DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 October 2019

Mocha Girl - Bab 9

Q berbaring di atas katil. Rambut yang basah
dibiarkan begitu. Tangan yang terkena air panas tadi ditilik.
Masih merah tapi tidaklah seperti tadi. Encik Haikal sudah
memberikan jeli gamat untuk disapu.
Dia merenung siling, matanya terkebil-kebil tidak
mahu lena sedangkan tubuhnya terasa amat penat. Lenguh
di sana sini. Lantas dicapai buku yang dihadiahkan oleh Luth.
Serta-merta bibirnya merekah senyum. Hilang rasa marah
dan cemburu yang bertandang tadi.
The Blue Bottle Craft of Coffee diselak helaian
pertama. Dia pernah membaca review tentang buku ini.
Kupasan penulis dalam buku sangat baik. Penulis bukan
hanya berkongsikan tentang dunia kopi sehingga buku
ini digelar ensiklopedia dunia kopi, malahan penulis juga
menyelitkan resipi-resipi kopi yang popular di kafe beliau.
Itu lebih membuatkan Q teruja. Dia dapat belajar
sesuatu yang baharu dari segi seni kopi dan juga resipi
baharu. Helaian demi helaian diselak secara rawak. Tanpa
sedar, dia mula ralit dengan buku itu. Setiap gambar dan
resipi diperhatikan dengan teliti. Teruja untuk mencuba
semua resipi itu, bibirnya melakar senyum lebar.

