ANUM mengeluh panjang. Dia melepaskan pandangan ke arah orang-orang yang berjalan melintasinya. Duduk seorang diri di tengah-tengah pusat membeli-belah ini benar-benar membosankan. Selama beberapa jam sebelum dia duduk di sini, Melinda dengan setianya menemani untuk bersama-sama membeli-belah. Belum sempat mereka meredah segala kedai-kedai yang ada di tengah kota ini, Melinda sudah meninggalkannya seorang diri. Gara-gara kelancangan mulutnya tadi. Itulah, orang kata terlajak kereta boleh reverse balik, tapi kalau terlajak kata, padanlah muka!
Sekali lagi Anum mengeluh. Macam manalah dia boleh terlepas cakap dengan Melinda tadi?
Memikirkan hal Melinda dan Steven, bukannya dia sengaja nak mengata yang Melinda itu perempuan simpanan. Tapi, dah memang cara hubungan mereka itu nampak seperti itu.
8 tahun yang lepas, ketika menghadiri majlis di sebuah hotel, Melinda berkenalan dengan Steven secara kebetulan di dalam lif. Perkenalan singkat itu nampaknya berlarutan hingga bertahun-tahun lamanya. Itu memang merupakan satu perkara yang baik dan mengagumkan. Tetapi, apa yang membuatkan Anum berasa jengkel dan pelik ialah jarak usia mereka yang terlalu jauh. Melinda masih muda manakala Steven itu sudah jejak angka 70!
Aduh... dengan usia emas seperti itu, tambah-tambah lagi dengan status Steven yang sudah mempunyai anak dan cucu, sudah pastilah tidak sesuai langsung dengan Melinda yang cantik menawan itu. Tetapi, Melinda degil. Dia tetap mengatakan bahawa dia cintakan Steven sepenuh hati. Dia sentiasa berpegang teguh bahawa suatu hari nanti Steven akan melamarnya dan mereka akan berkahwin. Apatah lagi Steven memang tidak mempunyai isteri kerana sudah mati sebelum mereka berkenalan lagi.
Kata Melinda, dia jatuh cinta dengan kematangan Steven, jatuh cinta dengan sikap ambil beratnya dan jatuh cinta dengan segala nasihat dan tunjuk ajar daripadanya. Alahai... gelinya dengar! Baik mengaku saja sudah jatuh cinta dengan harta dan kemewahannya? Jatuh cinta dengan pangkat yang ada pada Tan Sri Steven Ooi. Lagi senang cerita!
Pelik dan sangat pelik. Percintaan mereka berdua sungguh pelik. Keluarga Melinda menetap di Pulau Pinang, maka memang mudahlah Melinda hendak menjalinkan cinta rahsianya itu. Segala-galanya perlu menjadi satu rahsia. Rahsia yang disimpan untuk sekian lama hinggalah ke saat ini. Bertahun-tahun lamanya Melinda bersama dengan Steven tanpa pengetahuan sesiapa melainkan Anum dan Danny. Danny tahu pun sebab Anum yang pecah rahsia. Kalau tak, sudah pasti juga sampai sekarang Danny masih tidak tahu apa-apa
Hmm... entahlah! Kata Melinda, segala rahsia ni disebabkan takut penerimaan orang. Betul atau tidak, Anum sendiri tidak tahu. Nak kata musykil, memang musykil.
Steven kata isteri dia dah mati. Kalau betul dah mati, kenapa mesti nak sorok-sorok lagi? Dan sikap Melinda yang bergaul bebas dengan lelaki lain pun membuatkan Anum sering tertanya-tanya. Bukankah kesetiaan itu menunjukkan kesucian cinta?
Itu sebablah dia kata Melinda memang macam perempuan simpanan. Selalunya dia simpan dalam hati sahaja. Dia tahu pasti Melinda akan terasa. Entah macam mana, hari ni boleh terlepas pula.
Untuk kali yang seterusnya Anum melepaskan keluhan. Ingatkan hari ni hendak mengelak balik ke rumah ayah, dia boleh berjalan-jalan dan berhibur dengan Melinda. Tapi, sekarang Melinda pula yang lari daripadanya. Sudahnya, terpaksalah dia meredah, meronda dan membeli-belah seorang diri.
Apabila berada dalam keadaan begini barulah terasa betapa kosong hidupnya ini. Selain daripada Melinda dan Danny, dia tiada kawan lain. Selain daripada ayah dan Abang Iqram, dia tiada keluarga lain lagi. Hubungannya dengan saudara-mara yang lain pun tidak berapa mesra. Ini semua gara-gara sikapnya sendiri yang malas hendak bergaul rapat dengan sesiapa pun.
“Dan bagi I, I bahagia dengan apa yang I ada sekarang...”
Tiba-tiba dia teringatkan kata-katanya sendiri sebentar tadi.
