“DIA dah sedar, Lah.”
Ali bangkit daripada kerusi rotan yang menampung tubuh. Kaki dibawa melangkah ke arah pintu bilik yang terbuka.
“Ambilkan mak air putih segelas bawa sini.”
Tanpa sebarang suara, Ali mengatur kaki ke ruang dapur. Sebiji gelas dicapai dan air kosong di dalam peti ais dituang ke dalam gelas sehingga hampir penuh.
Selesai menuang, botol disimpan kembali di tempat asal sebelum melangkah semula ke arah bilik yang terletak di ruang tengah rumah.
“Nah, mak.” Mata lelakinya mengerling figura yang sedang duduk bersandar di kepala katil. Tampak sedikit pucat.
‘Takkan tak puas-puas lagi berehat kut?’ Sempat hatinya merungut.
“Segelas je?” Mak Cik Siha mengerutkan dahi.
“Dah mak suruh bawa segelas, mana Lah tahu.”
Mak Cik Siha menjeling sekilas si teruna. Dah besar panjang, tapi lurus kalah bendul tiang! Bendul tiang rumah pun rasanya tak selurus itu.
“Saya kat mana ni?”
Perhatian Mak Cik Siha beralih ke arah suara halus yang menyapa telinga. Gadis kecil molek yang sudah beberapa hari berada di rumahnya, yang tidak diketahui identiti dan dari mana asal usulnya.
“Anak sekarang ada di rumah mak cik,” jelas Mak Cik Siha lembut. Bibirnya turut mengukir senyuman untuk gadis itu.
“Err... mak cik ni siapa? Kenapa saya boleh ada kat sini?”
Mak Cik Siha melihat mata gadis itu melilau memandang sekeliling. Ada riak risau dan keliru yang terbias pada wajah putih mulus itu. Perlahan-lahan, tangannya menyentuh tangan sang gadis sebelum menghulurkan gelas di tangannya.
“Minum dulu. Mesti tekak tu dah kering.” Tanpa sebarang suara, pelawaan Mak Cik Siha diterima. Dalam beberapa detik, gelas yang tadinya penuh berisi air kini menjadi kosong.
“Nak lagi?” Hati Mak Cik Siha merasa belas. Daripada cara gadis itu minum, dia tahu gadis itu kehausan.
“Tak apa mak cik, cukup dah. Terima kasih.”
Mak Cik Siha tersenyum lagi. Senang hati dengan cara gadis itu bercakap. Masih ada adab dan sopannya.
“Mak cik, tadi mak cik cakap ni rumah mak cik. Tapi... saya betul-betul tak cam tempat ni.”
“Anak lemas di laut. Anak mak...” Tangan Mak Cik Siha membelai rambut gadis di hadapannya.
“Ada nelayan terjumpa kau kat tengah laut.”
Tak perlu Mak Cik Siha toleh, dia tahu gerangan suara garau yang mencelah. Kalau sudah nada kaku kejung begitu siapa lagi?
“Dah sihat, kan? Nanti esok aku hantar kau balik.”
“Lah...” Mak Cik Siha menjegilkan mata kepada si teruna sebelum kembali memandang insan di atas katil.
“Nama anak siapa?”
Hening.
Sabar Mak Cik Siha menantikan jawapan tetapi hampa. Dia melihat bibir gadis itu bergerak-gerak seperti mahu menuturkan sesuatu namun tiada sebarang perkataan yang keluar.
“Nak?”
Gadis di atas katil melontar pandang dengan mata yang terkebil-kebil. Sedari tadi dia mahu membuka mulut untuk menjawab tetapi tersangkut. Fikirannya jadi buntu secara tiba-tiba. Dia tidak dapat berfikir apa-apa tentang namanya. Dia cuba untuk mengingati, namun segala memorinya seakan hilang.
“Saya... saya tak ingat nama saya siapa. Saya beritahu sekejap lagi boleh?”
Riak Mak Cik Siha berubah. Takkanlah...
Sedikit risau, Mak Cik Siha berpaling ke belakang.
“Lah, mak rasa kita kena panggil dok...”
“Kejap, mak.” Ali menahan Mak Cik Siha daripada terus bersuara seraya mara dua tapak mendekati katil. Wajah sang gadis direnung tajam.
“Rumah kau kat mana? Kau nak ke mana sebenarnya? Datang dengan siapa? Macam mana kau boleh ada kat tengah-tengah laut tu?”
“KAKAK...”
Dia menoleh. Mak Cik Siha. Wanita yang telah berbuat ihsan kepadanya sejak dia sedarkan diri. Lebih tepat lagi, sejak dia dibawa ke rumah tersebut. Panggilan ‘kakak’ itu juga Mak Cik Siha yang beri selepas dia gagal mengingati nama sendiri.
