DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 October 2019

Mocha Girl - Bab 8

SESEKALI mata Q mengerling Luth yang sedang
membru kopi. Sangat tenang dan tidak kekok. Ralit dia
memerhatikan sehingga tidak perasan ada pelanggan yang
masuk. Hanya tersedar apabila suara Aqil mencelah masuk
gegendang telinganya.
“Cik Anggun,” tegur Aqil.
“Ya, saya. Aik, bos sendiri buat kopi hari ni.
Nampaknya saya langkah kanan ni.” Anggun menjongketkan
kening seraya tersenyum mesra. Dijatuhkan kepala kepada
Q menandakan dia menegur gadis itu dan juga dibalas
anggukan kecil oleh Q. Melangkah kaki masuk ke kafe ini, dia
sudah nampak tingkah Q yang sedang memerhatikan Luth,
sama ada lelaki itu perasan ataupun sengaja buat-buat tidak
perasan, dia tidak tahu.
Luth tersenyum mendengar kata-kata gadis itu. Dia
fokus menyiapkan latte art yang dipesan oleh pelanggan.
Kemudian diletakkan cawan latte itu ke atas dulang, lalu
dibawa ke meja pelanggan.
Anggun menjongketkan kening. Luth memang
nampak lain sekarang. Dia memerhati tingkah lelaki itu yang
ramah melayan pelanggan.
“You daripada mana ni?” soal Luth melihat pada
pakaian santai gadis itu.
“Klinik.”
“Kenapa? Demam?” tanya Luth lagi. Prihatin.
Q yang memasang telinga dari tadi berdesing telinga
mendengar nada prihatin lelaki itu. Meluat saja rasa hatinya.
Siap menyusun semua pastri yang baru siap dimasak, dia
menuju ke mesin kopi. Mahu melegakan hangat hati dengan
segelas moka ais.
“Kenapa you yang buat kopi hari ni? I tak tahu pun
yang you mahir buat kopi. Masa kita bercinta dulu, tak pernah
sekali pun you buatkan I kopi,” adu Anggun senada.
“Auch.” Tanpa sedar air panas itu terkena tangan Q.
Menyeringai dia menahan sakit.
Pantas Luth berpusing. Laju dia mendekati Q yang
sedang menggosok tangannya. Anggun yang memerhati
melebarkan senyum. Memang ada sesuatu antara
kedua-duanya.
“Macam mana boleh jadi macam ni? Sini, nak tengok.”
Luth menarik tangan Q, namun gadis itu merentapnya kasar.
“Q!” Luth jegilkan mata. Rasa geram terhadap
tindakan Q disimpan jauh.
Tidak mempedulikan pandangan tajam Luth, Q
menyiapkan kopi dan berlalu. Langkahnya terhenti apabila
tangan Luth melelar lengannya. Pantas dia menjeling tajam
kepada lelaki itu, tanda dia tidak suka apa yang sedang
Luth lakukan. Dia mahu bersendirian. Luth bebas untuk
bercengkerama dengan Anggun.
‘Urghh! Kenapa dengan kau aduhai hati? Kenapa
mesti kau rasa tak puas hati?’
“Apa lagi bos?” dingin nadanya.
“Tangan!” Mata Luth jatuh pada kekura tangan Q
yang sudah memerah.
“Sikit aje,” balas Q masih degil.
“Tangan!” desak Luth.
“Lepaslah!” marah Q. Dia pun tidak tahu apa yang
tidak kena dengan dirinya. Terutama hatinya. Kenapa dia
rasa terganggu dengan kehadiran Anggun? Isy! Dia tak suka
dengan apa yang dia rasa kala ini.
“Tangan!” ujar Luth keras. Tidak mahu mengalah.
Kesabarannya semakin menipis sekarang ini.
Q mencemik. Dia tidak menjawab tetapi tidak juga
menurut permintaan Luth. Dengan selamba dicecap moka di
dalam gelas. Biar reda sedikit panas hati barulah dapat dia
berhadapan dengan Luth.
“Luth!” panggil Anggun.
Luth kalih ke belakang, melihat Anggun melambai
kepadanya. Dia memberi isyarat supaya wanita itu
menunggunya sekejap.
Q mengertap kuat bibir bawahnya sehingga terasa
pedih.
“Pergilah. Dia dah panggil.” Perlahan nada Q cukup
untuk pendengaran Luth.
“Tangan!” Luth masih mendesak. Dia takkan puas
hati selagi tidak melihat sendiri tangan gadis itu.
“Kena air panas saja, bos. Tak matinya!” ujar Q
bengang. Lengannya ditarik kuat sehingga terlepas pegangan
Luth. Tidak menunggu, dia berlalu ke bahagian dapur.
Luth hanya memandang belakang gadis itu dengan
keluhan panjang. Cemburu?
‘Q... Q.’ Luth menggeleng. Kalau ditanya ‘cemburu
ke?’, sah-sah gadis itu akan jawab ‘tidak’. Lalu dibawa langkah
ke arah Anggun.
“Kenapa dengan dia?” tanya Anggun.
“Kena air panas,” cerita Luth.
“Teruk ke?”
“Tak tahu. Dia tak bagi I tengok pun. You nak minum
apa?”
“Macam biasa.”
“Kejap ek?” Luth bangun mahu menyiapkan kopi
Anggun. Sesekali matanya menjeling ke bahagian dapur.
Hatinya resah selagi tidak melihat sendiri luka di tangan
Q. Degil Q lain macam pula hari ini. Selalunya kalau dia
keraskan nada, Q takkan melawan.
“Bertuah I malam ni, lelaki kacak buatkan I kopi,”
senda Anggun bersama tawa yang sengaja dileretkan.
