DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday, 18 January 2020

Kau Antara Bintang - Bab 3

“BULLSHIT!”

Terdiam terus Nashvin dan Nurhanani mendengarkan jeritan Anum. Kedua-duanya terkebil-kebil dan rasa terkejut jelas terpamer pada wajah mereka berdua. Suara Anum yang menjerit ketika itu lebih kuat kedengaran daripada bunyi guruh yang berdentam-dentum di luar sana. Macam halilintar!

“I tak nak dengar apa-apa alasan daripada kamu berdua!” Macam nak terkeluar biji mata Anum memandang kedua-dua pekerja bawahannya itu.

“You tahu tak, disebabkan kelalaian ni, kita hampir-hampir kehilangan kontrak. Apa kerja yang you all buat selama ni, hah? Takkan benda kecik pun tak boleh buat? Bodoh! Kalau tak reti buat kerja, cakap awal-awal tak boleh buat. I boleh cari orang lain. Jangan nak berlagak pandai!”

Mata Anum memandang kedua-duanya. Sekejap dia merenung Nashvin dan sekejap memandang tajam ke arah Nurhanani. Naik turun dadanya menahan nafas. Dengan wajah yang menyinga begini, silap-silap hari bulan boleh nampak dua tanduk merah keluar dari kepalanya. Memang marah sangat dia ketika itu.

“Tapi I nak terangkan dekat you yang kesalahan final artwork ni bukan salah kita. Orang-orang dekat Indonesia tu yang pandai-pandai usik dan tak betulkan balik.”

I said, I don’t need anymore excuse. Tak kisahlah salah orang dekat Indon ke, India ke, Burma atau Mongolia ke, yang penting sekarang ni I tak nak kesalahan yang sama jadi lagi. Takkan you tak semak dulu final artwork sebelum hantar dekat pelanggan? You tidur ke apa?”

Nashvin terdiam. Mungkin terpaksa mengakui kesalahan yang dilakukannya.

And you, Nani...” Perhatian kini dialihkan pula kepada Nurhanani yang masih tertunduk bisu.

Terkebil-kebil Nurhanani dibuatnya. Terlalu takut hendak menyaksikan wajah singa yang sedang bertopengkan wanita bernama Anum Danisha ketika ini.

“You tahu tak selama hampir setahun you kerja dekat sini, tak nampak hasil satu pun. Semua commercial yang you buat macam sampah! I rasa macam syarikat ni bayar gaji you sia-sia aje. Eh, you ni betul-betul dah dapat ijazah ke atau sijil beli? Macam ni ke design yang you nak tunjuk dekat pelanggan? It’s totally rubbish!” Kertas-kertas yang berwarna-warni yang berada di atas meja diambil lalu dironyok-ronyokkan.

“Macam hasil kerja budak tak cukup umur. Sampah!” Serta-merta kertas-kertas yang telah ronyok seribu itu dicampakkan ke lantai. Betul-betul jatuh di hadapan Nurhanani dan Nashvin.

“Kalau I jadi pensyarah you, dah lama I bunuh diri dapat pelajar bengap macam ni!” Anum mengherdik kuat. Dengan ekor mata, dapat dia lihat ada air jernih sedang bertakung di kelopak mata Nurhanani. Namun, dia masih lagi tidak mahu berhenti berleter.

“Bukan main susah kita nak melobi untuk dapatkan projek iklan ni, sekarang you nak I tunjuk kepada mereka storyboard yang hodoh dan bodoh macam ni? Dengan ejaan salah, logo salah, warna pun tak betul, segala-galanya tunggang-langgang! You pergi masuk sekolah tadika baliklah kalau tak reti mengeja. Bodoh!” Tidak cukup dengan mencampakkan kertas-kertas sebentar tadi, kali ini kakinya memijak-mijak pula helaian kertas-kertas tersebut.