“Duduklah, mak cik.” Dia beranjak sedikit memberi ruang kepada Mak Cik Siha melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Buat apa kat sini sorang-sorang?”
“Tak ada apa. Saja ambil angin petang.”
Benar, dia tidak menipu. Rumah berhampiran pantai dengan anjung yang menghadap ke laut, petang-petang begini sangat nikmat menghirup udara segar. Damai dan menenangkan.
“Masih fikirkan tentang asal usul kakak ke?”
Dia senyum tawar. Menipulah kalau dia kata tidak. Berhari-hari dia cuba mencari jawapan, namun gagal. Yang dia dapat hanyalah sakit kepala yang mencengkam setiap kali dia berusaha untuk mengingat.
“Semua ini dugaan, kakak. Insya-Allah ada hikmahnya.”
“Entahlah, mak cik. Buntu saya jadinya.” Dia meluah jujur.
“Mungkin sekarang ni kita belum nampak. Akan datang, mesti ada jawapannya.”
“Andai kata jawapannya tak muncul-muncul?”
“Kakak, setiap persoalan yang Allah hantar, Dia dah sediakan jawapannya. Yang penting, kita percaya pada Dia dan tidak sesekali berputus asa.”
“Tapi saya dah tak tahu nak buat macam mana lagi untuk recall ingatan saya ni. Otak saya kat atas ni mak cik, saya rasa makin lama makin banyak tanda soal yang bersarang. Kalau lebah yang bersarang tak apa juga boleh hasilkan madu. Ini sarang tanda soal yang cuma memberatkan otak saya yang tak berapa nak pandai ni.”
Mak Cik Siha ketawa.
“Ni dah makan ubat belum? Bising Lah nanti.”
Dia sengih. Lah, lelaki muda merangkap anak Mak Cik Siha. Si dingin yang beraku-kau dengannya.
“Mak cik, Lah tu memang macam tu ke?” Terdetik dalam fikirannya untuk bertanya.
“Macam tu apa?”
“Spesies tak mesra alam.”
Mak Cik Siha ketawa lagi.
“Tak. Lah tak macam tu.”
“Tapi saya tengok dia tu macam garang je. Dingin pun ya. Kadang-kadang macam tak berperasaan pun ada.”
Mak Cik Siha tersenyum. Bahu si gadis dipaut mesra.
“Lah tu anak tunggal, kakak. Selama ni dia buat hal sendiri je, tak ada adik-beradik. Jadi dia tak reti sangat nak bercampur gaul dan beramah mesra dengan orang yang dia tak kenal. Lebih-lebih lagi kalau orang tu perempuan.”
Digaru kepala yang tak gatal.
“Saya bukan apa, mak cik. Cuma saya rasa canggung bila duduk serumah, tapi macam orang asing. Bukanlah nak beramah mesra mana pun. Tapi maksud saya... setakat cakap-cakap biasa pun dah okey. Ini kita lalu sebelah pun dia buat derk je, macam kita ni halimunan. Bagi salam pun tidak.”
“Apa kata lepas ni kakak yang cuba bagi salam dulu?”
“Hah?”
Mak Cik Siha mengangguk.
“Cubalah dulu. Mana tahu, selama ni dia senyap sebab dia segan dengan kakak?”
“Kut dia nak respons. Kalau dia tak respons macam mana? Tak, kalau dia tak respons okey lagi. Buatnya dia naik hantu?” Wajah Mak Cik Siha dipandang sedikit ragu.
“Lah tu makan nasi, kakak. Dia tak makan orang.”
“Memanglah dia makan nasi, mak cik. Tapi kalau dia sembur, mau leleh juga air mata ni sebaldi dua.”
Mak Cik Siha ketawa. Ada-ada sahaja akal si kecil molek yang baru dikenalinya ini.
“Mak cik, saya tanya sikit boleh?”
“Tanyalah,” balas Mak Cik Siha bersahaja.
“Nama penuh Lah tu apa ya? Takkan Lah semata?”
“Nanti lepas kakak bagi salam tu, kakak tanyalah dia sendiri.”
“Hadoi... tu kalau dia jawab salam sayalah ya, mak cik? Kalau dia tak jawab, alamatnya memang saya lari dululah sebelum kena fire.”
Tawa Mak Cik Siha kembali pecah.
“Mak cik, saya ada lagi satu soalan kecil.”
“Apa dia, sayang?”
“Ubat yang saya kena makan hari-hari tu ubat apa ya? Bukan ubat untuk rawat penyakit gila, kan?”
“Itu pil vitaminlah!” Tawa Mak Cik Siha menjadi semakin besar.
No comments:
Post a Comment