DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Saturday, 18 January 2020

Kau Antara Bintang - Bab 4

JAM sudah melangkah ke angka 11.30 malam. Namun, suasana di dalam pejabat masih lagi riuh dengan bunyi lagu-lagu yang keluar daripada corong komputer serta masih jelas kelihatan lima enam orang pekerja yang sedang tekun di meja sambil asyik menyiapkan kerja masing-masing. Ada yang sedang khusyuk menghadap komputer, ada yang sedang berbincang dan ada juga dua tiga orang yang dari tadi asyik keluar masuk bilik audio dan editing. Mungkin sedang bertungkus lumus menyiapkan kerja-kerja terakhir sebelum dihantar kepada pihak pelanggan.

Begitulah keadaannya hampir setiap malam. Jarang sekali ruang pejabat itu akan ditinggalkan sunyi tanpa penghuni melainkan pada waktu cuti hujung minggu. Setiap malam, ada saja pekerja yang akan pulang lewat dan membuat kerja lebih masa.

Begitu juga dengan Anum. Sepanjang minggu ini tidak pernah sekali pun dia melangkah keluar dari pintu pejabat lebih awal dari jam 1 pagi. Tiap-tiap malam dia akan duduk berkampung di bilik pejabatnya. Paling awal dia pulang ke rumah ialah pukul 3 atau 4 pagi. Memang sibuk! Begitulah juga halnya hari ini. Terlalu sibuk hinggakan tak sempat nak makan. Berjam-jam duduk di bilik mesyuarat. Dan sekarang ini, hampir masuk tengah malam, kerjanya masih banyak tak habis-habis.

“Adi, iklan untuk kementerian tu dah siap ke belum?” Anum yang berada betul-betul di hadapan pintu bilik, bersuara nyaring sebaik sahaja melihat kelibat jejaka awal 20-an yang berada kira-kira 10 meter dari pandangan matanya.

Lelaki yang baru saja melangkah keluar dari bilik air, beralih pandangan menoleh ke arah Anum.

“Belum, ada sikit saja lagi. Dari siang tadi I duk pulun nak siapkan sampaikan nak terkencing pun kena tahan berjam-jam. Ini dah keluar, baru lega...” balas lelaki itu dengan ketawa perlahan sebelum membuka pintu bilik editing dan terus masuk ke dalam bilik tersebut.

Anum melangkah keluar dari biliknya lalu turut mengikut jejak Adi, salah seorang 3D animator di syarikat ini masuk ke dalam bilik editing tersebut. Dia sedikit berasa gusar mendengar jawapan tadi kerana mengikut jadual, mereka harus membentangkan hasil kerja kepada pelanggan berkenaan pada esok hari. Risau sungguh jika mereka tidak dapat mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Di dalam bilik editing, Anum melihat hasil kerja Adi dan juga Fakhrudin, editor studio yang begitu tekun menghadap skrin komputer besar di hadapannya. Jika terdapat perkara atau hal yang dirasakan perlu diubah atau diperbetulkan, dia akan memberi pandangan bagi memastikan hasil yang terbaik untuk pelanggan mereka. Sesekali dia mengangguk-anggukkan kepala apabila melihat beberapa hasil sentuhan pekerjanya yang menarik pada pandangan mata.

“Sempat ke siap? Dah tengah malam dah ni...” Anum menyatakan kegusaran. Hendak menyiapkan kerja-kerja pasca produksi ini kadangkala memakan masa juga. Risau kalau-kalau tak sempat nak membentangkan hasil kerja yang lengkap dan menarik di hadapan pelanggan pada hari esok.

“Kalau terpaksa, sampai pagilah duduk menghadap benda alah ni. Janji benda kena siap! Kalau esok pelanggan puas hati, tak tidur satu malam pun berbaloi,” balas Adi dengan sedikit senyuman terukir di bibirnya.

Anum juga turut tersenyum. Dia sendiri sudah lali sangat dengan perkara itu semua. Kerja lebih masa atau over time memang sudah menjadi makanan mereka. Selagi pelanggan tak puas hati, selagi deadline belum sampai, selagi itulah kena berperang dengan masa dan bersengkang mata untuk menyiapkan kerja.

Mujurlah Danny, bos kesayangan mereka ini bersifat memahami. Awal-awal lagi dia sudah sediakan satu bilik yang digelar heaven room bagi mereka semua berehat jika tak sempat hendak balik rumah. Bilik rehat yang siap direka dengan bilik air untuk mandi, termasuk sofa bed lengkap dengan set karaoke dan permainan video untuk melepaskan tekanan dan mencari idea.