“Nasib baiklah diaorang tak tarik balik kontrak kita tu. Kalau tak, ini semua disebabkan you. Lembap! Dahlah lembap, bodoh sombong pulak tu. Lain kali kalau tak reti buat, rajin-rajinlah bertanya. Lepas tu pastikan buat kerja dengan cermat. Bila dah siap kerja, buat double check, triple check, sepuluh kali semak pun tak apa. Jangan main hantar kerja macam tu aje. Bila dah silap, inilah padahnya. Menyusahkan orang lain. Menyampah betullah!” Bertalu-talu dan penuh panjang lebar Anum mengutuk serta memaki hamun Nurhanani tanpa memikirkan perasaan gadis itu.

“I pening kepala betullah dengan korang ni semua. Bodoh sampai tahap langit ketujuh tak reti buat kerja. Otak tu dah setaraf macam otak ayam. Eee... geramnya!”

“Ad, please let me explain. The mistake is because...

I said shut up!” jerit Anum sekuat-kuat hati.

“I cakap, I tak nak dengar apa-apa alasan lagi. I bukan sehari dua bekerja dekat sini dan I tahu semua perkara daripada A sampai Z. Kalau dah buat salah tu, mengaku sajalah. Jangan nak salahkan orang lain pulak!” tempelak Anum lagi. Langsung tidak mahu menerima kata-kata Nashvin yang cuba untuk mempertahankan diri.

Nurhanani hanya menunduk, langsung tidak berani mengangkat muka.

“Sekarang kamu berdua dengar sini. I bagi peluang untuk kamu berdua tebus balik kesalahan ni semua. Nashvin, disebabkan selama ni kerja you bagus dan ini merupakan kesalahan pertama yang you buat, jadi I maafkan. I tak nak you buat kesalahan macam ni lagi dan cemarkan imej bagus you tu. Dan you pula Nani... kali ni I lepaskan you untuk kali terakhir.

Nashvin dan Nurhanani hanya diam. Masih setia menanti arahan selanjutnya.

But since you are under my probation. I'll give you one last chance but if you still make another stupid mistake like this again, you can say good bye and walk away. I don’t need a useless designer like you here!” Anum kemudian menghempaskan badan ke kerusi. “Sekarang kamu berdua boleh keluar. Betulkan apa-apa benda yang perlu diperbetulkan hari ni jugak dan letak atas meja I bila dah siap. Tolong jangan hantar kerja yang cikai dan haprak untuk I tengok. Ingat, hidup you semua takkan tenteram selagi I tak puas hati!” Anum memberikan arahan dengan sedikit amaran.

Perlahan-lahan mereka berdua mengangguk tanda faham dan memusingkan badan.

“Nani, kutip kertas-kertas tu semua. I tak ingin nak tengok sampah tu dalam bilik ni. Sakit mata!” arah Anum lagi sebelum gadis itu keluar.

Dengan penuh lemah, Nurhanani membongkok dan mengutip kertas-kertas yang bertaburan di atas lantai sambil dibantu oleh Nashvin.

Anum hanya melihat dengan ekor mata sambil diiringi dengan perasaan menyampah. Lebih-lebih lagi apabila melihat mata dan hidung Nurhanani yang merah serta sesekali menahan sedu. Menyampah betul dia dengan orang yang lembik macam ni. Kalau tak tahan, jangan terjun dalam bidang pengiklanan!

 

“KUT YA pun, takkanlah sampai macam tu sekali you nak bambu diaorang. Sikit-sikit sudahlah.”

Anum menghela nafas. Bosan sungguh dia mendengar Danny berleter. Fikirnya, malam ini dia datang ke parti yang dianjurkan oleh salah seorang pelanggan mereka demi untuk melapangkan dada dan fikiran. Dia ingin berseronok dan melupakan segala masalah.

10 minit yang pertama, dia berasa teruja dan gembira dengan irama rancak yang bingit menguasai suasana serta hiruk-piruk mereka yang lincah menari. Tetapi apabila muncul saja wajah Danny dan keluar saja suara lelaki itu bertanya tentang kejadian siang tadi, terus saja keseronokannya pudar. Potong stim betul!

