DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 17 January 2020

Kau Antara Bintang - Prolog

 

 

 

“ASSALAMUALAIKUM...”

Diam. Tiada terdengar sahutan.

“Assalamualaikum...” Sekali lagi salam diberi. Kali ini dengan suara yang lebih kuat dan nyaring berbanding sebentar tadi. Namun, hasilnya masih juga sama. Tiada sahutan yang kedengaran bagi menyahut panggilan salam itu. Tetap juga sunyi sepi sama seperti tadi.

Walau sudah berkali-kali kata salam diberi, walau berkali-kali pintu rumah diketuk, namun ia tetap tidak mendatangkan apa-apa hasil. Rumah itu masih lagi sepi, sunyi serta diam tidak bernyawa menandakan bahawa ia kosong tidak berpenghuni.

Hello, anybody here...

Diam lagi. Langsung tiada reaksi dari dalam.

Apabila soalannya itu tidak mendapat reaksi daripada penghuni rumah, lantas saja dia menggaru kepala. Berpaling memandang gadis di sebelah yang sedang turut sama meninjau-ninjau di sebalik jendela rumah yang tertutup rapat.

Ad, are you sure this is the house?”

Laju saja kepala diangguk.

Really?”

Sekali lagi dia mengangguk. Tanda pasti dengan anggukan pertama yang diberikan sebentar tadi.

“Habis tu, kenapa macam tak ada orang pun dalam rumah ni? Dah panggil berkali-kali, tak ada siapa yang keluar. Bagi salam pun tak ada siapa yang menyahut. I rasa tak ada orang yang tinggal dekat sinilah!”

Wajah gadis yang kurus tinggi serta putih melepak itu dipandang sekilas. Kepala digelengkan. Tanda tidak bersetuju dengan kata-kata gadis itu. Masakan tiada orang yang tinggal di sini. Dia baru saja ke sini tempoh hari. Makan, melepak, tidur, mandi dan macam-macam aktiviti lagi yang dilakukan di sini. Bersama-sama dengan tuan rumah ini. Jadi, sudah tentunya rumah ini berpenghuni. Mungkin penghuninya sedang tidur. Kerana itu dia tidak mendengar salam yang diberi sebentar tadi. Atau mungkin juga dia keluar. Keluar sebentar ke kedai barangkali?

“Dia keluar pergi kedai kut?” Lantas apa yang terlintas di kepala dilontarkan.

Terdengar keluhan yang keluar daripada mulut gadis tinggi lampai itu.

“Pergi kedai apanya? Takkan hari-hari, setiap kali kita datang, dia ke kedai. Semalam, kelmarin dan hari ini dah masuk empat lima kali kita ke sini, rumah ni tetap kosong. Fikir logik sikitlah Ad, dia bukan pergi kedai, dia memang tak ada dekat sini. Rumah ni kosong, tak ada orang duduk!”

“I cakap ada, maknanya adalah, Mel. Kalau rumah ni tak ada orang duduk, habis tu yang I datang sini dulu tu dengan siapa? Dengan hantu?”

Sekali lagi gadis tinggi lampai itu mengeluh. Kali ini dia pula yang menggeleng-gelengkan kepala.

Mereka saling menjeling antara satu sama lain. Dalam hati masing-masing terlintas rasa tidak puas hati. Kedua-duanya mempunyai pendapat yang berbeza tentang keadaan rumah yang terbiar sunyi itu. Yang seorang mengatakan bahawa rumah tersebut sememangnya kosong, tidak berpenghuni. Manakala yang seorang lagi tetap juga dengan pendirian sebaliknya. Berkali-kali menegaskan bahawa tuan punya rumah itu pastinya akan muncul untuk menjawab segala persoalan.

“Assalamualaikum...” Untuk kesekian kalinya salam diberi. Sambil-sambil itu tangan kembali mengetuk pintu rumah. Berkali-kali sambil mengharapkan agar akan ada sahutan yang menyambut panggilan kali ini. Sesekali dia meninjau di sebalik jendela yang tertutup rapat.

“Aduh, manalah dia pergi ni?”

Dia sedikit mengeluh. Mengesat peluh di dahi sambil mengetap bibir. Segala perasaan bercampur baur dalam hati. Rasa geram, sedih dan marah semuanya menyelinap masuk. Sampai bila dia harus bersabar dan menunggu sehingga orang yang dicari itu muncul? Kesabarannya sudah benar-benar berada pada tahap maksima sekarang ini. Sudah tidak boleh ditahan dan disabarkan lagi. Tak kira macam mana, orang tu harus keluar dan tunjukkan diri. Apa nak jadi pun, jadilah!

Lelaki itu harus muncul. Dia perlu berdiri di hadapannya serta sahabatnya itu. Kerana dengan kehadirannya sahajalah yang akan membuatkan segala apa yang dipertikaikan selama ini terungkai. Segala persoalan yang diajukan selama ini akan terjawab dan segala tanda tanya yang melanda sebelum ini akan berakhir. Ya, lelaki itu perlu sama-sama menjawab segala-galanya dan jangan biarkan dia seorang sahaja yang terkapai-kapai mencari jawapan kepada semua perkara. Wajib!

Dia mahu Melinda tahu bahawa dia tidak berdusta. Dia mahu Melinda melihat sendiri dengan mata kepalanya bahawa dia tidak mereka-reka cerita. Dia sememangnya pernah ke sini. Dia pernah masuk ke dalam rumah ini dan dia mengenali orang yang tinggal di dalam rumah ini. Dia mahu orang itu keluar dan membuktikan bahawa segala kata-katanya itu benar dan asli. Dia tidak pernah menipu dan berkhayal!

Selain daripada hendak membuktikan kepada Melinda, dia juga mahu mencari bukti bagi dirinya sendiri. Dia juga perlukan jawapan yang pasti. Dia juga mahukan kebenaran yang asli. Benar atau tidak, dia mahu tahu segalanya hari ini. Dia sudah tidak mahu menunggu lagi. Dia sudah letih hendak menegakkan sesuatu yang sedikit demi sedikit seakan-akan memakan dirinya sendiri. Dia mahu lelaki itu keluar dan mengesahkan bahawa dia tidak gila. Dia tidak gila apabila menyatakan bahawa orang itu wujud dan hidup!

“Assalamualaikum!”

Waalaikumussalam...”

Nah! Kali ini salam tersebut menerima sahutan. Akhirnya, setelah berhari-hari ke sini, setelah berkali-kali pulang dengan rasa hampa, kali ini kehampaan itu akan berakhir.

Mereka memalingkan wajah. Memandang ke arah kelibat orang yang menyahut salam tersebut. Masing-masing memandang dengan wajah yang penuh mengharap. Mengharap agar kali ini biarlah orang yang berada di hadapan mereka akan menyelesaikan segala masalah yang melanda selama ini. Pada hari ini, segala yang ditunggu-tunggu akan terlerai dan diselesaikan. Akhirnya, orang itu muncul semula. Muncul untuk memastikan bahawa apa yang diperkatakan selama ini adalah benar dan yang lebih penting lagi, muncul untuk membuktikan bahawa dia sememangnya wujud dan bernyawa di bumi ini.

No comments:

Post a Comment