DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 8

 

SELEPAS menunaikan solat isyak, Aisyah tarik tangan adiknya ke katil. Ada perkara yang hendak dibualkan bersama Zaton. Gadis itu agak pelik dengan tingkah kakaknya.

“Siapa Hasnan?”

Terpinga-pinga Zaton.

Err... pekerja Abang Dali.”

Mengecil anak mata Aisyah.

“Bukan buah hati Ton?” sakat Aisyah.

Bulat mata Zaton. Mulut kakaknya ditutup dengan tapak tangannya. Mujurlah emak tiada di bilik ini.

“Kak Cah cakap apa ni?”

Tergelak Aisyah. Tangan adiknya ditepis lembut. Jelas raut wajah adiknya sudah berubah merah.

“Adik Kak Cah dah jatuh cinta.”

“Kak Cah...” Meleret nada suara Zaton. Tak suka diusik begitu.

“Kak Cah pun pernah muda. Tahu sangat apa yang Ton rasa sekarang. Lelaki tu memang kacak.” Ternaik-naik kening Aisyah.

“Tapi mak mesti tak suka.” Hampir tak terkeluar suara Zaton.

Aisyah faham situasi yang dialami oleh adiknya. Bukan mudah untuk mendapat persetujuan dari emak mereka. Dulu ketika dia nak berkahwin, hampir saja dia bergelar anak derhaka.

“Semuanya salah Kak Cah. Kalau Kak Cah tak mencabar emak dan ayah, dah tentu mak tak bencikan orang Semenanjung.”

Zaton cepat-cepat meraih tangan kakaknya.

“Sekurang-kurangnya dia dah terima suami Kak Cah.”

Aisyah tersenyum kelat. Hakikatnya suaminya masih dilayan seperti orang asing. Ada masanya dia kesian dengan suaminya yang terpaksa korbankan perasaan demi menjaga hati emak.

“Hasnan tu selalu datang ke sini?” soal Aisyah.

“Tak adalah selalu. Hari tu dia kemalangan. Itu yang Abang Dali suruh dia bermalam di sini.”

“Kak Cah boleh nampak dia pun sukakan Ton. Cara dia pandang Ton petang tadi, lain macam sangat.”

Zaton tersenyum malu.

“Kalau betul dah suka sama suka, suruhlah dia masuk meminang.”

Syhh...” Zaton letakkan jari telunjuknya di bibir. Tak mahu kakaknya bercakap kuat. Manalah tahu emak naik ke sini.

“Nanti mak dengar,” bisik Zaton.

“Tak payahlah takut sangat dengan mak. Ini soal kebahagiaan Ton. Ada masanya kita kena fikirkan perasaan sendiri.”

“Ton tak sampai hati nak lukakan hati mak. Kalau bukan disebabkan mak, mungkin Ton dah hidup susah.”

Aisyah menggeleng lemah. Inilah salah satu sebab dia tak sukakan sikap Zaton. Terlalu lemah dan hanya mengikut arahan emak.

“Ada masanya Ton rasa tak layak untuk dia.”

Berkerut dahi Aisyah.

“Kenapa cakap macam tu?”

“Dia tu solat tak tinggal. Baik hati, bersopan, berbudi bahasa dengan orang tua. Dia juga pandai.” Ikhlas dia memuji.

“Baguslah. Itu pakej calon suami yang baik.”

“Entahlah, Kak Cah. Abang tu terlalu baik untuk Ton.”

“Kejap! Siapa abang?”

“Abang Hasnan tulah.”

“Wah! Ton dah panggil dia abang!” Aisyah terjerit dengan suara yang agak tinggi.

Syhhhh!!! Mak dengar karang.” Zaton tekup mulut kakaknya sekali lagi. Umur dah 30 tahun tapi perangai mengalahkan budak-budak.

Berdekah-dekah Aisyah ketawa. Suka betul dia mengusik si adik. Ini kali pertama dia melihat Zaton betul-betul sukakan seseorang.

“Kak harap hubungan Ton dan dia berjalan lancar. Banyakkan berdoa. Tentang mak, Kak Cah yakin dia mesti akan setuju juga.”

Zaton hela nafas lemah. Setiap kali dia teringatkan tentang reaksi emak, fikirannya menjadi serabut. Tak mudah untuk dia bercinta dengan lelaki yang dia suka.

