DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 14 January 2020

Akhir Sebuah Cinta - Bab 2

 “ALI.”

“Apa? Al... hahaha!” Terguling-guling dia di atas pasir melambakkan tawa. Sungguh dia tidak menjangka akan ketawa besar pada hari ini.

“Yang kau ketawa macam manusia tak cukup sifat ni dah kenapa?”

“Tak adalah... Ali? Haih, Ali rupa-rupanya. Ingatkan tadi...” Dia tekan perut.

“Habis tu kau ingat akan jumpa lelaki nama Aaron Azizlah kat sini? Memang taklah, biul!”

Sakit hati perempuannya mendengar perkataan ‘biul’ yang terbit daripada bibir anak lelaki Mak Cik Siha. Bingkas dia bangun dari atas pasir. Baju dan seluar yang sudah memutih tidak dihiraukan.

“Apa kau panggil aku? Biul? Ikut suka hati kau je, kan? Aku ada nama, tahu tak!”

 “Apa? Apa nama kau?”

“Nama aku... err... nama aku...”

Ali geleng kepala penuh sinis.

“Peah.”

Excuse me?”

“Peahlah, pekak!”

Okey. Telinga yang menadah dengar sudah mula rasa mahu berasap. Besar kecil besar kecil mata dia tengok orang depan ni.

“Mulut tu bahasa molek sikit tak boleh ke?” tukasnya geram. Namun anak Mak Cik Siha itu hanya terus berjalan tanpa menghiraukannya.

“Aku tak habis cakap lagi ni!”

“Tu masalah kau.” Laju sahaja Ali melangkah meninggalkan si gadis.

Dia pandang keliling, matahari sudah mula terbenam, tanda senja bakal menjelma. Adeh, apa nak buat ni?

“Ali!” Dilaung juga nama itu walaupun ada rasa hendak ketawa.

Ali. Seriously? Rasa macam tak kena je nama Ali tu dengan tuan punya badan. Gigih mengawal fikiran supaya jangan menghambur tawa, dia menyeru nama sang jejaka untuk kali kedua.

“Ali, tunggulah!”

Namun lelaki yang bernama Ali itu hanya berpaling sekilas sebelum menyambung langkah.

“Buang karen aku je nak tunggu kau! Dahlah pendek, jalan terkedek-kedek! Itik kat reban belakang rumah aku tu pun jalannya lagi laju daripada kau.”

Eh? Ini sudah lebih! Dahlah tadi mula-mula cakap dia tak cukup sifat. Lepas tu panggil dia biul, Peah, pekak... Ni duk gelarkan dirinya si pendek pula!

Kurang asam! Sesuka hati lelaki itu je nak lambak segala gelaran yang langsung tak kena jiwa itu. Rabun ke apa? Dirinya ini punyalah comel tahap tak ada siapa boleh lawan.

Hampeh sungguh. Dasar lanun! Eh, kejap. Macam sedap pula perkataan lanun tu.

“Lanun!” Dia melaung sekuat hati.

“Ali Lanun!” Dinaikkan lagi nada suaranya agar menjadi semakin nyaring.

Dan 2 saat kemudian, langkah encik lanun terhenti. Berpaling, berpusing, berdiri dengan tangan yang mengepal penumbuk, memandangnya dengan sorotan yang maha tajam umpama helang.

“Apa kau panggil aku?”

“Lanun. Ali si lanun. Sedap, kan?” Dia tayang muka selamba sambil tangan naik memeluk tubuh sendiri.

‘Hei, kau panggil aku macam-macam boleh! Fair and squarelah ni.’

“Lagi sekali aku dengar perkataan tu, aku benam kau dalam air laut tu.”

Kaki mula bersedia dalam diam.

“Ali La...”

“Peah!!!” Ali dah pecut langkah dua ribu.

 

MAK CIK SIHA sulam senyum. Raut sang teruna yang terserlah tegang dipandang penuh kasih.

 “Lah...”

“Mak tahu tak dia panggil Lah apa? Ali Lanun, mak. Ali Lanun!”

Gigih Mak Cik Siha sembunyi tawa yang mahu pecah. Bukan dia tidak tahu duduk perkara cerita. Sebelum Ali mengadu, si kecil molek sudah bercerita terlebih dahulu daripada A sampai Z kepadanya.

Yang terunanya seorang ini pun satu. Pergi panggil orang tu Peah dah kenapa? Punyalah banyak lagi nama yang sedap-sedap boleh diberi kepada si gadis. Ini tak cukup dengan nama Peah, habis semua gelaran yang tak elok diguna pakai. Padanlah tu dapat gelaran lanun.

