DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 October 2019

Dean & Jean - Bab 10

DEAN buang pandang ke sekeliling. Kemudian
telefon bimbit di tangan dikerling pula. Kereta Jean masih
belum kelihatan dan mesej daripada gadis itu juga tiada.
Spontan itu jam di pergelangan tangan dikerling. Waktu sudah
hampir menginjak ke pukul 8 malam tetapi bayang-bayang
Jean masih juga belum kelihatan.
Tidak terus menunggu, nombor telefon Jean didail.
Senyap. Sekali lagi nombor Jean didail. Lama Dean menunggu
dan akhirnya panggilannya bersambut juga.
“Waalaikumussalam.” Salam Jean disambut dan
tubuh disandarkan ke tiang luar pintu balai ketibaan.
“Aku dah nak sampai. Sorry, jalan jammed teruk.”
Belum sempat Dean bertanya, Jean sudah memberikan
jawapannya.
“Kau tunggu dekat luar, kan? Dalam 5 minit lagi aku
sampai.”
Klik!
Jean menamatkan perbualan mereka tanpa sempat
Dean berkata apa-apa. Hurm... Jean, apabila berada dalam
keadaan kalut memang begitulah dia. Bibir terus mengukir
senyum. Telefon bimbitnya disimpan dan langkah diayun ke
hadapan sedikit supaya mudah Jean mencari kelibat dirinya.
Belum sampai 5 minit Dean menunggu, Honda
HR-V berwarna merah Jean sudah berhenti betul-betul di
hadapannya. Nasib baik ketika itu tidak sesak dengan ramai
orang. Jadi senanglah Jean berhentikan keretanya.
“Sorry Dean, ada accident tadi sebab tu lambat. Gila
betul dekat 2 jam sangkut dalam jammed. Naik lenguh kaki
aku asyik tekan brek aje,” bebel Jean bercerita tentang apa
yang berlaku.
“It’s okay, aku faham. Aku ingat kenapa tadi sebab
lewat sangat kau sampai. Kalau setakat jammed aku tak kisah
sangat tapi aku risau kereta kau rosak dekat mana-mana
masa on the way ambil aku.”
Jean buang sengih.
“Kau nak risau buat apa? Kereta aku kan kau
yang selalu hantar servis bila dah sampai masa.” Jean
mengingatkan dan kereta terus dipandu keluar dari kawasan
lapangan terbang.
“Memanglah tapi malang tak berbau. Selalu servis
pun kalau tiba-tiba nak rosak kita tak boleh kata apa juga,
kan?” Kening dijongket.
“Yalah... yalah Encik Dean. Message received loud
and clear. So, sekarang, kita nak pergi makan dekat mana?
Aku dah lapar,” rungut Jean. Apa tidaknya kali terakhir dia
makan adalah pagi tadi. Makan tengah hari pun dia tak sempat
keluar dek menyediakan dokumen untuk perbincangan
dengan wakil Nutra Beauty.
“Singgah kedai mamak yang biasa kita lepak tu
ajelah. Kau boleh makan nasi tumpang yang ma aku buat
dekat situ.”
Sengih Jean melebar.
“Ma kau baik eh. Minta buat, sungguh-sungguh dia
buatkan,” puji Jean.
“Buatkan untuk bakal menantu sebab itulah ma aku
beria-ia,” gumam Dean perlahan.
“Kau cakap apa?” Jean memandang Dean di sebelah
dengan kerutan di dahi.
“Tak ada apalah. Pandang depan masa tengah drive.
Kau tu bukannya pro sangat,” dalih Dean.
Jean mencemik. Pandangannya terus dibuangkan ke
hadapan. Sepanjang perjalanan dari Sepang sehinggalah ke
kedai mamak kegemaran mereka yang terletak di Taman Tun
Dr. Ismail, tak banyak perkara yang mereka bualkan.
Dean lebih suka berdiam dan mendengar sahaja Jean
menyanyi mengikut CD yang dipasangnya ketika itu. Suara
Jean tidaklah sedap mana tapi dia suka saja mendengarnya.
