DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday, 18 January 2020

Kau Antara Bintang - Bab 7

“AD...

Kedengaran suara Danny di hujung telefon lewat pagi itu. Entah mengapa, Anum berasa senang sekali menerima panggilan telefon daripada Danny kali ini. Ada rasa lega dan lapang dada apabila mendengarkan suara lelaki itu.

“You okey ke?”

Anum tersenyum mendengarkan nada kebimbangan Danny.

“Okey.

Really? Are you sure?”

Sepi sebentar.

Anum menarik nafas panjang.

“Apa yang buatkan you rasa I tak okey sekarang ni?”

“Tak ada apa. I baru balik daripada jumpa client, nak duduk-duduk rehatkan badan, tapi tiba-tiba teringatkan you. Rasa macam ada benda tak kena. Rindu sangat-sangat, sebab tu I telefon.”

Bibir Anum terus saja menguntum senyuman lebar. Kalau tak cakap rindu, tak cakap sayang, memang tak sah lelaki yang bernama Danny ini!

“I kena delayed duduk sini lagi seminggu dualah... Ada banyak urusan belum selesai lagi. Tak pasti bila boleh balik Malaysia. Tu sebab I telefon you ni. Rindu sangat-sangatlah.”

“Ya ke? Rindu konon... Entah-entah you telefon sebab nak spot check I, kan? Ada orang mengadu yang I dera cukup-cukup semua staf sepanjang you tak ada, betul tak?”

Kali ini kedengaran suara Danny ketawa.

I know... I tahu yang you baru lepas mengamuk dengan diaorang tadi, kan? Dan I juga tahu yang semua budak-budak GD sekarang ni tak boleh keluar dari bilik meeting selagi tak dapat idea gempak yang berkenan di mata you.”

Kali ini giliran Anum pula ketawa. Memang betullah Danny ini bos kesayangan pekerja-pekerja di sini. Apa saja yang berlaku, pasti takkan terlepas daripada pengetahuannya. Biar berjuta batu jauhnya dia berada sekarang ini, semuanya pasti akan sampai ke telinganya juga. Benda yang tak sampai satu hari berlaku, dah selamat sampai di telinga lelaki itu. Dahsyat betul!

“You janganlah garang sangat dengan diaorang tu Ad. Kalau you selalu marah-marah, nanti kena darah tinggi ke, sakit jantung ke, kan susah? I jauh ni, macam mana I nak terbang selamatkan you nanti? I tak ada power macam Superman atau kereta canggih macam Batman tu.”

“Tapi you ada power yang boleh buat orang rasa geli-geleman dengan ayat-ayat jiwang you tu.” Cepat-cepat Anum menyampuk dengan gelak kecil menghiasi hujung kata-kata. Berlainan benar jika dibandingkan dengan sikapnya beberapa minit tadi.

Danny juga turut ketawa apabila sedar Anum mengenakannya.

“Okeylah Danny, I tengah kerjalah. Meeting tadi belum habis lagi. Kalau tak ada apa-apa, I nak letak dulu.”

“Yalah, pergilah kerja maki hamun budak-budak tu. Esok I balik KL, you dah tak ada peluang nak marah-marah macam ni lagi.”

“You ingat I takut bila you ada? Tak hairan!” Anum membalas.

“Eleh, tak takut konon. Nantilah... kalau I ada nanti, you tengah marah budak-budak tu, I datang dan cium pipi you depan semua orang, baru tahu! Nak?”

Anum menjelirkan lidah. Macamlah Danny boleh nampak perlakuannya.

“Dah, dahlah, Danny! I betul-betul nak letak ni.”

“Okey, jaga diri baik-baik. I love you and I miss you...

Anum pantas sahaja meletakkan telefon. Langsung tidak membalas kata sayang dan rindu daripada Danny. Hanya senyuman menghiasi bibirnya. Terasa lapang hatinya selepas gagang telefon diletakkan.

“Amboi! Tiba-tiba berubah watak nampak...”

Anum segera mengangkat muka melihat daun pintu yang sudah terkuak besar. Kelihatan Melinda tersengih-sengih sambil memegang beberapa fail di tangan. Sebelah tangannya kemas memegang tombol pintu.