Luth senyum segaris. Tangannya lincah membru
kopi. Susu yang telah siap distim diambil. Dengan penuh
kemahiran, dilakukan art coffee pada kopi di dalam cawan itu.
“Nah. Cubalah. Dah lama I tak buat kopi sejak...”
“Pergilah tengok dia. I okey saja kat sini. Macamlah I
tak biasa datang kafe you ni,” ujar Anggun memotong bicara
Luth. Dia perasan anak mata Luth yang sekejap-sekejap
mengerling ke bahagian dapur.
Tidak mengikut saranan Anggun, sebaliknya Luth
melabuhkan duduk di hadapan wanita itu. Bukan dia tidak
sanggup meninggalkan Anggun sendirian, cuma dia mahu
memberi masa kepada Q untuk menenangkan hati.
“You mesti suka sangat dekat dia, kan?” ujar Anggun
lagi.
Luth memandang wajah Anggun. Betul ke dia sangat
sukakan Q?
“I yakin, perasaan itu berbeza ketika kita bercinta
dulu, kan? Sebab I tak pernah lihat mata you pandang I
sepertimana you pandang dia. Prihatin you pada I, tak sama
seperti you prihatin pada dia. Atau you cintakan dia?” tembak
Anggun lagi. Melihat perubahan pada wajah Luth, dia yakin
tebakannya benar.
Luth terkelu. Soalan terakhir Anggun benar-benar
menyentap hatinya. Cintakah dia kepada Q? Cinta? Berulang
kali sebaris kata itu diulang dalam hatinya. Jika tidak cinta,
kenapa dia takut andai ada lelaki mendekati Q? Sampaikan
dia sanggup memberikan gelaran kepada Q.
“Hei, melamun pula dia!” selar Anggun.
“Nampak sangat ke I prihatin pada dia?” tanya Luth
malu-malu.
“Ya. Hei, you malu ke Luth?” tanya Anggun seraya
menampar lembut bahu lelaki itu. Wajah lelaki itu merona
merah. Lantas kedua-duanya ketawa.
Q kacip gigi geram. Bengkak hatinya mendengar
gelak ketawa itu. Kalaulah tak diingatkan yang mereka
kekurangan pekerja, dah lama dia cabut balik. Mahu tak
mahu, terpaksalah dia menahan perasaan marah dalam hati.
Tepat jam 10 malam, mereka menutup kafe. Semua
duduk melepaskan lelah. Q menelangkupkan muka di atas
meja. Alangkah bagus kalau esok mereka diberi cuti. Dia
penat sangat dengan tangan yang berdenyut-denyut. Dia
hanya sempat menyapu minyak gamat saja tadi. Itu pun
Luqman yang memaksa.
“Bos, carilah pekerja baharu. Penatlah kalau
hari-hari macam ni,” adu Aqil.
Luth geleng kepala. Anak matanya mengerling Q
yang keletihan. Kemudian pandangannya jatuh kepada Aqil
dan Luqman. Kasihan, tapi dia serik buat masa ini hendak
mengambil pekerja baharu.
“Kau pun tahu dah berapa ramai yang datang kerja
kat sini tak sampai sebulan, semua cabut lari,” ujar Luth.
Itulah kenyataan yang menyebabkan dia malas membuka
jawatan kosong buat masa ini.
“Bos garang sangat,” sampuk Luqman.
“Q tak lari pun,” ujar Luth cuba memancing gadis
itu menyertai perbualan mereka. Namun hanya deru nafas Q
sahaja yang kedengaran. Dia cuba mengintai wajah Q, namun
terlindung di sebalik topi yang menutupi kepala gadis itu.
“Q tu dah lali, bos. Lagipun bos tu garang-garang
manja aje dengan dia,” celah Aqil bersama sengih panjang.
Q membaling tuala lap meja ke arah Aqil. Bukan
dia tidak dengar perbualan mereka, tetapi malas hendak
menyampuk.
“Sakitlah Q,” aju Aqil.
“Jomlah balik! Makin lama kat sini, makin merapu
kau ni,” ajak Q.
“Betul. Aku pun dah penat sangat ni,” celah Luqman.
Luth diam. Matanya tidak lepas daripada memandang
Q. Gadis itu langsung tidak memandangnya. Usahkan
pandang, jeling pun tak.
“Bos, kami balik dulu,” ujar Aqil yang sudah siap
berpakaian kemas. Luqman juga sudah siap untuk pulang.
Begitu juga Q.
“Bos, saya balik dulu.” Q tunduk kepala hormat. Dia
bukan seperti Luqman dan Aqil yang boleh bersalam dengan
lelaki itu.
“Q!” panggil Luth. Bicaranya tergantung apabila
Luqman dan Aqil turut sama memandang ke arahnya.
“Esok kita buka kafe lewat sikit,” putus Luth.
Lain yang mahu dikatakan, lain pula yang keluar daripada
mulutnya. Melihat wajah beku Q, semua ayat yang tersusun
dalam kepala hilang begitu sahaja. Nampaknya malam ini
dia akan menghabiskan masanya di kafe saja. Penat hendak
memandu pulang ke rumah keluarganya atau rumahnya
sendiri.
“Yes!” Aqil bersorak riang.
“Baik juga hati bos tu, kan?” ujar Luqman.
“Dia memang baik. Korang saja tak reti bersyukur,”
selar Q. Dia majukan langkah keluar dari kafe.
“Cepatlah! Aku nak kunci pintu,” marah Q. Sudahlah
penat. Dua orang makhluk ini boleh melenggang pula.
“Huh!” Luqman dan Aqil mencebik. Mereka berpisah
di luar pintu kafe.

No comments:

Post a Comment