“Dalam bekerja, kita takkan lari daripada buat kesalahan. Dan sebagai orang yang bertanggungjawab untuk menegur kesalahan mereka, you memang patut tegur mana-mana yang dirasakan perlu. Tapi, teguran tu janganlah melampau sangat,” Danny terpaksa bersuara sedikit kuat. Bunyi muzik yang kuat menyebabkan dia terpaksa bercakap dengan sedikit menjerit. Macam nak pecah gegendang telinganya dengan bunyi muzik yang berdentam-dentum ketika ini.

“You nak tegur, tegurlah. Cuma berpada-padalah sikit...” sambung Danny lagi. “Tapi kalau macam pagi tadi, I memang tak setuju.”

“Lantaklah! You setuju atau tak, I peduli apa? Kalau you nak berlembut dengan staf, you nak manjakan semua orang dekat pejabat tu, itu you punya pasal! I ada cara I sendiri dan you tolong jangan sibuk!”

Danny memandang Anum tanpa berkelip. Terpinga-pinga dia mendengar dialog yang diucapkan gadis itu sebentar tadi. Dengan wajah tanpa secalit senyuman, air muka gadis itu kelihatan keruh sekali. Hesy... macam ni ke cara nak bercakap dengan bos?

Baby, you ni kenapa?”

Anum memandang Danny dengan sedikit kerutan di dahi.

“Kenapa apa pulak ni? Tak ada apa-apalah,” Anum menjawab seraya segera menyembunyikan wajahnya. Cepat-cepat dia meneguk menghabiskan minuman sebagai satu cara untuk mengelak daripada terus direnung oleh Danny.

Anum menghela nafas. Dia mencuri pandang ke arah Melinda yang sedang berbual sakan dengan beberapa orang lelaki di hujung sudut rumah. Gembiranya sahabatnya itu datang ke parti begini. Sedangkan dia, baru beberapa minit saja sudah mula terasa bosan.

“You gaduh dengan ayah lagi eh?” Danny cuba untuk meneka.

“Isy... mana ada!” Terus saja dinafikan oleh Anum. Namun, apabila Danny cuba untuk melihat anak matanya ketika dia menafikan, cepat-cepat pula dia mengelak. Memandang ke arah lain serta-merta.

Oh, come on Ad...” Danny ketawa kecil dengan diiringi gelengan kepala beberapa kali. “Dah berapa lama I kenal you?” soalnya. Tetap cuba menilik wajah Anum terutama sekali bahagian mata gadis itu. Melihatkan gaya saja pun dia sudah dapat menangkap bahawa gadis itu sedang tidak sedap hati. Mungkin benar telahannya sebentar tadi. Tentunya tak lain tak bukan, Anum berselisih faham lagi dengan ayahnya. Entah apa pula isu dua beranak tu kali ini?

“I tahu... I yakin yang mesti malam tadi lepas I balik, you gaduh dengan ayah you, kan? Dan macam biasa, bila dah bergaduh dengan dia, you terbawa-bawa sampai dekat ofis. Kebetulan budak dua orang tu masuk dalam bilik you bawa berita buruk dan you terus lepaskan perasaan kepada mereka. Betul tak?”

Anum diam tidak menjawab sambil mengetap bibir. Kata-kata Danny itu menyirap masuk ke dalam gegendang telinganya. Hatinya terasa sebal kerana setiap perkataan yang keluar daripada mulut lelaki itu benar belaka. Dia marah dan sakit hati terhadap ayahnya dan dengan kesempatan yang ada dia lepaskan kepada orang lain. Memang itu caranya selama ini. Kalau mood sedang tidak baik, dengan sesiapa pun dia akan naik angin dan mengamuk. Nasiblah sesiapa yang kena!

“You tak patut macam tu, Ad... Lepaskan kemarahan sesuka hati pada orang lain, itu satu tindakan yang tak wajar. Kalau you ada benda yang tak puas hati dengan ayah, apa kata you bincang baik-baik dengan dia dan...”

