DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Bab 10

DINZLY melangkah ke ruangan taman kecil
di luar banglo mewah milik keluarga Darwisya. Baru
hendak bersenang-lenang, dia sudah nampak kelibat
Darqeem menapak turun dari kereta BMW 5 Series
milik Datuk Dirly. Kalau dah nampak Darqeem, tentu
saja Datuk Dirly pun turut ada sama.
Dinzly mengeluh kecil. Belum sampai seminggu
dia berada di banglo mewah ini, ada saja perkara yang
bapa mentuanya itu bangkitkan bagi mencari pasal.
“Hai, Abang Dinz,” sapa Darqeem ramah.
Tangan abang iparnya itu hendak disalami.
Dinzly hulur dengan senyuman di pinggir bibir. Datuk
Dirly pula lebih gemar mengerling dari jauh bersama
pandangan tajam. Melihat saja wajah menantunya itu,
hati mula mendidih.
“Wisya mana?” sapa Datuk Dirly sekadar
berbasa-basi.
Dinzly sengih kelat.
“Dah tak ada dekat bawah ni, dekat ataslah tu
kut,” balas Dinzly sambil lewa membuatkan perasaan
Datuk Dirly mula menghangat.
“Macam tu ke cara kau bercakap dengan aku?
Dan lagi satu, kau ingat anak aku tu patung yang
tak punya perasaan ke?” jerkah Datuk Dirly sedikit
tertahan. Melihat Darqeem berada di antara mereka,
terus diarahkan Darqeem masuk ke dalam rumah
terlebih dulu.
“Aqeem, masuk dalam sekarang!” tegas
kata-kata Datuk Dirly. Berang mula berpindah kepada
Darqeem.
Tak bertangguh, kanak-kanak itu sudah mula
mencicit masuk. Dinzly menjongket bahu lalu duduk
santai di atas kerusi.
“Have a seat, Datuk.” Semakin sinis suara itu
pada pendengaran Datuk Dirly.
Kerusi ditarik kasar. Duduk dilabuhkan.
Tajam matanya menyoroti wajah tenang Dinzly.
“Datuk ada nak cakap apa-apa pada saya lagi?”
soal Dinzly sarkastik.
Datuk Dirly merengus keras.
“Kau makin kurang ajar nampaknya,” bidas
lelaki tua itu.
Dinzly senyum nipis. Sengaja hendak
menyakitkan hati orang tua itu.
“Rasanya saya dah memang cukup terajar,
Datuk. Ibu dan ayah tak pernah kurang bagi saya tunjuk
ajar. Tapi itulah... bila orang berbudi, kita berbahasa.
Dah orang tak reti nak hormat kita, perlu ke kita buat
baik lagi?” Dinzly berbicara penuh makna.
“Kau ingat aku tak tahu macam mana kau layan
Wisya? Kau layan anak aku macam tak ada maruah
langsung, kan?” Satu per satu ayatnya ditekankan.
“Habis tu Datuk nak saya layan anak Datuk
macam mana? Datuk sedar tak dalam perut anak Datuk
tu bukan benih saya, tapi benih jantan lain yang dah
pun tebuk dia. Jadi jangan sesekali berharap yang
saya akan layan anak Datuk tak ubah macam tuan
puteri. Sebab hakikatnya, Datuk sekeluarga dah pun
huru-harakan hidup saya!” Kali ini Dinzly sudah tidak
mampu bersabar lagi. Dilepaskan semua yang terbuku
di hati.
Spontan Datuk Dirly bangkit dengan rahang
bergerak-gerak.
“Biadab!” hambur Datuk Dirly bersama dada
yang sudah mula berombak ganas.
“Kalau saya biadab, Datuk pula saya nak
labelkan macam mana? Keji?” cabar Dinzly masih tidak
mahu mengalah.
Sekejapan, penumbuk Datuk Dirly elok singgah
di pipi kanan Dinzly. Mengesat hujung bibir, ada darah
yang mengalir. Kalau tak dikenangkan usia Datuk
Dirly, memang Dinzly sudah membalas balik. Mujurlah
hormatnya masih ada terhadap orang tua itu.
“Itu habuan sebab kau berani-berani kurang
ajar dengan Datuk Dirly!” marah Datuk Dirly sudah
tidak terkawal.
Namun, Dinzly masih lagi boleh tersenyum.
“Puas hati Datuk? Atau nak tambahkan lagi
satu? Come, make it fast,” cabar Dinzly tidak serik-serik.
Terbeliak mata Datuk Dirly.
“Kau...” Jari telunjuk Datuk Dirly naik tegak di
hadapan wajah tampan itu.
Dinzly spontan menepis tangan itu lembut.
Pegangan di lehernya juga turut dirungkai.
“Jangan Datuk cuba-cuba nak tuding muka saya
macam tu. You don’t have the right!” Giliran Dinzly
pula menegaskan kata-katanya.
“Kenapa kau biadab sangat ni, Dinzly???” herdik
Datuk Dirly semakin lantang.
Dinzly ketawa. Bagaikan lucu dengan kata-kata
bapa mentuanya. Datuk Dirly ini bercakap dengan
cermin ke?
“Saya biadab dengan orang yang tak beradab
saja, Datuk.”
Nyaris tangan Datuk Dirly naik hendak
menumbuk muka Dinzly. Namun tak sempat apabila