Jean, apa sajalah yang dibuatnya dia tak suka. Jean membebel
pun dia suka dengar inikan pula menyanyi.
Sampai sahaja di hadapan kedai yang dituju, Jean
terus memberhentikan keretanya. Mereka terus keluar dan
berjalan beriringan masuk ke dalam restoran tersebut.
Sebaik duduk, Dean terus angkat tangan memanggil
pelayan. Tidak lama menunggu seorang lelaki India Muslim
datang menghampiri mereka.
“Jean, kau nak air apa?” Jean yang sedang
membetulkan duduk dipandang.
Jean, walaupun dengan rambut yang diikat ala kadar
begitu, tetap nampak cantik. Bukan cantik tapi perkataan
yang sesuai menggambarkan Jean ketika itu adalah comel
dan cute. Biasalah apabila dah seharian bekerja memang
begitulah penampilan Jean.
Peliknya, Jean langsung tak kisah orang melihatnya
dalam keadaan itu. Sesetengah perempuan seusia Jean tentu
kisah kalau keluar tanpa mekap atau berpenampilan tidak
kemas tetapi bukan Jean. Mungkin sebab itulah dia jatuh hati
pada Jean. Gadis itu nampak jujur pada diri sendiri begitu
juga apabila berdepan dengan orang lain.
“Teh o panas.” Nafasnya dihela dan ikatan rambutnya
dikemaskan.
Melihat apa yang dilakukan Jean, Dean tersenyum.
Jean macam tahu-tahu sahaja apa yang ada dalam fikirannya.
“Saya nak teh tarik kurang manis dan Mi Goreng
Mamak. Jangan buat pedas sangat,” pesannya.
Selesai menulis pesanan, pelayan itu terus beredar.
“Nasi tumpang yang kau pesan tu. Makan habiskan.
Kalau simpan aku takut basi pulak.” Tupperware yang baru
dikeluarkan dari dalam beg diletakkan di hadapan Jean dan
dia bingkas bangun. Bekas sudu dan garpu dari meja sebelah
diambil dan diletakkan di atas meja.
“Sekejap aku minta pinggan dulu,” ujar Dean lagi.
Jean hanya senyum sahaja dan mengangguk.
Tupperware di atas meja dibuka dan serta-merta itu aroma
nasi tumpang mencucuk hidung. Ya Allah, sedapnya. Bisiknya
sambil memejamkan mata.
“Hai... sampai macam tu sekali syoknya dapat nasi
tumpang?” Dean ketawa. Pinggan yang dibawanya diletakkan
di hadapan Jean.
“Seriuslah Dean, nasi tumpang yang mak kau buat
ni sedap gila,” puji Jean dan satu bungkus nasi tumpang
dikeluarkan lalu diletakkan ke dalam pinggan. Daun pisang
yang membaluti nasi tumpang itu terus dibuka dan sekali lagi
matanya dipejamkan.
“Kalau hari-hari makan sedap macam ni, gemuklah
aku.” Gelaknya. Sudu dan garpu dicapai. Baru sahaja nasi
tersebut ingin disuapkan ke dalam mulut, Dean menegur.
Spontan itu kepalanya diangkat dan keningnya dijongketkan.
“Baca doa dulu.” Lembut Dean mengingatkan.
Jean tersengih lalu kepalanya digaru. Akur,
kedua-dua tangannya diangkat dan doa makan dibaca.
“Amin,” ucapnya dan tangan diraup ke muka. “Dah
boleh makan kan?” selorohnya.
Dean tergelak kecil dan kepalanya diangguk. Tubuh
terus disandarkan ke kerusi dan tangan dipeluk ke tubuh.
Mata pula sejak tadi tidak berganjak memerhati Jean yang
begitu asyik menikmati nasi tumpang di hadapannya.
“Eh, kau tak nak ke? Sedap ni,” ucap Jean beria-ia.
Kepala digeleng.
“Aku dah makan masa dekat rumah ma tadi. Itu
semua ma aku bungkuskan untuk kau.”
