DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 October 2019

Dean & Jean - Bab 1

“LEBIH 1/3 perkahwinan yang berakhir
dengan penceraian berlaku dalam tempoh 5 tahun pertama
perkahwinan, kata Hannah Yeoh. Antara punca-punca utama
penceraian pada perkahwinan pertama oleh lelaki adalah
tiada persefahaman sejumlah 56.2%. Manakala bagi wanita
pula, menyatakan punca utama perceraian adalah kerana
tiada persefahaman sebanyak 38% peratus.” Jean membaca
perlahan berita yang dicetak di ruang akhbar.
“Hurm... dunia!” Dengusan dilepaskan dan akhbar di
tangan terus dicampakkan ke atas meja.
Dean yang sedang leka dengan telefon bimbitnya
tersentak. Kepala didongakkan. Gadis itu dipandang dengan
dahi berkerut.
“Apa hal?” Pelik dia tiba-tiba mood Jean berubah.
Tadi elok sahaja bergelak ketawa. Tak sampai sepuluh 10
minit dah macam orang terkena penyakit kemurungan.
“Berita dalam paper ni ha! Buat aku makin takut je
nak kahwin.”
Kerutan di dahi Dean semakin berlapis-lapis. Tak
faham dia.
“Berita apa?” tanyanya. Tubuh yang sedang bersandar
di kerusi ditegakkan. Surat khabar yang terdampar di atas
meja dikerling. Hendak diambil dan baca, malaslah pula.
Lebih baik dia dengar sahaja Jean bercerita. Lagipun Dean
kan suka mendengar Jean menceceh. Heh!
“Statistik perceraian di Malaysia.”
Tawa kecil Dean meletus. Hurm... pasal itu rupanya.
Tak habis-habis dengan isu yang sama. Tapi, buat apalah
Jean ambil serius sangat dengan perkara-perkara sebegitu.
Lumrah kehidupan bukannya semuanya indah dan mudah.
Desisnya.
“Kalau dah tak ada persefahaman dan perceraian
adalah jalan yang terbaik, buat apa nak terus hidup bersama
lagi?” balas Dean bersahaja. Wajah yang masih berkerut-kerut
bingung itu terus dipandang.
Jean, entah apa agaknya yang difikirkan dalam
kepala gadis itu. Kebimbangan gadis itu untuk menempuh
alam rumah tangga kadang-kadang merunsingkan Dean.
Tak pasal-pasal dia turut terbabit sebab terpaksa memikirkan
tentang perkara yang sama. Sedangkan cara pemikiran dia
mudah sahaja.
Kalau dia betul-betul suka akan dia pikat
habis-habisan sampailah dapat. Apabila dah dapat tentulah
dia akan ikat kuat-kuat. Susah-susah nak dapat masakan
hendak disia-siakan. Itu prinsip Deanlah. Orang lain punya
cara pemikiran dan bentuk tindakan, dia tak ambil kisah
dan peduli. Sebab itulah dia malas hendak ambil pusing
kisah-kisah begitu. Buat serabut kepala sahaja.
“Kahwin sebab cinta, tapi bila bercerai kata tak
sefahaman. I cannot brain betullah.” Jean membebel lagi dan
tangan dipeluk ke tubuh.
“Jean, tak ada orang yang berkahwin untuk
bercerai. Kahwin atas dasar cinta tak semestinya akan kekal
bahagia sampai tua. Hidup kita ni kan banyak dugaan dan
pancarobanya. Tak semua orang bernasib baik dan hidup
bahagia hingga hujung nyawa,” ucap Dean meluahkan
pandangannya.
“Tapi kenapa tak cuba pertahankan? Perasaan cinta
yang ada tak cukup untuk memperbaiki keadaan?” bidas Jean
sedikit keras. Haih! Dia memang tak boleh terima kalau tak
sefahaman dijadikan alasannya. Bertahun-tahun menyulam
cinta, masakan masih tiada sefahaman?