“Diamlah Danny!” Anum menjerit mematikan kata-kata Danny, menyebabkan lelaki itu sedikit terpaku. “You jangan nak berlagak macam pakar motivasi dekat sini, boleh tak?” kata Anum dengan nada sinis. “I tak perlukan khidmat nasihat daripada you dan I tak perlukan apa-apa cadangan daripada sesiapa pun terutama sekali hal yang berkaitan dengan I dengan ayah. Mind of your business!”

Terus saja Anum melangkah meninggalkan Danny yang terpinga-pinga. Terlopong Danny dengan tindakan Anum. Anum berjalan menuju ke balkoni rumah kondominium enam tingkat tersebut. Sempat juga dia menjeling kepada Melinda yang sedang asyik menikmati irama perlahan sambil menari dengan intim bersama jejaka yang tidak dikenalinya. Mungkin jejaka itu baru saja dikenali oleh Melinda sebentar tadi. Sampai di balkoni penthouse tersebut, Anum melepaskan pandangan ke langit yang terbentang luas. Terasa aman sedikit berbanding suasana bingit di dalam rumah. Kerlipan bintang-bintang yang berjuta menyinari langit malam direnungnya lama.

Dia memang paling suka melihat bintang. Tidak tahu kenapa, apabila dia mempunyai masalah, atau sedang bersedih, bosan atau marah, dia akan mencari bintang lalu diceritakan segala rasa hati pada bintang-bintang tersebut. Rasa macam lapang dada apabila melihat kerlipan-kerlipan bintang yang bersinar.

Sesekali Anum melepaskan keluhan. Memikirkan kenapa dia berada di situ. Bukankah lebih bagus sekiranya waktu ini dia turut sama seperti Melinda berada di dalam menari dan melakukan apa saja aktiviti yang boleh menghilangkan kebosanan? Sudah datang ke parti, tapi duduk melongo di luar seorang diri pula. Orang lain gembira sakan dapat kenalan-kenalan baharu, dia pula duduk macam minah Hindustan tepi balkoni melihat langit dan mengira bintang. Bosan betullah!

Anum melepaskan pandangannya ke bawah kondominium pula. Melihat jalan raya yang lengang dan sunyi. Dari tingkat enam ini, dia memerhatikan sebiji kereta Honda CRV yang berhenti di bahu jalan. Belum sempat enjin kereta dimatikan, pintu belakang kereta sudah dibuka dan seorang anak kecil begitu girang turun dan berlari sambil memegang anak patungnya tanpa menunggu orang yang lebih dewasa mengiringinya. Anak kecil tersebut berlari menuju ke pintu masuk utama bangunan kondominium ini.

Seketika, larian anak kecil itu terhenti di tengah jalan apabila anak patungnya terjatuh. Dia membongkok untuk mengutip semula anak patung yang tercicir sebentar tadi.

Anum senyum. Girang melihat anak kecil itu. Teringat pula kepada si kembar Auliya dan Aimee, si kenit kesayangannya. Mungkin lebih kurang sebaya saja dengan anak kecil ini. Kemudian, telinganya dapat menangkap ada bunyi kenderaan lain datang. Dia menoleh sedikit dan dengan jelas dia melihat sebuah kereta sedang dipandu laju menuju ke arah anak kecil tersebut. Anum panik. Dia menjerit menyuruh anak kecil itu berganjak ke tepi.

Kanak-kanak perempuan tersebut memandang ke arah Anum, namun dia masih lagi tidak berganjak. Anak kecil itu hanya termangu-mangu melihat apakah yang dijeritkan oleh Anum. Terkebil-kebil dia melihat Anum yang mulai cemas.

“Adik, duduk tepi, ada kereta laju tu!” jerit Anum sekuat hati. Dia melambai tangan dan membuat isyarat supaya kanak-kanak tersebut bergerak dari tengah jalan raya tersebut.