“Sejak masuk pejabat pagi tadi, you bukan main moody. Habis satu ofis kena bambu dengan you. Tapi, dengan hanya satu panggilan sahaja dah berjaya buat you senyum dan ketawa. Wow! Bila I cakap yang you pun sebenarnya sukakan Danny, you tak nak mengaku.”

Anum bangun daripada kerusi empuknya. Membetulkan kemeja dan skirt yang nampak sedikit renyuk. Kepalanya digerakkan ke kiri dan kanan. Melinda ini memang tak habis-habis dengan teori dia tentang hubungan mereka berdua. Ingatkan mata saja yang kecil, rupa-rupanya lubang telinga pun kecil juga sebab tak dengar dan tak faham-faham bila dia cakap yang dia memang betul-betul tak ada perasaan terhadap Danny. Danny memang pandai buat dia ketawa, tapi itu takkan jadi penyebab dia akan jatuh cinta dengan lelaki itu. Takkan mungkin terjadi!

“You ni amoi... kalau you tak faham cakap Melayu, I dah beritahu dalam bahasa Inggeris. Nantilah I belajar cakap Cina pulak macam mana nak terangkan yang I ni memang anggap Danny tu kawan biasa dan bukannya luar biasa.” Anum bercekak pinggang dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi diletakkan di atas meja.

Well, if you still deny it, what can I say...” Melinda jongketkan bahu. Dia mendekati Anum lalu meletakkan fail-fail yang dibawa ke atas meja.

“Fail apa ni?” soal Anum sambil tersenyum puas apabila gadis Cina itu tidak lagi mahu menegakkan fakta dan teori tentang dia dengan Danny. Selalunya tak semudah ini Melinda hendak mengalah.

Annual leave and manpower file. I need your signature urgently. The ISO audit is next week, so i need the files as soon as possible.”

Anum mengeluh. Nak kena tandatangan satu fail tebal ni? Bosan betullah!

“Sebelum tandatangan tu, baca dulu betul-betul. Manalah tahu I tersalah letak borang permohonan kahwin you dengan Danny ke? Kalau tersalah tandatangan, Danny jugalah yang untung, balik dari Belanda boleh terus naik pelamin!”

Anum terus saja ketawa mendengar jenaka tersebut. Begitu juga dengan Melinda.

Tiba-tiba ada ketukan di pintu. Tawa mereka mati. Beberapa ketika, muncul Iqram di muka pintu.

“Abang!” Anum sedikit terkejut melihat kedatangan Iqram.

“Mengganggu ke? Kalau tengah sibuk, abang tunggu dekat luar.” Dengan  ramah Iqram bertanya. Bimbang sekiranya kedatangannya mengganggu kedua-dua wanita tersebut.

“Eh, taklah! Masuklah abang, urusan kami dah selesai.” Anum membariskan senyuman lalu mendepangkan tangan tanda menyambut kedatangan abangnya yang tidak disangka-sangka itu. Jarang sangat Abang Iqram buat lawatan mengejut di pejabatnya seperti ini.

“Apa khabar, Abang Iqram?” Melinda yang sudah melangkah beberapa tapak hendak keluar dari bilik sempat lagi menegur Iqram dengan ramah.

“Baik, sihat. Mel pulak macam mana? Sihat?” Iqram juga turut berbasa-basi. Melinda ini sudah lama berkawan dengan Anum, jadi dia juga sudah menganggap gadis itu seperti adiknya sendiri.

“Sihat. Abang Iqram duduklah, nanti saya minta mak cik bawakan air, ya?” Sambil memberikan senyuman lebar dan mesra, ramah sungguh Melinda melayan tetamu. Padanlah Danny meletakkan dia di bawah Jabatan Hal Ehwal Sumber Manusia.

“Berhati-hati ya, abang. Mood adik abang hari ni sukar dijangka. Kejap sejuk, kejap panas...” Melinda berbisik sedikit lalu disambut dengan senyuman dan anggukan daripada Iqram. Melinda turut tersenyum lalu melangkah keluar dari bilik. Daun pintu ditutup rapat.