“Agaknya mak terima tak kalau Abang Hasnan masuk meminang? Abang Hasnan orang Semenanjung. Mak selalu cakap takut kalau-kalau Ton ni dibawa lari jauh dari Sarawak. Ikutkan hati Ton, memang Ton tak sampai hati nak tinggalkan mak,” lirih nada suara Zaton.

“Habis tu, tak akan Ton nak duduk di bawah ketiak mak sepanjang masa.”

Zaton ketap bibirnya.

“Apa yang Ton perlu buat?”

“Ton kena pandai ambil hati mak. Yakinkan mak yang Hasnan tu lelaki yang baik. Yang tak akan halang Ton jumpa mak kalau dah berkahwin nanti.”

Zaton mengangguk faham. Tubuh kakaknya didakap erat. Terasa lega rasanya selepas dapat berbual bersama kakaknya.

 

 

SUDAH SEBULAN hubungan Zaton dan Hasnan berjalan lancar tanpa pengetahuan Mak Mon. Ada masanya Hasnan akan mencuri masa singgah ke tempat kerja Zaton untuk berjumpa.

Seperti biasa, malam ini Zaton menunggu panggilan dari Hasnan. Disebabkan telefon rumah berada di tingkat bawah, dia terpaksa menunggu. Mujurlah semua ahli keluarganya sudah tidur.

Hampir saja dia terlelap kerana terlalu lama menunggu Hasnan menghubunginya. Tiba-tiba telefon berbunyi. Pantas dia mengangkat gagang telefon itu. Salam diberi kepada Hasnan.

“Maaf, abang ada kerja tadi. Lama ke Ton tunggu?”

“Lamalah juga. Nasib baik mak dah tidur.” Ada nada rajuk di situ.

“Abang minta maaf. Kerja tadi tu penting. Nak tak nak abang kena siapkan dulu.”

“Kerja abang dah selesai?”

“Alhamdulillah. Baru selesai.”

Keduanya saling terdiam seketika.

“Esok kita jumpa boleh?”

Zaton tersenyum sendiri.

“Boleh. Nanti kita jumpa tempat biasa.”

“Ton tidurlah. Abang tahu Ton dah mengantuk. Esok kita berbual panjang.”

“Baik. Jumpa esok.” Dia berura-ura untuk letakkan gagang telefon. Namun telinganya dapat menangkap suara Hasnan seperti menjerit.

“Ton, kejap!”

Zaton menanti sejenak. Erat genggaman tangannya memegang gagang telefon itu.

“Abang rindu...”

Ucapan dari lelaki itu membuatkan Zaton tersipu malu.

“Kita baru aje jumpa petang tadi. Tak akan dah rindu.” Sengaja Zaton mengusik.

“Abang setiap hari rindukan Ton. Kalau ada rezeki, abang nak cepat-cepat halalkan Ton.”

Mati senyuman Zaton.

“Ton dengar tak?”

Err... dengar.” Zaton kehilangan idea untuk menjawab.

Hasnan ketawa lembut.

“Kita jumpa esok. Lusa saya dah nak pergi ke Mukah.”

“Baik.”

Setelah panggilan tamat, Zaton hela nafas berat. Masih terngiang-ngiang suara lelaki itu bercakap tentang isu perkahwinan. Tiba-tiba lampu di bahagian tangga terpasang. Zaton terkejut apabila Mak Mon sedang berdiri di atas tangga.

“Ton buat apa dekat situ?” Tegas nada suara Mak Mon.

Err... Ton telefon kawan tadi.”

“Siapa yang Ton telefon malam-malam buta ni?”

Wajah Zaton sedikit pucat. Dia sudah mula menggelabah.

“Kawan sepejabat Ton mak,” jawab Zaton berdalih.

Mak Mon merengus kasar.

“Lelaki ke perempuan?”

“Perempuan, mak.”

Zaton terus berlari naik ke tingkat atas menuju ke biliknya. Hanya dengan cara itu dia dapat melarikan diri daripada emak.

Mak Mon masih berdiri kaku di atas tangga. Dia sudah tidak senang hati melihat perubahan Zaton. Sudah berani menggunakan telefon pada waktu begini.

No comments:

Post a Comment