“Kalau Lah tak nak digelar macam tu, janganlah jadi lanun,” ungkapnya selamba.

“Mak!”

Mak Cik Siha tayang sengih.

“Lah, kakak tu tak ada siapa-siapa sekarang ni. Dia kenal mak dan Lah je. Buat masa ni kitalah tempat dia bergantung. Tak boleh ke Lah berlembut sikit?”

“Kan kita dah bagi dia tinggal kat sini, nak apa lagi?”

“Lah, kakak tu manusia tau, bukan patung. Kita je kawan untuk dia bercakap dan meluah rasa. Tambah-tambah pula dia tu perempuan. Perempuan ni sifatnya lembut. Lah janganlah kasar sangat dengan dia. Lah tak kesian dengan dia? Beban dia, sebab tak mampu nak ingat apa-apa tu dah cukup berat, Lah.”

Ali diam tidak membalas.

“Mak tahu anak mak ni tak sekejam mana. Kalau betul Lah kejam, tak adanya Lah sanggup bersusah payah bawa dia balik ke sini, kan? Boleh je Lah tinggalkan dia kat tengah-tengah laut tu. Bukan tanggungjawab Lah pun.”

Ali tetap juga membisu. Hanya mata yang merenung jauh ke arah lautan yang luas terbentang. Mak Cik Siha tahu, sekeping hati itu sedang larut berfikir.

 

“MAK CIK, boleh saya tolong?”

Mak Cik Siha senyum. Anak gadis ini memang seorang yang ringan tulang. Pantang melihat dia membuat kerja rumah, laju sahaja menghulurkan pertolongan.

Namun satu kelemahannya, jangan diserahkan kerja-kerja memasak. Karam nanti dapur itu seperti kapal Titanic dibuatnya!

“Tak apa, kakak. Sikit je ni.”

“Mana ada sikit, sebakul juga ni. Biar saya sidai, mak cik duduk kat tangga tu temankan saya berborak ya?”

Mak Cik Siha akhirnya akur. Melangkah ke arah tangga kayu dan duduk di situ, membiarkan si gadis menyambung kerja menjemur pakaian di ampaian.

“Kakak.”

“Mak cik tak nak panggil saya Peah ke?”

“Eh, boleh ke?”

Tawa kedua-duanya bergabung.

“Mak cik minta maaf bagi pihak anak mak cik tu,” ucap Mak Cik Siha.

“Tak perlulah, mak cik. Saya tak kisah pun. Saya okey je dengan nama Peah tu.”

“Betul okey?”

“Ya. Entah-entah, nama betul saya pun memang Peah.”

“Mak cik tak rasa gitu. Nama-nama orang zaman sekarang kan canggih-canggih.”

“Tak boleh nak kata juga, mak cik. Sekali nanti dapat tahu nama saya memang betul-betul Peah, masa tu confirm kena gelak dengan Ali. Beria-ia tak nak dia panggil saya Peah, walhal itulah nama orang tua saya bagi. Dari muka saya jadi hijau masa tu, baiklah sekarang ni saya terima je nama Peah tu dengan hati yang terbuka.”

Mak Cik Siha senyum. Siapalah ibu bapa gadis ini. Bagus didikan mereka. Pandai sungguh mengambil hati orang tua.

“Kakak masih tak dapat ingat apa-apa?” Berhati-hati dia melontar soalan. Bimbang topik yang diajukan mengundang rawan di jiwa sang gadis.

Mendengar soalan yang terbit, Peah menghela nafas panjang. Helaian kain batik dalam pegangan diperah kuat sebelum dikibas dan dijemur. Wajah Mak Cik Siha dipandang lembut.

“Saya cuma ingat satu wajah yang saya panggil dia mama. Mungkin dialah ibu kandung saya.”

Mak Cik Siha jadi teruja.

“Kakak cakaplah dengan Ali. Boleh minta tolong Ali carikan keluarga kakak. Ali ramai kawan kat bandar tu.”

Peah senyum tawar dan menggeleng.

“Nak cari macam mana, mak cik? Saya masih tak ingat siapa nama mama saya tu. Yang saya ingat, saya panggil dia mama. Dalam kepala saya sekarang ni yang jelas hanyalah muka dia. Tapi saya tak pandai nak melukis. Jadi nak cari macam mana?”

 

No comments:

Post a Comment