“Abang, duduklah...” Anum mempelawa.

Iqram angguk lalu melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Anum. Beberapa ketika dia hanya memerhatikan saja bilik kerja adiknya itu.

“Lawa bilik Anum. Mesti seronok dah ada bilik sendiri sekarang, kan?” Iqram  memulakan bicara setelah puas meneliti bilik tersebut.

Anum senyum.

“Ada seronok dan ada yang tak seronok jugak. Seronok sebab ada privasi. Yang tak seronok pulak sebab jauh daripada orang lain. Kalau dulu, apa yang orang buat, semua kita boleh nampak. Apa yang orang cakap, semua kita boleh dengar. Tapi, sekarang ni apa yang jadi dekat luar tu semuanya Anum ketinggalan. Sampaikan diaorang semua dah balik, tinggal Anum sorang-sorang pun tak perasan.”

Iqram turut menguntum senyum.

“Cat bilik ni Anum pilih sendiri ke? Setahu abang, Anum tak suka warna pink. Anum kata, warna tu nampak manja dan terlalu lembut. Tak sesuai dengan karakter Anum, kan?”

Anum tersenyum riang mendengar kata-kata abangnya. Gembira rasa hati apabila abang kandungnya tahu dan begitu faham dengan cita rasanya.

“Ini...” Anum mengangkat tangan menunjuk ke arah dinding. “Danny yang pilih. Entah apa-apa mamat tu. Tak pernah Anum jumpa lelaki yang suka warna pink. Dia yang minat, tapi bilik Anum yang jadi mangsa. Nasib baik lawa.” Anum ketawa. Menayang gigi yang putih bersih.

Iqram mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Dahlah, abang datang ni takkan nak berborak pasal bilik Anum pulak, kan? Kita cerita pasal lainlah. Kenapa abang datang sini? Tak kerja ke?” soal Anum apabila tawanya reda.

Iqram menggeleng sedikit.

“Abang ambil cuti kecemasan. Kak Ana tumpah darah pagi tadi.”

“Tumpah darah?” soal Anum sedikit cemas.

“Sikit aje... tak ada apa-apa. Mungkin sebab penat kenduri kelmarin. Dia ada dekat rumah tengah berehat sekarang. Anum baliklah petang ni. Boleh borak-borak dengan Kak Ana.”

Anum diam. Serta-merta baris senyuman yang ada tadi menghilang. Balik rumah? Rasanya perkataan itu yang paling dia benci hendak dengar sekarang ini.

“Anum sibuklah sekarang, bang. Nantilah bila ada masa, Anum balik tengok Kak Ana.”

Iqram mengangguk sedikit.

“Tak apa, tak dapat hari ni, lain kali pun boleh. Lagipun hujung minggu ni Anum nak balik juga, kan?”

Anum menghela nafas pendek.

“Hujung minggu ni tak bolehlah... Anum dah janji nak keluar dengan Melinda. Nantilah bila-bila.”

“Tapi Anum dah janji dengan ayah nak balik, kan?” soal Iqram lagi.

“Janji?” Anum membentukkan mulut. “Bila masa pulak Anum janji dengan ayah? Anum tak cakap apa-apa pun.”

Iqram diam seketika. Diperhatikan wajah Anum dengan ekor mata. Nampak sedikit berubah. Teringat kata-kata Melinda tadi tentang mood Anum yang sekejap panas dan sejuk hari ini. Jadi, mungkin dia harus berjaga-jaga agar Anum tidak akan naik angin. Dia memang faham sangat dengan panas baran adiknya yang sukar hendak dijangka itu.

“Kalau Anum tak janji dengan ayah, tak apalah. Abang datang sini pun memang sebab nak ajak Anum balik hujung minggu ni. Abang rancang nak tempah kambing bakar, dah lama kita tak makan kambing, kan?” Iqram cuba memancing mood Anum.

“Tak naklah!” Terus saja Anum menolak tanpa tertarik langsung dengan pancingan Iqram. Padahal mereka dua beradik memang hantu kambing.

“Kalau setakat balik rumah, tapi akhirnya akan menyakitkan hati, baik Anum tak payah balik. Lagipun, Anum dah janji nak keluar shopping dengan Mel.”

