“BERTUAHNYA dia dapat menantu baik macam Khalil...”
Walaupun berjarak beberapa meter, namun kata-kata ayah tetap begitu jelas dan terang kedengaran di gegendang telinga Anum.
“Kalau ada rezeki, mungkin tahun depan si Bahar tu dapat naik haji. Khalil dah letak nama dia dengan Mariam dekat Tabung Haji. Mana-mana duit yang tak cukup, Khalil akan tambah. Bertuah tak bertuah Bahar dengan Mariam dapat menantu macam Khalil tu.”
“Ya?” Membulat biji mata ayah mendengar bicara sahabatnya, Pak Cik Omar yang sedang bercerita tentang seorang lagi sahabat mereka.
“Memang beruntung betul Bahar tu. Kalau pergi mana-mana, Khalil tak pernah lupakan dia. Kalau tak dibawa sekali, mesti berduyun-duyun buah tangan dia bawa balik. Kalaulah Mida tu anak aku, memang sejuk hati aku tengok dia dapat suami bertanggungjawab macam Khalil.”
Ayah diam. Dia senyum sedikit kepada sahabatnya itu lalu pandangan menyusul ke arah Anum yang sedang duduk tidak jauh daripada mereka. Duduk bersimpuh sambil sedaya upaya menghabiskan sisa-sisa nasi di dalam pinggan.
“Zaman sekarang ni Daud, bukan senang nak cari orang muda yang macam Khalil tu. Kerja bagus, budi pekerti baik, bersopan santun dan yang paling aku suka, pandai ambil hati orang tua. Hesy, nasib baiklah tiga orang anak aku tu semuanya budak bujang. Kalau aku ada anak dara, dah lama aku berebutkan Khalil dengan Bahar.” Pak Cik Omar ketawa. Geli hati dengan kata-katanya sendiri.
Ayah juga turut ketawa. Terangguk-angguk bagaikan bersetuju dengan setiap baris bicara lelaki yang lebih kurang sebaya dengannya itu. Sahabat ayah yang tidak berapa dikenali oleh Anum. Mungkin Pak Cik Omar pernah beberapa kali datang bertandang di rumah mereka ini, tetapi Anum tak pernah ambil kisah. Sebab itulah dia tidak berapa nak ingat dan cam muka Pak Cik Omar. Bukan Pak Cik Omar saja, malah kawan-kawan ayah yang lain pun begitu juga.
“Aku ni pun, Mar... kalau boleh memang nak sangat dapat menantu macam menantu si Bahar tu. Tapi apa nak buat, bercakap dengan anak dara zaman sekarang ni, tak sama macam bercakap dengan anak dara zaman kita dulu-dulu. Sekarang, sepatah yang orang tua cakap, sepuluh patah anak dara kita menjawab. Sepuluh yang kita kata, satu pun belum tentu dia nak terima. Degil! Memang betullah orang kata, kadang-kadang nak jaga berpuluh ekor lembu tu lebih senang daripada jaga anak dara sorang. Memang tak dengar kata!”
Anum bingkas bangkit. Walaupun nasi masih banyak lagi bersisa, namun dia sudah tidak punya hati untuk menghabiskannya. Kata-kata ayah benar-benar membuatkan selera makannya mati. Sudahlah masih ada ramai lagi tetamu yang ada di sini, tetapi ayah langsung tidak tahu hendak menjaga air mukanya. Terang lagi jelas kata-kata itu ditujukan kepadanya. Siapa lagi anak dara yang ayah ada melainkan dia? Anum Danisha seorang sajalah anak dara tunggal ayah.
Ada ke patut ayah bandingkan dia dengan lembu? Kalau betullah menjaga lembu itu lebih senang daripada menjaganya, kenapa ayah tak bela saja lembu dekat rumah? Daripada bersusah payah membela dan membesarkan dia, baiklah ayah menjaga lembu. Tentunya lebih berfaedah, kan? Untung-untung boleh dikorbankan dan buat lauk kenduri. Bila dah beranak-pinak, boleh dijual dan dapat duit. Tentu lebih beruntung dan lumayan daripada membela anak dara yang degil dan mendengar kata ini!
Anum berjalan laju masuk ke dapur. Mencuci pinggan lalu terus berlari naik ke tingkat atas. Tetamu-tetamu yang masih lagi menjamu selera dibiarkan langsung tidak bertegur. Sikit pun dia tidak membantu mengemas apa yang patut. Membiarkan saja Fazliana menguruskan segalanya.
