DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 25 June 2023

Sisa Rasa Yang Tertinggal - Bab 5

 

SELEPAS menunaikan solat subuh, dia membancuh secawan kopi di dapur yang ada di sebelah bilik kecilnya. Disebabkan dia tinggal seorang diri, Hasnan jarang memasak. Dia lebih suka membeli makanan di kedai dan makan di bilik.

Televisyen yang diberikan oleh Zaton dihidupkan. Dia duduk santai di hadapan televisyen sambil menikmati kopi panasnya. Masih ada sejam lagi untuk dia perlu masuk bekerja.

Mujurlah jarak dari bilik ini ke tempat kerjanya tak sampai lima minit jika berjalan kaki. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Tiba-tiba dia teringat kenangan semalam ketika dia dan Zaton berbual di restoran.

Hari ini dia sudah berjanji untuk bertemu gadis itu sekali lagi. Rasa tak sabar pula menunggu jam berganjak ke angka lima petang.

Hampir setengah jam menonton televisyen, Hasnan bergegas bersiap untuk ke tempat kerja. Setibanya di pejabat, dia ternampak Cikgu Dali mengeluarkan banyak surat khabar lama dan ditempatkan di satu sudut.

Jujurnya dia kurang gemar melihat keadaan di luar pejabat yang dipenuhi dengan timbunan surat khabar. Pelik juga lelaki itu masih menyimpan surat khabar lama. Lebih baik dijual. Ada juga untungnya.

“Dah sarapan?” tegur Cikgu Dali.

“Sudah. Boleh saya tanya sesuatu?”

Cikgu Dali sekadar mengangguk.

“Kenapa tak buang surat khabar ni? Atau dijual?” Akhirnya terluah juga apa yang ada dalam fikirannya.

“Surat khabar ni masih ada yang boleh digunakan. Kebetulan hari ni ada pekerja baru. Saya akan arahkan dia untuk bantu awak. Awak arahkan dia supaya buat paper cutting dan failkan. Apa-apa artikel tentang DP Rahman, harus disimpan dan difailkan. Selama ni tak pernah ada paper cutting dibuat. Sebab itulah surat khabar tu dibiarkan bertimbun di sini.”

Barulah Hasnan faham.

“Awak doalah semoga pejabat kita dibekalkan penghawa dingin. Saya dah berbincang dengan DP Rahman. Macam biasalah. Belum dapat kelulusan belanjawan lagi.”

“Insya-Allah. Harap adalah rezeki. Boleh tahan panas juga bila kerja waktu siang. Kipas kita pun banyak dah rosak.”

Walaupun syarikat akhbar ini sudah lama beroperasi, masih banyak lagi kemudahan yang tidak ditukar. Perabot pun banyak dah rosak.

“Lupa pula saya nak beritahu awak. Datuk nak jumpa tu. Pergilah.”

Tegak tubuh Hasnan. Rasa berdebar pula dia nak berjumpa dengan lelaki itu. Selama dia bekerja di sini, belum pernah lagi dia dipanggil untuk ke bilik lelaki itu.

“Kenapa dia nak jumpa saya?”

“Mungkin dia ada nak bagi tugasan agaknya. Silap hari bulan, sampai ke petang awak kena siapkan kerja dia.”

Terus berubah wajah Hasnan. Sudahlah dia dah berjanji untuk berjumpa Zaton petang ini.

“Kenapa muka tu? Awak risau tak dapat jumpa kekasih ke?”

“Hesy... ke situ pula. Saya mana ada kekasih.” Cepat-cepat Hasnan menjawab. Habislah dia kalau Cikgu Dali tahu dia dan Zaton nak berjumpa petang ini.

Dengan perasaan gugup, dia ke bilik DP Rahman. Pejabat DP Rahman terletak di tingkat lapan. Sepanjang dia bekerja di sini, agak jarang dia dapat melihat lelaki itu di pejabat.

Ketika dia masuk ke bilik DP Rahman, Hasnan agak kagum dengan penampilan lelaki itu. Masih bergaya walaupun sudah berusia hampir 50 tahun. Lelaki itu juga gemar mengenakan songkok.

“Dah minum, Hasnan?”

“Sudah,” jawab Hasnan sepatah sambil tersenyum.

“Tapi saya belum minum. Awak temankan saya ya,” kata DP Rahman sambil menekan interkom.

Hampir 10 minit kemudian, seorang gadis muncul di bilik itu bersama dua cawan kopi. Malah gadis itu turut membawa sepiring kuih tradisional Sarawak.

“Jemput minum.”

Hasnan meneguk sedikit kopi yang masih panas itu. Tertanya-tanya juga tujuan lelaki ini memanggil dia ke sini.

“Sebenarnya saya ada tugasan untuk awak. Kalau awak tak keberatan, saya nak awak tulis satu artikel tentang keluarga saya. Biografi kisah hidup saya. Saya akan ceritakan kepada awak apa yang berlaku semasa saya kecil dan sepanjang saya terlibat dalam dunia politik.”