“Jangan risau, Adi. You takkan over night sorang-sorang malam ni. Fakhrudin akan temankan you. Lagipun, ramai dekat luar tu yang kena duduk menghadap komputer sampai pagi. I gerenti!” kata Anum masih lagi diiringi dengan sedikit senyuman untuk menyedapkan hati Adi. Terangguk-angguk Fakhrudin mendengarnya.

“Okeylah. Sambung baliklah kerja. I saja tanya tadi...” tambah Anum sebelum melangkah keluar dari bilik editing dan masuk semula ke dalam biliknya. Baru saja dia hendak menyandarkan badan ke kerusi, terdengar ketukan perlahan di pintu bilik. Tak sampai tiga saat, pintu biliknya terbuka dan kelihatan seorang lelaki India berbadan besar di sebalik pintu.

Siapa lagi kalau bukan susuk tubuh Big? Lelaki paling besar, tetapi juga merupakan lelaki paling berkaliber di dalam syarikat ini. Kedatangannya di bilik Anum bagi bertanyakan sesuatu tentang projek yang baru diperolehnya di Belanda minggu lepas. Mereka berdua bercakap untuk beberapa minit sebelum susuk lelaki itu kembali menghilang di sebalik pintu bilik yang tertutup rapat.

“Huh! Sibuk aje tanya pasal file tu dah e-mel ke belum. Kerja aku, aku tahulah nak buat!” rungut Anum sebaik saja senyumannya kering.

“Apalah yang nak risau sangat? Macam aku ni tak tahu nak buat kerja! Mentang-mentang projek dari syarikat Belanda tu dia yang dapatkan, heboh betul!” rungut Anum tak putus-putus. Rasa menyampah apabila Big atau nama sebenarnya Nadessan a/l Ganasegaran tak putus-putus bertanyakan hal atau soalan yang sama sejak dari petang tadi. Dalam sepuluh soalan yang dia tanya, lebih dari separuh semuanya berkaitan dengan projek dari syarikat Belanda. Rimasnya!

Anum menyandarkan badan ke kerusi empuknya sebentar. Menghela nafas seketika sebelum menyambung semula kerjanya yang masih bertimbun. Sejak dia dinaikkan pangkat menjadi naib pengerusi syarikat, begitu banyak sekali kertas-kertas serta dokumen yang memerlukan tandatangan daripadanya. Begitu banyak sekali fail yang perlu ditelitinya. Penat, jangan cakaplah! Bagaikan ada satu batu besar yang sedang dipikul di bahunya ketika ini. Kalaulah dia tahu begini banyaknya kerja yang harus digalas, baik awal-awal lagi dia serahkan saja jawatan ini kepada orang lain. Tak payah susah-susah macam sekarang.

Kerja lamanya sebagai pereka grafik dulu lagi bagus. Tak payah pening kepala. Sekarang ini semua hal-hal pejabat jatuh ke bahunya. Otak rasa letih dan berserabut nak memikirkan semua hal-hal syarikat. Kenapalah Danny tak pilih saja Big untuk jawatan ini?

Antara dia dan lelaki India itu, rasa-rasanya ramai yang lebih suka dan gembira jika bukan dia yang dipilih menjadi naib pengerusi syarikat. Dia tahu, pasti ramai yang mengatakan bahawa Big jauh lebih layak berbanding dirinya. Sama ada dari segi kelayakan akademik, umur mahupun pengalaman kerja.

Big mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. Menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari universiti luar negara. Walaupun Big baru bekerja di sini selama 3 tahun, tetapi sebelum ini dia sudah 15 tahun menimba pengalaman bekerja di beberapa buah syarikat lain. Kelayakan akademik bagus, pengalaman bekerja pun banyak. Usianya juga masih terlalu muda jika dibandingkan dengan Big yang sudah lama makan garam. Jadi, sudah tentu Big lebih sesuai dan layak untuk dijadikan orang kanan Danny.

Sedangkan dia? Hanya ada segulung diploma dari kolej tempatan dan tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja di tempat lain. Habis saja belajar, terus Danny tawarkan pekerjaan di sini. Tak sempat nak cari pengalaman di tempat lain dahulu. Dan sekarang, sudah 7 tahun dia menabur bakti di syarikat ini. Jadi, kalau dilihat daripada segala aspek tersebut, sudah tentulah Big lagi layak untuk menjadi orang kedua tertinggi di syarikat ini, kan? Bukannya Anum Danisha yang sering kali digelar singa betina oleh semua orang. Kenapa Danny menaikkan pangkatnya dan bukan lelaki itu?