“Kadang-kadang bila ada masalah dalam rumah
tangga, perasaan cinta boleh hilang ditelan masa dan yang
tinggal hanyalah rasa benci. But it depends on apa puncanya.
Aku yakin mereka yang dalam fasa bercerai atau telah bercerai
sudah mencuba sedaya upaya mereka untuk pertahankan
rumah tangga mereka tapi dah takdir, jodoh mereka hanya
sampai setakat itu sahaja. Nak buat macam mana. Lagipun
kita bukannya boleh melawan takdir. Segala-galanya dah
tertulis Jean,” luah Dean panjang lebar. Terasa sedikit haus,
air teh o ais laici di atas meja dicapai dan dihirup. Sebiji laici
dicedok dengan sudu dan disuapkan ke mulut.
Jean terdiam sambil memerhati setiap perlakuan
Dean di hadapannya. Reaksi Dean nampak bersahaja
seolah-olah tidak terkesan langsung dengan isu yang sedang
mereka bicarakan ketika itu. Lelaki ekstrovert seperti Dean
memanglah tidak kisah dengan masalah-masalah begitu.
Entah-entah Dean juga tergolong di antara lelaki-lelaki yang
tak setia. Fikirnya.
Melihat Jean yang hanya diam membisu, gelas
air teh o ais laici diletakkan semula ke atas meja dan Dean
menyambung bicara.
“Lagipun Jean, bercerai bukan bermakna
berakhirnya sebuah kehidupan. Kadang-kadang ia menjadi
satu titik permulaan untuk seseorang menggapai bahagia.
Lagipun dalam hadis juga jelas disebut; perbuatan halal yang
dibenci oleh Allah adalah talak. So, kenapa tak boleh memilih
untuk bercerai kalau itu jalan terakhir yang boleh dipilih?”
Kening dijongket.
“Yalah aku tahu. But still, I don’t understand, kenapa
perlu kahwin kalau end up dengan perceraian?” keluh Jean.
“Mereka dah mencuba Jean tetapi tak berjaya.
Perkahwinan sama juga seperti peperiksaan. Kau rajin
berusaha kau berjaya tapi kalau kau tak serius dan hanya
bersikap ala kadar, kau akan kecundang.”
“Tapi perkahwinan bukan untuk dicuba. Perkahwinan
itu komitmen. Bagi aku, bila kau dah jabat tangan tok kadi
bermakna kau sanggup memikul komitmen tersebut. Bukan
ambil mudah sahaja. Lagipun, setiap masalah ada jalan
penyelesaian. Kenapa tak cuba selesaikan? Kenapa tak cari
ruang untuk berdamai? Bila suka bersama, bila tak suka
berpisah! Senangnya alahai hidup,” bidas Jean tidak bersetuju
dengan pendapat Dean.
“Sebab itulah mereka yang hendak berkahwin perlu
ada ilmu. Ilmu rumah tangga, ilmu parenting dan paling
penting, ilmu agama. Dengan ilmu-ilmu itulah diaorang kena
bentuk keluarga mereka. Kebanyakan pasangan sekarang
berkahwin hanya kerana nafsu bukan kerana tuntutan agama.
Berkahwin untuk seronok bukan untuk mencari keberkatan.”
“Maknanya yang gagal tu tak ada semua yang kau
sebutkan tu? Hurm... sedihnya,” luah Jean. Dia mendengus.
Dean buang senyum. Jean... Jean.
“Don’t think too much, my dear Jean. Cuba pandang
perceraian itu sebagai sesuatu yang baik,” pujuk Dean lembut.
Tak mahu dia melihat wajah Jean yang serabut begitu. Orang
lain punya kisah Jean pula yang melebih-lebih. Takkan Jean
tak tahu nasib setiap orang itukan berbeza.
Dahi Jean berkerut lagi. Pandang sebagai sesuatu
yang baik? Heartless betullah Dean ni. Bukankah perceraian
itu memberi kesan yang mendalam kepada setiap orang?
Mental dan fizikal? Lebih-lebih lagi kepada mereka yang
punya zuriat. Bebelnya dalam hati.
