DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 14 January 2020

Akhir Sebuah Cinta - Bab 3

ALI menghabiskan ayat terakhir bacaannya. Bukan dia tidak perasan Peah berdiri di sebalik pintu sedari tadi.

“Kenapa?” soalnya dingin.

Peah geleng.

“Nak mengaji?”

Anggukan diberi kali ini.

“Sinilah.”

Sedikit teragak-agak, Peah melangkah mendekati.

“Dah ada wuduk?” soal Ali lagi.

Peah angguk lagi.

“Duduk,” arah Ali.

Tanpa sebarang suara, Peah akur.

“Tahu baca ke?”

Peah dongak. Memandang Ali tunak. Namun tidak berkata apa-apa.

“Kau tak jawab lagi soalan aku.”

“Rasanya tahu.” Antara dengar dan tidak sahaja Peah menjawab.

“Nah, baca.” Ali pusingkan al-Quran ke arah bertentangan. “Ikut suka kaulah nak baca surah apa,” ujarnya. Namun seketika kemudian dia turut menghulurkan naskhah Juz ‘Amma.

Peah diam tidak membalas. Hanya menarik naskhah Juz ‘Amma tersebut lebih dekat dengannya sebelum menarik keluar penunjuk yang diperbuat daripada duri landak. Selepas itu, dia mula membaca.

Auzubillah himinas shaiton nirrajim. Bismillah hirrohmaa nirrahim. Ba di atas ba, ba di bawah bi. Ba... bi...”

“Peah!!!” Ali terjerit lantang. Merah padam raut mukanya menahan marah. Sesedap bunyi je Peah tinggalkan ‘ba di depan bu’ itu.

Peah tidak pedulikan empunya badan yang mengamuk. Sebaliknya dia terus menyelak helaian pertama al-Quran. Bacaan al-Fatihah diperdengarkan.

Ali yang pada mulanya sedang hangat dengan tingkah si gadis tidak jadi mahu marah. Dia perasan, bacaan gadis itu tepat dari segala tajwid dan makhraj. Tapi biasalah, surah al-Fatihah semua orang lulus. Terdetik di hatinya untuk mengetahui sejauh manakah kepandaian Peah dalam membaca al-Quran.

“Teruslah baca surah al-Baqarah tu,” ujarnya setelah Peah selesai membaca al-Fatihah.

Dan beberapa minit kemudian, Ali terpanar. Gadis di hadapannya itu memang pandai mengaji. Jujur, dia sedikit terbuai. Terpanar sudah tentu. Siapakah Peah ini sebenarnya?

 

PEAH PERHATIKAN Ali yang sedang tekun menjahit jala. Sikit pun lelaki itu tidak menoleh ke arahnya.

“Ali, orang kampung ni tak marah ke?” Dia memberanikan diri menyoal.

“Nak marah kenapa?”

“Aku tinggal kat sini.”

“Ada diaorang halau kau?” soal Ali.

“Tak. Tapi...”

“Jadi kau sendiri dah ada jawapan tu,” celah Ali.

“Tapi...”

“Orang perempuan memang semua macam ni ke?”

“Hah?”

“Kenapa payah sangat nak terima penjelasan? Can’t you ladies take ‘no’ as no’? Kenapa suka serabutkan otak dengan jawapan subjektif?”

Sorry.”

“Aku tak faham bahasa Inggeris.”

“Tadi tu kau speaking?”

“Tu sebab aku marah. Tapi aku sendiri tak faham aku cakap apa.”

Peah tepuk dahi. Boleh pula macam tu.

“Hah tepuk! Tepuklah dahi tu banyak-banyak kali. Biar tambah jendul senang buat padang bola.”

Peah julingkan mata.

Overlah kau ni. Aku repot kat Mak Cik Siha karang!”

Ali hanya mengerling, malas mahu membalas.

“Ali, aku laparlah. Boleh tak aku nak makan bahu kau yang gebu tu?”

