DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 17 January 2020

Kau Antara Bintang - Bab 1

CONGRATULATIONS!!!”

Terdengar tepukan bertalu-talu diiringi dengan ucapan tahniah sebaik saja kaki Anum melangkah masuk ke dalam bangunan dua tingkat tersebut. Tak habis-habis tepukan gemuruh diberikan oleh mereka yang berada di situ. Begitu juga dengan ucapan tahniah yang datang tak putus-putus.

Congrats, Ad! Lepas ni you jangan lupa open table tau!” Tangan dihulurkan sebagai tanda ucapan tahniah serta diiringi dengan senyuman lebar yang menghiasi bibir.

Anum yang masih lagi dalam keadaan terpinga-pinga, lambat-lambat mengangkat tangan dan menyambut huluran salam tersebut. Namun begitu, di bibirnya tetap juga terselit senyuman lebar. Dengan mata yang membulat, dia memandang Melinda yang berada di sebelah. Gadis itu turut tersenyum lebar. Kepalanya dianggukkan berulang-ulang kali.

“Ad, janganlah besarkan biji mata tu lama-lama. Bukan main terbeliak lagi!” usik Melinda.

“You sepatutnya kena control cun. Berikan satu ekspresi muka yang sangat ayu dan cantik seorang ketua yang sedang diraikan sekarang ni,” kata Melinda disertai dengan ketawa kecil apabila melihat wajah sahabatnya yang masih lagi dalam keadaan terpinga-pinga.

Is this for real? Atau korang semua sengaja nak main-mainkan I ni?” Anum menyoal dengan rasa tidak percaya yang masih berbaki. Matanya masih membulat tanda tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku.

“Hei, nak main-mainkan apa pulak? Babe, kalau benda lain, mungkin... tapi benda besar macam ni, seriuslah! You ingat rajin sangat ke semua orang dalam ofis ni berpakat nak berlakon ramai-ramai?” Kali ini Melinda pula membulatkan matanya yang sepet itu.

Anum menyengih. Betul juga kata-kata Melinda itu. Jadi, sudah pastilah apa yang sedang berlaku sekarang ini realiti. Ia benar-benar menjadi kenyataan!

Pandangannya dihalakan pada kain rentang yang terbentang tinggi pada dinding pejabat. Percaya atau tidak, kain rentang berwarna putih tersebut dengan jelas tertulis namanya, Anum Danisha sebagai naib pengerusi syarikat yang baharu.

Lama Anum memerhatikan kain rentang yang dihiasi tulisan berwarna-warni tersebut. Tidak berkelip-kelip matanya. Dan dengan perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, rasa tidak percaya mula menghilang dan rasa gembira pula mula bertambat dalam hati. Ternyata dia tidak bermimpi. Sesungguhnya jelas dan nyata, bahawa jawatan yang diidam-idamkan selama ini akhirnya berjaya berada dalam genggaman. Satu jawatan yang sememangnya menjadi rebutan selama ini. Satu jawatan yang sudah lama diidamkan dan dia bekerja keras untuk mendapatkannya.

Finally! I made it! Yes!’

“Kejap lagi Danny akan buat pengumuman rasmi di depan semua staf. Lepas tu, giliran you pula untuk beri ucapan sebagai naib presiden syarikat yang baharu,” Melinda bersuara dengan suara teruja dan tersenyum lebar. Sahabat baik dinaikkan pangkat, terasa seperti dia pula yang bangga.

“Hah! Tu Danny dah ready nak buat pengumuman!” jerit Melinda ketika melihat ketua mereka sedang bersiap sedia membetulkan tali leher dan mengangkat tangan sebagai tanda meminta semua yang berada di situ supaya diam dan memberikan ruang untuknya bercakap.

Ladies and gentlemen, as you know since we decided to restructure our company after Mr. Choo made the decision to migrate to Australia, his position as a vice president had been empty for quite a while. I know the spot is very hot and many of you cannot sleep well thinking of the vacant spot. Like people always said... nak tidur tak lena, mandi tak basah, cuma bab makan saja masih berselera terutamanya kalau makan percuma macam hari ni, kan?”

Semua yang ada tertawa mendengarkan jenaka yang diucapkan oleh ketua mereka itu.