“Baiklah ma kau.”
Tidak membalas pujian Jean, Dean hanya senyum
sahaja. Jean pula terus menyambung suapannya. Teringatkan
sesuatu, kepalanya diangkat memandang Dean semula.
“Aku lupa nak beritahu kau tentang meeting hari
ni.” Jean bersuara dengan mulut yang masih penuh dengan
makanan.
“Makan dulu Jean. Yang tu nanti kita boleh bincang,”
tegur Dean.
“Oh, okey.” Jean buang sengih dan menyambung
makannya.
Dean masih terus memerhati sehinggalah makanan
yang dipesannya dihantar. Terus dia menikmati Mi Goreng
Mamak yang baru dihidangkan itu.
“Okey, kau nak cakap apa tadi?” Tisu dicapai dan
mulutnya yang terasa berminyak dikesat. Pinggan yang sudah
licin isinya ditolakkan ke tengah sedikit. Gelas teh tarik yang
sudah sejuk dicapai lalu dihirup.
Jean yang juga baru sudah makan tegakkan tubuh.
Daun pisang yang diletakkan ke atas meja dikumpulkan dan
diletakkan ke dalam pinggan.
Fuh! Jean, sekali hadap empat bungkus nasi tumpang
yang kau bedal. Dalam Tupperware ada baki dua bungkus
yang masih belum terusik. Cukuplah tu simpankan untuk
mama dan papa merasa. Setakat dua aje? Hurm... okeylah tu
dari tak simpankan langsung, kan? Hatinya tergelak sendiri.
“Blurk...” Sendawa Jean tiba-tiba berbunyi memecah
sunyi antara mereka.
“Buatlah macam tu depan mak mertua kalau nak
kena kutuk.” Dean tergelak sambil gelengkan kepala. Tak
senonoh betul tapi yang tak senonoh itulah yang menceriakan
hari-harinya. Lagipun Jean berkelakuan kurang sopan begitu
hanya di hadapannya sahaja. Kalau bersama orang lain, Jean
memang sangat serius orangnya.
“Terlepas. Bukannya aku sengaja,” balas Jean
selamba. Boleh pula dia selamba sendawa di tempat terbuka
begitu. ‘Haih! Buruk betul perangai kau kan Jean?’ marahnya
kepada diri sendiri.
“So, apa yang kau nak beritahu aku tadi?” Sekali lagi
Dean bertanya.
“Bila dah kenyang tiba-tiba aku lupa pulak apa nak
beritahu kau tadi,” balas Jean bersahaja. Gelas di atas meja
dicapai dan terus dihirup sehingga licin isinya.
“Hurm... kalau aku tahu tak payah bagi makan dulu
tadi.”
“Pasal meeting dengan wakil Nutra Beauty petang
tadi.” Jean tergelak. Gelas yang masih di tangannya diletakkan
ke atas meja semula.
Dean mengangguk.
“Okey.”
“Nutra Beauty beri kita tempoh 2 minggu untuk
siapkan iklan tu.”
“Dua minggu?” Dean terdiam dan dagunya
digosok-gosok. Dalam masa 2 minggu manalah sempat
walaupun setakat untuk iklan tak sampai 10 minit.
“Kenapa cepat sangat?” soalnya setelah lama
membisu.
“Iklan tu mereka nak keluarkan sebulan lebih awal
dari produk. Marketing strategi katanya.”
“Tapi Mirzan kata nak keluarkan iklan serentak
dengan produk?”
Jean angkat bahu.
“Tukar strategi kut,” balasnya acuh tak acuh.
“Nanti bagi aku nombor telefon wakil dari Nutra
Beauty. Aku nak discuss schedule untuk shooting.”
Mendengar permintaan Dean, senyum Jean melebar.
“Kenapa?” Dean kerutkan dahi. Pelik melihat
senyum yang Jean pamerkan.
“Kau mesti teruja bekerja dengan dia.” Jean jongket
kening.