Shopping?” Iqram mengecilkan matanya. “Setakat nak keluar shopping, bila-bila pun Anum boleh buat. Lepas makan tengah hari tu pun Anum boleh keluar dengan Mel. Baliklah sekejap, ayah nak sangat Anum balik makan tengah hari sekali.”

Anum sedikit mengeluh.

“Tak naklah... Anum tak nak balik sebab Anum tahu apa motif ayah suruh Anum balik. Tak habis-habis dengan projek nak kahwinkan Anum. Tak dapat dengan Khalil, dengan orang lain pulak. Yang jadi mangsanya, Anum! Entah apa-apa ayah ni. Macam orang dulu-dulu, sibuk nak carikan jodoh untuk anak. Kolot!”

Iqram senyum sedikit.

“Tapi, apa yang dia buat tu bagus. Anum tengok sendiri contoh depan mata, abang dengan Kak Ana... Walaupun tak pernah bercinta sebelum kahwin, kami bahagia sekarang. Anak-anak pun dah makin berderet-deret.” Lembut saja tutur bicara Iqram. Mungkin ingin melembutkan hati sang adik yang sememangnya keras sejak kecil lagi.

Anum diam.

“Kalau Anum tak nak balik sebab tak nak jumpa dengan anak Pak Cik Omar, abang nasihatkan supaya Anum jangan risau. Abang kenal dengan anak Pak Cik Omar tu. Dia satu universiti dan junior abang dulu. Baik budaknya. Tak rugi kalau Anum jumpa dan berkenalan dengan dia.”

Anum diam lagi. Kata-kata Iqram bagaikan masuk ke telinga kanan, keluar telinga kiri. Baik konon! Memanglah kena cakap orang tu baik. Pernah ke apa yang ayah cakap, apa yang ayah suruh, tak baik di mata Abang Iqram? Kalau ayah cakap racun itu baik untuk kesihatan pun Abang Iqram akan ikut juga. Meluat betul!

“Anum, ayah buat macam ni ada sebabnya. Dia cuma nakkan yang terbaik untuk anak-anak. Biarlah Anum nak kata kolot ke, apa ke, sebagai anak kita ikutkan ajelah.”

“Eee!” Anum tayang mimik muka seakan mengejek. “Abang ingat Anum ni robot ke nak ikut semua cakap ayah? Apa ayah suruh, semuanya kena buat. Apa yang ayah nak, semuanya kena setuju. Kalau abang, bolehlah. Tapi Anum, maaf! Anum bukan penakut macam abang nak melawan cakap ayah!”

Iqram mengangkat muka. Pipinya sedikit kemerahan. Mungkin terasa dengan kata-kata Anum yang menggelarnya penakut.

“Abang bukan takut, Num. Abang cuma hormatkan ayah.” Iqram membidas semula. “Dan abang rasa, bukan abang sorang aje yang perlu hormatkan ayah. Anum pun sama. Hormatkan dia, dengar cakap dia dan kalau boleh gembirakan hati dia. Jangan buat atau cakap benda-benda yang boleh sakitkan hati ayah.”

“Anum sakitkan hati ayah?” Anum membulatkan sedikit matanya. “Habis yang ayah sakitkan hati Anum, abang tak nampak? Yang ayah sengaja cakap benda-benda yang buat Anum marah, abang tak kata apa pulak!” Intonasi Anum mula berubah. Ada nada marah kedengaran.

“Dia tu ayah, kita ni anak... terima ajelah apa yang dia kata, apa yang dia buat. Mengalah takkan rugi apa-apa, Num.”

Anum ketawa kecil. Jelas sekali dia semakin tidak senang dengan kata-kata Iqram. Sudah ada baris-baris marah pada riak wajahnya.