Tergamam Hasnan. Sudah tentu dia berbesar hati untuk melakukan tugasan itu.

“Saya mahu biografi ni diterbitkan dalam setiap keluaran surat khabar Sinar Sarawak.”

“Maksudnya datuk nak saya masukkan kisah datuk setiap minggu?”

“Ya, setiap minggu. Kisah ini boleh dijadikan tauladan dan panduan kepada masyarakat. Saya percaya, masyarakat Melayu di sini perlu diberi kesedaran tentang kepentingan menuntut ilmu. Walau sesusah mana pun kita, ilmu perlulah dicari. Seperti keluarga saya dulu. Saya bukannya dari keluarga yang senang. Tapi arwah ayah saya tetap mahukan kami adik-beradik menuntut ilmu.”

“Saya faham. Bila kita nak mulakan, datuk?”

“Esok.”

Hasnan mengangguk faham.

“Sebelum awak keluar, saya nak ingatkan awak, kalau boleh saya nak awak tulis biografi ni dalam bentuk penulisan kreatif. Garapan cerita yang mudah dihadam, ada sedikit nilai-nilai sastera dan puitis. Boleh?”

“Insya-Allah, saya cuba,” jawab Hasnan sambil mengangguk. Selepas menghabiskan minumannya, barulah dia melangkah keluar dari bilik itu.

 

 

ZATON TERSENYUM malu. Dia perasan lelaki itu tak lepas memandang wajahnya. Nak kata solekan di wajahnya agak tebal, dia hanya mengenakan bedak asas.

“Kenapa pandang saya macam tu?”

“Ton cantik.”

Zaton berdeham menghilangkan rasa gugup. Terasa tebal kulit wajahnya sekarang.

“Abang jarang puji perempuan. Mungkin abang tak dapat nak tipu diri sendiri bila pandang Ton.”

Keduanya saling menunduk. Selepas Zaton habis bekerja, mereka singgah minum sebentar di tempat semalam.

“Mak Ton dah balik ke?”

“Malam ni dia balik.”

Hasnan hela nafas berat.

“Lepas ni, susahlah kita nak jumpa agaknya.”

“Kenapa abang cakap macam tu?” Tak sedar panggilan abang sudah meniti di bibir Zaton.

Berbunga hati Hasnan. Gelaran yang dipanggil oleh gadis itu, menusuk ke dasar hatinya.

“Abang tahu mak Ton tak suka Ton keluar dengan lelaki asing. Ada masanya abang dapat rasa mak Ton macam tak sukakan abang.” Itulah perkara yang terlintas dalam fikirannya ketika pertama kali bertemu Mak Mon.

“Sebenarnya ada sebab mak kurang berkenan dengan lelaki dari Semenanjung.”

Berkerut dahi Hasnan.

“Kenapa?”

Zaton tarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Lebih baik dia berterus terang agar Hasnan tahu perkara yang berlaku dalam keluarganya.

“Kakak Ton dah berkahwin dengan orang Semenanjung. Lelaki tu kerja askar.”

Hasnan memasang telinga.

“Sebelum mereka berkahwin, mak halang. Mak tak nak Kak Cah berkahwin dengan orang sana sebab risau Kak Cah tak akan balik ke sini. Disebabkan halangan mak, Kak Cah nyaris nak kahwin lari.”

Bulat mata Hasnan.

“Nasib baik ayah cepat-cepat halang dan restu.”

“Mak Ton setuju ke?” soal Hasnan tidak sabar untuk tahu.

Zaton menggeleng lemah.

“Mak mengamuk dengan keputusan ayah. Ayah dah tiada pilihan sebab tak nak Kak Cah malukan keluarga. Lepas mereka kahwin, mak paksa Kak Cah dan suaminya terus menetap di sini.”

Tertelan air liur Hasnan. Parah juga. Kesian nasib lelaki itu jika tak dibenarkan pulang ke Semenanjung.

“Suami dia tak kisah ke?”

“Abang ipar Ton tu anak yatim. Cuma dia masih ada kakak dan abang di sana. Setahun sekali aje mereka balik ke sana untuk melawat kampung.”

Barulah Hasnan faham.

Err... agak-agak Ton, mak Ton boleh terima ke kalau Ton berkahwin dengan orang Semenanjung?”

Kelu lidah Zaton. Mereka saling berpandangan.

“Jujurnya abang rasa... abang dah sukakan Ton.”

Riak wajah Zaton berubah mendadak. Tak sangka begitu cepat lelaki itu meluahkan perasaan kepadanya.

“Ton tak perlu jawab sekarang. Bila Ton dah bersedia, Ton bagi jawapan.”

Rasa bersalah pula Hasnan kerana terlalu terburu-buru. Baru beberapa kali bertemu, dia sudah membuat gadis itu terkejut. Tak larinya gunung dikejar jika betul mereka berdua berjodoh. Biarlah masa yang tentukan gadis itu menerima cintanya.

No comments:

Post a Comment