DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 19 June 2023

Bibik High Class - Bab 3


TENGKU Harraz mencampakkan pennya kasar. Kenapa dia tak boleh lupakan kejadian di restoran tadi? Kalaulah dia tahu perkara itu akan terjadi, memang dia tak akan ke sana untuk makan tengah hari. Ini semua kerana melayan sahabat-sahabatnya. Kepala dipicit perlahan.

“Tengku sakit kepala ke?” tanya Ikram. Dia perasan sejak masuk kembali ke pejabat majikannya bersikap aneh. Nampak seperti kurang tumpuan untuk bekerja. Tak pernah-pernah lelaki itu bersikap begini.

“Kau rasa perempuan tadi...”

“Saya rasa dia sengaja nak pancing perhatian Tengku. Saya perasan dia dengan kawan-kawan dia gelak-gelak lepas perempuan tu balik ke meja.” Ikram memberitahu. Sebagai orang paling rapat dengan Tengku Harraz, sudah banyak kali dia melihat kaum perempuan mencuba pelbagai cara untuk menarik perhatian majikannya.

“Perempuan murah,” ucap Tengku Harraz. Memang dia benci perempuan yang sengaja melakukan sesuatu untuk menarik perhatiannya. Selalunya mudah sahaja dia menolak. Namun, bagi Tengku Harraz gadis ini lain. Mata itu mengingatkan dia kepada seseorang.

“Saya rasa perempuan tu paling berani di antara semua perempuan yang pernah mencuba nasib. Sekurang-kurangnya membazir duit dia beribu. Kasut tu bukan murah.”

Bukan itu yang Tengku Harraz fikirkan. Dia cuba mengingat di mana dia melihat mata itu. Kenapa otaknya asyik teringat pandangan mata itu?

“Perempuan-perempuan gila?” Tengku Harraz sandarkan tubuhnya ke belakang. Dia pusingkan kerusinya untuk melihat pemandangan luar.

“Saya rasa Tengku kena kahwin baru perempuan-perempuan tu berhenti kacau Tengku. Cari seseorang untuk dibuat isteri. Lagipun umur Tengku dah 35 tahun. Dah layak jadi seorang bapa,” ucap Ikram lagi.

“Kahwin? Isteri? Kau rasa ada ke orang nakkan aku sebab diri aku, bukan sebab semua harta aku?” Tengku Harraz senyum sinis. Dia tahu ramai gadis yang mendekatinya hanya kerana harta yang dia miliki. Bukannya betul-betul mencintai dia.

“Mesti ada. Allah dah tetapkan jodoh semua orang. Kalau tak di dunia mungkin kat syurga.”

“Saya yakin jodoh saya kat syurga nanti. Saya tak nampak pun calon isteri saya kat dunia ni. Calon kikis harta ramailah.” Tengku Harraz tergelak.

“Mesti ada.”

“Perempuan-perempuan yang saya jumpa selama ni semuanya gilakan harta.”

Ikram memerhatikan majikannya. Setahunya, baru sekali sahaja lelaki itu terluka kecewa kerana perempuan. Disebabkan itu, majikannya ini memukul rata bahawa kaum perempuan hanya gila harta. Tapi masih wujud perempuan baik-baik dalam dunia ni.

“Tengku suka perempuan macam mana?”

Tengku Harraz tersenyum. Dia pun tak pasti perempuan bagaimana yang dia suka. “Kalau boleh saya nak calon isteri yang cantik semula jadi. Bukan dari kalangan perempuan-perempuan yang pakai bedak sekilo. Paling penting dia menutup aurat. Cakap lemah lembut. Tak pandai tinggikan suara.”

Sedang bercakap tiba-tiba sahaja kepalanya terbayangkan gadis di restoran tadi. Gadis itu jauh dari ciri-ciri perempuan yang dia mahukan. Memang dia berharap pertemuan mereka hanya sekali itu sahaja. Tak pasal-pasal dia berdosa kerana tersentuh perempuan yang haram untuknya.

“Nak saya carikan Tengku calon?”

“Tak perlu. Saya dah serik dengan perempuan. Tak kahwin pun boleh bahagia.”

Ikram hanya mengangkat bahu. Dia memang tak akan masuk campur hal majikannya.

“Ada apa-apa lagi yang Tengku nak saya buat?”

“Tak ada. Awak boleh keluar.”

“Baik, Tengku. Err... Tengku, Cik Natasya dah sampai. Dia ada dekat lobi.”

“Huh. Dia dah sampai dah. Malas saya nak layan dia. Jumpa kat kafe kat bangunan sebelah. Awak ikut saya.”

Tengku Harraz memang alergi dengan wanita bernama Natasya itu. Gadis itu memang tak pernah jemu merayu cintanya. Sama seperti gadis yang dia sangat benci itu. Tak habis-habis memohon kemaafan dan merayu agar ikatan mereka disambung semula. Memang dia tak akan beri peluang kepada gadis yang telah membuat dia terluka.

“Baik, Tengku.”