‘Kan aku dah kata jangan balik ke rumah ni lagi! Kenapa nak balik jugak? Kan dah kena! Kan dah sakit hati!’
Tapi kalau tak balik, apa pula kata orang, jiran-jiran dan saudara-mara? Mesti semua orang akan tertanya-tanya jika dia tidak ada. Dan yang paling utama, apa kata Abang Iqram? Berhari-hari Abang Iqram memujuk supaya dia balik. Tidak mahu kenduri ini berlangsung tanpa kehadirannya. Lagipun, kenduri ini memang khas untuk mama. Bukankah mama itu manusia yang paling dia sayangi dalam dunia ini? Demi mama, dia gagahkan juga balik ke sini, dan akhirnya dia sakit hati dengan ayah untuk kesekian kalinya.
Anum masuk ke dalam bilik mengurungkan diri. Duduk memerhatikan kamar tidurnya yang telah lama ditinggalkan. Walaupun sudah bertahun-tahun kamar tersebut tidak lagi didiaminya, namun ia masih lagi kelihatan kemas dan bersih. Tidak berhabuk sedikit pun. Ini kerana Fazliana sering masuk ke sini dan mengemas apa yang patut. Rajin sungguh kakak iparnya buat semua itu. Nak buat apa kemas? Bukannya dia nak datang dan tidur di sini pun. Kain bajunya yang ada dalam almari juga sudah habis diangkut keluar semuanya dengan niat memang tidak mahu balik dan bermalam di sini lagi.
Lama Anum berada di dalam bilik tersebut sambil berbaring dan berangan di atas katil sebelum kelibat ayah muncul membuka pintu bilik.
“Kenapa duduk dalam bilik ni sorang-sorang? Tak reti nak keluar bertegur sapa dengan saudara-mara?” soal ayah dengan wajah yang masam mencuka sebaik saja pintu bilik terbuka luas.
Anum terus saja bangkit daripada perbaringan. Berdiri di sebelah katil sambil membetulkan baju kurungnya. Kemudian, dia terus bergerak perlahan menghampiri ayah di muka pintu dengan niat hendak keluar dari bilik.
“Nak pergi mana?”
“Jumpa saudara-mara,” jawab Anum pendek.
“Tak payah! Tak ada sesiapa dekat bawah tu dah. Semua dah balik, baru sibuk nak turun. Dari tadi menyombong duduk dalam bilik aje. Sekarang baru terhegeh-hegeh!”
Anum diam tidak membalas. Hanya menundukkan wajah dan bermain-main dengan hujung selendang yang kemas berlilit di bahu.
Ayah melangkah masuk. Menutup daun pintu dengan rapat. Berjalan beberapa tapak lalu duduk di kerusi belajar, menghadap Anum yang masih lagi tegak membatukan diri.
“Hujung minggu ni jangan pergi mana-mana. Ayah nak Anum balik sini.”
Anum diam. Berkira-kira dalam hati. Hujung minggu? Rasa-rasanya hujung minggu ini dia sudah mengatur agenda dengan Melinda. Dia sudah berjanji hendaK temankan sahabatnya itu pergi membeli-belah.
“Hujung minggu ni Anum tak bolehlah ayah, Anum ada kerja.”
Ayah menghela nafas sinis.
“Kalau tak boleh hujung minggu ni, balik minggu depan. Ayah ada hal sikit.”
“Minggu depan pun tak pastilah ayah. Sejak naik pangkat ni, kerja makin berlambak-lambak dekat ofis tu.”
Ayah sedikit mengeluh.
“Kalau macam tu, minggu lagi satu. Ayah...”
“Anum rasa tak boleh nak janjilah, ayah. Takut nanti minggu lagi satu pun Anum kena kerja. Sekarang ni memang tengah betul-betul sibuk.” Belum sempat ayah menghabiskan ayat, terus saja Anum mencelah membuatkan wajah ayah terus saja berubah kemerah-merahan. Mungkin sudah mula berasa geram atau marah apabila Anum tidak menunggu dia habis bercakap atau mungkin juga kerana tidak berpuas hati dengan jawapan Anum sebentar tadi.
“Minggu ni tak boleh, minggu depan tak boleh... habis tu, bila yang boleh? Nak tunggu sampai hari aku mati, baru kau boleh nak balik sini dan dengar cakap aku?” Suara ayah sudah mula naik setakuk, menandakan bahawa dia sudah mula hendak naik angin. Ayah memang jenis garang sedikit orangnya. Sikit? Dengan orang lain mungkinlah, tapi kalau dengan Anum, bukan sikit, tapi garang dah sama taraf macam Hitler!
