DINZLY benar-benar rasa suhu takat
didihnya sudah di tahap maksimum. Wajah Darwisya
yang menunduk dikerling tajam. Menatap wajah
sayu kedua-dua orang tuanya, makin membuatkan
perasaannya hancur.
Dapat dia bayangkan betapa terlukanya jiwa
Puan Munirah. Dapat dia rasai betapa tebalnya wajah
Encik Fairuz kerana terpaksa menanggung malu.
“Saya tak buat apa-apa dengan anak Datuk dan
Datin. Kalau cuit pun tak pernah, sentuh apatah lagi.
Kalau dia tak masuk ke rumah saya tanpa izin, semua
ni takkan berlaku. Jadi kalau Datuk dan Datin nak cari
punca kesalahan, orang yang patut dipersalahkan ialah
dia.” Tepat jari telunjuk Dinzly terhala pada wajah
Darwisya. Matanya bersinar garang. Pasti gerun kalau
sesiapa yang melihat.
Datuk Dirly tersenyum sinis. Datin Ameldy
pula sudah tiada daya hendak berkata apa-apa. Cuma
mampu berdoa jauh di sudut hati. Janganlah suaminya
pula yang naik angin nanti. Boleh tak terkawal keadaan
dibuatnya.
“Kau rasa penjelasan kau tu boleh tutup aib aku
ke?” Pedas bicara itu membuatkan Dinzly ketap giginya
rapat.
Dasar manusia berpangkat. Dia ingat dia
seorang aje yang menanggung malu? Habis tu, malu
kedua-dua orang tua Dinzly nak dicampak ke laut?
“Habis tu, Datuk nak saya buat apa lagi? Kalau
betul saya rosakkan anak Datuk, saya memang takkan
lari daripada tanggungjawablah!” Sungguh paras
kesabaran Dinzly benar-benar sudah jatuh ke angka
sifar.
“Apa sekalipun jawapan dan alasan kau, kau
yang ditangkap berkhalwat bersama anak aku.”
Jeda.
Seluruh ruang itu sunyi sepi menanti butir
bicara Datuk Dirly yang selanjutnya.
“Jadi?” soal Dinzly sepatah. Penuh nada jengkel.
Menapak, Datuk Dirly berdiri berpeluk tubuh
merenung jejaka di hadapannya. Berani. Itu persepsi
pertama Datuk Dirly terhadap Dinzly.
“Jadi...” Dada bidang Dinzly ditunjal-tunjal
dengan hujung jemarinya. “Tunggang terbalik dunia
ni sekalipun, kau kena kahwin dengan anak aku,”
dihabiskan ayat bersama nada yang kedengaran cukup
tenang.
Wajah Darwisya terpanggung. Terbias riak
terkejut. Puan Munirah dan Encik Fairuz diam tidak
berkutik. Dinzly? Ketawa bersama kepala yang digeleng
berulang kali.
“Kahwin dengan manusia yang dah rosak ni?”
Tuding jemari tepat terpanah pada wajah Darwisya.
“Saya takkan kutip buah yang dah ditebuk tupai. Untuk
pengetahuan Datuk dan Datin, perempuan ni dah pun
mengandungkan anak kawan baik saya. Jadi patut atau
tidak kalau saya kahwini dia sedangkan dalam...”
“Anak saya akan kahwin dengan anak Datuk.”
Zap!!! Terpaling wajah Dinzly ke arah Encik
Fairuz. Rahang rasa hendak tertanggal. Jantung
bagaikan hendak tercampak keluar.
“Ayah...” Peti suara bagaikan tidak mampu
untuk dibuka.
Encik Fairuz menghela nafas panjang. Bangkit
berdiri, memegang bahu Dinzly kemas. Mata Encik
Fairuz nampak bergenang.
“Kalau kamu masih sayangkan kami berdua,
tolong nikahi dia. Demi maruah ayah, demi maruah
ibu. Kamu tak kasihan dekat ibu kamu, Dinz?” Nada
merayu.
Semedang bebola mata Dinzly mengerling
ke wajah Puan Munirah. Pipi tua itu sudah lencun
bermandikan air mata, membuatkan dada Dinzly terasa
bagaikan dihentak dengan sesuatu yang berat.
Dia... dah pun kecewakan hati seorang ibu.
“Dinz tak mampu, ayah...” luah Dinzly parau.
Encik Fairuz senyum tawar.
“Ayah tahu anak ayah mampu. Sebab dari kecil
lagi ibu dan ayah dah berikan Dinz didikan dan agama
yang secukupnya. Tutup aib orang itu satu kerja yang
mulia, Dinz. Dan ayah juga tahu anak ayah tak bersalah.
Tapi demi maruah semua yang berada dekat sini, ayah
sanggup sujud pada kaki Dinz, tolong nikahi dia.”
Lantas jawapan versi apa lagi yang mampu
Dinzly berikan? Kerana dia tidak sanggup hendak
mengecewakan Puan Munirah dan Encik Fairuz buat
kali kedua.
Terduduk Dinzly di atas sofa. Meraup
rambutnya hingga ke belakang. Memejamkan mata,
cuba mencari kekuatan. Cuba mencari jawapan. Benak
tertanya-tanya...
‘Masih ada pilihan lain lagikah kau, Dinzly
Fariqal?’
Jawapannya...
‘Tidak. Untuk itu, kau harus reda. Pasrah
dengan ketentuan yang Dia dah tetapkan nun di atas
sana. Sesungguhnya dugaan ini cukup berat, ya Allah...’
Hati merintih. Merintih bersama bicara bahasa bisu.
No comments:
Post a Comment