“Bukan senang untuk I pilih seorang antara semua yang berada di sini. Anda semua bagus dan ada potensi masing-masing. Tetapi, pilihan harus dibuat dan keputusan harus diambil. Untuk membiarkan jawatan tersebut terus kosong, adalah tidak bagus untuk masa depan syarikat. Nak tak nak, I kena juga memilih. Jadi, I harap bagi mereka yang tidak terpilih janganlah sakit hati atau merajuk. Setakat nak marah-marah sayang tu, bolehlah...”

Sekali lagi mereka semua ketawa kecil.

“Tidak terpilih tak bermakna anda tak bagus. Mungkin nasib saja yang tidak menyebelahi. Semua yang berada di sini adalah yang terbaik. Tak kisahlah sama ada kerani, eksekutif atau sekadar pembantu pejabat. Tapi bagi I, semua staf-staf I memang bagus dan berwibawa. I sayang semua pekerja I dan anggap anda semua seperti keluarga I sendiri.”

Amboi... manis sungguh kata-kata ucapan itu. Tersenyum-senyum dan terangguk-angguk semua yang sedang tekun mendengar.

So I don’t think I should waste anymore time. I know all of you already know who is replacing Mr. Choo and I am proud to announce officially the new vice president is Miss Anum Danisha! Please give a big applause for her. Congratulations!”

Satu tepukan yang agak gemuruh kedengaran sebaik saja nama penuh Anum Danisha diumumkan. Danny mendepangkan tangan lalu memberi isyarat kepada Anum supaya menghampirinya.

Dengan perasaan yang berdebar-debar, Anum tersenyum lebar lalu mengatur langkah yakin mendapatkan Danny. Huluran salam tahniah daripada lelaki itu disambut mesra lalu lelaki itu beralih sedikit ke tepi. Memberi peluang kepadanya untuk memberi sepatah dua kata sempena kenaikan pangkatnya ini.

Thank you! Thank you!”

Anum menjerit sedikit bagi melawan bunyi sorakan dan tepukan yang tak putus-putus daripada teman-teman sepejabat. Di bibir pula masih tak putus-putus terukir senyuman lebar bagi menzahirkan rasa gembira dan bangga yang terbit dalam hatinya.

What should I say? Hmm...” kata Anum ketika suasana sudah mulai aman bagi memberi ruang untuknya bersuara.

Anum sedikit menggumam dan menunduk memandang lantai. Digenggam erat jari-jemari yang mulai basah menahan gemuruh. Mencari-cari ayat yang wajar diucapkan di hadapan semua yang sedang memerhati ketika ini.

Suasana sunyi seketika.

Oh, my God... I’m speechless! I feel so nervous in front of everybody today!” ujar Anum lalu disambut dengan tawa kecil mereka yang lain.

Nafas ditarik sedalam yang mungkin. Seboleh-bolehnya dia cuba untuk mengawal rasa gemuruh. Dilebarkan senyuman bagi melindungi keadaan diri yang berdebar-debar. ‘Relaks, Anum... relaks! Bukannya tak biasa bercakap di depan semua orang di sini. Mereka semua ni kawan-kawan sepejabat yang hari-hari you jumpa. Tak perlu rasa gementar.’

Nafas yang sedikit panjang dilepaskan. Apabila debaran dapat dikawal sedikit, barulah dia boleh mulai bersuara.

“Baiklah... pertama sekali saya wajib ucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada big boss, Danny...” Tangan dihalakan ke arah lelaki yang segak berbaju kemeja biru muda yang berdiri tidak jauh daripadanya. “Thank you for believing me and also giving me this big opportunity to prove myself. I promise, I will make you proud and will never let you down. I promise! So once again, thank you so much.” Senyuman yang paling lebar Anum hadiahkan kepada lelaki itu.

Danny turut membalas senyumannya itu sambil sempat memberikan satu kenyitan nakal. Anum ketawa kecil. Sempat lagi mamat ni nak main-main mata. Tak segan-silu agaknya kalau pekerja yang lain nampak kenyitan miang dia itu.

And for you guys...” Pandangan Anum bertukar arah kepada teman-teman sejawatnya yang lain. “I harap sangat kita akan dapat bekerjasama dengan lebih baik lagi lepas ni.”