“Baru lepas makan tengah hari tadi, kan? Dua pinggan kau makan nasi, takkan lapar lagi?”

“Laparlah. Tak lapar aku tak cakap. Bolehlah Ali, nak rasa bahu kau tu sikit.”

“Kau ni dah kenapa gila sangat sampai bahu aku pun kau nak makan?” soal Ali bengang.

“Bahu kau nampak sedaplah Ali. Macam chicken wing Pizza Hut.”

Tingkah Ali menjahit jala terhenti. Leher dipusing mencari susuk Peah.

“Apa aku nak buat dengan kau ni, Peah? Apa patut aku buat dengan kau? Kau cakap, apa patut aku buat dengan kau?”

“Dermakan kat aku bahu kau tu. Alah, patah tumbuh hilang berganti, Ali.”

Ali pandang depan semula.

“Kau ingat bahu aku ni pokok yang boleh tumbuh-tumbuh?”

Hihi... Lebih kuranglah...” Perlahan suara Peah meningkah.

“Apa kau cakap?” suara Ali sudah naik seoktaf.

Peah bangun.

“Kau ni pokok asam gelugor, Ali. Tinggi tegap, tapi sentiasa masam. Lepas tu banyak kerengga!”

“Peah!!!”

 

 “MAK CIK, saya bosanlah. Mak cik tak ada kerja ke nak bagi kat saya?”

Mak Cik Siha ketawa. Lucu dirasakan melihat Peah yang tertonggeng-tonggeng sambil meramas kepala sendiri.

“Pergilah kacau Ali. Dia kan ada kat luar tu.”

Peah angkat kepala.

“Kacau Ali? Tu macam tempah bala je, mak cik.”

Mengekek Mak Cik Siha ketawa.

“Tolonglah, mak cik. Bagilah saya kerja. Saya bosan sangat ni. Orang gila pun tak bosan macam ni,” rayu Peah.

Tawa Mak Cik Siha semakin besar. Habis ketawa, wajah Peah direnung bersama sengihan.

“Mak cik suruh kacau Ali, kakak tak nak.”

“Tu bukan kerja, mak cik. Tu jerut leher sendiri namanya. Saya lebih rela panjat pokok kelapa yang tinggi tu daripada kacau Ali tu. Tapi karang beruk Pak Mat mengamuk pula sebab saya rampas kerja dia.”

Tawa Mak Cik Siha meledak kembali. Anak gadis ini sentiasa membuat dia ketawa. Alangkah bagusnya andai sikap ceria gadis ini berjangkit kepada anak tunggalnya.

“Ali tu luaran je nampak keras, kakak. Tapi hati dia tak keras mana. Kalau tak percaya, kakak cuba pergi, kenal dengan dia. Borak sikit-sikit, tengok dia buat kerja. Mungkin ada benda yang kakak boleh belajar daripada dia.”

“Belajar?”

“Ali tu banyak juga perkara yang dia tahu, kakak. Cuma dia tak suka kecoh-kecoh.”

 “Saya tak faham, mak cik.”

“Tak apa, nanti lama-lama kakak tahulah dia macam mana. Pergilah, dia ada kat luar tu. Katanya tadi nak belah kayu.”

“Lagilah saya seram, mak cik. Buatnya dia nampak saya macam kayu tu macam mana?” soal Peah seraya pamer riak tidak sanggup.

Mak Cik Siha sengih dan menggeleng.

“Semalam kakak mengaji dengan dia, kan?”

“Haah.”

“Ada dia marah? Tak, kan?” duga Mak Cik Siha.

Peah garu kening.

“Pergilah, mak cik tengok dari sini. Dia takkan berkasar dengan kakak sebab dia tahu mak cik ada kat sini perhatikan dia.”

Dalam rasa yang tak pasti, Peah bingkas berdiri.

No comments:

Post a Comment