Bahagia? Ya, memang benar dia mempunyai kerjaya yang bagus dan menjawat jawatan yang tinggi. Siapa sangka dalam usia belum mencecah 30 tahun, dia sudah berjaya menjadi naib pengerusi sebuah syarikat. Mungkin bukan syarikat mega, tetapi sekurang-kurangnya gaji yang diperolehnya agak lumayan. Tetapi, malangnya di pejabat, dia langsung tidak disukai oleh rakan-rakan sekerja. Dia langsung tidak rapat dengan mana-mana pekerja bawahannya melainkan dengan Melinda dan Danny.
Jika dia mahu berbangga dengan istilah bahagia di samping keluarga pula, rasa-rasanya dia hanya sempat merasa istilah keluarga bahagia hanya ketika hayat mama masih ada. Sudah bertahun-tahun makna keluarga yang bahagia itu tidak lagi dirasainya. Perginya mama, membawa bersama segala kebahagiaan dalam kamus hidupnya. Jadi, apa sebenarnya hak miliknya yang benar-benar membuatkan dia bahagia?
Untuk kesekian kalinya Anum mengeluh. Namun, kali ini disertai dengan titisan air mata. Panas kelopak matanya menahan empangan air mata daripada jatuh berguguran, namun dia tidak mampu. Terasa hiba mengenangkan keadaan dirinya sekarang ini. Hatinya berdetik sendiri bahawa dia sebenarnya hidup dalam kesunyian dan keseorangan. Sudah lama dia hidup seorang diri tanpa diwarnai dengan kehidupan yang bahagia dan indah. Tanpa gelak tawa teman-teman yang ramai, tanpa belaian orang tua yang penyayang dan tanpa cinta daripada seseorang yang bergelar kekasih hati. Bosannya hidup! Hanya egonya saja yang menafikan semua itu.
Anum meraup wajahnya. Dia bangun perlahan lalu mengesat pipi dengan belakang tapak tangan. Walaupun hatinya sedih dan sunyi, dia tidak mahu memalukan diri dengan menangis di sini. Apa pula kata orang nanti.
Anum memulakan langkah. Beg-beg kertas dijinjit di tangan kiri dan kanan. Penuh kedua-dua tangan Anum dengan segala macam beg plastik dan kertas. Memang setiap kali hatinya sedih atau marah, membeli-belah merupakan satu terapi yang terbaik untuknya. Anum melangkah perlahan dengan menundukkan kepalanya. Melintasi hingar-bingar orang yang lalu-lalang di hadapannya.
“Adoi!”
Anum terperanjat sedikit apabila mendengar suara itu. Dengan tidak sengaja dia terlanggar, lantas terpijak kaki seseorang. Beg-beg kertas yang dibawa terlepas daripada pegangan. Mujur lelaki tersebut tidak jatuh tersembam ke lantai. Itulah, berkhayal sambil berjalan, kan dah terpijak kaki orang!
“Sorry... sorry...” Anum segera meminta maaf. Dia tunduk lalu membongkok untuk mengambil plastik dan beg-beg kertas yang terjatuh sebentar tadi.
“Nasib baik saya pakai kasut. Kalau pakai selipar, mahu berlubang kaki kena pijak dengan kasut tinggi KLCC tu.” Terdengar suara lelaki itu bersuara sambil menepuk sedikit kaki kanannya yang lengkap berkasut sukan.
Anum tidak menjawab apa-apa dan hanya menumpukan perhatian mengutip semula beg-beg kertas yang bertaburan di atas lantai. Lelaki yang dilanggarnya tadi turut duduk mencangkung lalu membantunya mengutip beg-beg tersebut.
“Mata manusia ni cuma ada dua. Kalau dua-dua sibuk mengira lantai, mana ada mata lain lagi yang nak tolong tengok depan.”
Anum sedikit terkelu. ‘Alamak mamat ni nak perli-perli orang pulak!’
Anum masih tidak menjawab apa-apa. Dia hanya meneruskan kerja mengutip dan terus berdiri.
Lelaki itu juga turut bangun lalu membariskan senyuman kepada Anum.
“Terima kasih,” jawab Anum apabila lelaki itu menghulurkan beg-beg kertas kepadanya. Namun, ucapan yang diberi itu tanpa sebarang calitan senyuman pun. Seperti tidak ikhlas saja ucapan terima kasih itu keluar daripada mulutnya.
“Sama-sama.” Lelaki itu membalas mesra. “Lain kali kalau nak berjalan tu tolonglah pandang depan. Jangan pandang bawah. Tak payah risau sebab kaki awak takkan hilang waktu tengah berjalan,” ujar lelaki itu dengan senyum simpul.
Anum mencebik. ‘Mamat ni tak habis-habis nak perli aku ni dah kenapa? Menyampah!’
Anum lepaskan pandangan kepada lelaki yang berada di hadapannya ketika ini. Lelaki yang mempunyai susuk tubuh agak tinggi dan berkulit cerah. Lelaki itu masih tersenyum-senyum sambil menatap lama wajahnya walaupun dia langsung tidak menunjukkan reaksi mahu membalas senyuman lelaki itu.
“Tengok apa?” Anum seakan menyergah. “Saya dah minta maaf tadi, kan? Tak puas hati lagi ke?”
Lelaki itu tidak menjawab. Namun, matanya masih tajam memerhatikan wajah Anum.
“Kenapa awak menangis?”