suara Darwisya sudah terpekik kuat dari belakang.
Berlari laju lalu menghadang tubuh si suami daripada
terus dikasari oleh Datuk Dirly.
“Daddy, stop it.” Nada merayu. Berharap
perbalahan ini mampu dihentikan.
“Tepi, Wisya.”
“Please, daddy. Don’t do this,” pinta Darwisya
dalam nada merayu. Dia nampak rahang pipi Datuk
Dirly yang jelas timbul.
Datuk Dirly mendengus kuat.
“Daddy cakap tepi, tepi ajelah. He deserves one,
Wisya!” jerkah Datuk Dirly berapi-api.
“Tapi ini yang kedua, daddy. Cukuplah,” ujar
Darwisya berusaha meleraikan perbalahan.
“Yang Wisya nak pertahankan dia sangat ni
kenapa?”
“Sebab dia suami Wisya. Wisya tak boleh biarkan
daddy kasari dia. Dan sebab dia orang yang sama dah
selamatkan maruah kita sekeluarga, daddy. Jadi Wisya
rayu kalau daddy nak pukul Dinzly, daddy pukul ajelah
Wisya. Lepaskan kemarahan tu pada Wisya, Wisya
sanggup hadap.” Tubir mata Darwisya bergenang.
Terpempan Dinzly. Tak menduga hingga ke
tahap itu Darwisya cuba untuk mempertahankan
dirinya.
Mendengarkan bicara Darwisya, Datuk Dirly
berundur setapak ke belakang. Mencerun pandangan
yang dihantar kepada si menantu. Kalah dengan rayuan
Darwisya, Datuk Dirly terus melangkah masuk tanpa
sepatah kata.
Lega apabila Datuk Dirly sudi untuk beralah.
Memandang wajah Dinzly, Darwisya menggigit hujung
bibir. Lebam pada wajah Dinzly buat Darwisya mula
dihurung perasaan bersalah. Kenapalah dia tidak
sudah-sudah menyusahkan lelaki itu? Kalau bukan
sebab dia, tentu Dinzly tidak perlu hadap semua ini.
“Awak... saya minta maaf. Awak okey?” Luka
pada hujung bibir Dinzly disentuh sedikit. Pantas juga
ditepis kasar oleh Dinzly.
“Kau ni dah buta sangat ke sampai tak nampak
apa yang ada depan mata kau? Agak-agak penumbuk ni
rasa manis ke, perempuan?” sindir Dinzly sebal.
“Saya minta maaf pasal daddy.”
“Kau boleh tak berhenti ulang ayat tu?
Balik-balik ayat yang sama ajelah. Maaf, maaf. Memang
apa yang dah kau buat pada aku ni mudah ke untuk
dimaafkan?” Melenting Dinzly dibuatnya.
Malas menyemakkan mata memandang wajah
Darwisya, Dinzly berura-ura mengangkat kaki. Terhenti
apabila lengannya terasa dilelar dari belakang.
“Kau nak apa lagi ni?” rengus Dinzly tidak
senang. Pandangan bersabung.
“Benci sangat ke awak pada saya, Dinz?”
“Soalan jenis apa kau tanya aku ni?”
“Jawablah, Dinz. Benci sangat ke awak pada
saya?” ulang Darwisya lagi. Kali ini air mata sudah
jatuh setitis menimpa pipi. Dia sudah penat hendak
menghadap semua ini. Belum pun sampai tempoh
2 minggu usia perkahwinan mereka, sudah sebegini
teruk rentak yang harus dia dan Dinzly lalui.
“Kau sendiri ada jawapan tu. Lepas apa yang
dah kau buat pada aku dan keluarga aku, jujur aku
cakap, aku memang cukup-cukup bencikan kau. Kau
tahu tak, tiap kali aku tengok muka kau, hati aku jadi
makin mendidih. Jadi lepas ni, kau jangan sesekali
tanya aku soalan bodoh tu lagi!” Tak seiring dengan
hati. Hakikatnya, kebencian itu kadangkala hampir
sama dengan simpati yang tersisip buat Darwisya.
Terlepas pegangan tangan Darwisya pada lengan
Dinzly. Melihat tubuh Dinzly sudah menerobos masuk
ke dalam kereta, retak berderai sekeping hati milik
Darwisya kala ini. Seolah-olah dihempas berulang kali.
Memejamkan mata, merenung dada langit.
‘Sampai bila diri harus diuji sebegini, Ya Allah?
Sesungguhnya aku dah tak kuat lagi.’
Kepada Dia, Darwisya adukan nasib diri. Kerana
saat ini tiada sesiapa yang bisa mengerti. Sekalipun
Darwisya bentangkan sejuta kata membela diri, yang
hina itu juga tetap terlihat jelas pada pandangan mata
Dinzly.
‘Redalah, Wisya. Sesungguhnya Allah SWT
takkan menguji melebihi kemampuan hamba-Nya
itu sendiri. Kuatkan semangat. Cekalkan hati. Selagi
kau masih mampu.’ Ada suara berbisik positif. Cuba
memujuk diri yang semakin lemah tak berdaya. Kelak
mungkin saja sedikit masa lagi, dia akan berhenti
berjuang. Untuk selama-lamanya...

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN,KELUARAN OKTOBER 2019 ***

No comments:

Post a Comment