Kelihatan ada beberapa orang yang mengangguk tanda mendengar kata-kata tersebut. Namun, ada juga yang hanya berdiri tanpa sebarang reaksi. Tak tahulah ia adalah kerana tidak berminat hendak mendengar ucapan naib presiden yang baharu atau sakit hati atau menyampah kerana tidak terpilih. Maklumlah, Anum Danisha ini bukan merupakan teman sekerja yang disukai ramai.

“Semoga dengan kerjasama kita, syarikat ini akan bertambah maju, semakin berkembang dan insya-Allah akan menjadi sebuah syarikat yang disegani dan berjaya. I percaya, kalau syarikat bagus, kebajikan pekerja pun akan bagus dan gaji semua orang pun akan bertambah-tambah bagus! Betul tak? Jadi, dengan ini I berjanji akan menjadi orang yang bertungkus lumus memastikan syarikat ini terus sukses dan menjadi kebanggaan kita semua. We can make it together!” Anum bersuara sedikit bersemangat. Dan kata-katanya itu disambut dengan sedikit sorakan daripada beberapa orang yang berada di situ.

Okay, I think this is all I can say right now. The delicious smell of all the food here is making us all starve! So, please enjoy your meal and thank you!” Anum terus saja mengakhiri ucapannya yang ringkas dan sekali lagi dia diberikan tepukan gemuruh oleh semua mereka yang berada di situ.

Anum cepat-cepat beredar dan terus mendapatkan Melinda yang berdiri di tengah-tengah para pekerja yang mulai sibuk hendak menjamu selera. Sesekali langkahnya terhenti apabila ada yang menyapa dan memberi ucapan tahniah.

“Itu aje? Adakah seringkas itu ucapan daripada orang yang baru saja dinaikkan pangkat jadi naib pengerusi syarikat? I was expecting more than that, Ad!” Melinda tayang muka tidak percaya apabila Anum sudah berdiri di hadapannya.

Anum ketawa. Turut menggeleng-gelengkan kepala.

“I tak tahu nak cakap apa. Masih terkejut gila, babe! I tak sangka Danny akan pilih I. Ingatkan Big yang akan ganti tempat Mr. Choo. Mati-mati I ingat I akan kalah dengan budak India tu tau,” balas Anum bagi menerangkan tindakannya yang memberi ucapan ringkas sebentar tadi. Memang selama ini Nadessan atau nama panggilannya Big merupakan orang yang sering disebut akan mengisi jawatan tersebut. Kerana itulah Anum jadi kaget dan terperanjat besar apabila dia berjaya mengalahkan lelaki tersebut.

“Tak sangka? Yalah tu...” Melinda mencebik sedikit. “I ni awal-awal lagi dah jangka you yang akan dipilih. Antara you dengan Big, takkanlah Danny sanggup nak lupakan you. Tak mungkin!” Melinda menggeleng sedikit sambil meneguk minuman. Dia mengangkat sedikit keningnya lalu memberi isyarat mata bahawa ada seseorang sedang menghampiri mereka.

Hi, girls...” Danny menegur mereka berdua.

“Hai, bos!” Melinda mendahului Anum membalas sapaan lelaki itu. “I nak ucapkan terima kasih pada bos sebab belanja satu ofis makan percuma hari ni. Ada sate, ada kek, kuih, buah-buahan dan macam-macam lagilah. Untungnya kalau jadi orang kesayangan bos, ya? Jealous I!”

Danny hanya ketawa kecil tanpa membalas usikan tersebut. Melinda kemudiannya terus saja meminta diri dengan alasan hendak mengambil makanan. Mungkin dengan niat sengaja hendak meninggalkan Anum dan Danny berdua sahaja.

Surprised?” soal Danny sebaik saja Melinda melangkah meninggalkan mereka.

Anum mengangguk laju.

“Sangat-sangat terkejut! Kenapa you tak cakap awal-awal masa kita balik daripada meeting tadi? Sampai ofis saja semua orang jerit suprise, buat I terperanjat aje tau...” kata Anum sambil menjeling. Menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Danny yang tidak memberitahu awal-awal tentang berita kenaikan pangkatnya.

Masakan Danny tidak tahu? Jawatan ini dia sendiri yang pilih calonnya, syarikat ini dia yang punya, jadi sudah tentu semua perkara berada di dalam koceknya sahaja. Dan mereka berdua pula baru saja sama-sama menghadiri mesyuarat di luar pagi tadi. Boleh saja kiranya Danny mengambil kesempatan waktu dalam perjalanan balik di dalam kereta tadi untuk memberitahunya tentang perkara besar seperti ini.