ENTAH PUKUL berapa dia lena semalam, dia pun tidak tahu.
Q menggeliat malas. Hari ini Luth bagi masuk lambat, tapi
dia risaukan lelaki itu. Bukan ada apa pun makanan yang
sedia untuk dimakan di kafe. Lalu dia turun daripada katil.
Ingatkan, selepas solat subuh hendak tidur sekejap, tetapi
perasaan risaunya terhadap Luth tidak mampu membuatkan
matanya lena kembali. Akhirnya dia akur pada tuntutan hati.
Melangkah ke ruangan dapur, dia menuju ke peti ais.
Melihat apa yang boleh dimasak untuk sarapan pagi ini. Ayam,
udang, sotong semua ada. Itu lauk wajib ada di dalam peti ais
mereka. Semua lauk itu dikeluarkan dan direndam dengan
air. Kemudian dia beralih ke kabinet yang menempatkan
barang kering. Tangan mencapai mihun.
Dia kembali membuka peti ais. Bahagian
sayur-sayuran dibuka, lalu dibawa keluar sayur yang mahu
digunakan. Semua bahan lengkap di atas meja, Q memulakan
kerjanya. Sekejap lagi Encik Haikal pun hendak keluar
bekerja. Tangan yang baru hendak memotong sayur terhenti,
teringat yang dia mahu mencuba resipi roti yang diperolehi
daripada Khairul tempoh hari.
“Pagi sayang. Masak apa tu?” tegur Encik Haikal.
“Papa!” Q jegilkan mata. Terkejut dibuatnya.
Encik Haikal senyum segaris.
“Ralit sangat masak, sampai tak sedar papa masuk,”
omel Encik Haikal.
“Papa dah nak pergi kerja ke?”
“Tak. Papa tak kerja hari ni.”
“Kenapa? Papa sakit?” Sudip diletakkan. Kaki laju
diatur mendekati Encik Haikal. Tangan naik menyentuh dahi
tua itu. Tidak panas.
“Tak panas pun. Papa sakit kat mana? Kita pergi
hospital ya?” kalut Q bertanya.
“Sayang, tenang. Tu... yang kat atas dapur tu nanti
hangit.” Bibir Encik Haikal memuncung ke depan.
“Allah!” Q berlari anak menutup api dapur.
Dibalik-balikkan mihun, takut hangit bahagian bawahnya.
“Masak apa tu? Wangi semacam.”
“Q buat mihun goreng tomyam dan roti keju.”
“Sedap. Q tak kerja ke?”
“Kerja, tapi masuk lambat sikit. Semalam kurang
pekerja, semua penat. Jadi hari ni bos bagi kelonggaran
buka kafe lambat,” cerita Q sambil memasukkan mihun ke
dalam mangkuk lalu diletakkan ke atas meja. Disenduk ke
dalam pinggan sebelum dihulurkan kepada Encik Haikal. Air
kopi kurang manis disua bersama sepiring roti yang telah
dipotong. Kemudian dia beralih ke almari yang menyimpan
bekas tertutup. Mangkuk tingkat diambil.
Encik Haikal memerhati tingkah si anak dengan
tanda tanya. Dibiarkan Q menyelesaikan kerjanya sebelum
bertanya. Mihun disuap ke dalam mulut. Sedap! Setiap air
tangan Q mengingatkannya akan arwah isterinya. Rasa yang
sama.
“Bawa bekal?” tanya Encik Haikal apabila Q
menyertainya di meja makan. Tetapi setahunya, anaknya itu
tidak pernah membawa bekal ke tempat kerja. Sarapan pagi
di rumah bersamanya. Jadi untuk siapa bekal ini? Rasa hairan
mengetuk hati tuanya.
“Taklah. Ini untuk Luth. Dia tidur kat kafe. Tak ada
makanan pun yang tinggal semalam. Semua dah habis,”
cerita Q tanpa syak. Tangan laju melakukan kerjanya.
Encik Haikal jongketkan kening. Bibirnya melakar
senyum penuh makna. Ambil berat sebegini sekali, masih
tak tahu dalam hati ada cinta ke? Menggeleng kepala Encik
Haikal.
“Yang papa geleng kepala lepas tu sengih kenapa?”
soal Q dengan kerut di dahi. Pelik-pelik sikap papanya
sekarang.
“Atau... papa ada jumpa...” usik Q menggantungkan
bicaranya. Dia senyum nakal.
“Q ni, tak habis-habis dengan itu. Hidup papa dah
cukup ada Q. Dah tua-tua ni, lebih baik banyakkan amal
ibadah daripada hal dunia. Q tu, bukan main ambil berat lagi
dekat bos yang garang lagi cerewet tu. Ada apa-apa ke?” selar
Encik Haikal sinis.
Q tergamam. Jadi, Encik Haikal sengih tadi sebab
itulah.
“Mana ada apa-apa. Q... Q cuma kasihankan dia.
Semalam dia tolong kita orang kat kafe. Mesti penat. Pagi ni
pula, mesti dia lapar. Dia tu bukan boleh tahan lapar, nanti
bertukar jadi singa. Kalau dia jadi singa, anak papa yang
comel ni yang susah,” panjang lebar Q menjelaskan.
Bibir tua Encik Haikal menguntum senyum. Lucu
dengan kekalutan si anak menjelaskan.