Anum menjeling melihat kereta tersebut semakin menghampiri. Betul-betul dekat dan sekali lagi Anum menjerit apabila kereta tersebut hampir melanggar kanak-kanak tersebut.

“Adik!!!”

Anum mengurut dadanya yang berombak kencang. Naik turun nafasnya melihat kejadian tersebut. Nasib baik! Mujur dan alhamdulillah kerana tidak terjadi apa-apa. Semuanya gara-gara kehadiran seorang lelaki yang datang entah dari mana. Tiba-tiba saja lelaki itu berada di situ dan sempat menarik anak kecil tersebut. Tindakan tangkas lelaki tersebut telah berjaya menyelamatkan anak kecil itu. Lelaki tersebut memeluk anak kecil itu dan mereka sedikit berguling di atas jalan. Namun, sekalung tahniah wajar diberikan kepada lelaki tersebut. Hero yang muncul tepat pada waktunya!

Anum melihat seorang wanita keluar dari perut Honda CRV lalu meluru mendapatkan anak kecil itu. Dapat Anum lihat wanita tersebut mengatakan sesuatu kepada jejaka tersebut. Anum juga memanjatkan rasa kesyukuran kerana tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini. Dia melihat kelibat lelaki tersebut yang terangguk-angguk dan sesekali meraup kepala anak kecil yang baru saja diselamatkannya tadi.

Wanita yang mungkin dalam lingkungan awal 30-an akhirnya memimpin anak kecilnya masuk ke dalam bangunan. Meninggalkan lelaki yang baru saja menjadi penyelamat mereka. Anum melihat susuk tubuh lelaki itu dengan penuh berminat. Lelaki yang memakai kemeja pendek berwarna putih serta berseluar jean hitam. Kelihatan tidaklah terlalu bergaya, namun dari jauh auranya tetap dapat menarik minat Anum untuk terus melihat.

Lelaki tersebut mengibas sedikit bajunya di bahagian bahu dan lutut. Mungkin ingin membersihkan kotoran akibat daripada adegan menyelamat sebentar tadi. Selesai membersihkan baju, dia mula melangkah. Namun, baru setapak dia bergerak, langkahnya dimatikan. Terus saja dia mendongak dan melihat ke arah Anum yang sedang memerhati dari atas balkoni.

Anum sedikit terpaku apabila pandangan lelaki itu terarah kepadanya. Namun, pandangan matanya tetap tidak beralih daripada susuk tubuh tersebut. Agak lama juga mereka saling berpandangan. Namun, disebabkan kedudukan balkoni yang agak tinggi, menyebabkan wajah lelaki itu tidak dapat dilihat dengan lebih jelas dan terang.

Entah macam mana, Anum dapat melihat ada senyuman dihadiahkan oleh lelaki tersebut. Dia tertanya-tanya, adakah benar lelaki itu sedang tersenyum kepadanya?

Anum mengecilkan anak mata. Ingin benar-benar melihat dengan jelas dan pasti adakah lelaki itu tersenyum kepadanya. Sedang dia fokus, kelihatan pula lelaki tersebut mengangkat tangan seolah-olah sedang menyapanya dari jauh.

Sekali lagi Anum terpaku. Teragak-agak dia memikirkan sama ada mahu membalas senyuman dan lambaian tersebut. Dalam keadaan tidak pasti, sedikit demi sedikit Anum menggerakkan tangan tanda mahu membalas sapaan lelaki itu. Namun, belum sempat, ada suara datang menegur.

“Ad...”

Anum menoleh.

“Kenapa? I dengar you menjerit tadi.”

“Mel, tadi I tengok ada budak nak kena langgar kereta. Nasib baik tak ada apa-apa.” Anum memberikan penerangan kepada sahabatnya.

Melinda melangkah menghampiri Anum.

“Budak mana?”

“Entahlah. Agaknya dia tinggal dekat bangunan ni jugak kut. Emak dia baru nak parking kereta, dia dah berlari keluar. Nasib baik ada lelaki yang selamatkan dia. Hero of the night.