“Saja. I memang nak buat kejutan untuk you...” Danny membalas sambil tersenyum-senyum.

“You buat kejutan sampai I jadi tak boleh nak bercakap tau! Nasib baik I tak pengsan. Buat malu aje semua orang tengok I terpinga-pinga tadi.”

Danny ketawa kecil.

I think you’re doing great just now, Ad. Sekurang-kurangnya dapat juga semua orang dalam ofis ni tengok macam mana singa betina yang garang selama ni tiba-tiba boleh jadi kelu tak boleh nak bercakap apa-apa bila dalam keadaan terperanjat.”

Sekali lagi Anum menjeling. Tetapi, kali ini disertai dengan mulut yang terjuih sedikit. Dia mencebik. Sedikit terasa dengan kata-kata Danny sebentar tadi.

Singa betina, itulah gelaran atau panggilan yang sering kali dia dengar diucapkan oleh para pekerja di situ. Gelaran yang sama sekali tidak disukai olehnya. Yalah, siapa yang suka jika digelar begitu? Semua orang pun tak suka! Menyampah betul bila mendengar mereka memanggilnya dengan gelaran sedemikian. Singa betina? Tengoklah nanti, kalau dia bertukar jadi singa betul-betul, dia akan baham seorang demi seorang, baru tahu!

So, dinner at 8 tonight?”

Anum memandang Danny dengan ekor mata. Baru saja lelaki itu membuatkan hatinya terasa tadi, tetapi sekarang hendak mengajak dia keluar makan malam pula. Tak ingin!

Anum menggelengkan kepala. Tanda tidak menerima pelawaan Danny.

“Kenapa? Takkan you tak sudi nak keluar makan dengan I bila dah naik pangkat?” soal Danny memerli.

Anum memandang Danny sekilas lalu menjeling tajam.

“I baru jadi vice president. Kalau nak berlagak dengan you pun, tunggulah I gantikan tempat you sebagai company president nanti.”

Danny ketawa kecil. Kepalanya terangguk-angguk sedikit.

“Kalau you nak jadi presiden, mungkin agak mustahil. Tapi, kalau you teringin nak jadi isteri kepada presiden, peluangnya memang seratus peratus cerah.”

“Alamak! Ni dah mula dah ni...” balas Anum perlahan sambil memanjangkan leher ingin mencari kelibat Melinda. Kata-kata Danny sebentar tadi sudah mula membuatkan dia ingin angkat kaki dari situ.

“Jadi, I ambil you pukul 8 malam ya? Kita raikan berita baik sempena you naik pangkat.” Sekali lagi Danny mengajak.

Dan sekali lagi juga Anum menggeleng.

Nothing to celebrate, Danny. Kita dah buat makan-makan dekat ofis ni pun dah cukup. Tak payah nak keluar makan lagi. Membazirlah.”

No! I insist. Kalau bukan nak celebrate apa-apa pun, I memang nak ajak you keluar makan malam ni. I ambil you macam biasa, ya?”

“Danny...”

Baby....” Belum sempat Anum hendak bercakap, Danny sudah memotong. Dengan pandangan yang tajam, dia memandang wajah Anum.

I've already booked dinner for us tonight. So, no excuse. I'll pick you up at 8, okay?”

Anum memandang wajah Danny. Begitu juga sebaliknya. Mereka saling memandang wajah masing-masing. Beberapa saat adegan pandang-memandang itu berlaku. Mereka berdua seperti sedang bertarung siapa yang akhirnya akan mengalah terlebih dahulu dan ternyata, akhirnya Anum juga yang terpaksa mengalah. Tidak mampu hendak melawan pandangan mata Danny yang tajam menikam itu.

Okay, fine! You are my boss, right?” kata Anum tanda kekalahan.“Karang kalau I melawan, tak pasal-pasal kena tarik balik pangkat yang I baru nak merasa ni...” ujar Anum dengan sedikit keluhan kecil.

Danny tersenyum lebar tanda berpuas hati apabila Anum terpaksa mengalah dengan renungan tajam daripadanya sebentar tadi.