“Kalau betul suka pun, papa tak kisah,” ujar Encik
Haikal bersama tawa.
“Pa!” Merona merah pipi Q.
“Alolo... merahnya pipi anak dara papa ni.” Dicubit
pipi Q.
Q menarik muncung. Pagi-pagi sudah menjadi
bahan usikan papanya.
“Terima kasih untuk sarapan ni, sayang. Makan cepat,
pergi siap. Hantar sarapan untuk bos tersayang pula lepas
ni. Kasihan dia,” usik Encik Haikal seraya bangun daripada
duduk dan berlalu ke ruang tamu. Hari ini dia mahu berehat
di rumah saja. Lagi pula surau di kawasan perumahannya ini
mengadakan majlis agama pada hari ini.
Q kemam bibir. Dia menguis-nguis mihun di dalam
pinggan. Salahkah dia berbuat baik dengan bosnya sendiri?
Sarapan aje pun. Bukannya dia buat benda pelik.
Q MEMBUKA kunci pintu kafe. Jam di pergelangan tangan
dikerling sekilas. 9 pagi. Tidak ada seorang pun sampai lagi.
Baru beberapa tapak melangkah, telinganya
menangkap bunyi dari bahagian dapur. Terus saja kakinya
dibawa ke sana. Dari ambang pintu dapur, dia dapat lihat Luth
yang sedang menyelongkar peti ais.
“Ehem!” deham Q.
Luth kalih kepala ke belakang. Terduduk dia melihat
Q yang tersenyum cantik. Tangan naik mengusap dada yang
terkejut.
“Isy, kau ni!” Luth geram. Dia bangun, punggung
disapu kasar.
“Bos buat apa tu?”
“Cari kau dalam ni, tapi rupanya duk kat situ,” sinis
nada Luth. Dia membawa langkah ke ruang tengah kafe.
Perutnya pedih menahan lapar. Dari semalam dia hanya
mengisi perutnya dengan kopi.
Ketika melintasi Q, hidungnya menangkap bau
wangi dari bekas yang dibawa gadis itu. Liur ditelan payah.
Duduk dilabuhkan di atas kerusi. Kepala bertelangkup di atas
meja.
Q sengih. Dia mengatur langkah ke arah meja.
Mangkuk tingkat diletakkan dengan sedikit kuat. Memancing
minat Luth.
“Apa?” tanya Luth dengan kepala masih menelangkup
di atas meja.
“Saya ada bawa mihun goreng tomyam dan roti keju.
Tapi rasanya bos tak berminat. Takpelah, saya simpan untuk
Aqil dan...”
“Mana?” pantas Luth angkat wajah. Ditenung Q
tajam. Dah bawa untuk dia, ada hati nak bagi orang lain!
“Ingatkan...”
“Tak payah nak ingat-ingat. Cepatlah, lapar ni,”
cantas Luth lagi.
Dengan hati yang sebal, Q buka penutup mangkuk
tingkat. Roti diletakkan di hadapan Luth bersama mihun.
Luth hidu. Wangi. Liur ditelan lagi. Seleranya sudah
terpancing dengan bau wangi dari makanan itu.
“Masak ke beli?” tanya Luth seraya menyudu mihun
ke dalam mulut. Sedap! Diangkat mata memandang Q yang
memuncung.
“Beli!” rengus Q. Punyalah susah payah dia bangun
masakkan, boleh pula tanya soalan itu.
Tawa kecil Luth terluah. Dipanggung kepala
memandang Q. Merajuk lagilah tu!
“Terima kasih masakkan untuk aku. Sedap! Nanti
masakkan lagi ek?” pinta Luth.
Intonasi Luth yang lembut menyentuh hati Q.
Spontan bibirnya mengukir senyum. Kembang hatinya
menerima pujian daripada lelaki itu.
“Bos makanlah, saya nak buat kerja dulu.”
“Okey.” Luth menyambung makan. Seketika
kemudian, dia teringat sesuatu.
“Q!” panggil Luth.
“Ya.”
“Kalau niat masak untuk aku, jangan nak bagi orang
lain!” tegas amaran itu dikeluarkan sebelum dia menyambung
makan.
Q pula terpinga-pinga. Kenapa pagi ni semua orang
suka buat dia tertanya-tanya? Di rumah, papa... sekarang di
kafe, Luth pula. Cakap terus terang tak boleh ke? Menyusahkan
betul! Malas mahu memikirkan maksud di sebalik amaran
Luth, dia melangkah ke kaunter.
Siap makan, Luth mendapatkan Q yang sedang
menyusun cawan di rak. Diintai tangan gadis itu, makin
kurang merah. Pagi ini Q datang dengan senyuman di bibir,
adakah rasa marah semalam sudah hilang?
“Tangan tu sakit lagi ke?” lembut nada Luth bertanya.
“Hah?”
“Tangan yang kena air panas semalam, dah okey ke?”
Luth ulang soalan lengkap.
“Oo... dah okey. Sikit aje,” jawab Q perlahan sambil
merenung tangan yang makin kurang merahnya.
“Baguslah. Aku naik mandi dulu. Kau okey ke kemas
kafe ni sorang-sorang?”
“Bos, selama ini saya buat dengan siapa?” Q jegilkan
mata.
Meletus tawa Luth. Seiring itu, dia melangkah naik
ke pejabat.

No comments:

Post a Comment