“Ayah dah teka, mesti Anum akan bagi macam-macam alasan bila ayah buka mulut. Apa yang ayah suruh, semua tak boleh. Asal ada aje yang ayah minta, semuanya Anum tolak. Samalah macam kes Khalil dulu!”
Anum menarik nafas dalam. Mengangkat kaki dengan niat untuk keluar dari bilik. Malas jika berlamaan di situ, makin sakit lagi telinganya mendengar leteran ayah.
“Hah! Nak pergi mana pulak tu? Orang baru nak bercakap sikit, dia dah nak keluar. Duduk sini, ayah ada benda nak bincang!” Suara ayah tegas memberikan arahan. Tetapi, diselangi dengan batuk-batuk yang agak panjang di hujung kata-kata tersebut.
Walaupun hati bagaikan ingin membantah, namun kaki Anum tetap juga menurut. Anum berpatah balik lalu duduk di hujung katil. Duduk menghadap ayah dengan kepala yang masih patah memandang ke lantai.
“Hujung minggu ni ayah nak Anum balik sini. Jangan bagi alasan macam-macam. Soal banyak kerja atau tak, ayah tak peduli. Ayah dah janji dengan Pak Cik Omar, dia nak bawa anak dia yang bongsu datang dan makan tengah hari sama-sama dengan kita.”
Kali ini Anum mengangkat muka. Faham dengan maksud bicara ayahnya itu. Ayah ni memang tak habis-habis...
“Kalau Anum tak balik, tak tahu bila lagi Pak Cik Omar ada masa nak datang sini. Bulan depan dia dah sibuk nak buat persiapan pergi umrah. Jadi, ayah nak Anum jumpa anak dia sebelum diaorang anak-beranak pergi ke Mekah,” ujar ayah lagi.
“Eloklah Anum berkenalan dengan anak Pak Cik Omar tu. Bukannya orang lain, anak kawan ayah juga. Dulu kita pernah lalu depan rumah dia waktu pergi kenduri kahwin pak long, tapi tak sempat nak singgah. Kalau tak, dah lama kamu berdua boleh berkenalan dan berkawan.”
“Ayah, kenapa ayah nak buat macam ni? Kan Anum dah cakap dulu, Anum tak suka ayah masuk campur dalam urusan masa depan Anum. Lebih-lebih lagi kalau yang melibatkan kahwin. Anum tak nak ayah carikan jodoh untuk Anum.”
Ayah menjegilkan anak mata. Memandang Anum dengan pandangan yang tajam. Terasa sakit hati dengan sikap Anum yang sedari dulu memang suka sangat membantah dan melawan kata-katanya.
“Kenapa? Anum tak suka ayah carikan jodoh untuk Anum sebab Anum dah ada pilihan sendiri?”
Anum diam.
Ayah menggeleng-gelengkan kepala.
“Anum nak kahwin dengan lelaki yang tak boleh diharap tu? Orang yang tak boleh nak bimbing diri sendiri tu jugak yang Anum nak buat suami?” Bertalu-talu ayah menyoal.
“Ayah tak patut cakap macam tu. Ayah tak kenal dia betul-betul, tapi ayah dah tuduh dia macam-macam.”
“Tak payah bela dia, ayah tahu perangai dia macam mana!” Ayah menengking. “Anum ingat ayah tak tahu ke yang dia tu memang jenis bebas, keluar masuk kelab malam dan suka bertukar-tukar perempuan? Lelaki macam tu yang Anum nak buat jadi suami? Nama pun sibuk nak tukar jadi orang putih. Elok-elok Ahmad Dhani nak tukar Danny! Itu baru nama, mana tahu esok-esok cucu-cucu aku semua dia ajar jadi macam orang putih!” marah ayah lagi seiring dengan batuk-batuk kecil.
“Orang kalau nak cari suami, kena cari yang boleh membimbing kita ke arah kebaikan, bukan jenis hanyut tak tentu hala. Jangan haraplah aku nak terima menantu macam Danny tu. Kaya tak kaya, aku tak peduli!” Nada suara ayah memang betul-betul tegas dan yakin. Namun, ayah terpaksa berhenti untuk beberapa ketika kerana diganggu oleh batuk-batuk yang nampaknya semakin kuat juga kedengaran.
“Dulu ayah nak jodohkan Anum dengan Khalil, Anum tolak mentah-mentah. Tak pasal-pasal Mida yang dapat kahwin dengan dia. Cuba tengok sekarang ni, dah nak bersalin dah budak tu. Memang tolak tuah betul anak aku sorang ni!”