“Abang cakap senanglah, abang anak emas ayah. Apa yang abang nak, semuanya ayah kasi. Apa yang abang minta, semuanya ayah tunaikan. Dulu abang minta ayah belikan motor masa sekolah, ayah belikan. Nak dahulukan berpuluh ribu untuk abang sambung belajar dekat luar negara pun ayah kasi. Sampai sanggup berhutang dengan bank. Jadi, bila ayah suruh abang kahwin dengan Kak Ana, abang memanglah tak boleh tolak, sebab abang kena balas balik semua jasa-jasa dia. Tapi Anum lain. Anum tak nak korbankan masa depan Anum semata-mata nak puaskan hati ayah. Anum ada hak tentukan hidup Anum sendiri. Anum dah besar!” Anum semakin meninggikan suaranya. Rasa marah dan sakit hati bersarang semula. Baru saja anginnya mula baik sebentar tadi, sekarang ni sudah mula hendak berapi semula.

“Anum... Anum dengar sini baik-baik. Abang tak nak bertekak atau bertegang urat dengan Anum. Abang cuma nak Anum mengalah sikit dengan ayah. Abang tahu, kadang-kadang permintaan ayah berat dan besar. Tapi sebagai anak, tak salah kalau kita dengar cakap dia.”

“Ah!” Anum bangun dan berdiri tegak. Mulutnya diketap kuat. “Abang ni memang sengaja datang sini nak sakitkan hati Anum ke? Atau ayah yang suruh abang datang nak psiko otak Anum ni supaya jadi sebiji macam abang. Tak reti nak membantah dan melawan cakap ayah. Ikut aje macam lembu yang kena cucuk hidung.”

“Anum!” Iqram turut berdiri. Ingin bersuara lagi, tetapi tidak sempat kerana Anum terlebih dahulu memotong.

“Abang jangan ingat abang boleh senang-senang datang sini, pujuk dan basuh otak Anum supaya jadi pak turut sama macam abang. Anum tak lembik dan lemah macam abang!”

Iqram tarik nafas sedikit. Cuba untuk tenangkan hati sendiri supaya tidak mudah naik angin dengan setiap kata-kata yang keluar daripada mulut adiknya itu.

“Abang tak ada niat pun datang sini nak sakitkan hati Anum. Apatah lagi nak basuh atau psiko otak Anum. Abang tahu Anum dah besar dan boleh berfikir sendiri. Sebab tu abang datang sini nak suruh Anum fikir betul-betul dan pertimbangkan permintaan ayah.”

“Nak fikir apa lagi?” Mata Anum semakin bulat. “Tak ada apa-apa lagi yang Anum nak pertimbangkan. Kalau Anum cakap tak nak, tak naklah! Abang boleh tak jangan jadi macam ayah, suka paksa-paksa Anum?”

“Anum, abang cuma...”

“Sudahlah! Anum tak nak dengar apa-apa lagi!” Sekali lagi Anum memotong kata-kata Iqram sebelum sempat abangnya itu hendak berbicara panjang.

“Kalau abang nak ikut cakap ayah sampai tua, itu abang punya pasal! Jangan nak libatkan Anum dan jangan nak paksa Anum untuk ikut supaya jadi macam abang. Lagi sekali Anum cakap, Anum ada jalan hidup Anum sendiri. Abang atau ayah tak ada hak nak tentukan masa depan Anum!” Tangan Anum cepat-cepat mengambil diari hitam di atas meja lalu dia melangkah laju. Separuh perjalanan, dia memalingkan muka. “Ayah tak pernah sayangkan Anum. Ayah salahkan Anum sebab jadi punca mama mati. Jadi, buat apa Anum nak ikut cakap ayah semata-mata nak tunjukkan rasa sayang Anum pada dia?”

Habis saja ayat tersebut, terus Anum membuka pintu dan menghempasnya kuat. Meninggalkan tetamunya itu keseorangan di dalam bilik. Berselisih dengan mak cik yang baru saja hendak menghantarkan minuman ke dalam biliknya, namun langsung tidak dihiraukan lagak mak cik tersebut yang terpinga-pinga melihat dia menghempas pintu.

Anum terus saja melangkah laju dengan wajah mencuka dan terus masuk ke dalam bilik mesyuarat. Tidak sampai 5 minit, suara bingitnya kedengaran bagaikan petir menyambar seluruh bilik tersebut. Itu tandanya... sudah pasti singa betina akan lepaskan marah dan geram kepada para pekerja yang lain!

No comments:

Post a Comment