“Kenapa?” ulang Dean sekali lagi dengan kerutan
yang makin dalam.
“Wakil dari Nutra Beauty untuk projek ni perempuan.
Cantik pulak tu. Nama dia Nurlida,” beritahu Jean sambil
tersenyum mengusik.
Dean mencemik. Dia ingatkan apalah tadi. Jean
ingat dia hairan bekerja dengan perempuan cantik? Apa yang
penting bagi dia, Jean ada di sisinya sudah cukup. Dia tak
perlukan perempuan lain dalam hidup dia. Takkan itu pun
Jean tak perasan lagi?
Melihat reaksi Dean, Jean terus mengeluarkan
telefon bimbitnya dari dalam beg. Nombor Nurlida dicari dan
terus dihantar kepada Dean.
“Aku dah share nombor telefon awek tu dekat kau.
Nanti free calllah dia.” Kening dijongket nakal. “By the way
Dean, yang aku tahu dia tu single lagi,” sambung Jean sambil
tersengih lebar.
Berdecup mulut Dean digiat begitu. Malas hendak
melayan perangai senget Jean, tangannya terus diangkat dan
pelayan dipanggil.
“Kira,” suruh Dean apabila pelayan sampai di meja
mereka.
“Aik, takkan marah kut? Aku cuma nak kenalkan
perempuan yang cantik pada kau, bukannya aku buat
apa pun.” Jean kerutkan dahi. Tadi elok aje mood Dean.
Tiba-tiba aje tarik muka. Rasanya dia tak adalah cakap yang
bukan-bukan.
“Jom. Lewat dah ni,” ajak Dean sebaik selesai
membuat bayaran. Dengan muka yang masih cemberut, dia
terus berdiri.
Terpinga-pinga melihat reaksi Dean, Jean ikut
berdiri. Tupperware di atas meja dicapai dan dia terus berlari
mendapatkan Dean yang sudah beberapa langkah jauh ke
hadapan.
“Kunci.” Dean hulurkan tangan.
“Nak buat apa?”
“Biar aku hantar kau.”
Jean mendengus.
“Lecehlah kalau kau hantar. Nanti esok pagi lepas
subuh kau dah sampai. Tak apalah biar aku hantar kau. Aku
boleh aje balik sorang-sorang. Lagipun belum pukul 10 lagi,”
tolaknya. Kalau Dean yang menjemput dia pergi kerja, pukul
7.30 pagi lelaki itu dah tercongok depan pintu pagar rumah
dia.
“Biar aku hantar kau. Esok aku ambil pukul 8 pagi.”
Dean mula berkompromi.
Jean terdiam memikir.
“Jean...” panggil Dean lembut sedikit dari tadi.
Bersama helaan nafas, akhirnya Jean akur. Kunci
keretanya terus dihulurkan kepada Dean.
“Jangan ambil awal sangat.” Jean mengingatkan.
Dean buang senyum.
“Ya...” ucapnya berjanji lalu penggera kereta ditekan.
“Esok ikut aku jumpa wakil Nutra Beauty tu,” tegas
Dean seolah-olah memberi arahan.
“Kenapa pulak?” Berkerut dahi Jean mendengar
arahan Dean. Tugas dia kan di bahagian design dan finishing?
“Kau kan pembantu aku, so untuk projek ni aku nak
kau ikut aku.” Dean tersengih dan keningnya diangkat. Sibuk
sangat nak kenalkan dia dengan perempuan lain, kan? Tak
pasal-pasal kena terlibat sekali. Dean tergelak dalam hati.
Jean mendengus dan menunjukkan riak tidak puas
hatinya. Dengan muka cemberut, tali pinggang dipasang dan
tangan terus dipeluk ke tubuh.
Dean hanya buat tidak tahu sahaja dan terus
memandu kereta Jean beredar dari situ.

*** *JUALAN ONLINE SAHAJA, BOLEH HUBUNGI/WHATSAPP NO DIBAWAH  ***
019-3729676 (cik shida)

013-4888095 (kak peah)

No comments:

Post a Comment