Anum mula rasa sakit hati. Kata-kata ayah mula membuatkan dia rasa marah dan bengang. Memang apa saja yang keluar daripada mulut ayah sentiasa membuatkan dia tak puas hati. Ada saja yang akan menjadi perdebatan antara mereka.
“Soal kahwin ni ayah, itu semua urusan Anum. Dengan siapa Anum nak kahwin, lelaki mana yang Anum pilih, semuanya terletak di tangan Anum. Ayah janganlah nak sibuk-sibuk!”
“Jangan sibuk kau cakap? Eh, aku ni ayah kau, tahu tak? Kalau bukan aku yang nak sibuk-sibuk, siapa lagi? Aku cuma nak jalankan tanggungjawab aku sebagai ayah!” Muka ayah semakin kemerahan. Suaranya juga sudah naik lagi beberapa takuk ke atas lantaran mendengarkan kata-kata Anum tadi.
“Tanggungjawab ayah dah pun ayah buat selama ni. Ayah dah besarkan Anum, dah sekolahkan Anum. Jadi sekarang ni, tanggungjawab ayah dah selesai. Tak payah lagi nak masuk campur urusan Anum. Terutama sekali hal-hal peribadi,” ujar Anum selamba.
“Jangan masuk campur kau cakap? Tanggungjawab aku belum selesai selagi kau belum kahwin. Aku tak nak tanggung dosa sebab lalai mendidik anak dengan betul, kau tahu tak?”
“Kalau ayah takut nak tanggung dosa, biarlah Anum sorang aje yang tanggung semua dosa-dosa Anum. Ayah dah cukup bagi nasihat dan marah Anum, jadi tugas ayah dah selesai. Tak perlu sibuk nak carikan suami untuk Anum semata-mata sebab ayah takut masuk neraka.”
“Kurang ajar! Mana kau belajar cakap macam ni dengan orang tua, hah? Nama aje perempuan, tapi perangai tak tahu nak bersopan. Biadab, degil, tak dengar kata, macam manalah isteri aku tak mati sebab kau!”
“Ayah!” Anum menjerit kuat. Turun naik nafasnya mendengarkan kata-kata ayah sebentar tadi. Serta-merta air mata bergenang dan bertakung di kelopak mata. Wajah ayah direnungnya lama. Tak berkelip-kelip bagaikan tak percaya kata-kata itu yang keluar daripada mulut lelaki itu. Ayahnya sendiri. Tak pernah ayah mengucapkan kata-kata itu sebelum ini. Inilah kali pertama dia mendengarnya. Sampai hati ayah...
Ayah juga serta-merta terdiam. Dia sendiri tidak menyangka bahawa kata-kata itu akan keluar daripada mulutnya. Sedikit demi sedikit wajahnya bertukar kepucatan.
“Sampai hati ayah cakap Anum macam tu!” Terus saja Anum berlari keluar. Mujur tidak terjatuh Fazliana sewaktu mereka bertembung di tangga. Kelam-kabut Anum mencapai kunci kereta dan sepantas kilat kereta hilang dari pekarangan rumah. Walaupun hatinya teresak-esak menangis, namun ditahan juga sepanjang perjalanan.
Terlalu sukar untuk menyimpan rasa marah ini. Air mata yang cuba ditahan sepanjang perjalanan pulang ke rumah, terburai juga akhirnya. Dia mengurungkan diri di dalam bilik, menghempaskan badan ke katil lalu ditekap muka dengan menggunakan bantal.
Dalam esak tangis yang makin meninggi, dia terbayang-bayang kata-kata ayah yang begitu menusuk. Kata-kata yang membuatkan jiwa dan hati terasa sungguh sakit. Perasaannya tergores dan hatinya menjadi sebal. Sedaya-upaya dia cuba untuk melupakan kata-kata itu, namun suara ayah tetap juga kedengaran. Kata-kata ayah tetap juga menusuk tajam ke gegendang telinga. Pedih... kecewa... sedih!
“Mama...” Dalam esakan yang makin meninggi, Anum bersuara. Terasa pilu apabila mengenangkan mama. Mama yang sudah terlalu lama meninggalkan dia keseorangan di muka bumi ini. Mama yang sudah terlalu lama dirindu siang dan malam.
Anum bangun. Mengesat air mata di pipi dengan belakang tangan. Dia bangun membuka laci meja di sebelah katil lalu dikeluarkan kotak kayu yang sebesar kotak tisu lalu dibuka. Diambil barang-barang yang terdapat di dalamnya. Dibelek satu per satu lalu tangisannya menjadi semakin kuat.