Wow! Menarik ni... mesti kacak hero tu, kan?”

“Entahlah, I tak nampak sangat muka dia. Cuba you tengok...” Anum berpaling melepaskan pandangannya kembali ke bawah, namun dia terus saja mengerutkan dahi.

Melinda datang dekat lagi dan berdiri betul-betul di sebelah Anum.

“Mana? I tak nampak sesiapa pun kat bawah tu. Mana pergi hero tu?”

“Tadi ada...” jawab Anum sedikit perlahan.

Melinda meninjau-ninjau ke bawah. Ditoleh ke kiri dan kanan, namun orang yang dimaksudkan Anum sebentar tadi langsung tidak kelihatan.

Anum termangu-mangu. Berkerut-kerut dahinya ketika melihat ke bawah. Kosong. Biar betul, sekelip mata saja dah hilang?

“You ni betul ke tak? Tak ada sesiapa pun kat bawah tu...” Melinda masih lagi tertinjau-tinjau.

“Entah. Tadi ada dekat bawah tu.” Suara Anum sedikit ke dalam. Dia ragu-ragu dengan perasaannya sendiri. Mulai berasa waswas. Rasanya memang betullah lelaki tadi berdiri di bawah sana, tersenyum serta melambaikan tangan kepadanya tadi.

“Tak ada sesiapa pun kat bawah tu. Entah-entah tadi you mengigau saja kut...” kata Melinda sambil bercekak pinggang dan tersengih memandang Anum.

Anum diam tidak membalas. Otaknya masih lagi berfikir.

“Tak apalah. Kita lupakan saja. Jom masuk dalam?” pelawa Melinda sambil mengangkat kening.

Anum menggeleng.

It’s okay. Just enjoy yourself. I need fresh air right now.”

“Betul ni? Petang tadi, bukan main you cakap nak menari puas-puas.”

Anum senyum sedikit.

“Tiba-tiba I rasa penat pulak. Tak apalah, you sambunglah menari dengan balak handsome tadi tu. I nak ambil angin.”

“Okey.” Melinda mengangguk lalu terus saja kelibatnya hilang di tengah-tengah rumah.

Anum menghela nafas dan sekali lagi dia memandang ke bawah. Ternyata di situ hanya ada jalan raya yang kosong dan lengang. Langsung tidak kelihatan kelibat sesiapa pun di situ.

‘Betul ke tak betul apa yang aku nampak sebentar tadi? Rasanya seperti terlalu nyata kalau hendak dikatakan bahawa aku hanya berkhayal. Tetapi, jika benar ia betul-betul terjadi, ke mana pula perginya lelaki tadi? Takkanlah tak sampai seminit boleh hilang dan ghaib begitu saja?’

Anum menopang dagu. Dia meninjau sekeliling dan kemudian lirikan matanya terhenti pada hujung jalan raya yang kelihatan samar-samar. Dia mengecilkan anak mata dan memerhatikan dengan tekun. Seorang lelaki yang sedang berjalan di bahu jalan menarik perhatiannya. Lelaki itu, lelaki itulah yang telah menyelamatkan anak kecil tadi!

Anum mengecilkan lagi anak matanya. Dalam keadaan malam dan sinaran bulan yang samar-samar, dia tidak dapat melihat dengan jelas. Walaupun dibantu dengan cahaya dari batang-batang lampu yang menyuluh ke jalan raya, namun ia langsung tidak membantu pandangan matanya. Lebih-lebih lagi apabila bayangan lelaki itu semakin menjauh dan kian menghilang.

Aik, sekejap saja kelibat dan bayang lelaki itu menghilang? Tak sempat dia hendak melihat dengan betul terlebih dahulu. Ghaib entah ke mana menyebabkan Anum kembali menjadi ragu-ragu dan keliru. Dia mengeluh. Bayang-bayang lelaki itu sebenarnya hilang atau sebenarnya tidak wujud? Sekali kelip mata saja bayangnya sudah tiada. Ajaib betul!

No comments:

Post a Comment