Terus saja ingatan Anum melayang pada perbualan antara dia dengan Danny tempoh hari. Kata Danny, dia menyerahkan tanggungjawab yang besar ini kepada Anum kerana percaya bahawa Anum adalah orang yang paling layak dan juga orang yang akan sentiasa berada di sisinya tidak kira walau apa pun yang akan berlaku kepada syarikat ini. Bukannya Danny tidak percayakan Big, tetapi kepercayaan itu tidak sama seperti dia mempercayai Anum. Anum bukan setakat pekerja, tetapi merupakan orang yang bertanggungjawab mewujudnya syarikat ini. Jika bukan Anum yang memberikan idea dahulu, sudah pasti Danny takkan terfikir hendak membuka sebuah syarikat pengiklanan.

Bila Anum menyatakan bahawa bukan dia seorang yang memberi idea, malah Melinda juga bertanggungjawab, jadi mengapa bukan Melinda yang dipilih? Dengan mudah Danny beri alasan bahawa jika melibatkan soal kerja, Anum Danisha itu lebih komited, lebih bersungguh-sungguh berbanding Melinda. Tapi, yang paling tak boleh tahan apabila Danny memberitahu sebab paling utama kenaikan pangkat ini adalah kerana mahu mengambil hati Anum. Manalah tahu kut-kut lepas naik pangkat nanti hati Anum akan terbuka untuk menerima cinta Danny. Uweekk! Selamba saja si Danny tu luahkan perasaan depan Anum.

Anum tergelak sendiri mengenangkan kata-kata itu. Sambil menyandarkan badan, dia mula berangankan wajah dan perangai Danny. Lelaki yang merupakan ketua merangkap sahabat baiknya sendiri. Dari dulu sampailah sekarang, perangai Danny memang selamba dan tak tahu malu. Terutama sekali kalau bab nak mengurat awek. Biar awek tu tak layan, tak pandang dan biar awek tu buat bodoh, dia tetap juga terhegeh-hegeh nak mengurat. Teringat pula zaman romeo Danny masa belajar dulu-dulu.

Danny, lelaki yang nak kata putih, tak putih sangat. Nak kata hitam, pun tak hitam sangat. Merupakan senior Anum dari zaman sekolah menengah lagi. Danny seorang pelajar yang boleh dikategorikan sebagai pelajar yang popular di sekolah. Terkenal kerana wajahnya, terkenal kerana keramahannya dan juga terkenal kerana kedudukan keluarganya yang agak berada. Berbanding dengan Anum yang langsung berbeza. Jangan kata terkenal, silap-silap orang tak tahu pun kewujudannya di sekolah itu. Tidak suka bergaul dan pendiam. Sifat Anum dan Danny, macam langit dengan bumi.

Sebenarnya masa di alam persekolahan dulu, mereka tak pernah berkawan. Berbual pun tak pernah. Bertembung sekali-sekala ketika ada perjumpaan rumah sukan ataupun mesyuarat persatuan. Taraf mereka sangat berbeza. Danny tu pengawas, ketua rumah hijau dan pengerusi pengakap. Dia pula ahli biasa yang hanya layak mengangkat tangan waktu nak mengundi calon yang bertanding saja. Mana boleh nak bergaul sangat. Tambah-tambah lagi dengan perangai Anum yang memang tak suka nak berkawan dengan orang, jadi kebanyakan masa mereka bertembung dahulu lebih kepada sesi angguk-angguk kepala dan berbalas senyuman saja. Itu pun Danny yang rajin nak sedekahkan senyuman bagai.

Bila Anum masuk tingkatan tiga, kelibat Danny langsung tidak dilihat lagi kerana dia sudah melanjutkan pelajaran di IPT. Dah habis SPM, takkan nak duduk dekat sekolah menengah lagi, kan? Pergilah sambung belajar tempat lain pulak.

Nak dijadikan cerita, waktu Anum mula-mula menjejakkan kaki di kolej, semasa hari pendaftaran, wajah Dannylah wajah pertama orang yang dia kenali di situ. Tak sangka pula dia akan melanjutkan pelajaran di kolej yang sama dengan lelaki itu. Berkerut-kerut juga Anum hendak mengecam lelaki itu kerana wajah Danny sudah agak berbeza. Nampak lain dari 2 tahun sudah sewaktu di bangku sekolah. Yang tetap sama hanyalah kekacakannya.