 

 

“HEI! TEPILAH pengemis!” Selamba sahaja Natasya tolak pengemis yang tiba-tiba muncul sambil menadah tangan. Tergolek pengemis perempuan itu ditolaknya kasar.

“Aduh!” Pengemis itu mengaduh kesakitan.

Katrina yang kebetulan berada di situ membantu pengemis itu bangun.

“Mak cik tak apa-apa?”

“Tak apa-apa, nak. Terima kasih.”

Katrina perasan tapak tangan wanita tua itu sedikit terluka. Dikeluarkan sapu tangan dari begnya lalu ditekapkan pada tapak tangan wanita itu. Dia pusingkan tubuhnya menghadap gadis tadi.

“Helo! Kalau ya pun tak nak sedekah, tak payahlah main tolak-tolak.”

“You siapa nak marah I? Hak I lah nak tolak siapa. Dah dia halang jalan I. Lepas tu sentuh-sentuh I. Kotor tau baju I kalau dia sentuh.” Natasya memberi alasan. Entah siapa gadis itu tiba-tiba membela pengemis itu. “You siapa? Anak dia ke? Kalau you anak dia, kenapa you biarkan mak you mengemis? Dasar anak pengemis!”

Katrina ketap bibir. Sakit hati dengan gelak langsuir gadis itu.

“Kalau dia mak aku, memang dah lama aku belasah kau. Dia dah tua, tak berdaya. Memanglah dia pengemis, tapi kau tak ada hak nak kutuk dia.”

Angin pula dia dengan gadis itu. Kebetulan dia hendak membelikan Akil kopi terlebih dahulu sebelum ke pejabat adiknya. Tiba-tiba pula ternampak pengemis itu kena tolak. Memang mengamuklah dia.

“Kau sayang sangat pengemis tu, kan? Kau belalah dia. Aku ada urusan yang lebih penting. Bye.”

“Hei!” Katrina belum selesai lagi memarahi gadis tadi. Sudah lari pula. Dia hanya mampu memerhatikan gadis itu pergi. Tubuhnya dipusingkan menghadap wanita tua tadi.

“Kenapa mak cik kat sini? Anak-anak tak jaga mak cik ke?”

“Mak cik ni dah tua. Sakit pulak tu. Anak-anak tak nak jaga mak cik sebab menyusahkan. Dia orang tinggalkan mak cik kat sini.” Wanita tua itu menangis teresak-esak. Hiba hati Katrina mendengar perkara itu. Air matanya tiba-tiba gugur.

“Sekejap ya, mak cik. Saya call seseorang.” Katrina keluarkan telefon dan hubungi seseorang.

“Assalamualaikum Maz. Kejap lagi Pak Mat akan bawa seorang mak cik ni ke Jalinan Kasih. Tolong uruskan dia.” Usai itu dia menamatkan talian.

“Mak cik ikut saya ya.” Katrina memimpin wanita tua itu ke keretanya. “Ini Pak Mat, driver saya. Dia akan bawa mak cik pergi ke satu tempat. Kat situ ada orang akan bagi mak cik tempat tidur, makan dan pakaian. Mak cik boleh duduk situ sampai bila-bila. Tak payah bayar. Free. Ini sikit duit belanja dari saya.”

“Terima kasih, nak. Terima kasih. Hanya Allah yang dapat balas budi anak.”

“Sama-sama, mak cik.” Katrina menutup pintu kereta. Dia memerhatikan keretanya menghilang. Hilang mood untuk membelikan adiknya secawan kopi. Terus sahaja dia berjalan menuju ke pejabat adiknya.

 

“ITU BUKAN ke perempuan murah kat restoran tadi?” Walaupun dari jauh, Ikram cam sangat perempuan itu berdasarkan pakaian yang gadis itu pakai. Nampaknya gadis itu memakai selipar Jepun pula.

“Kau nak gelar apa perempuan macam dia tu? Dahlah pakai baju tak cukup kain. Bedak tebal seinci. Lepas tu buat-buat jatuh sebab nak tarik perhatian aku. Memang patut aku panggil perempuan murah.” Tengku Harraz buat-buat tidak nampak perlakuan gadis itu.

“Tak baik Tengku cakap macam tu. Kalau Tengku ada peluang, Tengku nak buat ke apa yang dia buat untuk pengemis tu?”

Tengku Harraz terdiam. Melihat pakaian pengemis tadi pun dia rasa geli. Kalau dia tolong pun, dia akan suruh Ikram tolong bagi pihak dia.

“Tak baik kita hina dia. Sebaiknya kita doakan dia diberi hidayah untuk berubah. Mana tahu dengan doa kita terbuka hati dia untuk berpakaian Muslimah. Nampak dia tak jijik langsung dengan pengemis tu.” Ikram menyindir majikannya secara halus. Berharap Tengku Harraz akan sedar diri.

“Huh!”

“Huh pulak. Karang berjodoh dengan dia.”

Tengku Harraz buat tidak tahu. Dia terus berjalan masuk ke kafe. 

 

No comments:

Post a Comment