DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 14 January 2020

Akhir Sebuah Cinta - Bab 6

“ALI, dalam skala 1 hingga 9, 1 paling rendah, 9 paling tinggi. Berapa skala kau menyampah kat aku?”

“9.”

Hmm... okey! Tahap ting tong aku pula?”

“9.”

“Tahap kesengalan aku?”

“9!”

“Tahap kegedikan aku?”

“9!”

“Tahap kedegilan aku?”

“9!”

“Tahap kebengongan aku?”

“9!”

“Tahap kecomelan aku?”

 “9!”

“Wah... kau cakap aku comel, Ali? Aku rasa macam nak frame suara kau lepas tu gantung kat dinding!”

“Senget.”

“Senget-senget aku pun kau ambil berat pasal aku, kan?” duga Peah.

Nonsense.”

“Kalau kau tak ambil berat pasal aku, mesti dah lama kau hantar aku balik, Ali. Ni dah 2 bulan kau masih biarkan aku menghadap muka kau, peningkan kepala kau.”

“Peah...”

“Hantar aku balik, Ali. Biarkan aku balik ke tempat asal aku,” ujar Peah.

“Aku jumpa kau kat tengah laut. Kau sendiri pun tak ingat tempat asal kau. Jangan kata alamat, nama kau sendiri pun kau tak ingat, kan?”

“Aku...”

“Ke kau nak aku tinggalkan kau kat tengah-tengah laut tu semula?”

“Tak nak,” jawab Peah pantas.

“Jadi jangan ungkit lagi hal ni.”

Sunyi. Sepi.

“Ali... mak kau cantik, kan?”

“Mestilah, mak aku kut.”

“Tapi bapak kau mesti tak handsome.”

Apasal pula?”

“Sebab kau tak handsome. Kalau kau tak ikut gen mak kau, mesti kau ikut ayah kau. Kan? Kan? Kan?”

“Peah!!!”

 

 “PEAH MANA, mak?”

“Katanya tadi nak pergi berjalan-jalan kat pantai.”

“Lewat petang dah ni. Cuaca pun macam nak hujan.”

“Kejap lagi baliklah tu.”

Ali mundar-mandir di beranda. Resah.

Seminit...

5 minit...

10 minit...

Detik yang bergerak dihitung tanpa leka. Tiba-tiba terasa tempias air menyentuh mukanya yang berdiri di tepi anjung. Langit mahu memuntahkan hujan.

Ali tengok jam di dinding. Tepat pukul 7 petang. Bingkas dia bangkit.

“Mak, Lah pergi pantai kejap. Nak tengok mana Peah merayau sampai tak ingat nak balik. Nak kena dia ni!”

Mak Cik Siha hanya membiarkan. Bukan dia tidak tahu hati anak muda itu. Nampak macam hendak marahkan si gadis, namun dia tahu sekeping hati itu sedang merisaukan si gadis sebenarnya.

“Lah bawa payung mak ni sekali. Pinjam.”

Kan dah kata!

Sejak bilakah anak tunggalnya itu suka pakai payung? Anak lelaki mesti kuat. Hujan itu sekadar air. Itu pegangan si bujang selama ini. Jadi kenapa payung itu dibawa?

Mak Cik Siha mengukir senyum.

 

PEAH KESAT muka yang terkena titisan air. Alahai, langit sudah mula gerimis. Kena cepat ni, sebelum dia kuyup ditimpa hujan.

“Hai!”

Kaki spontan membrek. Tiga lelaki menghampirinya sambil tersengih-sengih.

“Hai, cik adik. Nak ke mana?”

“Balik.”

“Balik rumah siapa tu?”

Peah buat tak peduli. Membawa tubuh ke tepi dan terus berjalan.

“Rumah Ali, kan?”

Langkahnya terhalang.

“Ya.”

“Tak payahlah balik sana, Ali tu garang. Jom balik rumah kami.”

“Maaf, saya tak nak.” Peah kembali melajukan langkah.

“Hei, janganlah lari!”

Tubuh Peah sudah terkepung dengan ketiga-tiga mereka.

“Janganlah balik dulu. Jom kita kenal-kenal, lepak-lepak. Kami dah lama teringin nak berkenalan dengan cik adik yang cantik manis ni.”

Peah menggeleng.

“Maaf, saya tak nak.”

“Kau takde pilihan.”

Kali ini salah seorang daripada mereka sudah menyentuh tangannya. Menarik dia semakin rapat. Dan saat Peah bergelut mahu melepaskan diri...

Buk!

“Dia ada pilihan.”

Ali! Gegas Peah bersembunyi di belakang tubuh Ali.

“Kau orang dah tak ada kerja lain ke?” Suara Ali dingin.

“Relakslah. Bukan buat lebih-lebih pun. Usik sikit je pun.”

Ali kepal genggam.

“Haah. Yang kau nak marah-marah kenapa? Bukan bini kau pun!”