“Maksud aku, pandang perceraian itu dari sudut
positif. Anggap ia sebagai satu proses untuk seseorang itu
menjadi lebih baik dan bijak dalam membuat pilihan. Kalau
dengan A gagal, dia boleh pilih B. Kalau dengan B pun gagal,
she or he can choose C. As simple as that and as long as
the end result is happiness. Okey apa.” Mengerti dengan
riak yang dipamerkan Jean, Dean menyambung bicaranya
menerangkan apa yang dimaksudkan.
Senangnya Dean berkata-kata. Belum terkena batang
hidung bolehlah cakap lebat. Bila terkena nanti entah-entah
meroyan sorang-sorang. Ejeknya. Terfikirkan sesuatu, Jean
bersuara semula.
“Dean...” panggil Jean setelah lama terdiam.
Dean mendongak.
“Hurm...” Kening dijongket dan pandangan Jean
dibalas. Buah laici dalam gelas dicedok lagi lalu disumbatkan
ke dalam mulut.
“Ermm... kenapa eh sampai sekarang kau masih
tak ada girlfriend? Kau takut nak kahwin ke?” Wajah di
hadapannya itu direnung. Kebiasaannya lelaki sebaya Dean
selalu ke hulu ke hilir dengan teman wanita atau ada yang
sudah berjalan dengan anak sendiri. Tapi peliknya Dean,
lelaki itu masih menyendiri dan hari-hari keluar dengan dia!
Ketawa Dean meletus lagi dan tubuh disandarkan
semula ke kerusi. Menafikan soalan Jean kepala digeleng.
“Aku takut kahwin? Nope! Kalau boleh sekarang juga
aku nak kahwin dan ada keluarga. Maklumlah umur aku pun
dah hampir menjengah tiga siri. Tapi sayangnya orang yang
aku suka tak nakkan aku,” jawab Dean bersahaja.
Membuntang mata Jean kerana terkejut mendengar
jawapan Dean. Kenapa dia tak tahu Dean pernah ada crush?
Pandai betul lelaki itu simpan rahsia. Kata tiada rahsia antara
mereka tapi perkara penting macam itu Dean simpan sendiri
sahaja. Ceh! Poyo aje statement Dean!
“Serius?” soal Jean beria. Tubuhnya ditegakkan
sedang mata tajam merenung lelaki di hadapannya itu.
Dean mengangguk.
“Kenapa aku tak tahu?” asak Jean.
“Kalau kau tahu tentu aku lagi malu.”
“Eh, malu pulak! Tapi mana tahu aku boleh tolong
kau?” Jean menjongketkan kening. Dean ingat dia tak pandai
nak match makingkan orang?
Dean buang senyum segaris.
“Ermm... Kenapa awek tu tolak kau? Awek tu ada
boyfriend lain?” soal Jean beria.
Dean menggeleng pula.
“Habis tu?” Jean kerutkan dahi. Pelik dia, lelaki
macam Dean pun kena reject? Apa yang kurangnya Dean?
Tinggi lampai, kacak, baik, berpenampilan menarik,
berpendidikan dan mempunyai perniagaan sendiri. Ha, apa
lagi yang perempuan itu pandang? Tak cukupkah lagi pakej
yang ada?
“Mungkin aku tak memenuhi kriteria lelaki idaman
dia agaknya,” balas Dean perlahan. Bahunya dijongket sedikit.
Jean tercengang. Dean dipandang dari atas ke
bawah. Sampai tersenget-senget tubuh dia untuk melihat
sendiri penampilan Dean hari itu. Perfect! Ya, penampilan
Dean sangat sempurna.
“Dia buta ke? Lelaki perfect macam kau pun dia
sanggup reject? Eeee... tak faham aku!” Kepala digeleng.
Tiba-tiba senyum di bibir Dean terukir.
“Am I that good?” tanya Dean dengan hati yang
kembang setaman. Kalau orang lain yang memuji tentu dia
tidak begitu kisah tetapi sekarang yang memuji itu, Jean.
