapi kerajaan dah ambil tanah tu. Kami dapat rumah flat sebagai ganti.” Katrina main hentam sahaja. Harap-harap tak salah maklumat.

Tengku Harraz angguk. “Taraf pendidikan?”

“Ini resume dia, Tengku.” Roslan serahkan sekeping kertas kepada majikannya.

Tengku Harraz membaca resume yang diserahkan Roslan. Sesekali matanya melirik ke arah Khatijah. Kenapa  wajah gadis itu seperti dia pernah jumpa? Tak pernah-pernah  kepalanya mengingat rupa seorang gadis. Tapi perempuan ini, dia yakin pernah jumpa.

Tengku Harraz sambung baca resume. Pendidikan PMR. Pekerjaan sebelum ini pembantu kedai. Juruwang stesen minyak. Tukang ambil pesanan oder restoran tomyam. Paling menarik, admin online syarikat tudung. Banyak juga pengalaman dia. Tapi sayang kerja tak tetap.

Sekali lagi Tengku Harraz melirik ke arah Khatijah. Dari segi penampilan tak nampak macam orang susah. Namun dari resume itu, nampak gadis itu golongan orang susah. Tak ada pelajaran. Risau juga kalau-kalau gadis itu orang yang dihantar musuh perniagaannya. Kalau bukan kerana kehendak adiknya, memang dia tak akan mengupah pekerja perempuan.

“Baiklah. Saya akan ambil awak bekerja. Tempoh percubaan tiga bulan. Kalau dalam masa tiga bulan saya puas hati dengan kerja awak, saya akan jadikan awak pekerja tetap.”

“Terima kasih, Tengku.” Katrina senyum gembira. Diterima bekerja juga sudah cukup. Pandai-pandailah dia menjalankan misinya nanti.

“Roslan, tunjukkan bilik dia.”

“Baik, Tengku.” Roslan memberi isyarat kepada Katrina agar mereka keluar. Lambat-lambat nanti takut majikannya curiga. Nampak riak wajah Tengku Harraz tadi saat meneliti penampilan Katrina.

“Khatijah.”

Katrina berjalan menonong.

“Khatijah Ufaira. Tijah!”

Pantas Katrina menoleh. Terlupa pula namanya sudah ditukar. Memang tak mungkinlah dia akan mendengar nama Katrina dipanggil lelaki itu. “Tijah?”

“Kenapa? Nama awak Khatijah, kan? Senang sikit panggil Tijah.”

Katrina mahu menegah tapi Roslan memberi isyarat agar tidak melawan. Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut. Tijah pun Tijahlah, asalkan dia diterima bekerja di situ.

“Tijah, tugas awak melayan segala keperluan adik saya, Tengku Harlina. Tugas-tugas lain ada orang lain akan buat. Satu yang awak kena tahu... Bilik tidur saya kawasan larangan. Dilarang masuk sama sekali. Tak boleh masuk!”

Katrina mengangguk faham. Sampai tiga kali ulang perkara yang sama. Takut sangat. Tengku Harraz ingat dia akan ikut arahan? Memang taklah. Hari ini sahaja dia akur. Lain kali memang tak mungkinlah dia akan akur.

Roslan membawa Katrina keluar. Mujur Tengku Harraz tidak bertanya banyak. Mungkin kerana kesukaran mencari pembantu rumah Melayu, permohonan Katrina diterima.

Selepas pintu tertutup, Harraz kembali membaca resume Khatijah. Dia yakin yang dia pernah berjumpa gadis itu. Ingatannya tak pernah salah. Namun tak pasti di mana mereka berjumpa.

‘Entah-entah kau ni orang suruhan Datuk Hisham. Dia hantar kau sebab nak intip aku.’

Resume Khatijah nampak meyakinkan. Cuma hatinya rasa tidak enak. Memang dia rasa pernah nampak gadis itu.

‘Tapi kalau ya pun, bagus jugak. Aku akan ajar kau Tijah. Berani kau muncul sini sebagai orang gaji. Padahal kau tu spy.’ 

 

No comments:

Post a Comment