Ali mara ke depan, tapi Peah menahan.

“Tak usah layanlah, Ali. Jom kita balik.” Melihat Ali berpusing, Peah angguk dan senyum. Namun baru beberapa langkah, salah seorang daripada tiga lelaki terbabit bersuara.

“Pura-pura baik, konon. Tak ada kucing yang tolak ikanlah! Kalau rasa pun bukan rugi apa. Bukan minah ni ingat pun asal usul dia. Paling-paling dia nangis, lepas tu senyap. Tak adanya dia nak saman naik mahkamah bagai!”

Tahu-tahu sahaja Ali dan tiga lelaki tersebut sudah bertumbukan. Puas Peah menjerit mahu meleraikan, namun sedikit pun tidak diendahkan. Pandang sekeliling, tidak nampak sesiapa untuk dia meminta pertolongan. Allah, apakah yang patut dia buat sekarang ini?

“Bang, sakit bang!”

Ketiga-tiga pemuda tersebut sudah mula menjerit kesakitan. Namun begitu, Ali masih gagah memukul, langsung tidak memperlahankan tingkahnya. Semakin lunyai pemuda-pemuda tersebut dikerjakan oleh Ali.

“Ali, tak naklah gaduh.”

“Kau tepi, Peah!”

“Ali...” Peah cuba mencelah sekali lagi.

“Aku cakap tepi!”

“Bang, ampun bang! Kami minta maaf, kami janji tak buat lagi. Kakak, kami minta maaf!”

Buk!!!

Satu tumbukan paling keras dilepaskan Ali sebelum Peah ditarik pergi.

 

“KAU NI Ali, tak perlulah nak bertumbuk sampai macam tu sekali,” omel Peah perlahan. Kapas yang dituang cecair antiseptik ditekap ke kawasan yang luka.

“Tahanlah sikit,” bebelnya tatkala Ali mendesis sakit.

“Kau tahu tak pedih?”

“Kata anak jantan, takkan sakit kut? Tadi masa belasah, tak rasa sakit pula?” Ditonyoh sedikit kuat kesan lebam di tepi bibir Ali.

“Weh, sakitlah mak cik! Kau nak bunuh aku ke apa ni?”

Peah buat tak layan. Peralatan first aid kit kembali disusun ke dalam bekas.

“Ingat pesan aku, jangan cakap dengan mak aku pasal aku bertumbuk dengan budak-budak tu,” Ali memberi amaran.

“Mak Cik Siha tu tak butalah. Aku tak cakap pun, bila dia tengok muka kau macam ni, confirm dia boleh agak.”

“Nanti pandailah aku bagi alasan.”

“Apa? Nak cakap kau terjatuh?” tebak Peah geram.

“Kau ingat Mak Cik Siha tu budak kecil yang percaya je bulat-bulat apa orang cakap?”

“Yang kau membebel macam mak nenek ni kenapa?” Suara Ali tinggi naik satu level.

“Sebab aku geram! Yang kau pergi belasah budak-budak tu sampai separuh mati kenapa? Buatnya diaorang tu buat laporan polis macam mana?”

“Takkan punya. Kau ingat diaorang tu berani ke? Berlagak je lebih masing-masing.”

“Mungkin diaorang tak berani, tapi diaorang ada mak ayah, kan? Ada keluarga. Buatnya keluarga diaorang bawa kes ni ke tengah, macam mana? Kau mungkin tak kisah, tapi kau ada fikir tak perasaan Mak Cik Siha kalau hal ni jadi kes polis?” bebel Peah.

“Cuba kawal sikit perasaan kau tu. Aku pun marah sebab diaorang kacau aku. Tapi tu tak bermaksud kita boleh buat sesuka hati dengan alasan mahu menghukum. Kena juga fikir orang keliling, bukan bertindak terburu-buru melepas rasa. Kalau apa-apa jadi kat kau, kau ingat Mak Cik Siha tak sedih?” sambungnya lagi.

Ali terkelu. Untuk pertama kalinya dia melihat sisi diri Peah yang serius.

“Dengar tak aku cakap ni? Jadi bisu pula dah...”

Perasaan kagum yang baru bertandang terus hilang. Wajah si gadis dipandang sebal.

“Aku belum pekak lagi.”

“Baguslah. Ambil ni.” Tuala yang berisi ais diserahkan kepada lelaki itu.

“Tuam sendiri buku lima kau yang dah merah tu. Aku nak masuk dalam tengok mak cik.” Tanpa menunggu balasan kata daripada Ali, Peah bangun daripada pangkin dan melangkah masuk.

“Peah!” seru Ali tatkala gadis itu memijak anak tangga rumah.

“Apa?”

“Terima kasih, tolong bersihkan luka aku.”

“Aku yang patut berterima kasih pada kau sebab datang tepat pada waktunya.”

No comments:

Post a Comment