Argh! Bukan senang seorang yang bernama Jeanelle Fitri
hendak memuji sesiapa.
“Eh, tentulah!” Jean mengangguk beria.
Dean berdeham. “Kalau betul aku bagus kenapa kau
tak jatuh hati pada aku?” soalnya dengan kening terjongket.
Jean terdiam dan bibirnya digigit seolah-olah
memikirkan sesuatu. Dean pula hanya memerhati sahaja
reaksi Jean sedang hati tidak sabar untuk mendengar jawapan
dari bibir comel itu.
“Ermm... mungkin sebab pada aku, kau berbeza kut.
Pada aku, kau macam... ha, a good brother and a perfect best
friend,” jawab Jean bersungguh-sungguh.
“Just a good brother and a perfect best friend?” soal
Dean sambil tersenyum tawar.
Jean angguk mengiakan.
Dean hela nafas. Kecewa dia mendengar jawapan jujur
itu. Baru sahaja dia ingin bersuara semula telefon bimbitnya
berbunyi. Tubuh digerakkan ke hadapan sedikit lalu telefon
bimbit di atas meja diperhati. Sebaik terpandangkan nama
yang tertera di skrin, sepantas kilat itu panggilan tersebut
disambut.
“Waalaikumussalam,” jawabnya sopan sambil
mengerling Jean di hadapan.
“Hurm... Dean ada dengan Jean sekarang. Kami
baru nak lunch,” ucapnya membalas pertanyaan pemanggil
di talian.
Terdengar namanya disebut, Jean mengangkat
keningnya. Tetapi melihat dari cara perbualan Dean, rasanya
dia sudah dapat meneka siapa gerangan pemanggil tersebut.
“Sure uncle, no problem. Hujung minggu ni Dean
datang rumah uncle,” jawab Dean dan terus menyambung
perbualan. Setelah berbicara beberapa ketika, talian
dimatikan dan telefon bimbit diletakkan semula ke atas meja.
“Papa aku?” Jean memeluk tangan ke tubuh.
Dean mengangguk.
Jean mencemik. Hurm... sudah dia agak. Kalau
begitu cara percakapan Dean sudah tentulah dengan papa.
Peliknya, macam manalah hubungan Dean dengan papa boleh
serapat itu. Selalu pergi memancing bersama. Boleh berborak
dan bergelak tawa berjam-jam lamanya. Boleh sama-sama
menonton perlawanan bola sepak sampai ke pagi dan sorak
beria. Hurm... ada macam-macam perkara lagilah yang papa
dan Dean buat bersama-sama sehingga dia kadang-kadang
cemburu melihat kemesraan mereka.
“Papa nak apa?” tanya Jean cuba mengorek rahsia.
Dean simpan senyum. Faham benar dia yang anak
manja Encik Jamilul sedang cemburu sekarang. Tengok
reaksi Jean sahaja dia sudah dapat meneka.
“Uncle ajak aku breakfast sama-sama weekend ni,”
jawabnya selamba.
‘Ajak breakfast bersama? Amboi... sweetnya!’ ejek
Jean dalam hati.
“Hurm... breakfast dekat mana?” Jean cuba beriak
biasa walau hati geram sahaja mendengar jawapan selamba
Dean. Air di atas meja dicapai dan dihirup untuk meredakan
rasa sakit hati. Hurm... nampak sangat papa memang lebih
sayangkan Dean!
“Dekat rumah kau. Uncle kata dia nak masak untuk
aku.”
Terus tersembur air teh O ais yang baru masuk ke
dalam mulut.
“What???” jerit Jean seakan tidak percaya. Papa nak
masak? Biasanya papa hanya masak pada hari-hari istimewa
sahaja. So, apa yang istimewanya hari Ahad nanti sampai papa
sanggup masakkan untuk Dean? Argh! Geramnya dia.
Melihat reaksi Jean, Dean tidak dapat menahan geli
hati dan terus ketawa terbahak-bahak.

No comments:

Post a Comment