DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Bab 6

TERSENTAK apabila tiba-tiba satu
bungkusan elok dilempar tepat ke atas katil. Terdampar
betul-betul di sisi Darwisya. Mata spontan teralih pada
si suami. Terkebil-kebil merenung Dinzly. Kurang
mengerti.
“Aku nak mulai hari ni, benda tu ada dekat atas
kepala kau.” Sebaris arahan.
Perlahan-lahan jemari Darwisya mencapai. Saat
mata menjenguk isi, Darwisya kembali menghalakan
bebola matanya tepat ke arah Dinzly.
“Kenapa susah-susah belikan untuk saya? Kalau
awak nak saya pakai tudung, saya boleh beli sendiri.”
Seperti biasa, Dinzly melarik senyum sinis.
“Kau rasa aku buat semua tu untuk kau ke,
Darwisya?” Soalan provokasi.
Darwisya kebam bibir. Tahu ayat Dinzly selepas
ini pasti akan mencarik sekeping hati miliknya.
“Aku buat sebab maruah ayah dan ibu. Nak
tunggu otak kau tu berfungsi, memang lembap. Semua
nak kena aku yang cakap dulu. Selagi kau jejak kaki
rumah orang tua aku, aku nak kau dahulukan maruah
mereka berbanding maruah kau. Sebab...” Sengaja
Dinzly menggantung ayat. “Sebab maruah kau tu dah
tak bernilai di mata aku,” sambung Dinzly sekali gus
menyentapkan hulu hati Darwisya.
“Saya faham, Dinz.” Sayu suara itu melantun.
“Baguslah kalau kau faham. Tak payah aku nak
ulang banyak kali. Kau ingat sikit yang kau dah susahkan
hidup aku, jadi jangan sesekali susahkan hidup orang
tua aku pula,” bicara Dinzly sebelum memasang niat
untuk berlalu.
Kembali terkaku apabila masih ada yang ingin
dia sampaikan kepada Darwisya. Menoleh kembali,
kedua-dua belah tangan menyeluk saku seluar.
“Lagi 2 hari kau akan ikut aku balik ke rumah
aku. Cuti aku dah nak habis,” tutur Dinzly mendatar.
Rasa macam terpaksa. Sungguh hati memang tidak rela.
Hendak dibawa perempuan tidak diiktiraf ini masuk ke
rumahnya, tak ubah seperti membuat keputusan yang
melibatkan hidup dan mati.
“Dinz...” seru Darwisya apabila perasan Dinzly
sudah ada tanda-tanda hendak berlalu.
Menjongketkan sebelah kening. Malas nak buka
mulut. Makin banyak dia bercakap, tak mustahil makin
banyak ada orang yang makan hati.
“Saya nak minta izin dengan awak.” Darwisya
terpaksa buka mulut. Itu pun apabila teringatkan
nasihat Puan Munirah.
“What?”
“Saya nak balik rumah keluarga saya, boleh?”
Suasana sunyi sepi untuk seketika. Menarik
nafas dalam, Dinzly hembuskan kembali.
“Suka hati kaulah. Kau ada ke tak ada nanti,
hidup aku tak terkesan pun. Tapi lagi eloklah kalau kau
tak ada, kan? Taklah aku rasa pelik duduk dalam rumah
aku sendiri.” Sindiran tepat pada batang hidung.
Darwisya telan saja tanpa mengeluh. Memang
itulah hidangan untuknya setiap hari. Nak harapkan
Dinzly bercakap baik-baik, memang ibarat menanti
bulan jatuh ke riba.
“Awak izinkan?” Masih mahukan kepastian.
Dinzly pandang wajah Darwisya agak lama.
Perlu ke Darwisya meminta izin dengannya sedangkan
Darwisya sendiri tahu perkahwinan mereka bukannya
sama seperti orang lain?
“Kau tahu aku bukan rela hati kahwin dengan
kau, kan?”
Angguk.
“Kau tahu aku tak kisah kalau apa sekalipun
terjadi dekat kau, kan?”
Masih mengangguk.
“Jadi kau ada jawapan aku. Macam yang aku
cakap, suka hati kau. Sebab urusan hidup kau tak ada
kena-mengena dengan aku.” Dinzly menoktahkan ayat
dan memusingkan tubuh.
Tersekat sekali lagi saat getar suara Darwisya
menerjah deria telinganya.
“Saya tahu awak tak kisah dengan saya, Dinz.
Tapi ibu yang suruh saya minta izin dengan awak.”
Cuba tidak mahu Dinzly salah faham dengan niatnya.
“Beritahu pada ibu, aku dah izinkan.” Mudah
jawapan Dinzly lalu pintu kamar dikatup rapat.
Darwisya mengerdipkan mata beberapa kali.
Cuba menghalang gugurnya mutiara jernih. Setajam
mana bicara Dinzly kepadanya, Darwisya tak punya
sebarang hak untuk terasa. Seteruk mana layanan
Dinzly, Darwisya tetap tidak punya hak untuk mengeluh.
Dinzly sudi mengutipnya untuk dijadikan isteri
pun sudah seperti satu rahmat besar. Bukankah tidak
tahu bersyukur namanya kalau dia masih lagi hendak
mengada-ada?
‘Tolong sedar diri, Wisya!’ monolog Darwisya
seraya mengusap perlahan kandungan yang masih
belum kelihatan itu. Entah kenapa, rasa sebak makin
mengasak ruang dada.
Kalau nasibnya sudah begini, kelak apa pula
nasib bayi yang tak berdosa ini?

No comments:

Post a Comment