Soalan yang ringkas dan pendek, namun ia membuatkan Anum sedikit terpaku.
“Mata tu... merah menyala. Mesti baru lepas menangis. Kenapa? Ada masalah ke?”
Anum terkelu. Terus saja kelopak matanya berkedip berkali-kali dengan agak laju. Matanya memang akan cepat sangat merah kalau menangis.
“Kalau ada masalah, saya boleh tolong.”
“Oh my God, are you some kind of pervert or what?” Anum terus saja tayang muka jelik. “Kita tak kenal, tiba-tiba nak tunjuk baik dan tanya macam-macam ni, dah kenapa?” Kasar Anum bersuara membuatkan lelaki itu pula yang kelihatan sedikit terkelu.
“Mula-mula tadi awak sibuk nak perli-perli saya.
Dan sekarang ni, sibuk nak tahu kenapa saya menangis pulak. Tolong jangan jadi pak cik bawang dan menyibuk hal orang lain, boleh tak?” Anum menjegilkan sedikit matanya. Membuatkan lelaki itu terus saja diam. Mungkin terkelu lidah hendak bercakap kerana disembur secara percuma.
“Saya rasa lebih baik kita bergerak dan jalan ikut haluan masing-masing. Selamat tinggal!” Anum pandang susuk tubuh lelaki itu atas bawah untuk sekali imbas, sebelum dia menjeling lalu memalingkan badan dengan niat ingin segera beredar.
Baru tiga tapak dia bergerak, Anum memberhentikan langkah. Lantas dia berpusing semula dengan niat hendak melihat sekali lagi wajah lelaki tersebut.
‘Eh, mana mamat tadi? Dah hilanglah pulak!’
Anum mengerutkan dahi. Mengecilkan mata lalu memandang kiri dan kanan. Memanjangkan leher dan melebarkan pandangan ke seluruh ceruk di sebalik hiruk-piruk orang yang ramai. Berasa hairan kerana begitu cepat sekali lelaki tersebut ghaib daripada pandangannya.
“Oh, tu dia...” Anum menjerit dalam hati apabila melihat kelibat lelaki itu di sebalik orang yang ramai. Dia mengatur langkah. Mengejar sambil memanggil lelaki tadi.
“Encik!” Anum menjerit sedikit. Mengharapkan agar lelaki tadi mendengar panggilannya dan akan berhenti. Namun, panggilannya itu tidak dihiraukan. Mungkin lelaki itu tidak mendengar. Dia mempercepatkan lagi ayunan langkah. Panjang lehernya ingin melihat ke mana arah lelaki itu mengatur langkah.
“Awak, err... encik... tunggu kejap!” Sekali lagi Anum memanggil. Terkedek-kedek dia mengejar. Apatah lagi dengan menjinjit beg-beg yang banyak, menambahkan kesukaran untuknya bergerak dengan lebih pantas.
‘Cepatnya dia berjalan, tak terkejar aku dibuatnya!’
Anum terus saja berhenti dengan dada yang turun naik tanda letih mengejar. Lelah terasa apabila dia tidak mampu lagi hendak mengikut jejak lelaki tersebut. Dia mengurut-urut dada. Melihat lelaki itu yang akhirnya hilang di sebalik kesibukan warga kota yang lalu-lalang.
Anum mengeluh. Sekejap saja kelibat lelaki itu menghilang.
Anum tarik nafas sedikit panjang. Sekali lagi dia meninjau. Mengharapkan agar kelibat lelaki tersebut kembali semula. Tetapi, dia hampa. Kelihatannya lelaki tersebut benar-benar sudah tiada. ‘Kenapa sekejap sangat dah tak ada? Tak sampai 10 saat! Tak sempat nak tanya nama atau lihat muka dia sekali lagi.’
Anum cepat-cepat geleng-geleng kepala beberapa kali. Tarik nafas dalam-dalam dan berpaling semula. Perlahan-lahan dia mengatur langkah. Berjalan beberapa tapak, namun kemudian dia menoleh ke belakang sekali lagi. Entah kenapa hatinya berasa kecewa pula.
Kecewa kerana apa? Kerana tidak sempat nak berkenalan atau kerana tidak puas menatap wajah lelaki itu? Rasa kecewa itu sama seperti semasa dia melihat wajah lelaki berbaju kelabu yang berada di restoran tempoh hari. Dapat perhati sekejap, langsung hilang dan ghaib.
‘Hah... kalau tak silap... muka dia macam nak sama saja dengan lelaki yang berbaju kelabu di restoran tu...’
Sekali lagi langkah Anum terhenti. Cepat-cepat dia menoleh ke belakang. Hatinya geram. Tidak puas hati kerana tidak dapat hendak pastikan sama ada lelaki tadi adalah orang yang sama dengan lelaki berbaju kelabu tempoh hari atau tidak. Aduh, kenapa tak pasal-pasal dia boleh jadi ralat dan kecewa kerana seorang lelaki pula? Tadi dah elok-elok orang tu cuba nak beramah mesra, dia marah pula. Salah sendirilah. Argh!!!
No comments:
Post a Comment