DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Bab 4

JAM dah berganjak ke angka 12 malam.
Mata masih tidak mampu dilelapkan. Entah kenapa,
permintaan Darwisya bagaikan satu pita rakaman yang
kerap dimainkan pada telinga. Puas sudah dia cuba
memadamkan, tetap juga terlekat kemas di benaknya.
Buat perasaan Dinzly jadi libang-libu.
Kenapa dia perlu kisah sedangkan Darwisya itu
dah pun huru-harakan hidupnya? Rambut dilurut kasar
ke belakang.
Dia... sakit hati!
Dia... benci!
Dan dia... geram!
Cuma... tetap ada satu rasa asing jauh di sudut
hatinya.
Dia... masih seorang yang perikemanusiaan.
Allah... kenapa dia perlu rasa begini? Simpati
pada perempuan yang jelas sudah memerangkapnya.
Gila, Dinzly Fariqal! Kalau nak jadi baik pun,
agak-agaklah.
Tika ini kepalanya benar-benar kusut dan keliru.
Betulkah apa yang dia buat ini? Dia tidak tergesa-gesa
sangatkah bersetuju dengan permintaan orang tuanya?
Ini soal masa depannya. Bukan masa depan orang lain.
Tapi mengenangkan air muka Puan Munirah
dan Encik Fairuz yang harus dijagalah buat Dinzly
menjadi lemah tidak berdaya. Encik Fairuz itu imam di
kampung mereka. Tidak sampai hati nak membiarkan
cemuhan orang kampung bertubi-tubi menghentam
ayahnya.
Sedar ada susuk tubuh lain yang sedang
memerhati, wajah diangkat. Bertembung dengan
sepasang mata milik Encik Fairuz. Nampak wajah
Encik Fairuz serba salah.
“Dinz marahkan ayah?” Soalan tak terduga.
Dinzly senyum kelat.
“Ayah dan ibu tak salah. Dinz yang dah malukan
ayah dan ibu,” sahut Dinzly perlahan. Hampir tidak
kedengaran.
Encik Fairuz menarik nafas dalam. Kopiah di
kepala dicabut lantas diletakkan di atas meja sebelum
duduk dilabuhkan berhadapan dengan Dinzly.
“Ayah minta maaf kalau Dinz rasa ayah dah
rosakkan masa depan Dinz. Ayah cuma...” Tersekat.
Menahan dada yang mula bergelodak. Dinzly itu
satu-satunya anak yang dia punya. Sungguh tak pernah
terduga begini pengakhiran kehidupan anak tunggalnya
itu. Terselit perasaan bersalah. Walhal dia tahu Dinzly
langsung tidak bersalah. Entah atas desakan apa, dia
tega membuatkan anaknya tersepit begitu.
“Macam mana Dinz nak salahkan ayah
sedangkan dalam hal ni memang Dinz yang bersalah?
Dinz yang dah gagal jaga maruah ayah dan ibu...”
Menunduk menyorokkan wajah kesal.
“Ayah tahu Dinz tak pernah buat semua tu.”
“Tapi tetap takkan ada yang percaya, kan?”
“Dinz anggaplah semua ni ada hikmahnya
untuk Dinz. Ayah yakin setiap yang berlaku pasti
bersebab.” Bicara Encik Fairuz buat bebola mata Dinzly
tertunak pada wajah tua itu.
“Maksud ayah?”
“Tugas seorang lelaki memang untuk
melindungi. Kali pertama ayah tengok Darwisya, ayah
yakin dia pun mangsa keadaan.”
“Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi,
ayah. Hakikatnya dia mengandungkan anak Aiman.”
Mengeluh sedikit. Rasa macam tak percaya dia sudah
pun menjadi ‘pak sanggup’ untuk benih teman baiknya
sendiri.
Teman baik? Dinzly menarik senyum kelat.
Takkan ada istilah teman baik lagi selepas apa yang
telah Aiman buat terhadapnya.
“Jangan terlalu cepat menghukum, sebab kita
tak tahu kejadian yang sebenar. Cuma satu ayah nak
minta pada Dinz...”
Jeda.
Dinzly sekadar mengatup rapat bibirnya.
Menanti Encik Fairuz menyudahkan ayat.
“Dinz jagalah amanah yang Allah berikan ni
dengan sebaiknya. Jangan pernah merungut. Ayah
yakin pengorbanan Dinz ni pasti akan berbalas suatu
hari nanti. Terima kasih juga sebab Dinz sanggup
dahulukan maruah ayah dan ibu. Sungguh, ayah dan
ibu bukan nak jadi manusia yang pentingkan diri
sendiri. Tapi naluri ayah yakin akan sesuatu.”
“Yakin apa, ayah?” soal Dinzly bingung.
Giliran Encik Fairuz menarik senyum hambar.
“Sampai masanya Dinz akan faham. Allah
takkan temukan Dinz dengan Darwisya kalau itu semua
bukan kehendak Dia. Tentu ada sesuatu yang kita
semua masih belum tahu. Sabarlah, lambat-laun Dinz
akan faham juga. Bimbinglah dia, jagalah dia, kerana
saat ini dia memang perlukan sokongan daripada kita
semua. Sekalipun dia telah tersasar, bukan tugas kita
untuk mengeji. Sebab diri kita sendiri pun tak mungkin
sempurna, pasti ada cacat celanya.” Encik Fairuz
menepuk bahu Dinzly dan berlalu masuk ke dalam
kamar.
Hilang kelibat Encik Fairuz, tubuh Dinzly
tersandar rapat pada sofa. Memejamkan mata, patah
kata Encik Fairuz bagaikan satu mantera. Meninggalkan
kesan yang cukup dalam pada dirinya.
Amanah? Kalaulah Dinzly mampu ikhlaskan
hati, tak mungkin dia akan membiarkan perasaannya
berserabut sebegini. Hakikatnya, tak terdetik di hati
Dinzly yang Darwisya itu adalah sebuah amanah.
Sebaliknya beban yang cukup berat untuk digalas.
‘Allah... tolong ikhlaskan hati ini.
Sekurang-kurangnya demi bayi yang langsung tidak
berdosa itu,’ monolog hati Dinzly. Benar-benar berharap
dia mampu reda dengan ujian yang dah tertulis buatnya.

No comments:

Post a Comment