Nampak sahaja kelibatnya di ruang legar kolej, terus saja Danny datang menegur dan bertanya sama ada dia mengenalinya kerana mereka dahulu bersekolah di tempat yang sama. Danny menegur siap dengan memanggil nama penuhnya sekali. Lalu, dari situ bermulalah lembaran baru episod persahabatan mereka. Lebih-lebih lagi sewaktu di kolej mereka mengambil jurusan yang sama. Jadi bila dah ambil jurusan yang sama ni, selalu juga mereka duduk semeja sambil-sambil berbual tentang tugasan masing-masing.

Danny memang sentiasa setia dan tidak lokek hendak menerangkan segala kemusykilannya. Begitu juga sebaliknya. Kalau-kalau Danny tak sempat nak siapkan tugasan tepat pada masa, dengan senang hati Anum akan membantu menyiapkannya. Danny tolong buatkan assignment Anum, Anum pula tolong jadi toyol Danny saat Danny memerlukan. Semakin hari semakin rapat hubungan mereka. Tapi, rapat sebagai kawan sajalah. Tak lebih daripada itu, sebabnya masa zaman kolej adalah merupakan zaman kegemilangan Danny bertukar-tukar perempuan.

Kadang-kadang, Anum pula yang jadi posmen tolong sampaikan salam Danny pada mana-mana gadis yang dia minat. Dan pernah juga Anum dipaksa menyamar jadi tunang ta ya pa wau Danny sebagai alasan untuk Danny meminta putus daripada kekasihnya itu. Bila nak minta putus, mesti Anum kena menyamar jadi tunang. Asal dia dah bosan, Anum juga yang kena berlakon jadi makwe dia. Itu adalah sebahagian assignment yang ditugaskan oleh Danny kepada Anum.

Sebab itulah Danny digelar Specky Romeo. Biar berkaca mata, tapi tetap mampu mencairkan hati awek-awek dengan panahan matanya yang coklat cair itu. Cuma yang peliknya, masa zaman belajar bukan main romeo si Danny ni, tapi bila dah habis belajar dan masuk ke alam pekerjaan, terus pula berubah perangai. Tak pernah pula ada teman wanita. Jangan kata nak mengurat perempuan, nak senyum miang macam selalu pun dah tak ada. Perempuan-perempuan seksi yang sibuk menginding pun dia tak layan.

Anum senyum sendiri lagi. Seronok pula apabila teringat kisah-kisah Danny dulu. Macam-macam karenah. Namun, segala lamunan tentang kisah tersebut terganggu pula dengan bunyi telefon bimbit yang agak bingit. Mahu tidak mahu, dijawabnya juga panggilan itu.

Yes, girlfriend?” Terus saja Anum menyoal begitu setelah melihat nama Melinda Khoo yang membuat panggilan.

Babe, jom pergi supper?” Suara Melinda sedikit kuat.

“I tengah sibuk ni. Lain kalilah.” Anum menolak pelawaan Melinda.

“Alah... jomlah, babe. Kalau you sibuk pun takkan sampai tak boleh temankan I makan. Jomlah... I sanggup tunggu.”

Melinda, seperti kebiasaannya memang takkan mudah untuk menerima bulat-bulat kata-kata Anum. Pasti akan ada pujukan dan rayuan daripadanya.

“Rugi Ad kalau you tak datang. Ada orang istimewa tengah tunggu you dekat sini.” Melinda ketawa kecil.

“Yalah tu!” Anum tidak percaya kata-kata Melinda itu. Itu semua kata-kata tipu daya dan ayat-ayat memujuk untuk dia segera tergoda.

Sekali lagi Melinda ketawa.

“Cepatlah. You nak datang ke tak? I tunggu...”

“Sejam. You sanggup tunggu?” Anum menduga.

No sweat!”

Okay, then... You tunggu sampai I habis kerja, nanti I jumpa you dekat sana. You dekat mana ni?”

Terdengar Melinda ketawa dan terus saja maklumat lokasi diberitahu. Anum meletakkan telefon. Dengan tidak membuang masa dia meneruskan agenda kerjanya yang terbengkalai. Cepat siap, cepatlah dia boleh pergi berjumpa dengan Melinda. Dengar macam meriah saja tempat Melinda berada sekarang.

No comments:

Post a Comment