Segala jenis lipstik, bedak dan eye shadow yang sudah lama dan kepam digenggam kuat. Sayang, mengapa hanya ini saja barang-barang yang dia ada untuk dibelek apabila dia rindukan mamanya? Mengapa hanya ini saja yang sempat mama tinggalkan untuknya sebelum meninggalkan dia untuk selama-lamanya? Selain daripada barang-barang tersebut, hanya beberapa keping foto usang saja yang turut sama berada dalam simpanannya. Pilunya hati mengenangkan hanya itu saja yang dia ada untuk mengingati mama. Selebihnya, hanya kenangan dalam ingatan.
Walaupun sudah terlalu lama, namun masih lagi kekal dalam ingatan Anum sewaktu dia sering bermain-main dengan alat solek mama ini. Pantang dibiarkan bermain seorang diri, pasti habis mukanya ditonyoh dengan segala macam jenis warna. Bila mama nampak, menjerit-jerit mama berlari menyelamatkan barang-barang tersebut daripada hancur dikerjakan olehnya. Tak cukup dengan itu, segala baju dan kasut tinggi mama, habis dilaram olehnya. Berdiri depan cermin, berlagak macam supermodel atau berangan macam penyanyi. Melalak dan menjerit menyanyi lagu entah apa-apa. Sikat mama itulah mikrofon kegemarannya.
Kadang-kadang, mama sendiri terikut-ikut dengan hobi kegemarannya. Apabila mama bosan, mama akan pasang radio kuat-kuat dan mereka akan bersama-sama menyanyi di hadapan cermin besar yang digantung di dinding bilik mama. Mereka akan sama-sama berduet menyanyi walaupun dengan lirik yang haru-biru dan tunggang-langgang. Mereka menari mengikut rentak sendiri padahal masing-masing bukanlah jenis pandai menari. Yang paling seronok apabila mama benarkan dia menjadi tukang mekap tak bertauliah dan dikerjakan setiap inci wajah putih mama. Apa lagi, terbahak-bahak mama ketawa melihatkan wajahnya yang macam opera Cina setelah siap disolek.
Tetapi, mengapa semua itu hanya mampu dikongsi bersama hanya untuk seketika! Kenapa?
Tangan Anum beralih pula pada kepingan-kepingan foto yang masih lagi elok rupa parasnya. Walaupun gambar-gambar tersebut sudah agak usang, namun tetap dijaga dengan rapi.
Wajah-wajah mama diperhatikan dengan tekun. Jika tidak kerana foto-foto tersebut, sudah pasti dia akan lupa bagaimana wajah mama. Dia masih terlalu kecil untuk mengingati wajah mama dalam bayangannya. Mama pergi sewaktu dia belum lagi mencecah usia 10 tahun. Mujur ada foto-foto lama ini yang boleh dijadikan sebagai rujukan sekiranya dia lupa bagaimana wajah mama.
Namun, setiap kali menatap foto-foto tersebut, hatinya sering berdetik sendiri. Alangkah bagusnya jika dia mengikut iras wajah mama dan bukannya ayah. Jika begitu, pastinya dia akan dapat melihat wajah mama setiap kali memandang cermin dan bukannya wajah ayah. Kenapa iras wajah mama tertumpah pada Abang Iqram dan bukan pada dia? Kenapa hidung, mata dan kulitnya sama macam ayah dan bukannya mama? Bencinya!
“Macam manalah isteri aku tak mati sebab kau!”
Kata-kata ayah bergema lagi.
Bukan! Mama mati bukan kerananya. Tak mungkin! Kalau boleh, dia juga tak inginkan perkara itu terjadi.
‘Mama, kenapa mama mahu juga belikan baju itu untuk Anum? Kalau mama tak pergi beli, mesti mama masih ada di sini bersama-sama dengan Anum. Kalau mama tak keluar hari tu, mesti mama masih lagi boleh menemani Anum setiap hari dan kalau mama tak pergi meninggalkan kami, mesti ayah dan Anum takkan jadi macam sekarang ni. Kenapa mama pergi? Kenapa mama tak duduk saja di rumah? Kenapa mama tak tegaskan diri? Kenapa?’
‘Semuanya sebab kau, Anum! Sebab kau mama pergi, sebab kau mama mati dan sebab kau semua orang menderita. Sebab kau! Semuanya sebab kau, Anum Danisha! Kaulah penyebabnya semua benda malang terjadi. Sebab kau!’
‘Tidak!’
No comments:
Post a Comment