“Boleh tak kalau I nak minta diri untuk makan? Perut I dah berbunyi minta diisi. Sekarang baru pukul 1 tengah hari. Takkanlah you nak suruh I puasa sampai kita keluar malam ni, kan? You pergilah layan staf-staf yang lain. Nanti diaorang ingat singa betina ni dah rantai kaki you sampai tak boleh nak pergi tegur orang lain pulak,” kata Anum masih diselangi dengan jelingan tajam. Entah kenapalah dia sering kali kalah dengan renungan tajam lelaki itu. Segarang-garang Anum Danisha, tetapi apabila hendak berlawan mata dengan lelaki, memang tak kuat langsung!

Okay, see you tonight then...” Danny membalas lembut. Sebelum melangkah, sempat lagi dia mengenyit nakal.

Anum membalas dengan wajah yang penuh bersahaja. Tidak bereaksi. Seolah-olah tidak berperasaan. Jangan kata nak berbalas senyuman, kelip mata pun tidak. Berdiri tegak macam batang pokok yang kekeringan daun. Toya saja muka.

Danny berlalu dengan senyuman yang masih basah menghiasi bibir. Anum hanya memerhatikan dengan ekor mata. Ketuanya itu berjalan menghampiri sekumpulan pekerja yang lain lalu berbual-bual dengan mereka. Ramah dia menegur dan selang beberapa saat, semua mereka bersorak dan masing-masing ketawa besar. Entah apalah agaknya yang dikatakan oleh Danny hinggakan mereka semua terasa lucu dan ketawa mengekek-ngekek. Satu situasi yang bukannya janggal untuk dilihat. Suatu perkara yang tidak asing lagi pada penglihatannya.

Memang Anum terpaksa mengakui yang Danny itu begitu mudah sekali mesra dengan sesiapa sahaja. Lelaki itu seorang ketua yang begitu lembut, baik hati dan ramah dengan setiap para pekerja di situ. Lelaki itu biasanya lebih bersifat seperti seorang kawan berbanding seorang ketua. Dengan mana-mana pekerja dia boleh bergurau dan melepak bersama. Seorang yang sangat berfikiran terbuka dan sentiasa suka membantu. Mungkin disebabkan itulah ramai pekerja boleh bertahan lama bekerja di sini. Anum, Melinda dan beberapa orang yang lain sudah menabur bakti di sini sejak awal penubuhan syarikat ini. Sekarang ini sudah hampir 7 tahun ia masih bertahan dan terus utuh berdiri.

Ahmad Dhani bin Dato’ Mazlan, bos yang sentiasa merendah diri dan menjaga setiap kebajikan pekerja. Walaupun anak orang berada, Danny tak pernah berlagak.

Relaks dan bersahaja orangnya. Jarang ada majikan seperti itu di dunia realiti di luar sana. Cuma satu saja yang Anum tak berapa berkenan dengan sikap Danny itu, dia seorang yang jarang bersikap serius. Sering kali menganggap semua perkara remeh dan mudah. Baik soal peribadi mahupun melibatkan kerja. Pernah sekali dulu, salah seorang pekerja telah menyebabkan syarikat kehilangan projek yang bernilai berpuluh ribu, namun Danny sikit pun tak marah. Dia hanya menegur sedikit, memberi nasihat dan kemudian langsung tidak membuka cerita itu lagi.

Sakitnya hati! Macam tu saja? Bagi Anum, pekerja yang cuai dan lalai begitu seharusnya diajar. Mereka harus dimarahi, diherdik dan ditengking, barulah mereka tidak akan melakukan kesalahan yang sama sekali lagi. Paling ringan pun mereka seharusnya menerima surat amaran tentang prestasi kerja.

Tetapi, Danny tak ambil pusing tentang itu semua. Mungkin dasar pemikiran anak orang kaya. Semua benda dia boleh dapat dengan petik jari sahaja. Projek tak jalan pun, bila-bila masa saja bapanya boleh suntik duit masuk ke dalam akaun. Itulah bertuahnya jadi anak mejar bersara. Tak pernah rasa susah, jadi tak pernah ambil serius pasal semua perkara. Hai... kalau dialah, dah lama pekerja itu selamat dimaki hamun olehnya. Dan kalau syarikat ini dia yang punya, dengan Danny sekali dia pecat. Nasib baik Danny yang jadi bos di sini!

No comments:

Post a Comment